Friday, September 26, 2008

Refleksi 5 - PPSMI - Pulau Perhentian

Dilema sekolah pulau (SK Pulau Perhentian)
Gambar menunjukkan pintu masuk ke sekolah Bangunan sekolah
Sekolah ini mempunyai bilangan guru yang sedikit. Tambahan pula, ramai daripada kalangan mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah melalui program yang dianjurkan khas oleh KPM untuk guru sekolah pulau iaitu program Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 Minggu. Ini menyebabkan bilangan guru yang masih tinggal dan mengajar di sekolah berkurangan. Selepas guru-guru ini menghabiskan kursus KDP 14 Minggu ini, mereka akan ditawarkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti tempatan. Maka sekolah akan kehilangan mereka dengan kekal kerana sekiranya mereka menghabiskan pengajian kelak, penempatan semula guru ini tidak semestinya ke sekolah asal mereka. Oleh itu guru keluar masuk sekolah dalam keadaan yang tidak terkawal.
Pemandangan daripada bangunan sekolah
Pencerapan PPSMI dilakukan kepada guru mengajar yang mengajar Sains. Beliau menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Bahasa Melayu yang digunakan adalah dalam loghat tempatan (Kelantan). Menurut beliau, murid tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik menyebabkan mereka tidak dapat memahami langsung isi kandungan pelajaran yang diajar sekiranya menggunakan bahasa tersebut. Ini menyebabkan guru membuat keputusan menggunakan bahasa Melayu. Kata beliau, asalkan murid dapat belajar supaya tidak menjadi seperti kata pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran’
Murid sedang mengikuti pelajaran Sains (PPSMI)
Murid ini begitu peramah dan menghantar rombongan kami sehingga ke jeti semasa meninggalkan pulau ini.
Usaha pihak sekolah mengadakan program khas untuk meningkatkan prestasi murid dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah mengkagumkan. Guru ‘mengurung’ murid tahun 6 sejak bulan Febuari di sekolah sehingga UPSR seleasi dijalankan. Ini bermakna semua murid tahun 6 akan tinggal di sekolah sepanjang masa. Bilik darjah yang diubahsuai untuk menjadi kediaman seperti asrama digunakan untuk menempatkan murid-murid ini. Makan minum mereka diuruskan oleh guru dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG). Kelas tambahan dan persediaan sentiasa diawasi dan dibimbing oleh guru yang juga tinggal di sekolah. Guru tinggal dalam bilik darjah yang diubahsuai menjadi bilik tidur. Kebanyakan guru ini berasal daripada tanah besar (semenanjung). Istilah yang digunakan di sini ialah ‘darat’. Hujung minggu guru-guru ini akan pulang ke ‘darat’ (Kuala Besut dan kawasan persekitaran). Hasilnya menakjubkan, Tahun 2007 – seorang murid mendapat 5A dan seorang 4A. Murid yang memperolehi 5A ke Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu dan murid yang memperolehi 4A pulak ditempatkan di sekolah premier di Kuala Besut. Hasil program ini yang telah dijalankan sekian lama juga telah menampakkan hasil positif apabila beberapa orang bekas murid sekolah ini telah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Salah seorang graduan universiti telah menjadi seorang tenaga pengajar sementara di sekolah ini. Beliau telah menjadi ‘role model’ kepada semua murid yang lain. Aktiviti Kokurikulum Walau pun tiada kemudahan asas seperti padang bola dan sebagainya, namun terdapat dua orang murid sekolah ini mewakili negeri dalam acara olahraga. Ini adalah sesuatu yang menakjubkan! Modal insan dalam bentuk kokurikulum (sukan) dapat diketengahkan daripada kalangan penduduk di sini dalam suasana begini seperti sukan renang, formula future, diving dan sebagainya. Pihak-pihak tertentu harus membuka mata dan melakukan sesuatu supaya modal insan ini tidak terbiar begitu sahaja. Murid yang hidup dalam persekitaran ini adalah amat mahir dan cekap dalam bidang-bidang kokurikulum seperti saya sebutkan.
Hanya ini sahaja ruang untuk aktiviti sukan
