Laman blog ini memaparkan idea dan amalan dalam bidang perguruan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sepanjang menjadi guru, pendidik guru dan bidang pentadbiran yang berkaitan dengan perguruan di Malaysia. Semoga pengalaman dan idea ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan guru yang lain.
Wednesday, September 10, 2008
Cabaran Guru
Setelah mendekati rakan seprofesion daripada semasa mengendalikan PTK MARA di Melaka, saya rasa amat bertuah kerana dapat berkongsi pendapat dan pengalaman dengan mereka. Apabila membincangkan tentang hal-hal mengenai pengajaran dan pembelajaran, tidak terlepas juga dengan isu kenakalan murid seperti kita bincangkan sebelum ini. Kenakalan murid daripada MSRM dan institusi MARA yang lain adalah berbeza dengan kenakalan murid di sekolah harian kerajaan. Ini adalah kerana murid daripada institusi pengajian MARA adalah dalam kalangan mereka yang telah terpilih untuk mengikuti pelajaran di sekolah yang dianggap ’elit’ di negara kita. Kenakalan murid yang ’cerdik’ ini adalah amat berbeza dengan murid sebaliknya. Walau bagaimanapun, masih lagi memeningkan kepala guru-guru mereka.
Saya terbaca satu berita yang disiarkan oleh Berita Harian pada 4 Jun 2008 bertajuk ”Kes Kesihatan Mental Serius”. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata kes kesihatam mental meningkat setiap tahun berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan. Kita berharap warga guru tidak termasuk dalam golongan ini. Namun pelbagai cabaran dan dugaan yang semakin bertambah dalam dunia pendidikan masa kini menyebabkan golongan guru juga tidak akan terlepas daripada masalah mental. Saya pernah berjumpa dengan kes seperti ini di sebuah sekolah pedalaman (kurang murid) di kawasan Kluang, Johor. Guru tersebut kelihatan normal, tetapi tidak bercampur gaul dengan guru lain dan sentiasa menyendiri. Mengikut Guru Besar sekolah tersebut, kalau ’mood’ dia baik, dia akan masuk ke kelas dan mengajar, namun sebaliknya kalau ’mood’ tak baik, dia tidak akan masuk ke kelas. Guru Besar tidak boleh berbuat apa-apa untuk menegurnya kerana dia akan bertindak dengan agresif. Khabarnya guru ini telah pun di ’pindah-randah’kan ke merata tempat (sekolah) sebelum ditempatkan di sekolah ini. Menjadi persoalan saya ialah mengapakah sistem kita tidak boleh ’membuang’ orang seperti ini daripada dunia pendidikan? Kita kasihan? Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, maka pada masa itulah semua akan melatah. Percayakah anda bahawa masih wujud guru-guru yang tidak mampu mengajar kerana masalah mental di sekolah-sekolah kita seluruh negara? Walau pun mereka tidak layak untuk menduduki wad psikitri (sakit mental).
Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) telah dilapor akan diubahsuai pendekatannya. Ini menyebabkan warga kerja seluruh negara menarik nafas lega. Namun, tarikh pelaksanaan dan kaedah pelaksanaannya masih belum pasti. Kasihan juga melihat guru-guru MARA bertungkus lumus untuk menyediakan diri bagi menghadapi Peperiksaan PTK. Oleh kerana mereka adalah terdiri daripada golongan cerdik pandai dalam pelajaran semasa di sekolah dulu, saya boleh lihat kesungguhan mereka masih ada walau pun usia sudah menjangkau jauh ke hadapan. Mereka kelihatan begitu serius untuk belajar bagi mencapai kejayaan yang cemerlang kerana dengan itu mereka akan mendapat kenaikan gaji. Bagi mereka, untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi adalah amat terhad kerana jumlah jawatan yang sedikit, namun kejayaan dalam PTK akan membantu meningkatkan gaji masing-masing. Kesungguhan juga telah ditunjukkan semasa mahu melakukan persembahan. Berbagai kerenah dapat dilihat semasa menyediakan diri untuk mempersembahkan bahan persembahan yang telah ditugaskan. Walau pun sudah matang dan masak dalam selok belok mengajar, namun untuk menghadapi situasi dalam bilik persembahan dengan dinilai oleh pensyarah dan pegawai MARA agak menakutkan mereka. Kelihatan sesetengahnya mundar mandir di sekeliling kawasan untuk menghafal dan ’rehearse’ persembahan masing-masing. Suasana di luar bilik persembahan kelihatan tegang dan setiap peserta yang menunggu giliran kelihatan begitu resah dan tertekan. Kasihan juga melihat kawan warga guru kita dalam keadaan tersebut. Jumpa lagi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment