Tuesday, December 29, 2009

Model Sekolah Unggul di Indonesia

Saya sempat mengikuti satu sesi 'keynote' oleh seorang pemimpin institusi pendidikan daripada Indonesia dalam satu seminar. Beliau menyatakan beberapa ciri sekolah unggul di negaranya ialah seperti berikut:
  • Iklim sekolah
  • Penglibatan seluruh warga sekolah
  • Prestasi akademik
  • Keberkesanan guru
  • Kepimpinan instruksional berorientasikan prestasi akademik
  • Penglibatan ibubapa
  • Penglibatan pelajar di sekolah
  • Disiplin yang baik
  • Ganjaran dan insentif berdasarkan kepada kebersihan
  • Pelaksanaan kurikulum yang jelas
Kita sebagai warga guru boleh menjadikan ciri-ciri di atas sebagai satu penanda aras (benchmark) kepada tugas kita sempena menjelang tahun baru 2010 nanti. Semoga semua warga guru dapat melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan penuh jujur, amanah dan dedikasi.

Tuesday, December 22, 2009

What is Teacher Professionalism?

semasa mengikuti kursus di Massey University, New Zealand, saya berpeluang bertemu dengan seorang pensyarah di university tersebut bernama Dr Annete M Taylor. menurut pendapat beliau mengenai profesionalisme perguruan ialah...

... its origins can be traced as far back as Socrates, Plato and other philosophers and teachers.

Bagi saya pendidik terulung adalah Mohamad Rasulullah SAW, nabi terakhir bagi umat manusia yang diutuskan Allah swt kepada kita sebelum bumi ini berakhir (kiamat)

Menurut Taylor lagi, perkataan profesionalisme adalah berkaita rapat dengan:
  • drive
  • initiative
  • commitment
  • involvement
I see professsionalisme as the "pursuit of excellence, not just competence"

Saya bersetuju dengan pendapat beliau, insan guru perlu memiliki keinginan yang tinggi (drive), mempunyai inisiatif tanpa perlu disuruh dan proaktif dalam semua bidang dan tugas tanpa perlu dipantau (oleh Pengetua/Guru Besar - jawatan Guru Besar juga saya fikir perlu ditukar kepada nama jawatan yang lebih sesuai .... kenapa ada perbezaan antara pentadbir sekolah menengah (yang dipanggil Pengetua) dan pentadbir sekolah rendah (yang dipanggil Guru Besar)...??? Letak sahaja nama jawatan tersebut sebagai PENGARAH? PENGURUS? ....(fikirkan yang sesuai)

Beberapa ciri penting seseorang yang bergelar profesionalisme ialah
  • mempunyai pengetahuan (khusus atau umum)
  • kod etika
  • autonomi
  • akauntabiliti
  • komitmen kepada bidang tugas
  • imej yang boleh dikenalpasti
Saya berpendapat semua ciri diatas sudah pun dipenuhi. Ciri terakhir iaitu imej... mungkin ini sukar sikit namun masyarakat masih boleh meneka sama ada seseorang itu GURU atau tidak. Ada yang mengesyorkan supaya imej guru ini ditegaskan supaya menjadi ikon dalam masyarakat. Makan seperti guru, berjalan seperti guru, berkomunikasi seperti guru,..... semuanya seperti guru. kalau doktor perubatan... bawa stetoskop dileher tu.. haaa pastilah doktor. kalau jururawat... pakaiannya. etc etc

Monday, December 7, 2009

Peranan Pusat Sumber Sekolah Membantu Pengajaran dan Pembelajaran

Semua guru sedia maklum apabila disebut PSS atau Pusat Sumber Sekolah. Dahulunya dikenali sebagai perpustakaan, namun pada awal tahun 80an, konsep pusat sumber sekolah telah mula diperkenalkan di negara kita, maka perpustakaan di semua sekolah seluruh negara telah ditukarkan nama kepada Pusat Sumber Sekolah (PSS).



Di negara barat, PSS adalah merupakan jantung atau nadi bagi sesebuah sekolah bagi membantu guru dan murid memperolehi ilmu pengetahuan. Bezanya, dinegara kita, sekiranya sesebuah sekolah itu tidak ada pusat sumber pun, pengajaran dan pembelajaran masih tidak terjejas sedikit pun. berapa ramai guru kita menggunakan PSS sebagai membantu pengajaran dabn pembelajaran mereka (PnP)? Berapa ramai murid masuk ke PSS untuk mencari maklumat? Kaedah pengajaran yang bercorak 'spoon feeding' masih berleluasa dalam zaman ledakan maklumat ini. Cakap tentang globalisasi, ledakan maklumat, teknologi maklumat, komputer, Internet dan sebagainya, namun kaedah PnP masih terkebelakang berbanding zaman serba moden ini.

Malah, ada Guru Besar dan Pengetua yang tak tahu pintu masuk PSS di sebelah mana, tak tahu apa yang ada dalam PSS. Kalau ditanya apa peranan PSS... pinjam buku sahaja. Murid pula masuk PSS untuk pinjam buku cerita sahaja.

Apa peranan dan tugas PSS?
1. Perolehan dan organisasi bahan buku dan bukan buku, termasuklah peminjaman (sirkulasi)
2. Khidmat sokongan media
3. Perancangan dan penggunaan bahan/peralatan media

Kalau dilihat daripada peranan di atas, media amat ditekankan dalam PSS. Ini bermakna guru-guru harus menggunakan media dalam PnP mereka (mungkin setiap kali sesi pengajaran). Selain itu, ada lagi khidmat sokongan lain seperti penubuhan kelab komputer, pusat akses kendiri dan terkini pusat akses sekolah. Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan (Kementerian Pelajaran Malaysia) untuk menyediakan prasarana dan kemudahan, termasuklah kos latihan kepada guru-guru untuk menjalankan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan.

Persoalannya.... adakah guru kita menggunakan PSS ini untuk melaksanakan PnP?

Apakah alasan yang munasabah boleh guru-guru berikan untuk tidak menggunakan PSS?

? beban tugas dan tanggung jawab yang banyak (bertambah)
? 'exam-orientation' - alasan ini banyak digunakan oleh guru-guru, kerana mereka mengatakan tak cukup masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran jika menggunakan PSS dan media dalam PnP.
? tak cukup latihan
? tak cukup alatan
? tak tahu?????


Semasa dalam latihan pra perkhidmatan (sama ada di Institusi Pendidikan Guru/Maktab Perguruan atau Universiti) semua bakal-bakal guru telah didedahkan kepada penggunaan media dan PSS. Mereka juga telah didedahkan kepada pelbagai teori pembelajaran dan kaedah atau metodologi pengajaran. Umpamanya, bakal guru telah tahu apakah yang dimaksudkan dengan konstruktivisme.... learning by doing, discovery, inquiry, project based learning, problem based learning dan banyak lagi kaedah PnP yang berbentuk student centered. Namun apabila ditempatkan disekolah, mereka selesa menjalankan PnP dengan kaedah teacher centered, chalk and talk, drilll and practice... etc. Amat malang, dalam dunia tanpa sempada yang ditimbuni dengan pelbagai sumber maklumat di hujung jari, kita (para guru) masih terkebelakang dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada anak didik kita.

Friday, December 4, 2009

Komunikasi Berkesan Dalam Pendidikan

Diriwayatkan daripada Sayyidatina A'isyah, katanya:

Tidaklah Baginda bercakap tergopoh-gapah seperti tergopoh-gapahnya percakapan kamu (kerana perkara ini mewariskan kesamaran kepada para pendengar dan sukar untuk memahami dan mengingatinya)

Tetapi Baginda bercakap secara jelas dan orang yang duduk bersama Baginda boleh menghafalnya.

Daripada Sayyidina Anas bin Malik beliau berkata:

Adalah Rasulullah mengulangi satu perkataan yang diucapkannya sebanyak tiga kali agar mudah difahami.

Semua warga pendidik perlu mengambil iktibar daripada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ini dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan penuh ketenangan dalam setiap pengucapan yang dikeluarkan di hadapan murid. Kita perlu berusaha sepenuh hati  agar semua anak didik kita memahami apa yang diajar oleh kita. Ulangilah fakta dan pernyataan yang penting dan menjadi kata kunci kepada tajuk atau isi kandungan pelajaran yang sedang kita ajar.

Bukan semua pendidik dapat melakukan perkara sedemikian. Ada antara kita yang sudah menjadi tabiat apabila bercakap, kita agak gopoh-gapah mengeluarkan pendapat dan idea. Dengan secara sedar dan latihan, insyaAllah kita akan dapat mengawal kadar kecepatan pengucapan yang dilakukan.

Tak dapat kita bayangkan bagaimana Rasulllullah SAW melakukan pengajaran beliau sehinggakan pendengar dapat menghafal apa yang diucapkannya. Apabila muhasabah diri sendiri, terasa amat kerdil diri saya ini untuk dibandingkan dengan Beliau, terasa amat bersalah kepada setiap pelajar yang telah diajar selama ini kerana tidak dapat melakukan perkara yang begitu penting untuk mereka seperti Rasullullah SAW lakukan. Adakah pelajar saya memahami apa yang diucapkan kepada mereka selama ini? Adakah mereka dapat mengingati fakta-fakta penting yang disampaikan? Sungguh sedih apabila mengenangkan semua itu...



Thursday, December 3, 2009

Guru Yang Disukai Murid

Seorang Pengetua sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak telah membuat kajian terhadap murid-murid beliau mengenai guru yang mereka sukai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid suka kepada guru-guru yang menepati masa, komited terhadap tugas dan kecindan (suka berjenaka).

Dapatan kajian beliau menunjukkan murid suka kepada guru yang menetapi masa iaitu masuk kelas tepat pada waktunya dan keluar (menghabiskan sesi pengajaran) kelas juga tepat pada waktunya. Ini menunjukkan bahawa warga guru perlu memberikan penekanan kepada aspek pengurusan masa yang cekap dan berkesan.

Guru yang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka adalah merupakan guru yang disanjungi oleh murid. Warga guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas masing-masing. Guru perlu melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh supaya mereka dicontohi oleh murid. Dalam satu kajian lain, dapatan kajian menunjukkan ramai kalangan guru mengamalkan kaedah pengajaran dengan meniru apa yang telah dilakukan oleh guru mereka terdahulu. Ini bermakna sekiranya kita mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan, maka anak didik kita sentiasa memerhati dan memberikan keutamaan sehinggakan sekiranya mereka menjadi guru kelak, apa yang kita lakukan terhadap mereka hari ini akan menjadi ikutan mereka kelak. Konsep 'Bapak Borek, Anak Rintik' berlaku disini. Kalau cikgu borek, maka anak muridnya akan menjadi rintik?

Aspek yang tidak kurang penting ialah guru yang pandai berjenaka. Amalan jenaka atau kecindan akan membantu mengurangkan jurang pemisah komunikasi antara guru dan murid. Gelak tawa semasa berinteraksi antara guru dengan murid akan menjadikan hubungan guru-murid lebih mesra dan erat. Ingatlah wahai para guru, anak murid kita sentiasa memerlukan 'kawan' dalam kehidupan sosial mereka dalam persekitaran sekolah. Selain daripada rakan sekelas, atau sekolah, guru adalah merupakan kawan yang boleh mereka kongsi cerita dan jenaka yang bukan semata-mata berunsurkan akademik.

Kalau tuan-tuan pernah menonton cerita The Freedom Writers, anda dapat melihat bagaimana seorang guru yang begitu gigih mendidik anak didiknya daripada golongan yang hidup dalam persekitaran sosial yang teruk menajdi seorang manusia yang berguna. Harian Metro beberapa minggu lepas telah memaparkan kisah ini sekali lagi. Kalau anda berpeluang, carilah filem tersebut dan boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar. Ini adalah satu kisah benar yang telah difilemkan. saya pernah menulis dalam blog ini mengenai kisah tersebut pada tahun 2008 selepas menonton filem tersebut.Kisah seorang guru yang bernama Erin Grunwell yang dilakukan semula oleh Hilary Swank terbitan Paramount Pictures tahun 2007. Cikgu Erin yang dikenali sebagai Miss G telah berjaya mengnerbitkan sebuah buku yang berjudul The Freedom Writers Diary, hasil tulisan anak muridnya yang berasal daripada kawasan penduduk yang bermasalah. Akhirnya semua anak didik beliau dapat masuk ke universiti. Tahun ini adalah ulang tahun ke 10 mereka dan Erin Grunwell berjaya sekali lagi menerbitkan sebuah buku yang berjudul Teaching Hope. Saya ada scan keratan akhbar ini dan sekiranya tuan/puan ingin berkongsi, saya akan kirimkan. Dan kalau boleh dapat filem ini, saya ingin memilikinya. Sesiapa yang ada saya minta hubungi saya. Kita boleh jadikan filem ini sebagai bahan bantu mengajar, terutamanya sebagai motivasi kepada guru-guru. Untuk pengetahuan, Cikgu Erin Grunwell masih ada dan meneruskan kejayanya dalam bidang perguruan.


Ini adalah gambar Hilary Swank (depan) (aktress yang melakunkan watak Miss G)bersama Erin Grunwell (Miss G dalam filem tersebut)

Wednesday, November 18, 2009

Inovasi

Salam sejahtera,

Sekian lama tidak sempat mencoretkan sesuatu dalam laman ini rasanya begitu kecewa sekali. Setelah menghadiri satu seminar di Ipoh anjuran Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, saya mendapat pengalaman yang begitu bermakna sekali untuk dikongsikan bersama.

Pertandingan inovasi yang telah dijalankan sempena seminar tersebut memberikan satu gambaran yang begitu jelas sekali tentang pentingnya guru-guru bersifat atau mempunyai ciri-ciri yang inovatif. Berbagai masalah dapat diselesaikan hasil daripada ciptaan kreatif para guru (pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia IPGM). Berbagai rekaan kreatif telah diketengahkan dan boleh dikongsi bersama-sama dengan golongan pendidik lain seluruh negara.

Setiap sekolah, daerah atau negeri perlu menganjurkan pertandingan yang sedemikian setiap tahun bagi mencungkil bakat kreatif guru-guru sekolah dalam penghasilan idea baru yang kreatif dan inovatif. Sama ada PKG atau BTPN perlu menyahut seruan ini dan memperuntukkan sedikit kos dan mengadakan perancangan yang rapi dan teliti untuk tujuan tersebut.

Hasil inovasi daripada IPGM yang mengambil bahagian dalam seminar tersebut amatlah menarik dan boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan. Sesetengahkan berkaitan dengan pedagogi serta strategi pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya dan yakin sekiranya guru-guru diberikan peluang, pasti mereka juga dapat mengemukakan hasil inovasi yang baik.

Monday, November 9, 2009

Pesanan Lukman Al-Hakim

Kita kongsi bersama pesanan Lukman Al-Hakim kepada anaknya. Sebagai seorang guru, kita juga boleh pesankan pesanan ini kepada anak didik kita, semoga mereka mejadi seorang insan yang sempurna dan beriman.Banyak perkara yang guru boleh gunakan dalam pesanan ini sewaktu mengajar. Ingatlah, kita sebagai guru bukan sekadar bertanggung jawab untuk mendidik murid kita menjadi seorang yang pandai (daripada segi intelek sahaja) malah kita perlu membentuk mereka supaya menjadi seorang insan yang berakhlak mulia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan tugas dan tanggung jawab kita dalam usaha mendidik anak murid kita iaitu supaya mereka menjadi seorang insan yang seimbang daripada aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Semoga anak didik kita menjadi seorang yang pandai, berakhlak mulia, menghormati orang lain (terutama ibu bapa mereka) dan sihat tubuh badan serta akal fikiran.

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH
juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan
kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

Tuesday, October 27, 2009

Nak kongsi jenaka mengenai Cikgu Yang Best!

Kelas yang tadi bercempera tiada guru kini menjadi senyap sunyi. Ini adalah kerana guru yang paling digeruni telah masuk ke dalam kelas. Wajahnya garang seperti Jin yang tidak ada Shamsudin. Kalau hendak tahu ikutilah pelajaran cikgu ini. Nama cikgu ialah......?

Murid-murid: Selamat pagi, cikgu.
Cikgu: (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?
Murid-murid: Selamat pagi, petang dan malam cikgu!
Cikgu: Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.
Murid-murid: Selamat sejahtera cikgu!
Cikgu: Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik . Hari ini cikgu nak uji kamu semua tenteng perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu,faham?
Murid-murid: Faham, cikgu!
Cikgu: Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.
Murid-murid: (senyap)
Cikgu: Pandai!
Murid-murid: Bodoh!
Cikgu: Tinggi!
Murid-murid: Rendah!
Cikgu: Jauh!
Murid-murid: Dekat!
Cikgu: Berjaya!
Murid-murid: Usno!
Cikgu: Salah!
Murid-murid: Betul!
Cikgu: Bodoh!
Murid-murid: Pandai!
Cikgu: Bukan!
Murid-murid: Ya!
Cikgu: Oh Tuhan!
Murid-murid: Oh Hamba!
Cikgu: Dengar ini!
Murid-murid: Dengar itu!
Cikgu: Diam!
Murid-murid: Bising!
Cikgu: Itu bukan pertanyaan, bodoh!
Murid-murid: Ini ialah jawapan, pandai!
Cikgu: Mati aku!
Murid-murid: Hidup kami!
Cikgu: Rotan baru tau!
Murid-murid: Akar lama tak tau!

Monday, October 26, 2009

Karektor Guru 12: Mengaku Kesalahan Sendiri

Guru yang paling berkesan adalah mereka yang dengan cepat dan tidak teragak-agak untuk mengaku kesalahan sendiri yang dilakukan. Mereka dengan rasa rendah hati akan memohon maaf daripada pelajar. Mereka dengan segera akan memperbetulkan sesuatu kesalahan yang dilakukan dengan segera tanpa merasa segan dan silu. Misalnya, semasa memeriksa kertas jawapan atau tugasan, sekiranya pelajar mendapati guru melakukan kesalahan memberi markah, guru dengan segera mengakui kesalahan mereka yang terus memperbetulkannya tanpa berlengah-lengah lagi.

Dalam banyak kes disiplin yang berlaku di sekolah, ramai dalam kalangan guru menggunakan kuasa mereka untuk menghukum pelajar tanpa banyak soal jawab atau menyelidiki kedudukan sebenar. Ini menimbulkan perasaan dendam pelajar kepada guru, dan akan memburukkan lagi situasi. sekiranya guru menyedari kesalahan yang dilakukan, maka janganlah merasa bersalah atau malu untuk mengaku kesalahan sendiri, bak kata pepatah "tidak akan hilang bisanya ular yang menyusur akar".


Thursday, October 22, 2009

Karektor Guru 11: Pemaaf

Guru yang paling berkesan adalah mereka yang tidak menyimpan dendam dan kebencian dalam hati terhadap pelajar mereka walaupun pelajar itu nakal dan sentiasa menyakiti hati mereka. Guru sebegini akan sentiasa memaafkan pelajar mereka di atas perlakuan yang tidak sesuai seperti kesalahan disiplin yang ringan atau tingkah laku yang kurang sopan dan sebagainya. Mereka akan sentiasa memberikan nasihat dan panduan secara bersopan kepada pelajar yang berkelakuan yang tidak sepatutnya. Mereka memahami bahawa dengan sikap pemaaf ini akan dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah disiplin yang sukar dibendung. Mereka percaya bahawa dengan menyimpan dendam dan kebencian kepada pelajar yang bermasalah displin ini, akan menyebabkan pelajar memusuhi mereka sama ada di dalam sekolah atau di luar sana. Dengan keadaan yang sukar memaafkan pelajar ini, akan menyebabkan lebih sukar kita untuk menangani masalah yang mereka hadapi. Sifat pemaaf adalah merupakan satu sifat yang universal, semua agama menuntut supaya manusia bersifat demikian. Sifat ini adalah menunjukkan martabat yang tinggi dan nilai kemanusiaan yang hebat dan mulia. Semua guru harus memiliki sifat ini supaya kita sentiasa dipandang mulia oleh pelajar kita, malahan kita akan dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling kita. Saya percaya, sekiranya semua guru memiliki karektor ini, masalah disiplin di sekolah akan dapat dibendung. Penghormatan masyarakat terhadap warga guru juga akan dapat dipulihkan seperti yang pernah kita persoalkan sebelum ini iaitu 'guru dahulu vs guru sekarang'.

Wednesday, October 21, 2009

Karektor Guru 10: Menghormati Pelajar

Guru yang paling berkesan adalah guru yang tidak memalukan pelajarnya sama ada secara bersemuka atau di hadapan khalayak (kelas). Guru yang memberikan penghormatan yang paling tinggi akan memperolehi penghormatan yang paling tinggi daripada anak didik mereka.
Guru perlu menghormati hak individu setiap anak didik mereka, tidak mendedahkan kelemahan seseorang pelajar kepada orang lain sama ada sesama rakan mereka atau guru lain.
Guru boleh berbincang dengan pelajar mengenai markah atau pencapaian seseorang pelajar secara individu tanpa didengari atau diketahui oleh rakan lain. Guru seperti ini akan menunjukkan kepekaan yang tinggi terhadap perasaan pelajarnya dan sentiasa berhati-hati supaya tidak memalukan pelajarnya setiap masa sama ada ianya perlu atau tidak.

Friday, October 16, 2009

Karektor Guru 9: Kebolehan Jenaka (Sense of Humor)

Guru yang paling berkesan adalah guru yang tidak menganggap semua perkara adalah serious dan menjadikan pembelajaran adalah sesuatu yang seronok dan menghiburkan. Mereka menjadikan jenaka sebagai alat untuk ‘breaking the ice’ ketika sesuatu situasi yang sukar dialami. Misalnya, dalam menguruskan bilik darjah, guru perlu menggunakan arahan secara berjenaka bagi mengurangkan tekanan dan ketegangan yang berlaku sesama pelajar. Guru sebegini akan sentiasa berjenaka setiap hari dalam kelasnya. Mereka sentiasa bergelak ketawa bersama-sama pelajar sama ada dalam kelas atau di luar kelas. Mereka sentiasa berjenaka dengan murid dan sebaliknya. Namun, jenaka yang digunakan adalah jenaka yang tidak mendatangkan keburukan seperti memperlekeh atau mempersendakan pelajar atau orang lain, berbentuk ugutan dan berunsur lucah.
Bukan kita mahukan jenaka yang dapat mentertawakan murid sehingga kelas menjadi hingar bingar. Cukuplah sekadar dapat membuatkan murid kita tersenyum atau merasa terhibur dan lega dengan apa yang kita ucapkan. Bukan perlu kita mempelajari atau berlatih untuk berjenaka, tak kanlah sepanjang hayat kita tak pernah pun berjenaka! Jenaka yang ringan dengan memberikan contoh-contoh yang melucukan adalah amat mudah dilakukan oleh guru semasa mengajar dalam kelas.
Banyak kajian di luar negara menunjukkan bahawa murid suka kepada guru yang gemar berjenaka. kajian juga membuktikan bahawa kelas yang diselang seli dengan jenaka oleh guru, dapat memberikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan seterusnya meningkatkan pemahaman murid. Oleh itu kajian yang berbentuk eksperimental telah dilakukan oleh para sarjana barat membuktikan terdapat peningkatan pencapaian yang signifikan bagi kelas yang mengandungi jenaka berbanding sebaliknya.

Friday, October 9, 2009

Karektor Guru 8: Belas Kasihan (Compassionate)

Guru yang paling berkesan adalah guru mengambil berat akan masalah peribadi setiap pelajarnya dan sentiasa mengambil perhatian terhadap perkara yang berkaitan dengan masalah tersebut. Misalnya, seorang pelajar yang mengidap penyakit lelah, guru akan mengambil perhatian khusus kepada beliau supaya tidak terdedah kepada habuk atau cuaca sejuk yang memudaratkan lagi kesihatan beliau.
Pelajar yang memakai cermin mata dan mempunyai masalah penglihatan, diberi peluang dan dipastikan supaya beliau dapat duduk di hadapan kelas dan dapat melihat tulisan di papan hitam atau papan putih atau skrin. Banyak cerita yang mengkisahkan bagaimana seseorang guru itu mengambil berat seseorang pelajarnya dan mempengaruhi kehidupan mereka seterusnya.
Pelajar kita dahulu, kini menjadi rakan baik dan sentiasa berkongsi pengalaman, ziarah menziarahi sama ada semasa sihat, sakit dan pada hari-hari perayaan. Kadang-kadang mereka menjawat jawatan tertentu yang tinggi dan dapat memberi bantuan kepada kita yang berurusan dengan mereka. Banyak kisah dimana bekas pelajar tidak mempeduli atau menghiraukan bekas guru mereka semasa berurusan dalam perkhidmatan tertentu kerana guru tidak mengenali mereka dan guru itu juga tidak pernah mempedulikan mereka semasa mengajar di sekolah dahulu. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya dilaksanakan disebabkan kita tidak mempunyai karektor sedemikian.
Bayangkan sekiranya bekas pelajar kita adalah seorang doktor perubatan atau jururawat terlatih!

Karektor Guru 7: Mananamkan Rasa Dipunyai (Sense of Belonging)

Guru yang paling berkesan adalah guru yang berupaya menyediakan situasi yang sangat selesa dalam kelas dan menjadikan seolah-olah menyambut kehadiran pelajarnya masuk ke kelas beliau. Pelajar pula sentiasa tertunggu-tunggu kehadiran guru tersebut untuk mengajar mereka. Walaupun mata pelajaran yang diajar adalah mata pelajaran yang sukar, namun, beliau dapat menyedia penyampaiannya sehinggakan pelajar pun menjadi suka kepada mata pelajaran tersebut. Banyak pengalaman yang kita sendiri dapat kongsikan di mana seorang guru itu dapat menjadikan kita ‘suka’ kepada sesuatu mata pelajaran yang sangat kita ‘benci’ selama ini dan akhirnya kita lulus dengan baik walaupun kita tak suka kepada mata pelajaran itu.
Pelajar sentiasa merasakan mereka memiliki dan bersama-sama dengan guru semasa belajar dalam kelas yang diajar oleh guru sedemikian. Pelajar juga tahu bahawa mereka mempunyai seorang guru yang seronok mengajar mereka dalam mata pelajaran tersebut dan seorang guru yang begitu komited dengan kerjayanya.
Ramai antara kita (warga guru) dapat menamakan guru-guru kita dahulu yang mempunyai karektor sebegini. Subjek Fizik yang sangat tidak disukai, dapat diikuti dengan mudah dan lulus dengan cemerlang dalam SPM. Selepas itu tak sentuh lagi buku Fizik dan subjek yang berkaitan dengan Fizik. Maka, jadikanlah kita seperti guru ini dan kelak nanti kita akan sentiasa dikenang oleh pelajar kita.

Monday, October 5, 2009

Karektor Guru 6: Mempamerkan Sentuhan Peribadi (Personal Touch)

Guru yang paling berkesan adalah guru yang mudah didekati oleh semua pelajarnya. Mereka berhubung dengan pelajar secara personal. Mereka berkongsi pengalaman bersama pelajar di dalam kelas. Guru seperti ini akan mengambil berat dan memahami setiap pelajarnya secara personal serta mencuba untuk memahami semua pelajarnya sebanyak mungkin. Mereka melawat ke ‘alam pelajar’ seperti makan bersama mereka di kantin sekolah, bersukan bersama-sama di padang, malah menziarahi pelajar yang sakit dan terlantar di rumah atau hospital. Berapa ramai antara kita berbuat demikian. Ayuh, mulai hari ini kita tunjukkan karektor guru yang sebenarnya supaya profesion ini menjadi lebih dihormati. Kembalikan kegemilangan zaman profesion perguruan yang diperkatakan bahawa sudah kurang mulai malap berbanding dengan suatu masa dahulu.
Guru sebegini akan mengambil tahu kesihatan, latar belakang dan masalah peribadi pelajarnya (bukan mengambil kesempatan). Guru seperti ini juga akan mengenali semua ibu bapa pelajarnya dan sentiasa berinteraksi dengan mereka sama ada dalam atau luar sekolah. Guru sebeginilah akan dikenang sepanjang hayat oleh bekas pelajar mereka. Guru sebeginilah yang senantiasa didoakan keampunan, kesejahteraan dan keselamatan oleh bekas murid mereka.

Karektor Guru 5: Adil dan Saksama

Guru yang paling berkesan ialah guru yang dapat menangani semua masalah pelajarnya dan juga memberikan markah ujian atau peperiksaan dengan adil dan saksama. Mereka tidak kedekut markah dan memberikan markah yang sepatutnya kepada pelajar yang sepatutnya memiliki markah tersebut.
Mereka menyediakan keperluan yang sesuai dan peraturan yang jelas untuk kelas. Sekiranya pelajar melanggar peraturan yang telah ditetapkan, guru akan bertindak mengikut garis panduan yang telah dipersetujui bersama. Ini menyebabkan pelajar tidak merasa diri mereka dianiayai oleh guru.
Pelajar akan menyedari bahawa adil dan saksama itu bukanlah semestinya melayani semua pelajar dengan cara yang sama, tetapi memberi peluang dan ruang kepada semua pelajar untuk mencapai kejayaan.
Guru seperti ini juga akan menyedari bahawa bukan semua pelajar itu belajar dengan kaedah yang sama dan pada kadar yang sama. Ada sesetengah pelajar agak lambat untuk memahami sesuatu topik dan mempunyai cara yang berlainan untuk memahaminya seperti perlu perbincangan dengan rakan-rakan lain. Guru perlu memberikan peluang kepada mereka untuk belajar dengan kaedah dan kecepatan sendiri sebelum menguji atau menilai mereka.

Wednesday, September 16, 2009

Key Characteristics of Effective Schools

Menurut Peter More daripada University of London (2004), beliau menyatakan terdapat 11 ciri sekolah berkesan iaitu: 1. Kepimpinan profesional 2. Perkongsian visi dan misi 3. Kewujudan budaya pembelajaran 4. Penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran 5. Pengajaran bermatlamat 6. Pengharapan yang tinggi kepada murid 7. Pengukuhan yang positif 8. Pemantauan terhadap perkembangan pengajaran dan pembelajaran 9. Hak dan tanggungjawab murid 10. Permuafakatan ibu bapa dan guru, sekolah dan masyarakat 11. Organisasi yang dinamik
Berapakah ciri dia atas wujud di sekolah anda? Wahai Guru Besar, Pengetua dan pentadbir sekolah sekalian, bertindaklah untuk menambahkan ciri-ciri di atas di persekitaran pekerjaan kita masing-masing. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadikan tempat tugas anda adalah tempat tugas yang berkesan.

Karektor Guru 4: Kreatif

Ciri yang Keempat: Kreatif Guru yang paling berkesan ialah guru yang memiliki ilmu pengetahuan yang meluas dan sentiasa mengajar dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang menarik dalam kelas. Guru seperti ini akan menggunakan teknologi dengan berkesan semasa mengajar dalam kelas. Mereka sentiasa menggunakan bahan bantu mengajar yang pelbagai termasuklah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru seperti ini sentiasa peka dengan kaedah dan strategi penyampaian yang bersesuaian dengan topik yang mahu diajar. Misalnya, sekiranya topik tersebut memerlukan amali (eksperimen) beliau akan menyediakan kelas amali untuk pelajarnya melakukan amali. Misalnya, seorang guru ingin mengajar bagaimana sabun bertindak terhadap kotoran (minyak), beliau sanggup membawa sabun, botol, minyak dan sebagainya ke dalam kelas untuk didemonstrasikan di hadapan pelajarnya dalam kelas. Guru sanggup membawa biji sawi, paku, beras dan sebagainya hanya semata-mata untuk ditunjukkan kepada pelajar bagi memudahkan mereka memahami tajuk pelajaran yang akan diajar. Guru sebeginilah yang dikatakan kreatif. Sudah tentu guru yang sanggup melakukan pelbagai kaedah pengajaran ini akan sentiasa dihormati oleh semua pelajarnya sepanjang hayat mereka.

Monday, September 14, 2009

Kareaktor Guru 3: Menaruh Harapan Tinggi

Ciri yang Ketiga: Menaruh Harapan Tinggi Guru yang palinh berkesan adalah guru menaruh setinggi-tinggi pengharapan kepada pelajar beliau dan percaya bahawa setiap orang pelajar akan mempunyai peluang untuk berjaya dalam hidup mereka. Guru seperti ini akan sentiasa menyediakan cabaran kepada pelajar mereka supaya pelajar dapat menunjukkan kebolehan mereka pada tahap yang terbaik. Mereka akan membina keyakinan diri pelajar dan mengajar dan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri. Pelajar akan merasa diri mereka sentiasa didorong oleh seseorang yang lebih dewasa dan Berjaya. Mereka akan menjadikan guru sebagai idola kerana kejayaan yang dimiliki oleh guru tersebut adalah sebagai perangsang dan motivasi kepada diri mereka.
Janganlah kita sebagai guru memandang rendah akan kebolehan anak didik kita. Mana tahu suatu hari nanti mereka akan menjadi lebih berjaya daripada orang lain (juga daripada kita) dalam bidang yang tidak kita sangkakan. Hakikatnya perkara ini sentiasa berlaku di sekeliling kita pada hari ini. ramai sekali anak murid kita yang dahulunya kita anggap 'bodoh', kini menjawat jawatan tinggi atau 'lebih berjaya' berbanding kita. Oleh itu, semua guru perlu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak didik kita. Binalah keyakinan diri kepada mereka yang kita dapati agak lemah dan tidak bermotovasi terhadap pelajaran.

