Thursday, September 11, 2008

Belajar Daripada Sejarah - PPSMI

Kesedaran tentang kepentingan sejarah dalam pembinaan seseorang insan nampaknya diberikan perhatian semenjak kebelakangan ini oleh kementerian yang terlibat dengan pelajaran di negara kita. Kalau dulu, mantan perdana menteri kita iaitu Dr M sentiasa menggunakan pendekatan dan fakta sejarah dalam setiap ucapan beliau sehingga dapat memukau perhatian dan tumpuan pendengar (rakyat Malaysia). Sebenarnya banyak yang boleh kita pelajari melalui sejarah dan peradaban lalu. Semasa sekolah rendah dahulu, saya dan mereka seangkatan dengan saya telah didedahkan dengan kurikulum sejarah yang pada masa itu dikenali sebagai ”TAWARIKH”. Ini berlaku disekitar 60an hingga akhir 70an. Antara tokoh sejarah yang dipelajari ialah Kubali Khan, Genghiz Khan, Joan of Arc, Florence Nightingle, Alexander the Great, Richard The Lion Heart dan sebagainya.Bagi mata pelajaran geografi sekarang pula dahulu dikenali sebagai Ilmu Alam. Antara perkara yang dipelajari adalah mengenai aktiviti pertanian di Delta Irrawady di Burma (atau Myanmar), Menam Chao Phraya di Thailand, lembah Canterbury di New Zealand dan lain-lain.
Saya teringat perkara ini apabila berlakunya tragedi Taufan Nargis melanda Myanmar dimana kemusnahan yang teruk telah berlaku. Pelajar masa kini seolah-olah tidak tahu dimana Delta Irawaddy dan apakah kepentingan kawasan tersebut kepada negara Myanmar dan seterusnya bekalan beras ke seluruh dunia.Sejarah juga telah membuktikan bahawa seseorang itu akan menguasai bahasa Inggeris sekiranya mereka mengikuti pelajaran dalam bahasa Inggeris. Dahulu terdapat sekolah aliran bahasa Inggeris dan aliran bahasa Melayu. Lepasan sekolah Inggeris akan dapat membaca dan bertutur bahasa tersebut dengan lancar dan selesa. Kemudian mata pelajaran bagi aliran Inggeris berkurangan kepada beberapa mata pelajaran sahaja. Akhirnya kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskan sekolah aliran Inggeris, maka semua sekolah menengah dan rendah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Selepas itu, kerajaan mengambil langkah yang drastik untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains,dan Matematik. Maka wujudlah apa yang dikenali sebagai PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran saisn dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) seperti sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia menerima arahan daripada pihak kerajaan dan terus mengorak langkah untuk melaksanakan PPSMI sehingga hari ini. Apa kaitannya dengan sejarah? Sejarah menunjukkan bukan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang membolehkan seseorang itu menguasai bahasa tersebut. Saya tak menafikan pentingkan bahasa Ingeris sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu. Apakah kelebihan mata pelajaran Matematik contohnya untuk murid menguasai bahasa Inggeris. Kata seorang Naib Chanselor sebuah universiti terkemuka di Malaysia, cucunya mempelajari perkataan ’ascending’ dan ’decending’ dalam Matematik. Bilakah cucunya itu boleh menggunakan perkataan tersebut untuk menyusun ayat bagi berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?
Saya melawat ke sebuah sekolah di Kampung Batu, Kuala Lumpur. Apabila diberikan ujian Matematik yang telah disediakan dalam bahasa Inggeris, mereka tidak memahami beberapa perkataan yang teknikal seperti ’convert’ dan sebagainya. Arahan untuk menjawab soalan juga perlu dijelaskan kepada mereka. Itu adalah sebuah sekolah di bandar, bagaimana pula sekolah di pedalaman? Pada pendapat saya, kalau mahu generasi kita pandai bertutur dalam bahasa Inggeris, maka ajarlah dalam bahasa tersebut seperti kata Naib Chanselor yang disebut di atas. Kita perlu belajar daripada sejarah untuk melihat balik semula apa yang telah berlaku daripada segi kejayaan, kekuatan atau kelemahan.

No comments: