Monday, April 5, 2010

Beban Tugas Guru

Sepanjang minggu lepas isu mengenai beban tugas guru terpampang di dada akhbar. Saya terbaca satu email yang berbunyi 'teruknya pelajar sekarang. Cikgu dihamun dengan perkataan tidak senonoh seperti 'babi' dan 'gila' didepan guru tanpa rasa bersalah' oleh MINIMAY:BH13237. Alangkah malangnya profesion ini, sehingga dimaki hamun sebegini. Dimanakah nilai murni yang ditekankan selama ini? Adakah ini satu indikator kepada kegagalan sistem pendidikan negara ini? Keseimbangan antara Jasmani, Emosi, Intelek dan Rohani dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak dapat dicapai, dimana aspek Rohani dan Emosinya tidak dapat dihayati oleh murid?

Ada tiga lagi email yang mengaitkan profesionalisme ini mengenai beban tugas guru dan rasa hormat murid terhadap guru. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng juga mengulas dengan terperinci mengenai tugas guru yang semakin bertambah saban hari, minggu dan bulan. Sekiranya terdapat isu negara, maka menteri yang berkenaan akan mengesyorkan supaya kurikulum mengenai isu tyersebut ditambah dengan tujuan untuk membendung gejala yang berlaku. Umpamanya kes buang bayi dan dera bayi yang kian berleluasa masa kini. Ada pihak yang mengesyorkan supaya kurikulum sekolah ditambah. Sebelum ini ada isu yang dibangkitkan supaya pendidikan seksual dijadikan kurikulum sekolah.

Pihak guru pula saban hari dibebani dengan pelbagai tugas yang semakin mencabar. Pembangunan profesionalisme diri guru sentiasa dituntut, komitmen guru sentiasa dipertikaikan sementara sebaliknya pengorbanan guru kelihatan agak kurang ditonjolkan oleh masyarakat. Bagi saya, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melakukan pelbagai usaha dengan mengadakan pelbagai insentif daripada segi kenaikan pangkat dan gaji serta elaun. Apa yang menjadi isu masa kini ialah penghormatan yang ditagih daripada masyarakat umum. Ibu bapa seharusnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada kerjaya guru dengan memberikan kerjasama yang tinggi demi memartabatkan profesion ini. Masyarakat janganlah asyik menyalahkan guru sahaja apabila terdapat isu yang melibatkan murid atau anak-anak mereka. Kita perlu menangani masalah yang timbul bersama-sama dengan guru secara permuafakatan dengan menggunakan saluran yang tertentu dengan bijaksana.

Berbalik kepada isu beban tugas yang semakin bertambah, isu ini sudah pun lama wujud dan sentiasa menjadi rungutan semua guru. Malahan, isu perbualan sesama guru ketika berbual sama ada di kantin sekolah, bilik guru, ketika berjumpa di pasaraya, pasar ketika membeli ikan, restoran, tempat joging dan sebagainya tak boleh lari daripada memperkatakan hal-hal mengenai beban tugas yang tak pernah berkesudahan. Menurut Lok Yim Pheng, guru banyak membazirkan masa mengajar mereka dengan membuat kerja-kerja yang diarahkan oleh phak-pihak tertentu. Amat malang perkara ini berlaku sebab tugas guru adalah mengajar dan mendidik murid dengan penuh tanggung jawab. Khabarnya satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menangani masalah ini di peringkat kementerian yang juga dianggotai oleh NUTP. Semoga perkara ini akan menjadi kenyataan dan isu yang berlarutan ini dapat ditangani dengan bijaksana dan berkesan. Dan semoga selepas ini para guru akan menjadi lebih selesa dan mempunyai banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan. Ingatlah wahai para guru sekelian, tunaikan tanggung jawab kita dengan penuh ikhlas dan setia. Masa yang ada kelak, jangan dihabiskan dengan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Saudara Norhisyam Mohamad, yang mewakili Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah (Berita Harian 2 April 2010) mengesyorkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapatkan laporan daripada akar umbi supaya apa yang sebenarnya berlaku dapat diketahui dengan lebih tepat. Saya amat bersetuju dengan saranan beliau sebab sekiranya laporan daripada Guru Besar, Pengetua, PPD atau JPN kadang-kadang tidak begitu tepat. Mereka cuba menyembunyikan apa yang sebenarnya berlaku kerana hal tersebut akan memberikan implikasi buruk kepada mereka sendiri, seolah-olah mereka tidak buat kerja. Lalu laporan yang sampai adalah sentiasa baik belaka.

Tokoh-tokoh akademik juga mengesyorkan supaya jawatan pembantu guru diwujudkan (BH 2April 2010). Kewujudan jawatan ini akan dapat mengurangkan beban tugas pengkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan guru. Kalau di negara maju, ramai sukarelawan yang dibenarkan menjalankan tugas membantu guru dalam sekolah. Anggota polis, bomba dan lain-lain jawatan dibenarkan masuk ke sekolah dan memberikan khidmat mereka mana yang sesuai, dan sekali gus dapat membantu meringankan beban tugas guru. Ibu bapa juga digalakkan masuk ke sekolah bagi membantu guru, seperti membantu dalam pusat sumber dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan kaedah ini. Mungkin satu sistem atau mekanisme tertentu dapat diwujudkan oleh KPM selepas jawatankuasa yang ditubuhkan ini mendapat maklumbalas yang terperinci mengenai masalah yang berlaku. Pihak sekolah juga perlu proaktif dan inovatif bagi mencari jalan penyelesaian, kemungkinan melalui PIBG, ahli-ahli PIBG yang mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu dapat menyumbang tenaga bagi membantu guru. Dalam hal ini, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan bagi mendekatkan sekolah dengan masyarakat. Kini apa yang berlaku adalah terdapat jurang antara sekolah dengan masyarakat, pihak sekolah sendiri agak terasing dan terpencil dengan masyarakat sekelilingnya. Kita harus sama-sama memikirkan bagaimana sekolah dan masyarakat dapat digembelingkan dalam usaha membantu mengurangkan beban tugas guru.