Salam Sejahtera,
(Saya menulis artikel ini pada 14 mei 2008)
Tajuk penulisan kali ini ialah mengenai perhimpunan yang diadakan oleh sekolah. Perhimpunan pagi merupakan satu aktiviti yang perlu dilaksanakan oleh semua sekolah rendah dan menengah. Terdapat sekolah yang mengadakan perhimpunan sekali seminggu, biasanya pada pagi Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu dan Isnin bagi negeri-negeri lain. Oleh itu setiap pagi Ahad atau Isnin, proses pengajaran dan pembelajaran berlaku agak lewat sedikit dan ini dimasukkan dalam jadual waktu sekolah.
Semasa perhimpunan, pelbagai aturcara telah ditetapkan bermula dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku, lagu kebangsaan negeri masing-masing, lagu sekolah (jika ada), ucapan Pengetua atau Guru Besar, taklimat, hebahan berita, penyampaian hadiah dan sijil dan sebagainya. Ada sekolah yang memasukkan aktiviti ucapan daripada Ketua Murid, pengumuman daripada Guru Disiplin dan lain-lain lagi.
Perhimpunan diadakan di kawasan lapang sama ada di padang sekolah atau kawasan lapang di hadapan sekolah. Sekolah yang mempunyai dewan besar akan mengadakan perhimpunan dalam dewan sekolah. Ada sekolah yang membenarkan murid duduk dan ada yang murid berdiri sepanjang perhimpunan diadakan. Aktiviti ini adalah merupakan aktiviti rutin sekolah yang amat baik.
Apa yang ingin dibincangkan dalam tajuk ini adalah mengenai aspek yang tidak baik dan dilakukan oleh sesetengah sekolah. terdapat sekolah yang mengadakan sesi perhimpunan setiap pagi atas alasan tertentu. fikirkanlah, setiap hari murid akan beratur dan mendengar taklimat daripada guru, mendengar leteran dan marah daripada guru. Setiap pagi pelajaran bermula lewat. Kelas yang bermula sebelah pagi sering tidak dapat dilakukan pengajaran dan pembelajaran. guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) sering merungut kerana tidak melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Adakah perlu perhimpunan dilakukan setiap pagi? Ini pasti menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Waktu pagi adalah waktu yang amat sesuai untuk belajar kerana minda masih segar. Sebab itulah, mata pelajaran yang memerlukan konsentrasi seperti Matematik dan Sains perlu dimasukkan dalam jadual waktu sebelah pagi (jika pihak penggubal jadual waktu dan pentadbir prihatin dengan keperluan ini). Begitu juga mata pelajaran PJK, sudah semestinya diletakkan waktu pertama, kedua atau ketiga. Selepas itu, cuaca di negara kita sudah tidak sesuai untuk murid bersenam dan melakukan aktiviti luar.
Sesi perhimpunan pagi disebuah sekolah di pedalaman (Ulu Tembeling, Pahang)
Sesi perhimpunan perlu dijadikan sebagai wadah untuk berleter, marah kepada mruid yang melakukan kesalahan, walau pun kesalahan dilakukan oleh segelintir daripada mereka. Apakah patut beberapa orang murid melakukan kesalahan, tetapi semua yang hadir perlu menerima teguran, marah dan leteran daripada guru? Guru Besar, Pengetua dan Guru Disiplin akan berleter mengenai masalah disiplin, peraturan sekolah dan sebagainya yang tidak ada kaitan dengan hal-hal motivasi, akhlak dan kerohanian. Soalnya bukan semua mereka buat salah, kenapa mereka harus mendengar semua itu? Ada cara lain yang lebih baik seperti panggil mereka yang berbuat salah ke bilik Pengetua atau Guru Besar dan berikan hukuman yang sepatutnya. Jangan memalukan mereka di hadapan khalayak ramai. Inilah dikatakan nilai murni yang dilaung-laungkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (yang sepatutnya Kementerian Pendidikan Malaysia) Murid yang bersalah merasa malu dan terhina kerana dicaci dan dimarahi dikhalayak. Apa yang mereka akan lakukan? Membenci guru, membalas dendam dan melakukan kesalahan tersebut berulang-ulang untuk memenuhi tuntutan dendam mereka. Sebab itulah, kenakalan murid masih belum dapat dibendung sehingga ke hari ini.
Seorang pentadbir sekolah (Pengetua dan Guru Besar) perlu dan wajib mengetuai perhimpunan sekolah beliau, sebagai seorang ketua sesebuah organisasi. Apa yang berlaku? Pengetua dan Guru Besar tidak ada dalam perhimpunan, jarang hadir dan selalu ada mesyuarat di luar. Pada hemat saya, seorang ketua perlu dan wajib hadir disetiap perhimpunan yang diadakan di sekolah. Siapa klien anda? kalau tak ada murid tentulah tak ada guru (Pengetua dan Guru Besar juga) Mereka menganggap perhimpunan tidak penting dan jarang menghadirinya.
Sebagai seorang ketua organisasi pentadbir perlu menyampaikan amanat, nasihat, perangsang, panduan dan motivasi kepada semua murid dan guru dalam sesi perhimpunan. Teks ucapan perlu disediakan terlebih awal, tersusun, kemas, penuh dengan ciri-ciri keilmuan dan kebijaksanaan, mempunyai tema yang sesuai dan semasa. Oleh itu pentadbir perlu membuat penyelidikan dalam organisasi yang diterajui, mengetahui sehingga ke akar umbi permasalah yang wujud, membaca dengan luas mengenai bidang pentadbiran dan pendidikan. Beliau juga perlu menguasai kepakaran dalam bidang pengucapan umum (public speaking), berucap dengan penh semangat, kemas, jelas, tegas, bermutu,merangsang dan bermotivasi. Bukan sekadar berleter tanpa hujung pangkal. Ketua perlu banyak idea, banyak ilmu dalam pelbagai bidang, banyak membaca, banyak menyelidik dan bijaksana dalam mengambil dan membuat keputusan (decision making). Ini membolehkan beliau menyampaikan ucapan dengan penuh keyakinan bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.
Berapa ramai pentadbir yang mempunyai ciri ini? kalau tak boleh mengapa tak mahu belajar? belajar dari orang lain, belajar dengan membaca, belajar dengan mengikuti kursus dan sebagainya. Pentadbir perlu mahir Teknologi maklumat dan Komunikasi (ICT). Penggunaan TMK dalam ucapan akan membantu mereka menyampaikan idea dengan lebih bijaksana. Adakah kenaikan pangkat Pengetua dan Guru Besar mengambil kira kemahiran ini? Rasanya di negara kita masih tidak diambil kira kepakaran yang kita bincangkan di atas.
Berbalik kepada pelajar nakal dan tidak bermotivasi. Semasa perhimpunan, Pengetua dan Guru Besar perlu BERDOA di hadapan murid supaya semua murid beliau menjadi insan yang baik dan berdisiplin, terutamanya mereka yang banyak menimbulkan masalah di sekolah. Sebutlah nama mereka dalam doa Tuan/Puan dan nyatakan kehendak Tuan/Puan supaya mereka menjadi insan yang berguna. Saya percaya, mereka akan tersentuh hingga ke lubuk hati yang paling dalam dan akhirnya mereka akan berubah (dengan kehendakNya) Setelah kita berusaha dengan pelbagai kaedah dan strategi untuk menangani masalah disiplin, kita mesti berdoa sebelum bertawakkal kepada Yang Maha Esa, kerana kita diamanahkan untuk mendidik dan memimpin anak didik kita.
Selama ini murid sahaja disuruh berdoa untuk guru, kenapa guru tidak boleh berdoa untuk murid? Sebelum memulakan pelajaran, banyak sekolah yang mengamalkan doa oleh murid. Berdoalah kepada Tuhan dengan penuh kejujuran, keinsafan dan kesungguhan agar murid yang bermasalah ini menjadi manusia yang berjaya. Seorang guru pernah mengadu kepada saya menyatakan kekesalan beliau kerana tidak dapat mententeramkan murid yang begitu nakal semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Beliau telah melakukan pelbagai cara untuk mengatasinya, namun gagal. Saya bertanya adakah beliau sudah berdoa? Beliau menjawab tidak. Lalu saya cadangkan beliau berbuat demikian.
Pengakap di sebuah sekolah di Ulu Tembeling, Pahang.
Murid-murid dan ibu bapa dengan penuh mesra menyambut tetamu yang mengunjungi sekolah mereka di Ulu Tembeling, Pahang.
No comments:
Post a Comment