Pemandangan sebuah bilik darjah dengan keadaan yang begitu dhaif
Salam sejahtera;
Tajuk Utama Akhbar harian Metro 13 mei 2008 ” Guru Baling kerusi (Mengamuk anak murid buat bising) ….
Akibat tidak tahan dengan kerenah murid yang melampau dan tidak mengikut arahan guru, menyebabkan guru hilang pertimbangan dan hilang kewarasan menyebabkan tragedi yang tidak diingini ini berlaku. Akibatnya profesionalisme guru tercabar dan tercalar. Oleh itu, ciri-ciri seseorang yang perlu wujud adalah “Tabah dan Sabar”. Ciri ini menuntut kita sebagai seorang guru mengamalkannya sepanjang masa untuk menghadapi pelbagai situasi yang tidak menentu.
Tajuk perbincangan kali ini adalah ‘peranan pentadbir sekolah dalam usaha menangani murid nakal”
Sekiranya guru sahaja yang menghadapi masalah murid nakal tanpa dihiraukan oleh pihak pentadbir sekolah, maka masalah ini akan terus berlanjutan dan tidak dapat dibendung lagi. Pentadbir sekolah yang dimaksudkan di sini ialah Guru Besar atau Pengetua, Penolong Kanan Sekolah (Penolong Kanan 1 (Pentadbiran), Penolong kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan Penolong Kanan Kokurikulum (KOKU). pihak pentadbir sekolah perlu mempunyai sikap prihatin dan sentiasa mengambil tahu (berikan keutamaan) kepada masalah ini. Sekiranya murid nakal ini tidak dapat ditangani atau dibendung maka proses pengajaran dan pembelajaran pasti terganggu. Bukan guru sahaja yang menghadapi masalah untuk mengajar dengan sempurna, malahan murid lain yang bersemangat untuk belajar juga terganggu dek ‘kekacauan dan haru biru’ yang berlaku dalam bilik darjah semasa mereka belajar.
Kelihatan tingkap sekolah yang pecah dan diletakkan bingkai besi untuk tujuan keselamatan
Pihak pentadbir sekolah perlu mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti mana-mana guru yang menghadapi masalah ini. Mereka perlu berkerjasama dan menganalisa masalah berkenaan untuk mengenal pasti punca masalah. Mereka perlu membantu guru-guru ini untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah berkenaan. Terdapat beberapa cara yang boleh dicadangkan di sini seperti:
1. Membuat pemerhatian (class observation) semasa guru yang menghadapi masalah itu belajar.
2. Berbincang dengan guru yang menghadapi masalah untuk mengenal pasti punca masalah.
3. Mengesahkan punca masalah yang tulin supaya perancangan untuk tindakan kelak mencapai keputusan yang betul.
4. Setelah punca masalah telah dikenal pasti maka terdapat beberapa strategi boleh digunakan untuk membantu guru menyelesaikan masalah berkenaan seperti:
5. Mengadakan ‘team-teaching’ dengan guru berkenaan. Sekiranya pentadbir tidak ada masa, tugas ini bolehlah di berikan kepada rakan seprofesion lain mempunyai kewibawaan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
‘Support-teacher’ adalah satu bentuk penyelesaian yang boleh digunakan. Rakan seprofesion yang lain dapat membantu guru semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di kelas yang menghadapi masalah. Tugas ini perlu dimasukkan dalam agenda sekolah dan beban pengajaran guru perlu diambil kira dalam jadual waktu.
Pentadbir perlu prihatin kepada guru dan murid. Seperti yang disiarkan dalah Harian Metro 19 April 2008, seorang guru disiplin mengugut Penolong Kanan sebuah sekolah setelah ditegur oleh PK tersebut. Guru disiplin sekolah menghadapi pelbagai masalah semasa di sekolah, terutamanya kenakalan murid dan mereka sentiasa berada dalam suasana yang tertekan dengan masalah tersebut. Sekiranya keprihatinan pihak pentadbir tidak diberikan, maka timbullah masalah tersebut. Pentadbir sekolah perlu melihat keadaan ini supaya guru-guru mereka sentiasa berada dalam suasana yang selamat, sihat dan gembira menghadapi tugas dan tanggung jawab yang telah diamanahkan. Sekiranya ini berlaku dan dilakukan oleh semua pentadbir, “win-win situation” akan berlaku dan menguntungkan semua pihak, termasuk guru, pentadbir, murid dan juga ibu bapa/penjaga.
Satu lagi cadangan saya kepada semua pentadbir sekolah bagi menangani masalah kenakalan murid adalah dengan menghubungi ibu bapa atau penjaga mereka. setelah masalah murid dikenal pasti, panggillah ibu bapa atau penjaga ke sekolah untuk menceritakan masalah sebenar yang dihadapi oleh anak mereka. Kita memohon bantuan daripada mereka untuk sama-sama mengatasi masalah ini. Mungkin sesetengah sekolah berbuat demikian, namun terdapat kekangan seperti ibu bapa tidak mengambil peduli langsung. Mungkin pihak pentadbir boleh membuat pendekatan lain seperti mengunjungi rumah mereka untuk berbincang. Kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah cara yang paling berkesan untuk berbincang dan melawat rumah ibu bapa atau penjaga berkenaan.
Saya ingin berkongsi dengan pembaca mengenai beberapa gambar lagi yang sempat dirakamkan tentang kenakalan murid di sekolah. Bukti melalui gambar ini dapat menceritakan kepada kita semua apa yang telah berlaku di sekolah-sekolah kita. Adakah ini perlu dibiarkan sahaja? Siapakah yang bertanggung jawab untuk membendung gejala ini? Sama-samalah kita berusaha untuk mengenangi gejala ini. Salam sejahtera, sehingga bertemu lagi.
No comments:
Post a Comment