Thursday, November 29, 2012

Kesempurnaan Menyampaikan Pengajaran

Seseorang guru harus menghafal fakta-fakta dalam isi kandungan pengajaran yang akan diajar dalam bilik darjah. Contohnya, formula-formula yang akan digunakan dalam PnP. Bagi guru mata pelajaran matematik, fizik dan kimia, aspek ini sangatlah dititikberatkan. Sekiranya guru sendiri tidak dapat menghafal fakta atau formula tertentu, apatah lagi muridnya. Malah, guru perlu membimbing murid untuk menghafal sesuatu fakta dan formula dengan kaedah yang mudah diingat. Guru boleh menggunakan kaedah mnemonik bagi memudahkan hafalan.

Percakapan guru semasa penyampaian juga perlu dititkberatkan. Umpamanya guru perlu menggunakan ayat yang ringkas (tanpa mengurangkan maknanya). Perkara ini memang tidak mudah untuk dilakukan. 

Jawapan atau maklum balas yang diberikan oleh guru kepada murid semasa menjawab soalan atau pertanyaan murid adalah perlu jelas dan disertai dengan contoh-contoh yang berkaitan dengan persekitaran murid supaya mudah difahami. Sekiranya guru tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan, janganlah cuba membuat pernyataan palsu atau 'pembohongan' sebab dikhuatiri nanti akan memakan diri sendiri. Zaman teknologi maklumat di hujung jari sekarang ini memudahkan murid membuat rujukan daripada pelbagai sumber. Berlakulah jujur dan akulah bahawa kita tidak dapat memberikan jawapan yang betul.Sifat ini tidak akan merendahkan martabat kita sebagai guru. pepatah menyatakan 'tak akan hilang bisa ular yang menyusur akar'

Guru-guru terlatih yang ada disekolah seluruh negara masa kini telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan isi kandungan dan juga kemahiran pedagogi melalui kursus perguruan yang mereka ikuti.Oleh itu, seharusnya semua guru telah dapat menguasai kedua-dua bidang ini dengan baik bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru adalah 'Technological Pedagogical Content Knowledge" atau dikenali sebagai TPCK. Kemahiran ini adalah amat relevan dengan kecanggihan dunia masa kini iaitu berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam kalangan guru. Guru harus menguasai teknologi dan memanfaatkan penggunaannya dalam bilik darjah. Ilmu ini perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua guru agar martabat profesion kita sentiasa dipandang tinggi dan bertaraf dunia. Ilmu dan kemahiran mengenai penggunaan ICT telah ditegas dan diberikan kepada semua guru oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, begitu juga institusi pengajian tinggi yang melatih bakal-bakal guru.

Wednesday, November 21, 2012

Guru Sebagai Model Pendidikan

Rasulullah SAW tidak pernah mengarahkan sesuatu perkara melainkan Beliaulah orang yang pertama melaksanakankannya terlebih dahulu. Iktibar daripada ajaran ini kepada guru adalah begitu signifikan sekali. Insan guru seharusnya menjadi model pendidikan kepada murid mereka. Setiap perkara yang dilakukan oleh guru akan menjadi turutan anak didik kita, khususnya apa yang kita lakukan dalam bilik darjah, semuanya diperhati dan diteliti oleh anak didik kita. Apatah lagi kita bersama-sama dengan mereka hampir setiap hari (persekolahan) dan mungkin selama beberapa tahun kita mengajar mereka.

Tauladan yang baik daripada segi budi pekerti dan perbuatan adalah aspek yang utama perlu ditonjolkan oleh guru dihadapan murid. Namun terdapat guru yang berkelakuan kurang sopan umpamanya merokok, tidak menjawab salam (atau tidak memberi salam), tidak menghormati murid, memarahi murid dihadapan kawan mereka dan sebagainya. Mengajar dengan perbuatan dan praktikal adalah lebih berkesan dan merupakan cara yang terbaik untuk difahami. Cara ini juga boleh mendorong murid untuk mengikuti berbanding dengan cara pengajaran yang berbentuk teori dan penerangan semata-mata.

