Seseorang guru perlu memiliki ciri berikut bagi melengkapkan diri sebagai seorang guru sama ada ’yang dilahirkan sebagai seorang guru’ atau ’yang dibikinkan untuk menjadi seorang guru’. Walau pun anda ’dibikinkan’ untuk menjadi seorang guru, namun usaha, kesungguhan, keikhlasan, amanah dan kejujuran anda adalah ditagih oleh anak bangsa dan masyarakat. Jadilah seorang guru yang baik dan penuh dedikasi, janganlah merungut perkara yang tak perlu dirungutkan dan anggapkan kerjaya ini adalah suatu kerjaya yang mulia dan jadikan sebagai satu amalan baik serta IBADAH. Semua perkara baik dan ilmu yang disampaikan kelak adalah merupakan kebajikan dan amalan baik yang akan dikira selepas kita meninggalkan dunia ini. Ilmu yang disampaikan itu jika diguna dan diamalkan, akan sentiasa membuahkan pahala yang berterusan, InsyaAllah. Maka seseorang guru mungkin perlu memiliki dan mengamalkan perkara berikut:
- Mereka mempunyai jangkaan dan harapan yang tinggi kepada semua pelajar; menghormati sosial, budaya, bahasa, agama, latar belakang etnik, dan komited terhadap usaha meninggikan pencapaian pendidikan mereka.
- Mereka melayan semua pelajar dengan adil dan saksama secara berterusan, dengan menghormati dan memahami perkembangan pembelajaran yang pelbagai dalam diri seseorang pelajar.
- Mereka menunjukkan sikap, nilai dan tingkah laku yang positif yang mereka harapkan dari pelajar mereka.
- Mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan ibu bapa dan penjaga, menghormati peranan, tanggung jawab dan minat mereka dalam pembelajaran pelajar.
- Mereka dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertanggung jawab dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan sekolah, Jabatan Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (Kementerian Pelajaran Malaysia).
- Mereka sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan cara menilai semula amalan pengajaran masing-masing, mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan berkongsi pengalaman dengan rakan setugas yang lain. Mereka sentiasa bermotivasi dan boleh menjalankan tugas tambahan untuk perkembangan profesionalisme masing-masing.
- Mereka sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggung jawab berkaitan tugas harian yang berhubung dengan profesionalisme perguruan. Kualiti Guru Yang Diperlukan
- Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja. Menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu pengetahuan ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif.
- Guru perlu memahami perbezaan yang wujud dalam budaya, pengalaman keluarga, perkembangan mental dan pendekatan pembelajaran.
- Guru perlu peka, mendengar dengan baik dan mengambil berat terhadap pelajar semasa melaksanakan tugas-tugas pembelajaran. Guru perlu berfikir apakah maknanya untuk mempelajari pelbagai perkara untuk tujuan yang berbeza dan bagaimana membuat keputusan yang mana perlu dipelajari dalam pelbagai konteks.
- Guru perlu menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk memenuhi pelbagai matlamat dan pelbagai kaedah untuk menilai pengetahuan dan pendekatan pembelajaran pelajar masing-masing.
- Guru perlu dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar.
- Guru perlukan kemahiran untuk menghadapi pelajar yang mempunyai keperluan khusus atau kecacatan pembelajaran. Oleh kerana bahasa adalah merupakan pengantara kepada proses pengajaran, guru perlu memahami bagaimana pelajar ‘acquire’ bahasa, dengan itu mereka akan dapat membentuk kemahiran bahasa dan mencipta pengalaman belajar yang bermakna.
- Guru perlu mengetahui kurikulum dan teknologi (ICT) untuk menghubungkan pelajar mereka dengan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka meneroka idea, mendapat dan mensintesis maklumat, merangka dan menyelesaikan masalah.
- Guru perlu mengetahui tentang kolaborasi – bagaimana menstrukturkan interaksi dalam kalangan pelajar supaya pelajar dapat membentuk perkongsian pembelajaran yang kuat, bagaimana berkolaborasi dengan guru-guru lain dan bagaimana berkerjasama dengan ibubapa untuk membantu mereka mempelajari lebih lanjut berkaitan anak-anak mereka dan membentuk pengalaman yang dapat membantu di sekolah dan rumah.
- Guru perlu boleh menganalisis dan membuat refleksi ke atas amalan mereka, menilai keberkesanan pengajaran mereka dan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran.
- Guru perlu membuat penilaian berterusan terhadap apa yang pelajar fikir dan faham dan membentuk semula perancangan bagi menguasai apa yang mereka telah pelajari dan terokai. Guru dapat memberi pengalaman melalui memberikan tugasan pembelajaran yang konkrit, menilai, memerhati proses dan perkembangan pembelajaran.
- Guru perlu bertanya, meneroka dan melakukan ujikaji serta penyelidikan.
- Guru perlu mengadakan kolaborasi yang melibatkan perkongsian maklumat dalam kalangan sesama pendidik dan rakan sejawatan. Guru yang menjadi pentadbir perlu mempastikan wujud hubungan baik antara guru dengan pelajar di samping meneliti isi kandungan dan kaedah mengajar.
Selamat menjalankan tugas sebagai seorang guru yang sejati tanpa mempersoalkan perkara lain yang remeh temeh. Apa yang penting bagi kita sebagai warga guru adalah komitmen kita dengan tugas menjamin kejayaan pelajar. Kejayaan pelajar yang dimaksudkan bukanlah menjadikan mereka sebagai seorang bijak pandai yang menjawat jawatan besar dan hebat, tetapi kejayaan seseorang guru mendidik pelajar adalah menjadikan mereka sebagai seorang INSAN yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semua guru pasti tahu tentang keseimbangan insan yang perlu dihasilkan iaitu JERI …. keseimbangan dalam Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Kita perlu berbangga jika dapat menghasilkan seorang insan yang bekerja sebagai pemandu lori, pemandu bas yang berhemah dan bersopan santun di jalan raya serta menghormati pengguna lain. Kita perlu berbangga sekiranya anak didik kita menjadi seorang pekerja pasaraya atau pekerja kilang yang komited kepada kerja dan dapat menyara kehidupan keluarga dengan titik peluh sendiri serta memperolehi rezeki yang halal. Berapa ramai nak jadi doktor, jurutera dan sebagainya? Sekiranya mereka menjadi tukang sapu sampah sekali pun, mereka mempunyai etika kerja yang jujur, murni dan tidak curi tulang. Mereka memperolehi rezeki yang halal dan dapat menyara keluarga. Semua kerjaya menyumbang kepada kesejahteraan hidup. Sekiranya mereka menjadi seorang doktor perubatan, tetapi pesakit akan menjadi lebih sakit sekiranya berjumpa mereka, apalah gunanya. Seorang jurutera bangunan yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata, seorang pegawai kerajaan yang rasuah dan pecah amanah… kejayaan anak didik kita sebegini bukan sahaja menunjukkan kegagalan kita mendidik tetapi merosakkan masyarakat. Jumpa lagi… SELAMAT HARI GURU
No comments:
Post a Comment