Thursday, September 10, 2009

Karektor Guru 2

Ciri yang Kedua: Positif Guru yang paling berkesan adalah guru yang memiliki sikap yang optimistik terhadap pengajaran dan mengenai pelajarnya. Sikap optimistik bermaksud seseorang guru itu sentiasa melihat perkara positif terhadap pengajarannya dan juga sentiasa menganggap semua pelajarnya adalah baik dan boleh maju dalam sebarang keadaan sekalipun. Guru yang sebegini adalah amat disukai oleh pelajar. Setiap keadaan dalam kelas dan pelajarnya sentiasa diberikan perhatian dan tunjuk ajar yang membantu pelajar menuju kejayaan. Semua pelajar dianggap mempunyai peluang untuk berjaya. Beliau sentiasa mempunyai ruang dan masa untuk didekati oleh pelajar bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Guru seperti ini akan mudah berkomunikasi dengan pelajarnya dan pelajar pula tidak segan silu untuk berinteraksi dengan guru. Guru seperti ini juga sentiasa memberi rangsangan yang berupa penghargaan dan pujian kepada semua pelajar. Mereka juga mempunyai strategi yang tertentu untuk membantu pelajar supaya bertindak secara positif bagi mencapai matlamat masing-masing. Guru seperti ini juga sentiasa memberikan motivasi kepada pelajarnya.

Friday, September 4, 2009

Karektor Guru 1

Robert J. Walker telah membuat penyelidikan kualitatif secara longitudinal selama 15 tahun sepanjang karier beliau sebagai seorang pendidik mendapati terdapat 12 ciri guru yang dominan dan sangat disukai oleh pelajar. Beliau telah membuat kesimpulan bahawa semua karekter tersebut adalah amat perlu dimiliki oleh semua insan yang bergelar guru. Saya akan membincangkan setiap karekter ini dalam penulisan saya seterusnya. Ciri yang Pertama: Sentiasa bersedia Guru yang palingberkesan adalah guru yang hadir ke jkelas setiap hari dan sentiasa bersedia untuk mengajar (mendidik). Murid akan dapat belajar dengan mudah dan memahami apa yang akan disampaikan oleh seorang guru yang telah bersedia untuk mengajar topik yang akan disampaikan pada hati itu. Oleh kerana guru itu sentiasa bersdia, maka beliau tidak akan mengambil masa yang lama atau membazir masa untuk mengajar. Mereka memulakan pengajaran tepat pada waktunya dan menggunakan sepenuh masa pengajaran (period) untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Sepanjang guru berada dalam kelas, pelajar dapat belajar sepenuhnya daripada guru jenis ini. Oleh itu, mereka tidak akan mudah bosan atau tertidur dalam kelas. Karektor ini adalah dipilih oleh pelajar sebagai ciri utama yang perlu dimiliki oleh semua guru. Oleh itu, seseorang insan yang bergelar guru atau akan bergelar guru amat wajar mengamalkan ciri sentiasa bersedia, terutamanya sewaktu kita mahu masuk ke kelas untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Bacalah sedikit bahan bacaan yang berkaitan dengan isi kandungan yang akan disampaikan, walau pun kita sudah mahir dan bertahun-tahun mengajar tajuk tersebut. Carilah dalam Internet atau bahan bacaan tambahan yang berkaitan dengan tajuk tersebut, mungkin ada perkara baharu yang boleh disampaikan kepada pelajar kita.

Tuesday, August 25, 2009

Instructional message design

Ingin berkongsi slaid mengenai instructional message design

Thursday, June 25, 2009

Krisis Kepimpinan Pendidikan

Hari ini tergerak hati untuk menulis mengenai kepimpinan di dalam organisasi pendidikan dalam negara kita. Terdapat berbagai jenis kepimpinan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kementerian dan Negara. Kepimpinan yang ingin disentuh kali ini adalah mengenai kepimpinan yang boleh menyebabkan kerugian kepada sesebuah organisasi. Terdapat pemimpin walau dalam mana peringkat pun mengamalkan kepimpinan yang bercorak diktator atau dengan lain perkataan hanya pandai memberi arahan dan perlu diikuti dengan penuh taat setia oleh pengikutnya. Apa sahaja arahan yang diberikan, perlu diikut tanpa membantah, walau pun akan merugikan organisasi ataupun memberikan kesan yang kurang baik kepada warga organisasi berkenaan. Setiap arahan atau peraturan baharu dibuat tanpa mendapatkan pandangan dan ulasan daripada pihak bawahan. Sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan pemimpin walau pun di peringkat atas, idea yang mereka curahkan adalah hak peribadi mereka dan tidak boleh ditokok tambah oleh orang lain, lebih-lebih lagi orang bawahan yang dikira sebagai kurang ‘pandai’ atau kurang ‘baik’ berbanding diri sendiri. Apa tah lagi untuk merujuk atau mendapatkan pandangnan pakar atau pun dapatan-dapatan kajian sama ada dalam atau luar Negara. Mereka juga didapati malas membaca dan mengkaji. Terdapat juga pemimpin yang memang bagus dengan idea yang bernas, sebab mereka ini suka membaca dan membuat kajian. Mereka mempunyai tabiat membaca yang konsisten dan sentiasa berfikir dengan logik dan matang. Sangat sukar untuk mencari pemimpin yang sebegini. Kadang-kadang pemimpin yang bijaksana dan cerdas otak ini wujud dalam sesebuah organisasi, tetapi ada mekanisma yang mencatas mereka. Bakat kepemimpinan cemerlang yang ditunjukkan oleh orang bawahan ini selalunya dicantas oleh pemimpin sedia ada. Terdapat pelbagai cara dan strategi mencantas dilakukan oleh pemimpin yang iri hati dan takut kedudukan mereka tergugat. Budaya pemimpin yang mempunyai sifat iri hati dan dendam ini menyebabkan orang bawahan menjadi mangsa mereka. Akhirnya mangsa tadi akan mencari jalan untuk membalas dendam terhadap pemimpin tadi. Balasan dendam yang dilakukan adalah pelbagai cara, antaranya ialah:

  • Bekerja dengan tidak sesungguh hati, sebab macam mana pun kuat bekerja, memang bos tidak akan berikan peluang atau sokongan untuk kenaikan pangkat.
  • Tidak menumpukan perhatian dan sepenuh hati terhadap projek yang dirancang oleh bos.
  • Curi tulang – sekiranya bos tidak ada.
  • Bercakap atau mengkritik di belakang bos.

Kekecewaan yang dialami oleh bakal pemimpin yang ditindas atau diketepikan ini akan menjadi satu titik tolak untuk beliau menyusun strategi bagi membalas ’dendam’ terhadap apa yang berlaku ke atas dirinya. Ada pemimpin yang semasa beliau bersara diraikan dengan ala kadar sahaja. Selepas bersara, bekas pemimpin ini cuba datang ke pejabat mungkin untuk tujuan sosial, tetapi tidak diambil endah oleh semua orang dalam pejabat. Berjumpa beliau di tempat sosial lain atau di pasar malam juga tidak dihirau oleh bekas orang bawahannya. Inilah kesan kepada pemimpin yang tidak sedar diri dan tidak melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan baik. Ada ketika lain, sekiranya orang yang ditindas ini berpeluang untuk naik ke peringkat lebih tinggi, maka beliau akan menyusun strategi untuk membalas dendam terhadap bos lama. Semua arahan atau peraturan yang dibuat oleh pemimpin lama akan dimansuhkan, mungkin dengan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan yang kukuh. Sekiranya projek yang dtinggalkan oleh pemimpin lama masih dilaksanakan, keberlangsungan projek tersebut akan terjejas dengan secara disengajakan kerana ada mekanisme berbentuk dendam dilaksanakan dalam pengurusan projek berkenaan. Ini secara tidak langsung akan merugikan organisasi, dan seterusnya masyarakat. Semasa seseorang pemimpin itu berkuasa, beliau menggunakan kuasa yang ada untuk memilih konco-konconya bagi memenuhi jawatan-jawatan tinggi yang kekosongan. Ramailah bakal-bakal penjawat jawatan tersebut kecewa kerana tidak berpeluang untuk menduduki jawatan tersebut. Mereka yang lebih junior dibawa masuk oleh pemimpin berkenaan kerana wujudnya kroni dalam kepimpinan beliau. Selepas era kepemimpinan beliau berakhir, mereka yang dipinggirkan tadi berpeluang untuk naik menjawat jawatan lebih tinggi. Masa inilah peluang dan ruang untuk membalas dendam berlaku. Mereka yang dinaikkan pangkat oleh pemimpin kroni tadi akan merasa kehangatan dan tertekan. Pelbagai cara, kaedah dan strategi digunakan untuk memuaskan hati masing-masing. Situasi ini memang tidak sesuai untuk sesebuah organisasi bergerak dengan lancar. Sekiranya perkara ini berlaku, banyaklah projek-projek akan terjejas kelancarannya. Ini sudah tentu merugikan masyarakat keseluruhannya. Siapakah yang bertanggung jawab untuk membendung gejala ini? Mungkin pemimpin-pemimpin yang berada di peringkat atas yang menyedari gejala buruk ini harus mengambil langkah yang proaktif untuk mengadakan satu mekanisme yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Semua pemimpin harus diperingatkan mengenai peranan, tugas dan tanggung jawab masing-masing. Pemimpin yang yang berwibawa, bijaksana dan bertanggung jawab akan dapat melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan dengan adil dan saksama.

Thursday, May 21, 2009

Literatur Mengenai PPSMI

Berikut adalah satu sorotan literatur yang telah ditulis oleh sekumpulan pelajar saya dalam tugasan mereka untuk menyiapkan proposal penyelidikan berkaitan dengan tajuk pelaksanaan PPSMI: Mulai 1 Jan 2003, kerajaan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi murid Tahun 1, pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 di semua sekolah rendah dan sekolah menengah. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pengajaran Sains dan Matematik di semua sekolah patut dikaji. Beliau mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah dan menengah, sebab beliau prihatin tentang kesan pengajaran dua mata elajaran tersebut. Razali (2003) menyatakan bahawa guru-guru bukan sahaja mengajar berdasarkan kemahiran pedagogi yang sedia ada, tetapi mereka perlu sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Oleh yang demikian, guru-guru Matematik dan Sains perlu sentiasa berusaha dan bersedia dari segi perubahan dalam pengajaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Rohana (2004) menyatakan bahawa 84% mata pelajaran Sains dan Matematik masih diajar dalam Bahasa Inggeris dengan kurang profesional. Ini telah mengakibatkan proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang kurang berkesan di dalam kelas. Segelintir guru masih tidak dapat mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cara yang kreaktif dan berkesan untuk memupuk sikap pembelajaran pelajar. Lim Chap San (2003) membincangkan pelaksanaan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris merupakan satu dasar yang baharu. Persoalannya, adakah guru-guru bersedia terhadap perubahan bahasa bagi pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dalam menjayakan dasar pendidikan ini? Prof. Chiam Heng Keng (2002) menyatakan bahawa “a more effective means (to increase students proficiency in English) is for students to use English as a tool of learning …..” Ini menunjukkan kesediaan guru mengajar dalam Bahasa Inggeris perlu ada untuk memberi kesan yang positif bagi pelajar-pelajar mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mohd Rasdi Saaman (2004) telah mengkaji terhadap perubahan bahasa penghantar mata pelajaran Sains dan Matematik daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Dalam kajiannya, didapati bidang pendidikan mempunyai ramai guru yang mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi masih lemah dalam perlaksanaan dasar ini. Didapati guru yang ada latihan dalam Bahasa Inggeris dan komputer lebih bersedia untuk pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Monday, May 18, 2009

MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Saya ingin memaparkan satu memorandum yang telah disampaikan kepada YAB mantan PM mengenai PPSMI oleh Pertubuhan-Pertubuhan Cina untuk tatapan kita bersama. MEMORANDUM KEPADA Y.A.B. DATO’ SERI ABDULLAH BADAWI DARIPADA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN CINA UTAMA 31 OKTOBER 2006 (1) PENDAHULUAN
Berikutan dengan pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2003, kedua-dua mata pelajaran tersebut telah diajarkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), formula "2-4-3" untuk Tahap I dan "6-2-3-2"untuk Tahap II telah dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Memandangkan dasar ini dilaksanakan dengan tergesa-gesa tanpa kajian-kajian ilmiah yang meyakinkan dan langsung bertentangan dengan prinsip pendidikan yang menegaskan kelebihan bahasa ibunda atau bahasa pertama dalam proses penyampaian ilmu, maka pertubuhan-pertubuhan pendidikan daripada pelbagai kaum telah banyak kali menyuarakan perasaan bimbang mereka terhadap dasar tersebut sepanjang tempoh 4 tahun ini.
Antaranya, Kongres Pendidikan Melayu Ke-2 yang dianjurkan pada bulan Mac 2005, secara lantang menyatakan bahawa kira-kira 5 ratus ribu orang pelajar Melayu akan keciciran di bawah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akibat kegagalan menguasai bahasa Inggeris.
Selain itu, pada 10 Disember 2005, kira-kira 3000 orang daripada pelbagai kaum secara individu atau mewakili pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah menyertai "Persidangan Membantah Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris" yang dianjurkan dengan tujuan menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan supaya memandang serius dan menimbang semula dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang telah banyak membawa kesan negatif kepada semua aliran sekolah rendah, sama ada SK, SJK(C) mahupun SJK(T).
Masyarakat Cina pada umumnya prihatin terhadap isu ini. Dalam pada itu, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM) telah menjalankan satu kajian soal selidik mengenai kesan-kesan pelaksanaan formula "2-4-3" di SJK(C) pada akhir tahun 2005 dan awal tahun 2006 untuk menyoroti sejauh manakah pengaruhnya kepada SJK(C) supaya dapat memberi gambaran yang sebenar dan saranan yang membina kepada kerajaan untuk menangani isu ini dengan sempurna. Menurut dapatan kajian tersebut, pelaksanaan formula "2-4-3" bukan sahaja meninggalkan impak negatif kepada guru-guru dan murid-murid, malah juga merupakan penghakisan kepada sistem pendidikan SJK(C) yang selama ini menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.
Memandangkan keadaan yang cukup tenat di SJK(C), maka kami, Pertubuhan-Pertubuhan Cina Utama yang menandatangai bersama, dengan tulus ikhlasnya mengemukan memorandum yang berjudul "Pandangan Dan Cadangan Mengenai Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris"untuk rujukan dan pertimbangan Yang Amat Berhormat Dato'Seri supaya mengambil langkah yang wajar untuk menyelesaikan isu ini dengan sempurna.
(2) KAJIAN GPGSCM MENGENAI KESAN-KESAN PELAKSANAAN FORMULA "2-4-3"
Sebanyak 282 buah SJK(C) di bandar dan luar bandar dari beberapa negeri terlibat dalam kajian ini. Sekolah-sekolah tersebut dikehendaki memberi respons terhadap soalan-soalan yang disediakan mengikut keadaan masing-masing. Berdasarkan respons-respons yang diterima, dapatan kajian ini secara jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan formula "2-4-3" telah menimbulkan banyak masalah kepada guru-guru dan murid-murid SJK(C) yang sekaligus menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di SJK(C).
2.1 Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Murid-Murid
Susulan daripada pelaksanaan formula "2-4-3", bukan sahaja jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran Tahap I di SJK(C) meningkat daripada 45 waktu (1350 minit) kepada 50 waktu (1500 minit) seminggu, bahkan bilangan mata pelajaran juga bertambah kerana bahasa Cina dan bahasa Inggeris digunakan secara serentak untuk mengajar Matematik dan Sains. Perubahan ini secara terus menambah beban murid-murid dan mempengaruhi pembelajaran mereka. Berikut ialah dapatan kajian GPGSCM mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid:
(Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung setiap pernyataan)
  • Murid-murid berasa tertekan kerana terpaksa menanggung lebih banyak kerja rumah dan peperiksaan. 240 buah (85.1%)
  • Murid-murid berasa tertekan kerana tidak dapat menyesuaikan diri untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 184 buah (65.2%)
  • Murid-murid mengalami tekanan yang amat berat kerana masa pembelajaran yang lebih panjang berbanding dengan sebelumnya. 183 buah (64.9%)
2.2 Keberkesanan Pembelajaran
Seperti mana yang diketahui, matlamat pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik adalah untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran asas, tetapi bukan digunakan sebagai pendekatan untuk meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa, misalnya bahasa Inggeris di kalangan murid-murid.
Kajian pakar-pakar pendidikan dalam negeri dan luar negeri telah membuktikan bahawa kanak-kanak seharusnya menggunakan bahasa ibunda atau bahasa pertama untuk mencapai kejayaan yang paling besar dalam proses pembelajaran, terutamanya bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang memerlukan pemikiran dan penerangan yang banyak.
Meskipun menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, mata pelajaran Sains dan Matematik masih menjadi satu masalah untuk dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid, apatah lagi murid-murid terpaksa menggunakan bahasa asing yang mereka kurang biasa untuk mempelajari Sains dan Matematik?
Padahalnya, dapatan kajian GPGSCM telah menunjukkan bahawa dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak mampu meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dengan berkesan, sebaliknya penguasaan murid-murid terhadap Sains dan Matematik terjejas kerana gangguan bahasa Inggeris. Dalam pada itu, sebahagian sekolah menjelaskan bahawa mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diajarkan mulai Tahun 1 di SJK(C) dari tahun 2003 merupakan unsur penting yang dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana sebelum ini Bahasa Inggeris hanya diajar mulai Tahun 3 di SJK(C).
(Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung pernyataan)
  • Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris terjejas kerana murid-murid gagal menguasai Bahasa Inggeris. 238 buah (84.4%)
  • Murid-murid adalah lebih tumpu perhatian dan mudah menguasai Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Cina. 232 buah (82.3%)
  • Murid-murid terpaksa menggunakan masa yang lebih panjang untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. 216 buah (76.6%)
  • Pengenalan terhadap perbendaharaan kata bahasa Inggeris telah meningkat, tetapi kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris tidak menunjukkan peningkatan yang jelas. 196 buah(69.5%)
  • Pelaksanaan formula "2-4-3" yang menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris secara serentak untuk mengajar Matematik dan Sains telah menimbulkan kekeliruan di kalangan murid-murid, dan juga telah menjejaskan keberkesanan pembelajaran. 170 buah (60.3%)
  • Murid-murid berasa jemu dan hilang minat terhadap Sains dan Matematik kerana berulang kali mempelajari isi kandungan yang sama dengan bahasa yang berlainan. 114 buah (40.4%)
  • Murid-murid berasa tertekan kerana gagal menguasai bahasa Inggeris, dan seterusnya menjejaskan keberkesanan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Cina. 110 buah (39.0%)
2.3 Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Guru-Guru
Kajian GPGSCM mendapati guru-guru menghadapi pelbagai masalah di bawah pelaksanaan formula "2-4-3" di SJK(C), antaranya termasuk guru-guru yang diaturkan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berasa tertekan kerana menghadapi masalah penguasaan bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran Malaysia enggan menambah bilangan guru mengikut pertambahan waktu pengajaran menyebabkan waktu pengajaran guru-guru yang sedia ada terpaksa bertambah, dan menjadikan masalah kekurangan guru di SJK(C) semakin serius.
(Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung pernyataan)
  • Guru-guru yang diaturkan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menghadapi masalah penguasaan bahasa Inggeris. 205 buah (72.7%)
  • Guru-guru terpaksa menanggung bebanan yang lebih berat kerana pertambahan waktu pengajaran. 201 buah (71.3%)
  • Sekolah terpaksa menambah waktu pengajaran guru-guru yang sedia ada untuk mengatasi masalah kekurangan guru-guru. 158 buah (56.0%)
  • Sekolah memerlukan perkhidmatan Guru-Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru-guru. 107 buah (37.9%)
2.4 Keberkesanan Pengajaran
Di bawah pelaksanaan formula "2-4-3", jumlah waktu pengajaran Matematik dalam bahasa Cina telah dikurangkan daripada 7 waktu (210 minit) kepada 6 waktu (180 minit) seminggu, masa ini adalah tidak mencukupi untuk menghabiskan sukatan pelajaran, bagaimanapun, guru-guru terpaksa mengajar dengan cepat, akibatnya prestasi pembelajaran murid-murid terjejas.
Begitu juga dengan keadaan pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris yang hanya 4 waktu (120 minit) seminggu berbanding dengan SK dan SJK(T) yang masing-masing 7 waktu (210 minit) seminggu walaupun menggunakan buku teks yang sama. Dapatan kajian GPGSCM menunjukkan bahawa murid-murid menghadapi kesukaran untuk memahami isi kandungan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana waktu pengajaran dan pembelajaran yang terhad. (Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung setiap pernyataan)
  • Oleh sebab waktu pengajaran Matematik dalam bahasa Cina tidak mencukupi, guru-guru terpaksa mengajar dengan cepat supaya menghabiskan sukatan pelajaran yang ditetapkan. 230 buah (81.6%)
  • Masa pengajaran dan pembelajaran yang terlalu kurang menyebabkan murid-murid gagal mengikuti sukatan pelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris. 185 buah (65.6%)
2.5 Penggunaan Bahasa Cina Dipinggirkan
Di bawah pelaksanaan formula "2-4-3", bukan sahaja jumlah waktu pengajaran bagi mata pelajaran Bahasa Cina dikurangkan, malah terdapat juga mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar turut dikurangkan waktu pengajarannya, jelas sekali status bahasa Cina di SJK(C) telah dipinggirkan. Keadaan ini secara terus mempengaruhi tahap penguasaan murid-murid terhadap bahasa Cina. (Bilangan Dan Peratusan SJK(C) Yang Setuju dinyatakan di hujung setiap pernyataan)
  • Tahap penguasaan bahasa Cina di kalangan murid-murid semakin lemah kerana pengurangan jumlah waktu pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Cina dan mata pelajaran lain yang menggunakan bahasa Cina. 203 buah (72.0%)
  • Masa yang digunakan untuk mempelajari bahasa Cina telah berkurangan kerana murid-murid terpaksa menggunakan lebih banyak masa untuk mempelajari bahasa Inggeris, ini telah menjejaskan tahap penguasaan bahasa Cina. 183 buah (64.9%)
  • Pelaksanaan formula "2-4-3" menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh murid-murid semakin berat, ini turut menyebabkan murid-murid kehilangan minat untuk belajar bahasa Cina. 116 buah (41.1.%)
(3) PANDANGAN DAN CADANGAN
Kajian GPGSCM jelas menunjukkan bahawa formula "2-4-3" mendatangkan impak negatif yang besar di SJK(C), guru-guru dan murid-murid terpaksa menghadapi sengsara dan tekanan yang amat berat dari segi pengajaran dan pembelajaran, akibatnya timbul keadaan "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Sudah pasti keadaan yang serupa akan berulang apabila formula "6-2-3-2" dilaksanakan di Tahap II mulai sesi persekolahan tahun 2006.
Dapatan kajian tersebut telah membuktikan bahawa pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan formula "2-4-3" bukan pendekatan yang sesuai baik untuk menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid mahupun meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap Sains dan Matematik. Maka, sekiranya kerajaan tetap meneruskan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang mengingkari prinsip pendidikan, bukan sahaja lebih ramai lagi kanak-kanak akan menjadi mangsa, malah juga akan melemahkan mutu pendidikan teknologi negara, dan akhirnya mempengaruhi perkembangan negara dan juga menjejaskan daya saingan negara di sejagat.
Keberkesanan dan kelebihan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah mendapat pengesahan Bangsa-Bangsa Bersatu, malah juga menjadi amalan umum di sejagat. Pada hakikatnya, banyak negara maju menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mempelajari Sains dan Matematik dan terbukti mencapai kejayaan yang besar. Maka adalah tidak munasabah bagi kerajaan mengambil langkah ke belakang dengan melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda bagi mana-mana kaum di negara ini.
Kami sekali lagi menegaskan kepentingan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa pengantaraan dalam era teknologi maklumat masa kini, maka kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat, tetapi segalanya harus dilaksanakan berdasarkan kurikulum, tenaga pengajar, bahan-bahan mengajar dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri, supaya betul-betul menepati prinsip pendidikan dan mencapai kesan yang diharapkan.
Berdasarkan kajian GPGSCM dan ulasan-ulasan di atas, kami dengan tulus ikhlasnya memohon kepada Yang Amat Berhormat Dato'Seri supaya pelaksanaan formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" ditarik balik dengan menggunakan semula bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dan bahasa peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di SJK(C) . Justeru itu, demi kepentingan negara, kami turut menyeru kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua aliran sekolah rendah, supaya memulihkan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan bahasa peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut di sekolah rendah. Bersama-sama ini, kami juga menyeru supaya kerajaan mengambil langkah drastik yang sewajarnya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid.
(4) KESIMPULAN
Pendidikan merupakan salah satu bahagian yang penting dalam agenda pembangunan negara, khasnya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, pendidikan memainkan peranan yang paling penting untuk merealisasikan Teras Kedua yang berbunyi "meningkatkan keupayaan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama" supaya matlamat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 tercapai mengikut jadual yang ditetapkan. Lantaran itu, sistem pendidikan yang diamalkan haruslah menepati keperluan semasa untuk mencapai matlamat negara tersebut.
Kami berasa lega kerana baru-baru ini beberapa langkah telah diambil untuk memperkukuh dan mengemaskinikan sistem pendidikan yang sedia ada, antaranya termasuk memartabatkan profesionalisme perguruan, meningkatkan pembangunan prasarana sekolah, memperkasa penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, mengkaji semula sistem pendidikan yang terlalu mementingkan peperiksaan dan sebagainya merupakan satu kemajuan yang menggalakkan. Bagaimanapun, terdapat banyak lagi kekurangan dalam sistem pendidikan yang sedia ada, antaranya termasuk ketidakadilan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan bahasa ibunda bukan Melayu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sebagainya yang tidak sesuai dengan keperluan semasa harus dikaji semula dengan segera demi kepentingan negara.
"Silapnya sistem pendidikan, gagallah negara; berkesannya sistem pendidikan, berjayalah negara", maka amatlah penting bagi negara kita untuk mengamalkan sistem pendidikan yang betul-betul memanfaatkan pembangunan negara. Maka, sekali lagi kami memohon kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri supaya memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pandangan dan cadangan kami.
Pertubuhan-Pertubuhan Cina Utama yang menandatangai bersama memorandum:
(1) Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia(教总)
(2) Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia(董总)
(3) Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia(华总)
(4) Malaysian Seven Major Clans Association(七大乡团协调委员会)
(5) Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia(留台联总)
(6) Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia(校友联总)
(7) Nanyang University Alumni Association Of Malaya (马来亚南大校友会)

