Selepas bersahur, saya terus menonton TV sementara menunggu waktu subuh. Saluran HBO memaparkan sebuah filem yang menarik menyebabkan saya dan isteri terus setia mengikutinya sehingga ke akhir. Kisah memaparkan seorang guru bernama Erin Grunnel yang mengajar di sebuah sekolah sekolah di Long Beach, California. Beliau mengajar di sebuah kelas yang mengandungi pelajar yang nakal dan tidak terkawal ini adalah disebabkan oleh persekitaran dan latar belakang keluarga. Pendekatan yang dilakukan oleh Erin ialah pendekatan yang begitu huministik dan menyentuh hati dan sanubari pelajarnya sehingga semua mereka mencapai prestasi pelajaran yang cemerlang. Pendekatan beliau (mengajar bahasa Inggeris) seperti membuat jurnal atau diari sendiri, menulis apa sahaja dalam diari yang dibekalkan oleh Erin. Beliau juga membuat pendekatan lawatan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Beliau cuba memberi nafas baharu kepada suasana pendidikan di sekolah tersebut, namun pihak pentadbiran sekolah tidak menyokongnya disebabkan oleh pengalaman beliau yang singkat dalam bidang pendidikan.
Saya teringat satu masa dahulu ada sebuah filem yang bertajuk “To Sir With Love”. Saya masih menyimpan CD lagu berkenaan, dan lagu ini pernah popular di suatu masa dahulu. Filem ini dilakunkan oleh Sidney Poiter dan latar ceritanya begitu menarik serta patut ditonton oleh semua insan guru. Begitu juga filem Freedom Writer ini, sekiranya ada kesempatan atau dapat mencari VCD filem ini, semua guru patut menontonnya. Saya ingin sekali mendapatkan VCD filem ini untuk digunakan dalam kuliah bagi pengajaran kepada guru-guru pelatih.
Kesudahan ceritanya, Erin dikehendaki mengajar kelas lain selepas semester baharu bermula. Ini tidak dipersetujui oleh pelajar yang inginkan beliau terus mengajar mereka. Pihak pentadbiran juga tidak menyokong hasrat Erin untuk terus mengajar kelas ini. Kes ini dibawa ke pihak atasan dan mereka memutuskan Erin dibenarkan mengajar semua pelajar-pelajar ini.
Erin mengusahakan agar pelajar-pelajar ini dapat mengeluarkan buku sendiri berdasarkan diari yang mereka tulis sekian lama. Beliau berusaha mendapatkan komputer daripada pihak luar supaya pelajarnya dapat menulis dan mengumpulkan semua cerita daripada diari masing-masing. Akhirnya buku Freedom Writer, hasil gabungan penulisan semua pelajar dapat diterbitkan. Walau bagaimanapun Erin terpaksa membayar hasil usaha dan penat lelahnya serta kesibukan yang beliau tempuhi semasa melayan kerenah pelajar tersebut dengan kepahitan iaitu keruntuhan rumah tangganya sendiri. Suaminya yang tidak tahan dengan kesungguhan Erin mengajar dan menumpukan perhatian kepada pelajar tersebut akhirnya meninggalkan Erin. Namun, kehadiran bapa Erin yang sentiasa memberikan semangat dan bantuan membolehkan beliau terus berjaya dalam bidang perguruan. Erin akhirnya menjadi pensyarah di sebuah universiti di Long Beach.
Moral disebalik kisah ini ialah kesungguhan, minat dan kreativiti seorang guru membolehkan beliau menukar sikap dan tingkahlaku pelajar menjadi seorang yang berdisplin, mempunyai kepercayaan dan keyakinan diri, bermotivasi, dan akhirnya mengubah sikap pelajar menjadi seorang yang berguna. Cerita ini patut ditonton oleh semua bakal guru dan semua guru-guru.
Selepas selesai menonton, saya membangunkan anak lelaki supaya pergi ke sekolah. Beliau menjawab ‘pergi sekolah pun bukan cikgu nak mengajar’. Itulah ayat ‘power’ yang dikeluarkan oleh anak saya, menyebabkan saya bertanya kepada diri sendiri..”Apa yang cikgu kita buat ni?”. Memanglah waktu ini adalah waktu yang hampir dengan cuti Hari Raya dan hari akhir persekolah sebelum cuti Hari Raya. Apa pulak kena mengena mengajar dengan hampir cuti hari raya? Adakah guru tak perlu mengajar kalau cuti semakin hampir? Kalau sukatan sudah habis pun (pelik pula, penggal persekolahan masih lama lagi) tak kanlah guru tak perlu masuk ke kelas lagi. Susah nak memikirkannya. Padanlah anak saya tak mahu pergi sekolah kerana suasana persekolahan dan pembelajaran sudah tidak ada lagi, mungkin yang diwujudkan di sekolah itu ialah suasana cuti. Sekolah tersebut adalah sebuah sekolah yang terbaik di kawasan itu, semua muridnya adalah murid 5A UPSR dan 7A PMR. Kita sebagai guru perlu mengekalkan nilai profesionalisme profesyen yang kita cintai ini. Janganlah berbuat sesuatu yang dapat merendahkan imej dan martabat proofesyen kita ATAU kalau tak suka profesyen ini, berhentilah!!! banyak lagi profesyen lain yang sesuai dengan anda. Kasihanlah kepada anak bangsa kita yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan menagihkan kesungguhan serta kreativiti seseorang insan yang bergelar GURU.
1 comment:
salam dr.
learning process in malaysia is too rigid.budak2 blaja sbb nk lulus exam.thats why we fail 2 produce ppl with good soft skills,attitude n ideas.american for example,their ppl think outside their box.they lead.
that my point of view.
o ye,sy pon ade blog jg.feel free 2 visit it :http://nour-ummnuha.blog.friendster.com/
Post a Comment