Hari ini tergerak hati untuk menulis mengenai kepimpinan di dalam organisasi pendidikan dalam negara kita. Terdapat berbagai jenis kepimpinan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kementerian dan Negara. Kepimpinan yang ingin disentuh kali ini adalah mengenai kepimpinan yang boleh menyebabkan kerugian kepada sesebuah organisasi. Terdapat pemimpin walau dalam mana peringkat pun mengamalkan kepimpinan yang bercorak diktator atau dengan lain perkataan hanya pandai memberi arahan dan perlu diikuti dengan penuh taat setia oleh pengikutnya. Apa sahaja arahan yang diberikan, perlu diikut tanpa membantah, walau pun akan merugikan organisasi ataupun memberikan kesan yang kurang baik kepada warga organisasi berkenaan. Setiap arahan atau peraturan baharu dibuat tanpa mendapatkan pandangan dan ulasan daripada pihak bawahan. Sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan pemimpin walau pun di peringkat atas, idea yang mereka curahkan adalah hak peribadi mereka dan tidak boleh ditokok tambah oleh orang lain, lebih-lebih lagi orang bawahan yang dikira sebagai kurang ‘pandai’ atau kurang ‘baik’ berbanding diri sendiri. Apa tah lagi untuk merujuk atau mendapatkan pandangnan pakar atau pun dapatan-dapatan kajian sama ada dalam atau luar Negara. Mereka juga didapati malas membaca dan mengkaji. Terdapat juga pemimpin yang memang bagus dengan idea yang bernas, sebab mereka ini suka membaca dan membuat kajian. Mereka mempunyai tabiat membaca yang konsisten dan sentiasa berfikir dengan logik dan matang. Sangat sukar untuk mencari pemimpin yang sebegini. Kadang-kadang pemimpin yang bijaksana dan cerdas otak ini wujud dalam sesebuah organisasi, tetapi ada mekanisma yang mencatas mereka. Bakat kepemimpinan cemerlang yang ditunjukkan oleh orang bawahan ini selalunya dicantas oleh pemimpin sedia ada. Terdapat pelbagai cara dan strategi mencantas dilakukan oleh pemimpin yang iri hati dan takut kedudukan mereka tergugat. Budaya pemimpin yang mempunyai sifat iri hati dan dendam ini menyebabkan orang bawahan menjadi mangsa mereka. Akhirnya mangsa tadi akan mencari jalan untuk membalas dendam terhadap pemimpin tadi. Balasan dendam yang dilakukan adalah pelbagai cara, antaranya ialah:
- Bekerja dengan tidak sesungguh hati, sebab macam mana pun kuat bekerja, memang bos tidak akan berikan peluang atau sokongan untuk kenaikan pangkat.
- Tidak menumpukan perhatian dan sepenuh hati terhadap projek yang dirancang oleh bos.
- Curi tulang – sekiranya bos tidak ada.
- Bercakap atau mengkritik di belakang bos.
Kekecewaan yang dialami oleh bakal pemimpin yang ditindas atau diketepikan ini akan menjadi satu titik tolak untuk beliau menyusun strategi bagi membalas ’dendam’ terhadap apa yang berlaku ke atas dirinya. Ada pemimpin yang semasa beliau bersara diraikan dengan ala kadar sahaja. Selepas bersara, bekas pemimpin ini cuba datang ke pejabat mungkin untuk tujuan sosial, tetapi tidak diambil endah oleh semua orang dalam pejabat. Berjumpa beliau di tempat sosial lain atau di pasar malam juga tidak dihirau oleh bekas orang bawahannya. Inilah kesan kepada pemimpin yang tidak sedar diri dan tidak melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan baik. Ada ketika lain, sekiranya orang yang ditindas ini berpeluang untuk naik ke peringkat lebih tinggi, maka beliau akan menyusun strategi untuk membalas dendam terhadap bos lama. Semua arahan atau peraturan yang dibuat oleh pemimpin lama akan dimansuhkan, mungkin dengan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan yang kukuh. Sekiranya projek yang dtinggalkan oleh pemimpin lama masih dilaksanakan, keberlangsungan projek tersebut akan terjejas dengan secara disengajakan kerana ada mekanisme berbentuk dendam dilaksanakan dalam pengurusan projek berkenaan. Ini secara tidak langsung akan merugikan organisasi, dan seterusnya masyarakat. Semasa seseorang pemimpin itu berkuasa, beliau menggunakan kuasa yang ada untuk memilih konco-konconya bagi memenuhi jawatan-jawatan tinggi yang kekosongan. Ramailah bakal-bakal penjawat jawatan tersebut kecewa kerana tidak berpeluang untuk menduduki jawatan tersebut. Mereka yang lebih junior dibawa masuk oleh pemimpin berkenaan kerana wujudnya kroni dalam kepimpinan beliau. Selepas era kepemimpinan beliau berakhir, mereka yang dipinggirkan tadi berpeluang untuk naik menjawat jawatan lebih tinggi. Masa inilah peluang dan ruang untuk membalas dendam berlaku. Mereka yang dinaikkan pangkat oleh pemimpin kroni tadi akan merasa kehangatan dan tertekan. Pelbagai cara, kaedah dan strategi digunakan untuk memuaskan hati masing-masing. Situasi ini memang tidak sesuai untuk sesebuah organisasi bergerak dengan lancar. Sekiranya perkara ini berlaku, banyaklah projek-projek akan terjejas kelancarannya. Ini sudah tentu merugikan masyarakat keseluruhannya. Siapakah yang bertanggung jawab untuk membendung gejala ini? Mungkin pemimpin-pemimpin yang berada di peringkat atas yang menyedari gejala buruk ini harus mengambil langkah yang proaktif untuk mengadakan satu mekanisme yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Semua pemimpin harus diperingatkan mengenai peranan, tugas dan tanggung jawab masing-masing. Pemimpin yang yang berwibawa, bijaksana dan bertanggung jawab akan dapat melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan dengan adil dan saksama.
No comments:
Post a Comment