Wednesday, February 25, 2009

Kisah di SMK Bandar Tasik Selatan

Maklumat ini adalah dikirim oleh seseorang kepada saya untuk dikongsi oleh semua guru-guru. Assalamualaikum,
Isteri saya bekerja sebagai guru di SMK Bandar Tasik Selatan. Melihat keadaan sekolah yang dipenuhi dengan polis-polis agak menakutkan dan merendahkan semangat untuk mengajar. Tetapi tugas tetap tugas. Amanah perlu dipikul. Kehidupan perlu diteruskan. Beberapa hari yang lepas, pihak pengurusan sekolah pening kepala. Pengetua baru pergi berkursus. Yang tinggal penolong pengetua dan guru disiplin baru yang terpaksa menjawab pelbagai persoalan yang datang dari kementerian, jabatan, media dan ibu bapa. Apa dah jadi? Seorang pelajar tingkatan 3, SMK Sungai Besi telah dipukul dengan teruk oleh seorang pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Tasik Selatan kerana berebutkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di SMK Bdr Tasik Selatan. Dia baru sahaja meninggal dunia pagi semalam. Antara beberapa fakta lain ialah:-
1. Pelajar tingkatan 3 SMK Sungai Besi tersebut adalah bekas pelajar SMK Bandar Tasik Selatan yang telah ditukarkan sekolah kerana masalah disiplin.
2. Terdapat kumpulan samseng yang bertaburan di kawasan perumahan di sini yang dianggotai oleh budak-budak nakal di sekolah. Satu geng di sebelah Desa Tasik dan satu lagi dengar ceritanya di kawasan Desa Tun Razak. Yang memisahkan mereka hanyalah sebuah jalan besar dipanggil MRR2.
3. Guru tidak boleh buat apa-apa (rotan pun tak boleh kan). Berdiri atas kerusi tak boleh.... dikhuatiri kalau jatuh kerusi, nanti guru boleh kena saman.
4. Terdapat sebilangan pelajar yang berani melawan dan mengugut guru. Ini termasuk pelajar yang dipukul sehingga mati tempohari. Beliau mengugut untuk memukul ustaz di luar kawasan sekolah apabila ditegur.
5. Masalah sosial - pergaulan bebas lelaki perempuan begitu meruncing di sekolah-sekolah dan guru-guru tak boleh buat apa-apa.
6. Polis pun sukar untuk memantau... ya pelajar yang bermasalah ada yang terdiri daripada anak-anak polis. Itu dah kira lesen besar..
7. Gang satu lagi mungkin akan membalas dendam dan akan membunuh pula si pembunuh. Ceritanya tak ubah seperti filem Amerika "Gridiron Gang".
8. Kebanyakan ibu bapa buat tak kisah tentang prilaku anak-anak samseng ini, dan adakalanya tidak memberi kerjasama kepada guru dan polis. Yang menyedihkan ada yang memberi sokongan.
9. Kementerian Pelajaran pun tak boleh buat apa-apa juga... Oleh itu tolong lah pak menteri berhentikan retorik-retorik mengarut dan dengar saranan daripada pakar-pakar dan pendidik.
Kita sedang berada di dalam krisis pendidikan yang agak runcing. Mungkin ia tidak banyak berlaku di asrama penuh, tapi keadaan di sekolah-sekolah menengah biasa mungkin agak menakutkan. Seorang kawan yang saya kenali baru saja menjadi guru, sangat-sangat terkejut apabila mendapati ada antara anak muridnya keluar dari kelas ikut suka, keluar dari sekolah ikut suka, duduk makan di kantin di luar waktu dan tidak tahu menghormati guru. Tentulah dia terkejut kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku pada zamannya. Apa yang dia sebagai guru mampu buat selain daripada memarahi mereka? Ada budak-budak ini yang sengaja membuat guru marah dengan mengacau pelajar-pelajar lain dan guru terpaksa bertindak menghalau mereka keluar kelas. Setelah keluar kelas, mereka akan membuat perkara-perkara yang mereka suka.
Guru pula di dalam dilema. Jika tidak dihalau pelajar ini, maka seluruh kelas tidak dapat belajar akibat perangai pelajar ini. Ada pelajar kelas corot yang tidak pernah membawa buku teks ke sekolah. Malah ada yang tak membawa apa-apa ke sekolah pun! Apa yang mereka harap di sekolah? Cuma untuk bertemu kawan-kawan dan membuat onar. Dari satu segi, sekolah merupakan tempat lepak yang baik kerana anasir-anasir maksiat dan ganas dapat diminimumkan di sekolah. Maknanya, lebih baik datang sekolah tetapi tak buat apa-apa daripada melepak di cybercafe atau hisap dadah di luar. Bila waktu peperiksaan, mereka tidur. Mereka hanya berada di dewan peperiksaan disebabkan setengah jam pertama mereka diwajibkan berada di dewan peperiksaan. Setelah tamat setengah jam mereka pun keluar dari Dewan peperiksaan dengan senang hati sedangkan kertas jawapan masih kosong. Jadi apakah jawapannya kepada krisis ini? Mungkin ada yang berpendapat ia berlaku sejak zaman dahulu sehingga sekarang cuma tidak dilaporkan secara meluas oleh media. Ada juga berpendapat ini hanya pandangan politik untuk menjatuhkan golongan tertentu oleh itu tolong jangan politikkan pendidikan negara.
Saya berpendapat mereka ini di dalam keadaan "denial". Apa pun, saya merasakan bahawa sesuatu harus diambil iktibar di atas peristiwa kematian pelajar tingkatan 3 ini. Pada umur ini sepatutnya mereka selamat belajar di sekolah dan di rumah. Pada waktu malam, ketika semua anak-anak sedang berada di rumah, tidak terfikirkah ibu bapa ke mana anak mereka pergi dan apa yang sedang mereka buat dan mereka bersama siapa? Tolong lah ibu bapa semua... sayangi anak-anak anda. Buatlah sesuatu sebelum terlambat.

Tuesday, February 24, 2009

Penggunaan Reka Bentuk Pengajaran Dalam Proses Pengajaran

Makluman kepada guru-guru semua, terdapat berbagai-bagai model reka bentuk pengajaran seperti Briggs (1977), Brigss & Wager (1988, 1992), Model ASSURE (1982, 1985, 1989, 1993, 1996), Model Romizowski (1981, 1984, 1988), Model Dick & Carey (1978, 1985, 1990) dan Model Dick & Reiser (1989). Kalau kita mendalami bidang teknologi pendidikan, model-model ini sentiasa dibincangkan dalam kuliah atau seminar-seminar sama ada dalam atau luar negeri. Bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajar di peringkat master atau PhD khususnya dalam bidang teknologi pendidikan, perlulah mahir dalam hal ini. Daripada pelbagai yang dinyatakan di atas, satu rumusan dapat dibuat dan model reka bentuk sistem pengajaran bersepadu (Integrated Instructional System Design) telah dicadangkan. Rumusan model ini memudahkan semua guru dan pendidik menggunakannya. Terdapat lima peringkat dalam model ini; Peringkat Pertama: Penentuan Isi Kandungan Pelajaran Daripada sukatan pelajaran, guru perlu menentukan apakah tajuk yang akan disampaikan. Sumber rujukan seperti buku teks, buku rujukan, media dan guru pakar adalah sumber-sumber yang dapat membantu guru untuk mendapatkan bahan yang sesuai dan terkini. Zaman ini, Internet akan dapat membantu kita untuk mencari bahan dan isi kandungan yang sesuai. Peringkat Kedua: Membina Media Pengajaran Sebelum memulakan pengajaran, guru perlu menganalisis isi kandungan pelajaran dan membina media yang sesuai untuk membantu penyampaiannya. Sekiranya media pengajaran telah disediakan di pusat sumber sekolah (PSS), guru harus mengetahui bagaimana membuat pemilhan media yang sesuai dan tepat dengan keperluan sis kandungan. Sekiranya perlu membina media pengajaran sendiri, guru perlu mengetahui sedikit sebanyak asas pembinaan media pengajaran seperti penggunaan kaedah pendekatan sistem dan model reka bentuk pengajaran tertentu (contohnya Model ASSURE). Seperti yang telah saya bincangkan sebelum ini, kita mendapati banyak sekali media yang dibeli oleh pihak sekolah, namun penggunaan masih lagi di tahap yang rendah. Banyak kajian telah dijalankan di dalam dan luar negara menunjukkan guru dan pendidikan masih berat menggunakan media pengajaran sewaktu mereka melaksanakan pengajaran dalam bilik darjah. Faktor seperti sikap dan beban tugas serta beberapa faktor lagi yang mempengaruhi penggunaan media telah ditemui dan dibincangkan secara meluas. Peringkat Ketiga: Merancang Pengajaran. Satu persediaan pengajaran perlu disediakan untuk memudahkan guru menyampaikan isi kanduingan pelajaran melalui strategi pengajaran yang telah dipilih dan mengintegrasikan penggunaan media pengajaran. Persediaan pengajaran harus mempunyai beberapa elemen tertentu seperti objektif pengajaran, apa yang dilakukan oleh guru, penggunaan media, cara pelajar bertindak balas dengan guru dan kaedah pengajaran yang diguankan untuk mencapai objektif pengajaran. Tiga perkara penting yang termaktub dalam surat pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai perancangan persediaan mengajar ialah:

  1. Apa yang hendak disampaikan (Isi kandungan dan Objektif)
  2. Bagaimana isi kandungan mata pelajaran itu disampaikan (Strategi Pengajaran)
  3. Adakah apa yang dirancangkan untk disampaikan kepada murid itu telah terlaksana (Refleksi)

Peringkat Keempat: Pelaksanaan Pengajaran Peringkat yang paling penting dimana berlakunya proses pembelajaran yang telah dirancangkan secara sistematik. peringkat ini berlaku dalam bilik darjah. Peranan guru dan media pengajaran adalah membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Elemen-elemen penting dalam peringkat ini adalah seperti; menyampaikan maklumat dan contoh, latihan dan maklum balas, motivasi, pengayaan dan pemulihan, penilaian dan aktiviti susulan (kerja rumah). Peringkat Kelima: Proses Pembelajaran Kejayaan sesuatu pengajaran adalah bergantung kepada perancangan yang sistematik. Sekiranya proses pembelajaran berlaku, maka perubahan tingkah laku pelajar dapat dilihat sama ada dari segi sikap, kemahiran psikomotor atau pengetahuan dalam bidang tertentu. Sekiranya objektif pengajaran tidak tercapai, maka guru harus mengkaji semula kaedah pengajaran yang dilakukan termasuk media pengajaran yang digunakan. Guru perlu mengulang semula pengajarannya dan memastikan objektif pengajaran tercapai sepenuhnya (mengulangkaji pelajaran contohnya). Kesimpulan Teknologi pendidikan adalah satu cara pemikiran dan juga menentukan matlamat-matlamat pendidikan yang boleh dicapai oleh pelajar. Ia adalah satu proses yang menggalakkan guru membuat pertimbangan tentang pemilihan strategi pengajaran dan media. Teknologi pendidikan juga merupakan satu proses bersepadu yang melibatkan manusia (guru dan pelajar), prosedur, idea, perlatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah, mereka bentuk, melaksana, menilai dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan aspek-aspek pembelajaran manusia. Kadang kala teknologi pendidikan dikaitkan dengan penggunaan alat-alat seperti komputer, televisyen, radio dan pelbagai media lain sebagai bahan bantuan kepada guru dalam menyampaikan maklumat. Selamat mengajar cikgu, semoga apa yang diusahakan selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Kejayaan murid kita adalah di tangan kita, kejayaan murid kita adalah kejayaan kita dan balasan baik sentiasa menunggu kita di masa hadapan dalam bentuk yang tidak pernah kita duga.