Selamat Hari Guru

Selamat hari guru kepada semua warga guru di seluruh negara. HARI GURU..... adakah hanya disambut oleh warga guru Kemenetrian Pelajaran Malaysia sahaja? Bagaimana dengan mereka yang bertugas mendidik dan membimbing anak bangsa di bawah kementerian lain? Jurulatih yang melatih bakal polis di akademi polis juga dipanggil 'cikgu' oleh pelatih mereka. Kalau tak percaya, tanya polis tu.... Pensyarah yang melatih jururawat di akademi latihan jururawat, juru pulih anggota, bengkel mekanik, juruteknik, kemahiran teknikal dan vokasional lain, pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi (IPTA dan IPTS) pensyarah di kolej swasta, kolej perubatan dan banyak lagi institusi latihan (pendidikan) yang tak perlu disebut di sini... mereka semua bukan bertugas sebagai pensyarah sahaja. Tenaga pengajar di kolej matrikulasi kerajaan (KPM) sesetengahnya tak suka di panggil 'cikgu'. Mungkin tak glamor, mereka suruh anak didik mereka panggil CIK, PUAN, TUAN, ENCIK.... ini berlaku walau pun tak semua begitu. Kalau pensyarah, tugasnya apa? bersyarah? kalau bersyarah... ahli politik pun boleh bersyarah semasa kempen pilihan raya ramai yang bersyarah semasa berkempen) tok guru di surau dan masjid juga bersyarah, pakar motivasi juga bersyarah dan panjang lebar pulak tu... Mereka yang bertugas sebagai PENSYARAH sebenarnya adalah bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran, mendidik anak didik mereka, membimbing dan memastikan anak didik mereka berjaya mencapai matlamat pendidikan masing-masing. Kalau dipandang secara khusus, tugas ini samalah dengan tugas guru Kementerian Pelajaran Malaysia tu ya... Oleh itu, mereka yangberkecimpung dalam bidang pendidikan adalah layak dipanggil GURU. Makanya, Hari Guru wajarlah disambut oleh semua warga pendidik seperti yang dibincangkan di atas tadi. Siapakah yang sewajarnya melihat perkara ini.... pihak yang tertentu perlu memartabatkan hari guru sebagai hari yang perlu disambut oleh semua pendidik seluruh negara. Semua kementerian atau pusat pengajian yang bertanggungjawab melaksanakan tugas pendidikan, perlulah menyokong supaya hari guru ini disambut oleh semua warganya. Ini adalah pandangan peribadi saya...

