Tuesday, February 24, 2009

Penggunaan Reka Bentuk Pengajaran Dalam Proses Pengajaran

Makluman kepada guru-guru semua, terdapat berbagai-bagai model reka bentuk pengajaran seperti Briggs (1977), Brigss & Wager (1988, 1992), Model ASSURE (1982, 1985, 1989, 1993, 1996), Model Romizowski (1981, 1984, 1988), Model Dick & Carey (1978, 1985, 1990) dan Model Dick & Reiser (1989). Kalau kita mendalami bidang teknologi pendidikan, model-model ini sentiasa dibincangkan dalam kuliah atau seminar-seminar sama ada dalam atau luar negeri. Bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajar di peringkat master atau PhD khususnya dalam bidang teknologi pendidikan, perlulah mahir dalam hal ini. Daripada pelbagai yang dinyatakan di atas, satu rumusan dapat dibuat dan model reka bentuk sistem pengajaran bersepadu (Integrated Instructional System Design) telah dicadangkan. Rumusan model ini memudahkan semua guru dan pendidik menggunakannya. Terdapat lima peringkat dalam model ini; Peringkat Pertama: Penentuan Isi Kandungan Pelajaran Daripada sukatan pelajaran, guru perlu menentukan apakah tajuk yang akan disampaikan. Sumber rujukan seperti buku teks, buku rujukan, media dan guru pakar adalah sumber-sumber yang dapat membantu guru untuk mendapatkan bahan yang sesuai dan terkini. Zaman ini, Internet akan dapat membantu kita untuk mencari bahan dan isi kandungan yang sesuai. Peringkat Kedua: Membina Media Pengajaran Sebelum memulakan pengajaran, guru perlu menganalisis isi kandungan pelajaran dan membina media yang sesuai untuk membantu penyampaiannya. Sekiranya media pengajaran telah disediakan di pusat sumber sekolah (PSS), guru harus mengetahui bagaimana membuat pemilhan media yang sesuai dan tepat dengan keperluan sis kandungan. Sekiranya perlu membina media pengajaran sendiri, guru perlu mengetahui sedikit sebanyak asas pembinaan media pengajaran seperti penggunaan kaedah pendekatan sistem dan model reka bentuk pengajaran tertentu (contohnya Model ASSURE). Seperti yang telah saya bincangkan sebelum ini, kita mendapati banyak sekali media yang dibeli oleh pihak sekolah, namun penggunaan masih lagi di tahap yang rendah. Banyak kajian telah dijalankan di dalam dan luar negara menunjukkan guru dan pendidikan masih berat menggunakan media pengajaran sewaktu mereka melaksanakan pengajaran dalam bilik darjah. Faktor seperti sikap dan beban tugas serta beberapa faktor lagi yang mempengaruhi penggunaan media telah ditemui dan dibincangkan secara meluas. Peringkat Ketiga: Merancang Pengajaran. Satu persediaan pengajaran perlu disediakan untuk memudahkan guru menyampaikan isi kanduingan pelajaran melalui strategi pengajaran yang telah dipilih dan mengintegrasikan penggunaan media pengajaran. Persediaan pengajaran harus mempunyai beberapa elemen tertentu seperti objektif pengajaran, apa yang dilakukan oleh guru, penggunaan media, cara pelajar bertindak balas dengan guru dan kaedah pengajaran yang diguankan untuk mencapai objektif pengajaran. Tiga perkara penting yang termaktub dalam surat pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai perancangan persediaan mengajar ialah:

  1. Apa yang hendak disampaikan (Isi kandungan dan Objektif)
  2. Bagaimana isi kandungan mata pelajaran itu disampaikan (Strategi Pengajaran)
  3. Adakah apa yang dirancangkan untk disampaikan kepada murid itu telah terlaksana (Refleksi)

Peringkat Keempat: Pelaksanaan Pengajaran Peringkat yang paling penting dimana berlakunya proses pembelajaran yang telah dirancangkan secara sistematik. peringkat ini berlaku dalam bilik darjah. Peranan guru dan media pengajaran adalah membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Elemen-elemen penting dalam peringkat ini adalah seperti; menyampaikan maklumat dan contoh, latihan dan maklum balas, motivasi, pengayaan dan pemulihan, penilaian dan aktiviti susulan (kerja rumah). Peringkat Kelima: Proses Pembelajaran Kejayaan sesuatu pengajaran adalah bergantung kepada perancangan yang sistematik. Sekiranya proses pembelajaran berlaku, maka perubahan tingkah laku pelajar dapat dilihat sama ada dari segi sikap, kemahiran psikomotor atau pengetahuan dalam bidang tertentu. Sekiranya objektif pengajaran tidak tercapai, maka guru harus mengkaji semula kaedah pengajaran yang dilakukan termasuk media pengajaran yang digunakan. Guru perlu mengulang semula pengajarannya dan memastikan objektif pengajaran tercapai sepenuhnya (mengulangkaji pelajaran contohnya). Kesimpulan Teknologi pendidikan adalah satu cara pemikiran dan juga menentukan matlamat-matlamat pendidikan yang boleh dicapai oleh pelajar. Ia adalah satu proses yang menggalakkan guru membuat pertimbangan tentang pemilihan strategi pengajaran dan media. Teknologi pendidikan juga merupakan satu proses bersepadu yang melibatkan manusia (guru dan pelajar), prosedur, idea, perlatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah, mereka bentuk, melaksana, menilai dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan aspek-aspek pembelajaran manusia. Kadang kala teknologi pendidikan dikaitkan dengan penggunaan alat-alat seperti komputer, televisyen, radio dan pelbagai media lain sebagai bahan bantuan kepada guru dalam menyampaikan maklumat. Selamat mengajar cikgu, semoga apa yang diusahakan selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Kejayaan murid kita adalah di tangan kita, kejayaan murid kita adalah kejayaan kita dan balasan baik sentiasa menunggu kita di masa hadapan dalam bentuk yang tidak pernah kita duga.

3 comments:

Pengetua Seri Kundang said...

Lima peringkat model ni sangat jelas. Pada pandangan saya guru-guru mesti merancang dengan sistematik pnp. Pelajar seronok melalui proses pnp, jadi mereka suka datang ke sekolah. Masalah disiplin ada kaitan dengan keberkesanan pnp guru.

Deria said...

Semasa latihan perguruan, semua bakal guru didedahkan kepada ilmu dan kemahiran ini, namun bila dah jadi guru terlatih, mereka lupa untuk mengamalkannya... itulah dia guru-guru kita.

ucop said...

salam,tak semua macam tu..saya dah 20th dalam bdg pendidikan,kadang mengguanakan juga elemen media dlm pengajaran,tapi menjadi amalan murid kita masuk 40 minit mereka mula jemu dengan isi pengajaran walaupun menarik.Kerana visual yang dipaparkan walau macam manapun berkaitan pembelajaran.Mereka tak minat.Mereka lebih suka tengok cerita movie! Tak percaya turunlah ke daerah saya.