Monday, February 16, 2009

Ciri-Ciri Pelajar

Kita sebagai seorang pendidik sering melupakan faktor ini semasa mengajar dalam bilik darjah. Latar belakang pengalaman pelajar seperti kemahiran, pengetahuan dan sikap yang sedia ada memberikan kesan terhadap proses pembelajaran. Banyak kajian telah mendapati tahap pengetahuan sedia ada pelajar (entry level) adalah mempengaruhi pencapaian pelajar. Harus diingatkan bahawa tahap pengetahuan sedia ada pelajar adalah amat berbeza antara satu sama lain. Kita sebagai guru perlu sentiasa mengambil perhatian dan tumpuan yang khusus terhadap faktor ini. Kita tidak boleh mengambil mudah dengan menganggap bahawa semua pelajar dalam sesuatu kelas itu adalah sama, sama ada semua mereka sudah tahu atau semua mereka tidak tahu apa-apa tentang pelajaran yang disampaikan. Selain itu, faktor kesihatan juga adalah amat penting untuk diberi perhatian oleh guru. Ada pelajar yang datang dari berbagai latar belakang sosio ekonomi yang melibatkan aspek pemakanan yang sempurna dan tahap kesihatan yang berbeza-beza. Ada yang tak mengambil sarapan dan ada yang mengambil sarapan tetapi berbagai jensi makanan yang diambil. Ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi kesihatan dan kesediaan murid untuk belajar. Saya telah membincangkan mengenai pelajar berbangsa China gemar membawa minuman air kosong (plain water) ke dalam bilik darjah, malah ke mana sahaja mereka pergi, mereka sering membawa botol air minuman bersama. Perkara ini bukan berlaku di sekolah rendah dan menengah sahaja, malahan berlanjutan sehingga ke peringkat universiti. Agak pelik sekiranya kita mendapati murid berbangsa lain (Melayu dan India) melakukan perkara ini. Tabiat inilah yang seharusnya dipelajari oleh semua bangsa. Negara kita yang beriklim tropika dan sentiasa panas ini memerlukan kita banyak meminum air bagi mengganti air yang hilang melalui peluh dan air kencing. Air yang paling sesuai diminun ketika dahaga ialah air kosong bukannya air teh, kopi atau milo dan sebagainya. Mata pelajaran yang agak sukar seperti Sains dan Matematik sepatutnya dijadualkan pada sebelah pagi (selain Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang sewajarnya di sebelah pagi. Kecuali sekolah yang mempunyai kemudahan gimnasium atau dewan tertutup untuk bersukan). Sekiranya terpaksa dijadualkan sebelah tengah hari atau petang, murid keletihan dabn memerlukan konsentrasi yang tinggi untuk mengikuti mata pelajaran ini. Keadaan panas dan kering menyebabkan kita cepat keletihan. Dengan meminum air yang banyak, pasti akan dapat membantu badan menjadi segar dan menghilangkan mengantuk. Guru seharusnya menggalakkan murid meminum air kosong dengan banyak, terutamanya dalam kelas. Sesetengah guru tidak membenarkan murid minum air ketika beliau mengajar.. mengapa?

Reka Bentuk Mesej Pengajaran

Apakah yang dimaksudkan dengan reka bentuk mesej pengajaran? Mungkin warga guru semua pernah mendengar atau mempelajari perkara ini, atau sudah pun sentiasa mengamalkannya. Sebenarnya, reka bentuk mesej pengajaran adalah kaedah merancang untuk menggunakan cara dan format yang paling sesuai bagi menyampaikan mesej kepada pelajar. Contohnya; reka bentuk skrin komputer; penggunaan warna dalam penyediaan poster, carta dan sebagainya; penghurufan seperti saiz dan jenis huruf; jenis media seperti video, audio, gambar dan sebagainya. Selain itu aspek-aspek grafik juga perlu diketahui sedikit sebanyak oleh kita sebagai guru agar dapat menyediakan bahan pembelajaran yang boleh mencapai objektif pengajaran, atau dapat memilih menggunakan bahan atau media pengajaran yang sesuai.
Zaman Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjanjikan pelbagai kemudahan kepada warga guru untuk merancang dan melaksanakan reka bentuk mesej pengajaran dengan baik dan berkesan. Penggunaan microsoft office yang mengandungi pemerosesan perkataan, hamparan elektronik dan perisian persembahan yang begitu canggih dapat membantu kita sebagai guru untuk merealisasikan satu sesi pengajaran yang bermutu tinggi. Hampir semua guru di Malaysia telah didedahkan dengan kemahiran komputer melalui pelbagai kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dan agensi yang berkaitan. Oleh itu, ayuhlah kita merealisasikan pelaksanaan kemahiran yang kita kuasai itu kepada anak didik kita. Sediakanlah pengajaran anda dengan menggunakan kemudahan komputer yang ada. Anda akan pasti tidak kecewa dengan hasil pembelajaran yang akan diperolehi oleh murid kelak. Mereka akan lebih memudah memahami apa yang kita sampaikan sekiranya kita dapat menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai dengan menggunakan reka bentuk mesej pengajaran tertentu.