Wednesday, March 11, 2009

Majoriti atau Minoriti

Perkasakanlah pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri supaya semua murid dapat menfaat dan menguasainya. Sekiranya semua murid dapat menguasai bahasa Inggeris, saya pasti ilmu dalam bidang mana pun mereka akan dapat kuasai. Contohnya, zaman sekarang bidang perniagaan dan pentadbiran yang dikuasai oleh konglomerat dan syarikat yang bertaraf antarabangsa, siapakah CEO nya? Mereka bercakap Inggeris macam air. Adakah mereka belajar melalui PPSMI... Datuk Seri Idris Jala (jarang dengar dia bercakap Melayu walau pun dia bumiputra Sarawak), Datuk Seri Che Khalid dan lain-lain lagi... mereka bukan dalam bidang Sains dan Matematik (atau teknologi). Dalam bidang perbankan pula, Tan Sri Dr Zetty Akhtar tak pernah kita lihat dia berbahasa Melayu, beliau bukan dilahirkan melalui PPSMI. Latar belakang dan kemudahan mereka menyebabkan mereka berkeadaan demikian. Kalau dah pandai berbahasa Inggeris, bidang sejarah, geografi, perakaunan, perbankan, perniagaan, pentadbiran, sosial, politik dan sebagainya (selain daripada Sains, Matematik dan Teknologi) akan dapat dikuasai.
Apalah sangat dapat dipelajari bahasa Inggeris melalui pengajaran Matematik? Tulis nombor sama sahaja simbolnya, begitu juga simbol bagi formula dalam Matematik, Fizik dan Kimia. Kalau pandai macam mana pun sampai jadi doktor pakar, siapa pula pesakitnya? Orang kampung yang tak pandai berbahasa Inggeris yang majoriti dilayan. Nah, PR adalah penting sehingga orang kata, cara doktor layan tu sebahagian daripada sebab penyakit sembuh segera. Doktor kena guna bahasa apa? Kenalah pandai berbahasa yang difahami oleh majoriti pesakit, kena belajar sastera sikit supaya dapat susun dan guna ayat dengan sopan santun dan selesa..Dr A. Samad Said tentu setuju dengan cadangan ini. Menteri pelajaran adalah satu-satunya orang yang boleh merungkai permasalahan negara yang kian meruncing ini. Harapkan orang UMNO pun tak boleh. Persidangan meja bulat yang diwakili oleh MIC, MCA dan UMNO.... keputusannya mereka, MCA dan MIC menyatakan bahasa ibunda adalah yang terbaik untuk memberikan ilmu kepada murid sekolah. UMNO pula, menyokong bahasa Inggeris sebagai bahasa yang menjadi perantara kepada penyampaian ilmu kedua-dua mata pelajaran ini. Oleh kerana menteri pelajaran adalah UMNO dan mendengar kata-kata pegawai pelajaran yang memang menyokong dasar ini, maka PPSMI akan diteruskan dengan pelbagai alasan... sudah belanja banyak duit...berjuta-juta ringgit. Banyak juga projek kerajaan terbengkalai yang melibatkan juta-juta ringgit...banyak juga dasar dan pelaksanaan yang diberhentikan setelah berbelanja berjuta-juta ringgit. Adakah berbaloi kerana ’kerugian’ berjuta-juta ringgit itu dengan maruah bangsa dan nasib anak bangsa akan datang? Atau adakah itu dikatakan kerugian? Komputer, perisian, LCD, latihan kepada guru.... semua ini memakan belanja yang tinggi (berjuta-juta ringgit), adakah komputer dan sebagainya itu hanya boleh digunakan untuk PPSMI sahaja? Bagaimana dengan guru BM, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup dan lain-lain... mereka tak perlu guna komputerkah? Istimewanya guru-guru mata pelajaran ini, sudahlah diberikan komputer dan segala macam peralatan dan menghadiri latihan di hotel-hotel....dapat lagi BISP iaitu elaun mengajar. Guru mata pelajaran lain pun nak juga komputer free dan mengikuti latihan di hotel-hotel... kenapa kita (KPM) nak ’double standard’ guru-guru kita?. Memang tak adil!! Kalau kerajaan tak prihatin dengan masalah begini, macam mana nak meraih simpati dan sokongan orang... bila kalah dalam pilihan raya, mulalah cari perlbagai alasan dan bukti kenapa orang tak mahu sokong.. perkara begini (ketidakpuasan hati) adalah menjadi punca mengapa kerajaan sekarang diprotes dengan undian dalam pilihan raya.
Kita tak perlu mempertikaikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu kerana sebahagian besar ilmu pengetahuan ditulis dalam bahasa itu. Tetapi yang dipertikaikan ialah mengapa kita nak menguasai bahasa Inggeris melalui pengajaran Sains dan Matematik? ajarlah bahasa Inggeris itu sendiri dengan kaedah yang terbaik supaya semua orang (bukan Sains dan Matermatik sahaja) dapat menguasainya.
Satu lagi perkara terpenting yang ditegaskan di sini ialah survival anak bangsa kita.... DULU.. kita berhempas pulas untuk anak bangsa kita meminati, mempelajari dan menguasai ilmu Sains dan Matematik. Kalau di singkap balik sejarah, mata pelajaran ini diajar dalam bahasa Inggeris di tingkatan enam (di sekolah seperti SMSAH, SAS, MCKK dll) Maka ramai anak Mmelayu yang kantaoi.... LALU satu ketika dulu diadakan aliran kebangsaan dan dengan perjuangan pemimpin dan cendekiawan Melayu seperti Allahyarhan Tun Ghafar Baba, Allahyarham Tun Abdul Razak dan sebagainya... maka bahasa kebangsaan dimertabatkan sebagai bahasa perantaraan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara. MAKA, mata pelajaran ini diperkenalkan di sekolah menengah aliran kebangsaan sebagai mata pelajaran Sains Nuffield (sukatan pelajarannya diceduk dan diubahsuai daripada Scotland) Pada masa itu tidak ada langsung buku-buku Sains dalam bahasa Melayu. Ramai guru daripada England dan Indonesia (peacecorp) datang mengajar murid-murid terutamanya di sekolah-sekolah premier dan sekolah berasrama penuh (sekolah menengah Sains hampir setiap negeri di semenanjung) Sekolah Menengah Sains didirikan bertujuan untuk mendidik murid-murid meminati mata pelajaran ini. Iini adalah disebabkan kurangnya anak Melayu dalam aliran Sains. SYABAS, kerajaan berjaya mencapai matlamatnya. Ramailah anak Melayu khususnya daripada luar bandar diberi tewaran memasuki sekolah menengah sains (SMS) Pada masa itu nama sekolah menengah sains ini diberi mengikut negeri dimana sekolah itu ada seperti Sekolah Menengah Sains Kedah (SMS Kedah), SMS Kelantan, SNS Johor, SMS Perlis, SMS Pahang, SMS Selangor, SMS Pulau Pinang.... Di sekolah menengah sains ini hanya ada aliran Sains sahaja. Lama kelamaan anak Melayu luar bandar ini mengikuti aliran sains dan berjaya masuk ke universiti dalam dan luar negara. Ditambah pula dengan adanya program matriukulasi yang dianjurkan oleh UKM, USM dan UM, maka bertambahlah orang Melayu masuk universiti dalam aliran Sains... ada yang jadi guru sains. Maka bertambahlah guru Sains dalam kalangan anak Melayu di sekolah-sekolah seluruh negara. Ini merangsang anak didik mereka untk meminati Sains (dan matematik juga). kerajaan memberikan peluang kepada mereka untuk melanjutakan pelajaran ke luar negara dalam pelbagai bidang maka bertambahlah anak Melayu ke luar negera melanjutkan pelajar di UK, US, Australia dan lain-lain negara termasuk ke Jepun (Dasar Pandang ke Timur ... di UM... bahasa Inggeris ke dititik beratkan? ke Korea..) MAKA ramailah anak Melayu balik ke negera kita untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk kerajaan dan swasta. Kerajaan begitu bangga dengan pencapaian anak Melayu. Ramai anak Melayu berkerja sebagai jurutera, arkitek, peguam, ahli perniagaan, pentadbir dan sebagainya. Satu kejayaan cemerlang hasil usaha dan visi pemimpin yang bijak dan memperjuangkan maruah anak bangsa kita sehingga mereka boleh berjuang dan bersaing dengan kaum China yang dahulunya menguasai sektor profesional di negara kita.
Adakah itu hasil PPSMI?
KINI.... minat anak Melayu untuk mempelajari bidang Sains dan Matematik telah diRENTAP balik dengan mengajar subjek itu dalam bahasa yang mereka tidak (kurang) fahami. Bayangkanlah hasil usaha kita dahulu begitu mudah diMUSNAHKAN oleh pemimpin bangsa kita sendiri. KINI anak Melayu WAL HASIL BALIK ASAL... memang betul kata orang, hidup seperti roda, satu masa di atas, satu masa lain di bawah...kini kita akan kembali di bawah.. you know what I meant?
KASIHAN anak bangsa kita di kampung, pedalaman, luar bandar... terkial-kial untuk memahami ilmu Sains dan Matematik kerana diajar dalam bahasa yang mereka tidak kuasai. OK lah bagi pengerusi PIBG di sekolah bandar seperti yang tersiar di TV tu...bukan main lantang lagi menyokong PPSMI. Maklumlah mereka orang bandar yang tak pernah menjengah masalah anak murid 9bangsa kita) di kampung dan pedalaman sana. Macam mana mereka belajar, macam mana guru mengajar.... nak majoriti atau minoriti? biar mampus dengan anak-anak orang kampung, asalakan anak-anak kita (dibandar) dapat bagus, pandai Sains dan Matematik, pandai cakap Inggeris...boleh pergi luar negara.... dongaklah ke langit dan tunduklah ke bumi semula. Muhasabahlah diri sedikit... biar semua (anak bangsa kita) dapat belajar dengan sempurna dan sama-sama berjaya. Semua anak-anak kita dapat faham ilmu Sains dan ilmu Matematik yang disampaikan oleh guru.
Masalah guru pun satu hal lagi... adakah semua guru kita terlatih (kompeten) untuk mengajar dalam BI? Jengok-jengoklah masalah guru kita tu... kasihan mereka. Dengan penuh dedikasi dan daya usaha yang tinggi cuba mendidik anak bangsa dengan penuh jiwa raga, bahasa pula menjadi penghalang... sudah menguasai ilmu Sains dan Matematik, lulus dengan ijazah sarjana muda sains dengan kepujian, sudah ada diploma pendidikan sebagai syarat untuk mengajar (ilmu isi kandungan dan pedagogi sudah dikuasai) .. bahasa pula menjadi penghalang. Aduhai ...kalau mengajar tingkatan enam sains tu.... macam-macam nak cakap... banyak perkara yang nak disampaikan... nak fikir dalam Bm dan bak sampaikan dalam BI aduh mak... manyak susah mau cakap. Dato' Sri Hishammuddin tolonglah..... ingat bapak saudara tuan dulu (Allahyarham Tun Abdul Razak) dan juga Allahyarham ayahanda tuan Tun Hussain Onn, berjuang untuk memartabatkan BM di negara tanah air kita yang berdaulat ini. Janganlah tuduh parti pembangkang nak ambil kesempatan pulak... itu salah tuan. Kami ni anak bangsa yang NAMPAK kelemahan PPSMI. Bukan calang-calang orang yang membantahnya... Prof Shahrir Zzain tu profesor pertama anak Melayu dalam bidang Matematik, banyak lagi cendikiawan melayu terlibat, Datuk Dr Hasan, Prof Diraja Ungku Aziz sendiri pun pernah keluarkan pendapat, Dato' Rafiah Salim mantan NC UM pun pernah bercakap hal ini. Siapa lagikah tuan nak percaya? Jemaah Nazir Sekolah ka?????? depa tu lapor benda yang ok saja, yang tak ok depa sembunyi... tanyalah Dato' DG KPM.
Nak tengok result PMR dan SPM ka??? macam mana depa buat dengan markah??? tanyalah pengarah Lembaga Peperiksaan, siap bagi arahan kat guru pemeriksa lagi "kasi markah biar mereka lulus ya" dah dapat markah, ada pula formulanya... tanya Dato' Raof mantan timbalan DG KPM.... kita dah tengok sama-sama formula tu. Tanya anak didik kita yang lulus cemerlang dalam PMR dan SPM "Tak sangka ya... trial exam dulu kantaoi... tau-tau dapat A, magik betullah" Tanya mereka lagi " jawab dalam BI ka?, baca soalan dalam BI ka?" mereka jawab apa? "mana boleh... baca dan jawab dalam BM sebab soalan dwi bahasa" Buat kajianlah sikit Dato' Seri Hishamm....janganlah tuan lumuri tangan tuan dengan darah anak Melayu yang tak berdosa di luar sana.... anda akan menyesal seumur hidup anda...anak anda selamat kerana tidak (tidak pernah) mengikuti kurikulum aliran kebangsaan... termasuk diri tuan sendiri. Tolonglah kami... ATAU demi masa depan politik tuan.
Kami buat kajian...bagi soalan semua dalam BI...arahan soalan pun tak fahamlah Dato'... nak pilih jawapan pun tak faham yang mana satu ..... 'identify' pun tak tau apa makna.... 'characteristic' pun tak tau apa makna.... "toasted bread" apa tu??? bread tau tapi kat depan dia tu apa? toaster lah... apa itu toaster...laaa yang bakar roti tu... oo!!!! kami tak pernah makan roti bakar duduk kampung ni.. nasi goreng, nasi lemak, nasi kerabu, nasi dagang ada laaa.... "Aapa makna detergent?, soap?, bleach tu cikgu?".... "Lahhh!!! semua tu pencuci laa... cuci badan, cuci lantai, cuci kain... sama jee... jenama aje yang lainnya" ... "Oo!, terima kasih cikgu"...."macam coolgate tu laa..."
Dato' Seri, pergilah duduk kat belakang kelas tu bila guru mengajar Sains dan Matematik (PPSMI), tengok apa yang mereka boleh buat, apa yang murid boleh buat. Jangan pula pergi ke sekolah VI atau Alam Shah....tengo bahasa apa yang mereka guna bila berbincang sesama sendiri dalam kumpulan.... demo tu dok kecek Inggerih samo-samo kawe-kawe...maso bice dale kelah...guano gini. "Kawe lain raso pelik dan malu bila ambo kecek Inggerih denge demo lain tu..."
Nak Majoriti atau Minoriti?????