Fitrah semulajadi manusia sememangnya enggan  untuk menerima penyampaian yang hanya berbentuk teori tanpa dipraktikkan terlebih dahulu oleh orang yang menyampaikan sesuatu perkara tersebut. Mereka yang hanya bercakap tak serupa bikin tidak akan mendapat tempat dihati murid dalam penyampaian mesej pengajaran.

Semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, guru sepatutnya menulangi sesuatu arahan sebanyak tiga kali agar mudah difahami. Guru juga perlu menerangkan sesuatu teori secara praktikal dan memberikan contoh-contohnya sesuai dengan latar belakang murid.

Monday, November 5, 2012

Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Hujung Semester

Kebanyakan ibu bapa mendengar rungutan datripada anak-anak mengenai aktiviti pembelajaran mereka di hujung semester begini. Mereka agak malas atau liat untuk ke sekolah sebab tidak ada lagi aktiviti P&P yang berlaku dalam bilik darjah. Aktiviti persekolahan di hujung semester begini lebih kepada aktiviti bukan akademik dan sukan/permainan. Sesetengah sekolah mengadakan ujian/peperiksaan akhir tahun 3 atau4 minggu sebelum minggu akhir semester. Oleh itu guru mempunyai masa kira-kira 3 atau 4 minggu untuk menyemak kertas soalan dan urusan pemarkahan murid, namun proses ini menyebabkan minggu interaksi P&P rugi sebanyak 3 - 4 minggu. 
Ironinya, ramai guru yang merungut bahawa mereka kesuntukan masa untuk menghabiskan silibus dan TERPAKSA melaksanakan aktiviti P&P secara Berpusatkan Guru (Teacher's Centered) bagi menghabiskan silibus segera. Oleh itu, mereka agak sukar untuk melaksanakan pengajaran yang lebih berpusatkan murid (Student Centered) sebab kononnya memakan masa. Apa yang kita boleh perhatikan disini ialah banyak lagi masa yang agak terluang dan tidak digunakan sebaik mungkin di hujung semester. Keadaan ini berlau setiap tahun (setiap hujung semester). 
Saya menulis disini bukanlah secara rambang, saya sangat berpengalaman dengan situasi persekolahan di negara kita melalui tugas kerjaya saya yang lalu. Ramai guru yang mengikuti pengajian peringkat Master dan PhD juga menyuarakan pendapat sedemikian sama ada melalui perbincangan dalam kuliah, pembentangan tugasan dan kajian/tesis peringkat master dan PhD. isu sedemikian banyak dikaji oleh pendidikan dan dibincangkan dalam pelbagai wacana seperti jurnal dan pembentangan seminar/bengkel/kursus seluruh negara. Oleh itu, isu yang saya ketengahkan ini adalah benar dan wajar diambil perhatian oleh semua.
Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang Teknologi Pendidikan, saya sering mendengar alasan-alasan bahawa guru tidak mempunyai masa untuk menggunakan teknologi atau ABM semasa mengajar sebab kesuntukan masa untuk menghabiskan sukatan. Mereka mendakwa bahawa penggunaan teknologi atau ABM akan melambatkan P&P dan dikhuatiri tidak sempat menghabiskan sukatan pelajaran. Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia lebih arif dengan dakwaan dan alasan sebegini, maka banyaklah agenda BTP, BTPN dan PKG tidak mendapat sambutan yang memuaskan dalam kalangan guru iaitu daripada aspek menjadikan bilik darjah sebagai pusat aktivti P&P yang lebih aktif. Contohnya BTP telah menyediakan portal EDUWEBTV bagi mengganti TV Pendidikan untuk kemudahan guru menggunakan teknologi ICT dalam P&P mereka. (Berapakah wang telah dilaburkan oleh KPM untuk  menyediakan portal ini?) Saya ingin bertanya... berapa ramai guru yang memanfaatkan teknologi ini? apakah alasan yang diberikan untuk tidak menggunakankannya?... salah satu daripada alasan ialah "kesuntukan masa - untuk menghabiskan silibus". Sementara kita telah kerugian 3 - 4 minggu di setiap hujung semester - setiap tahun.
Kepada guru dan pentadbir sekolah, anda semua dipertanggungjawabkan dalam hal ini dan bertindaklah supaya keadaan ini tidak berterusan.