Wednesday, September 16, 2009

Key Characteristics of Effective Schools

Menurut Peter More daripada University of London (2004), beliau menyatakan terdapat 11 ciri sekolah berkesan iaitu: 1. Kepimpinan profesional 2. Perkongsian visi dan misi 3. Kewujudan budaya pembelajaran 4. Penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran 5. Pengajaran bermatlamat 6. Pengharapan yang tinggi kepada murid 7. Pengukuhan yang positif 8. Pemantauan terhadap perkembangan pengajaran dan pembelajaran 9. Hak dan tanggungjawab murid 10. Permuafakatan ibu bapa dan guru, sekolah dan masyarakat 11. Organisasi yang dinamik
Berapakah ciri dia atas wujud di sekolah anda? Wahai Guru Besar, Pengetua dan pentadbir sekolah sekalian, bertindaklah untuk menambahkan ciri-ciri di atas di persekitaran pekerjaan kita masing-masing. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadikan tempat tugas anda adalah tempat tugas yang berkesan.

Karektor Guru 4: Kreatif

Ciri yang Keempat: Kreatif Guru yang paling berkesan ialah guru yang memiliki ilmu pengetahuan yang meluas dan sentiasa mengajar dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang menarik dalam kelas. Guru seperti ini akan menggunakan teknologi dengan berkesan semasa mengajar dalam kelas. Mereka sentiasa menggunakan bahan bantu mengajar yang pelbagai termasuklah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru seperti ini sentiasa peka dengan kaedah dan strategi penyampaian yang bersesuaian dengan topik yang mahu diajar. Misalnya, sekiranya topik tersebut memerlukan amali (eksperimen) beliau akan menyediakan kelas amali untuk pelajarnya melakukan amali. Misalnya, seorang guru ingin mengajar bagaimana sabun bertindak terhadap kotoran (minyak), beliau sanggup membawa sabun, botol, minyak dan sebagainya ke dalam kelas untuk didemonstrasikan di hadapan pelajarnya dalam kelas. Guru sanggup membawa biji sawi, paku, beras dan sebagainya hanya semata-mata untuk ditunjukkan kepada pelajar bagi memudahkan mereka memahami tajuk pelajaran yang akan diajar. Guru sebeginilah yang dikatakan kreatif. Sudah tentu guru yang sanggup melakukan pelbagai kaedah pengajaran ini akan sentiasa dihormati oleh semua pelajarnya sepanjang hayat mereka.

Monday, September 14, 2009

Kareaktor Guru 3: Menaruh Harapan Tinggi

Ciri yang Ketiga: Menaruh Harapan Tinggi Guru yang palinh berkesan adalah guru menaruh setinggi-tinggi pengharapan kepada pelajar beliau dan percaya bahawa setiap orang pelajar akan mempunyai peluang untuk berjaya dalam hidup mereka. Guru seperti ini akan sentiasa menyediakan cabaran kepada pelajar mereka supaya pelajar dapat menunjukkan kebolehan mereka pada tahap yang terbaik. Mereka akan membina keyakinan diri pelajar dan mengajar dan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri. Pelajar akan merasa diri mereka sentiasa didorong oleh seseorang yang lebih dewasa dan Berjaya. Mereka akan menjadikan guru sebagai idola kerana kejayaan yang dimiliki oleh guru tersebut adalah sebagai perangsang dan motivasi kepada diri mereka.
Janganlah kita sebagai guru memandang rendah akan kebolehan anak didik kita. Mana tahu suatu hari nanti mereka akan menjadi lebih berjaya daripada orang lain (juga daripada kita) dalam bidang yang tidak kita sangkakan. Hakikatnya perkara ini sentiasa berlaku di sekeliling kita pada hari ini. ramai sekali anak murid kita yang dahulunya kita anggap 'bodoh', kini menjawat jawatan tinggi atau 'lebih berjaya' berbanding kita. Oleh itu, semua guru perlu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak didik kita. Binalah keyakinan diri kepada mereka yang kita dapati agak lemah dan tidak bermotovasi terhadap pelajaran.

Thursday, September 10, 2009

Karektor Guru 2

Ciri yang Kedua: Positif Guru yang paling berkesan adalah guru yang memiliki sikap yang optimistik terhadap pengajaran dan mengenai pelajarnya. Sikap optimistik bermaksud seseorang guru itu sentiasa melihat perkara positif terhadap pengajarannya dan juga sentiasa menganggap semua pelajarnya adalah baik dan boleh maju dalam sebarang keadaan sekalipun. Guru yang sebegini adalah amat disukai oleh pelajar. Setiap keadaan dalam kelas dan pelajarnya sentiasa diberikan perhatian dan tunjuk ajar yang membantu pelajar menuju kejayaan. Semua pelajar dianggap mempunyai peluang untuk berjaya. Beliau sentiasa mempunyai ruang dan masa untuk didekati oleh pelajar bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Guru seperti ini akan mudah berkomunikasi dengan pelajarnya dan pelajar pula tidak segan silu untuk berinteraksi dengan guru. Guru seperti ini juga sentiasa memberi rangsangan yang berupa penghargaan dan pujian kepada semua pelajar. Mereka juga mempunyai strategi yang tertentu untuk membantu pelajar supaya bertindak secara positif bagi mencapai matlamat masing-masing. Guru seperti ini juga sentiasa memberikan motivasi kepada pelajarnya.

Friday, September 4, 2009

Karektor Guru 1

Robert J. Walker telah membuat penyelidikan kualitatif secara longitudinal selama 15 tahun sepanjang karier beliau sebagai seorang pendidik mendapati terdapat 12 ciri guru yang dominan dan sangat disukai oleh pelajar. Beliau telah membuat kesimpulan bahawa semua karekter tersebut adalah amat perlu dimiliki oleh semua insan yang bergelar guru. Saya akan membincangkan setiap karekter ini dalam penulisan saya seterusnya. Ciri yang Pertama: Sentiasa bersedia Guru yang palingberkesan adalah guru yang hadir ke jkelas setiap hari dan sentiasa bersedia untuk mengajar (mendidik). Murid akan dapat belajar dengan mudah dan memahami apa yang akan disampaikan oleh seorang guru yang telah bersedia untuk mengajar topik yang akan disampaikan pada hati itu. Oleh kerana guru itu sentiasa bersdia, maka beliau tidak akan mengambil masa yang lama atau membazir masa untuk mengajar. Mereka memulakan pengajaran tepat pada waktunya dan menggunakan sepenuh masa pengajaran (period) untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Sepanjang guru berada dalam kelas, pelajar dapat belajar sepenuhnya daripada guru jenis ini. Oleh itu, mereka tidak akan mudah bosan atau tertidur dalam kelas. Karektor ini adalah dipilih oleh pelajar sebagai ciri utama yang perlu dimiliki oleh semua guru. Oleh itu, seseorang insan yang bergelar guru atau akan bergelar guru amat wajar mengamalkan ciri sentiasa bersedia, terutamanya sewaktu kita mahu masuk ke kelas untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Bacalah sedikit bahan bacaan yang berkaitan dengan isi kandungan yang akan disampaikan, walau pun kita sudah mahir dan bertahun-tahun mengajar tajuk tersebut. Carilah dalam Internet atau bahan bacaan tambahan yang berkaitan dengan tajuk tersebut, mungkin ada perkara baharu yang boleh disampaikan kepada pelajar kita.