Wednesday, March 4, 2009

PPSMI muncul menjadi isu kebangsaan

Profesor Diraja Ungku Aziz menyatakan pendapat beliau ketika ditemuramah (Berita Harian Jumaat 13 Februari 2009) bahawa bahasa bukanlah isu dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah. Bahasa Inggeris tidak semestinya menjadi bahasa pengantar dua mata pelajaran ini. Beliau berkata ”Dalam isu ini, apa yang penting ialah pelajar mesti diberi penguasaan kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mantap”. GAPENA dan beberapa NGO telah mengemukakan saman kepada Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap pelaksanaan PPSMI di sekolah. Perhimpunan oleh NGO bagi mendesak kerajaan menarik balik pelasanaan PPSMI telah dianjurkan dan kerajaan masih membisu. TV3 melaporkan sambutan terhadap perhimpunan tersebut adalah ”hambar”. Kalau difikirkan secara logik akal, berapa ramai guru yang akan menghadiri perhimpunan sedemikian walaupun mereka menentang pelaksanaan tersebut? Mereka yang hanya mencari nahas sahaja sanggup berbuat demikian. Sekiranya muka mereka tersiar di TV atau akhbar, padah yang menunggu adalah amat membimbangkan. PEMBINA sebuah badan NGO yang dinaungi oleh UMNO telah membuat penyelidikan secara menyeluruh dibantu oleh semua IPTA mendapati pelaksanaan PPSMI tidak berjaya, terutamanya di luar bandar dan pedalaman. Semua orang setuju jika dikatakan PPSMI itu baik kerana penggunaan bahasa Inggeris untuk menguasai ilmu dalam bidang berkenaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat amat banyak bahan dan sumber dalam pelbagai bentuk bagi menguasai ilmu bidang tersebut adalah dalam bahasa Inggeris TETAPI jika difikirkan apa nak jadi kepada anak bangsa yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman terutamanya bumiputra dan kaum Melayu... kasihanlah kepada mereka. Ada ibubapa daripada luar bandar yang menyuarakan bahawa PPSMI adalah baik dan beliau memantau serta membantu anak-anaknya mengikuti pelajaran ini. Baguslah bagi ibubapa yang berbuat demikian, macam mana majoriti ibubapa lain di luar bandar dan pedalaman itu? Ada yang menyarankan supaya diberi dua pilihan aliran iaitu PPSMI dan tanpa PPSMI..Kalau boleh dibuat pilihan, ikut sahaja cara lama dulu, iaitu buatlah sekolah aliran Inggeris macam zaman dulu (beberapa tahun selepas merdeka). Pasti semua orang boleh menguasai bahasa Inggeris, itupun bagi siapa yang mampu menghantar anak ke sekolah aliran Inggeris sahaja. Adakah semua lepasan sekolah aliran Inggeris itu boleh bertutur dengan baik dan mampu menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik pada masa itu? Rasanya jawapan adalah TIDAK SEMESTINYA. Adakah doktor, jurutera, arkitek, penyelidik, pensyarah (profesor di universiti) dan profesional lain yang sekarang ini sedang bertugas dengan cemerlang adalah hasil daripada sekolah aliran Inggeris? Hai susah nak cakap. Ini semua gara-gara manta perdana menteri yang telah mengikuti alam persekolahan selepas penjajahan (aliran Inggeris sebab dia anak cikgu, manalah anak petani mampu nak hantar anak ke sekolah Inggeris sebab yurannya RM9.00 sebulan, lagi pun orang kampung dulu tak mau hantar anak ke sekolah Inggeris sebab boleh jadi kafir????). Dosa orang yang mencetuskan idea gila ini akan menjadi ’hantu’ kepada generasi akan datang. Berita Harian 23 Februari menyiarkan penglibatan Sasterawan Negara, A. Samad Said dalam perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI. Nampaknya semakin ramai cerdik pandai dan cendikiawan melahirkan rasa tidak senang terhadap PPSMI. Perasaan ini lahir daripada rasa dan kesedaran hasil daripada pemerhatian dan pematauan yang dilakukan oleh semua pihak dan implikasi terhadap majoriti anak bangsa, khususnya bangsa Melayu. Nampak dalam gambar di televisyen, bukan calang-calang orang yang menentangnya....para cerdik pandai yang memikirkan nasib anak bangsa (majoriti) akan datang yang akan memerintah negara ini. Dah lah sekarang ini macam-macam perkara berlaku yang menunjukkan jati diri orang Melayu sudah pudar. Maka orang LAIN pun mengambil kesempatan tanpa memandang jauh ke belakang dahulu dari mana asal usul mereka. Siapakah pejuang kemerdekaan? Maka kini setelah mengecap nikmat kemerdekaan dan mencapai segala impian (yang mungkin tidak akan tercapai jika masih di tanah air sendiri) lalu lantas bangun menentang anak bangsa jati yang telah banyak mengorbankan maruah, nyawa dan identiti demi kesejahteraan dan keamanan negara. Kalau mahu diukur daripada kejayaan anak Malaysia mendapat ranking terbaik dalam TIMMS dan sebagainya dalam pertandingan peringkat antarabangsa, kita kena tanya juga, siapakah mereka, anak siapakah mereka, daripada manakah mereka berasal (mereka yang mewakili negara itu maksud saya). Kita tidak terkejut kalau mereka adalah anak profesor atau cerdik pandai daripada bandar-bandar besar kerana mereka memang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kemewahan untuk belajar. Tusyen yang hebat (mahal bayarannya), Komputer (laptop yang canggih), wireless broadband internet connection dan segala macam, kemewahan yang mampu disediakan. Mereka dikelilingi dengan bahan bacaan daripada pelbagai sumber (berbahasa Inggeris), ibu bapa bertutur dalam bahasa Inggeris dengan anak-anak dan banyak lagi sehingga tak dapat dijelaskan di sini. Ibu bapa membawa anak kecil mereka ke kedai runcit yang menjual ikan (lauk) lalu menunjukkan kepada anak kecil mereka, ”Boy, that is fish” .... atau di zoo, ”Boy, look!!! That is cow” ... atau lain-lain lagi. Situasi itu berlaku di bandar... anak-anak yang masih kecil sudah diajar dengan vokabulari yang banyak. Adakah situasi ini berlaku di kampung, desa dan pedalaman? Marilah kita sama-sama fikirkan tentang faedah yang kita naikmati bersama (majoriti), janganlah kita berfikiran untuk faedah kita sahaja (minoriti). Saya berpendapat hanya 20% sahaja murid dapat mengikuti PPSMI dengan baik Contohnya yang mudah, umpamanya terdapat lima kelas tingkatan empat. Hanya satu kelas (kelas yang terbaik) sahaja yang dapat menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan baik. Apa berlaku dengan dua atau tiga kelas yang tercorot? Situasi itu benar berlaku di sekolah bandar...bagaimana pula di sekolah luar bandar? Adakah sama? Kalau nak menghimpunkan beberapa ribu orang untuk menunjukkan bahawa ramai yang menyokong untuk menghentikan PPSMI, janganlah mengharapkan golongan pendidik turut serta, mereka tidak akan pergi sebab mereka tidak mahu terlibat dengan perhimpunan sedemikian, yang menyebabkan masalah di kemudian hari sekiranya gambar tersiar di media massa. TETAPI bukanlah guru menyokong PPSMI, Cuma cara mereka meluahkannya adalah berbeza.

Wednesday, February 25, 2009

Kisah di SMK Bandar Tasik Selatan

Maklumat ini adalah dikirim oleh seseorang kepada saya untuk dikongsi oleh semua guru-guru. Assalamualaikum,
Isteri saya bekerja sebagai guru di SMK Bandar Tasik Selatan. Melihat keadaan sekolah yang dipenuhi dengan polis-polis agak menakutkan dan merendahkan semangat untuk mengajar. Tetapi tugas tetap tugas. Amanah perlu dipikul. Kehidupan perlu diteruskan. Beberapa hari yang lepas, pihak pengurusan sekolah pening kepala. Pengetua baru pergi berkursus. Yang tinggal penolong pengetua dan guru disiplin baru yang terpaksa menjawab pelbagai persoalan yang datang dari kementerian, jabatan, media dan ibu bapa. Apa dah jadi? Seorang pelajar tingkatan 3, SMK Sungai Besi telah dipukul dengan teruk oleh seorang pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Tasik Selatan kerana berebutkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di SMK Bdr Tasik Selatan. Dia baru sahaja meninggal dunia pagi semalam. Antara beberapa fakta lain ialah:-
1. Pelajar tingkatan 3 SMK Sungai Besi tersebut adalah bekas pelajar SMK Bandar Tasik Selatan yang telah ditukarkan sekolah kerana masalah disiplin.
2. Terdapat kumpulan samseng yang bertaburan di kawasan perumahan di sini yang dianggotai oleh budak-budak nakal di sekolah. Satu geng di sebelah Desa Tasik dan satu lagi dengar ceritanya di kawasan Desa Tun Razak. Yang memisahkan mereka hanyalah sebuah jalan besar dipanggil MRR2.
3. Guru tidak boleh buat apa-apa (rotan pun tak boleh kan). Berdiri atas kerusi tak boleh.... dikhuatiri kalau jatuh kerusi, nanti guru boleh kena saman.
4. Terdapat sebilangan pelajar yang berani melawan dan mengugut guru. Ini termasuk pelajar yang dipukul sehingga mati tempohari. Beliau mengugut untuk memukul ustaz di luar kawasan sekolah apabila ditegur.
5. Masalah sosial - pergaulan bebas lelaki perempuan begitu meruncing di sekolah-sekolah dan guru-guru tak boleh buat apa-apa.
6. Polis pun sukar untuk memantau... ya pelajar yang bermasalah ada yang terdiri daripada anak-anak polis. Itu dah kira lesen besar..
7. Gang satu lagi mungkin akan membalas dendam dan akan membunuh pula si pembunuh. Ceritanya tak ubah seperti filem Amerika "Gridiron Gang".
8. Kebanyakan ibu bapa buat tak kisah tentang prilaku anak-anak samseng ini, dan adakalanya tidak memberi kerjasama kepada guru dan polis. Yang menyedihkan ada yang memberi sokongan.
9. Kementerian Pelajaran pun tak boleh buat apa-apa juga... Oleh itu tolong lah pak menteri berhentikan retorik-retorik mengarut dan dengar saranan daripada pakar-pakar dan pendidik.
Kita sedang berada di dalam krisis pendidikan yang agak runcing. Mungkin ia tidak banyak berlaku di asrama penuh, tapi keadaan di sekolah-sekolah menengah biasa mungkin agak menakutkan. Seorang kawan yang saya kenali baru saja menjadi guru, sangat-sangat terkejut apabila mendapati ada antara anak muridnya keluar dari kelas ikut suka, keluar dari sekolah ikut suka, duduk makan di kantin di luar waktu dan tidak tahu menghormati guru. Tentulah dia terkejut kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku pada zamannya. Apa yang dia sebagai guru mampu buat selain daripada memarahi mereka? Ada budak-budak ini yang sengaja membuat guru marah dengan mengacau pelajar-pelajar lain dan guru terpaksa bertindak menghalau mereka keluar kelas. Setelah keluar kelas, mereka akan membuat perkara-perkara yang mereka suka.
Guru pula di dalam dilema. Jika tidak dihalau pelajar ini, maka seluruh kelas tidak dapat belajar akibat perangai pelajar ini. Ada pelajar kelas corot yang tidak pernah membawa buku teks ke sekolah. Malah ada yang tak membawa apa-apa ke sekolah pun! Apa yang mereka harap di sekolah? Cuma untuk bertemu kawan-kawan dan membuat onar. Dari satu segi, sekolah merupakan tempat lepak yang baik kerana anasir-anasir maksiat dan ganas dapat diminimumkan di sekolah. Maknanya, lebih baik datang sekolah tetapi tak buat apa-apa daripada melepak di cybercafe atau hisap dadah di luar. Bila waktu peperiksaan, mereka tidur. Mereka hanya berada di dewan peperiksaan disebabkan setengah jam pertama mereka diwajibkan berada di dewan peperiksaan. Setelah tamat setengah jam mereka pun keluar dari Dewan peperiksaan dengan senang hati sedangkan kertas jawapan masih kosong. Jadi apakah jawapannya kepada krisis ini? Mungkin ada yang berpendapat ia berlaku sejak zaman dahulu sehingga sekarang cuma tidak dilaporkan secara meluas oleh media. Ada juga berpendapat ini hanya pandangan politik untuk menjatuhkan golongan tertentu oleh itu tolong jangan politikkan pendidikan negara.
Saya berpendapat mereka ini di dalam keadaan "denial". Apa pun, saya merasakan bahawa sesuatu harus diambil iktibar di atas peristiwa kematian pelajar tingkatan 3 ini. Pada umur ini sepatutnya mereka selamat belajar di sekolah dan di rumah. Pada waktu malam, ketika semua anak-anak sedang berada di rumah, tidak terfikirkah ibu bapa ke mana anak mereka pergi dan apa yang sedang mereka buat dan mereka bersama siapa? Tolong lah ibu bapa semua... sayangi anak-anak anda. Buatlah sesuatu sebelum terlambat.