Stigma Guru yang dihantar ke sekolah pulau adalah guru buangan (amalan dahulu). Kini masih wujud stigma itu, walaupun realitinya tidak begitu. Malahan insentif elaun guru sekolah pedalaman RM500.00 sebulan telah diberikan kepada guru yang ditempatkan di sekolah pulau dan pedalaman. Dilema mereka adalah – keluarga di ’darat’ dan perlu balik ke ‘darat’ seminggu sekali. Tambang bot adalah RM70.00 pergi balik, bermakna mereka menghabiskan RM280.00 sebulan untuk tambang bot (jika pulang setiap minggu). Perjalanan bot ke ‘darat’ pula bergantung kepada cuaca (jadual biasa ialah 8.00 pagi – 12 tengahari). Manakala musim tengkujuh pula, ribut sentiasa berlaku dan kuat, maka bot tidak boleh bergerak. Oleh itu mereka tidak dapat balik ke ‘darat’. Ribut sentiasa berlaku di pulau ini, dan kekuatannya sehingga dapat menerbangkan atap sekolah (hampir setiap tahun berlaku). Terdapat sebuah klinik desa di pulau ini dan mengandung dua orang staf yang berkerja sepanjang masa (seorang Staff Nurse dan seorang Assistant Nurse). Bagi keperluan kecemasan, terdapat bot ambulance disediakan oleh pihak berkuasa. Operasi kecemasan juga bergantung kepada keadaan cuaca. Sekiranya berlaku kecemasan, tetapi cuaca tidak mengizinkan untuk bot ambulance ini bergerak, maka pesakit tidak dapat dihantar ke hospital di semenanjung. Daripada aspek keselamatan pula, terdapat sebuah pondok polis (balai polis) dengan dua orang kakitangan bertugas. Label bangunan dinyatakan sebagai pondok polis tetapi dilihat daripada bangunannya, ianya bukanlah ‘pondok’ tetapi sebuah bangunan dua tingkat yang agak besar.
Pemandangan daripada bangunan sekolah menunjukkan 'pondok' polis dan jeti
Persekitaran pulau ini telah diisytiharkan sebagai Taman Laut Negara. Oleh demikian aktiviti nelayan di sekitar perairan ini adalah dilarang dan sentiasa diawasi oleh pihak berwajib. Semua keperluan asas datang daripada tanah besar seperti air bersih (tawar) Satu saluran paip bawah tanah dari tanah besar sedang dipasang untuk membekalkan air tawar bersih kepada penduduk tempatan. Tenaga elektrik pula sentiasa ada 24 jam melalui janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan punca tenaga solar milik TNB.
Pemandangan menunjukkan kawasan penempatan penduduk tempatan
Terdapat juga penduduk yang mengusahakan perusahaan 'sarang burung' dengan membina rumah untuk burung layang-layang membuat sarang.
Menurut seorang penduduk kampung, dahulu penduduk di sini adalah nelayan dan mereka menangkap ikan untuk keperluan sendiri serta bercucuk tanam seperti sayuran dan buah-buahan. Kini penduduk bergantung sepenuhnya kepada makanan dan hasil ikan daripada tanah besar. Anak muda semuanya berkerja dengan chalet-chalet dan hotel-hotel sekitar pulau berhampiran atau membawa bot pelancong yang dikenali sebagai ’teksi’. Ada penduduk yang mengusahakan sendiri ‘teksi’ air ini untuk membawa pelancong-pelancong ke destinasi pelancongan (pantai) yang menarik bagi tujuan mandi atau ‘snorkeling’. Kelihatan ramai pelancong asing datang ke pulau ini untuk menikmati keindahan Pulau Perhentian dan persekitaran air sekelilingnya. Pulau ini juga menjadi tempat persinggahan nelayan daripada Thailand yang berlindung daripada ribut.
Kelihatan sebuah lagi pulau perhentian (Pulau Besar) yang menjadi tumpuan pelancong

6 comments:

nur said...

saya sgt kagum dgn usaha PIBG SKPP nih.berbeza dgn kebanyakan sekolah di bandar yg PIBGnya hanya pandai mengutip wang dan digunakan utk tujuan yg x penting.

Fadzy said...

terfikir nk mintak posting ke pulau perhentian tahun depan..dh jatuh cinta dgn perhentian island..

fadzreen kamaruddin,
b.ed teyl, maktab pulau pinang.

Deria said...

Syabas Fadzy, memang seronok di sana. Ikan fresh, tenang dan damai dengan lautan yang terbentang luas. Ramai anak bangsa kita menunggu anda dan mereka sangat dahagakan ilmu pengetahuan serta memerlukan seorang guru yang komited dan berdedikasi.

Fadzy said...
This comment has been removed by the author.
Fadzy said...

Mungkin tuan boleh berikan sedikit cadangan kpd sy macamana nk dpt posting ke sana. maklumlah, posting ni kita x boleh pilih2 kn.

pendapat sy, baik sy pergi ke 1 tmpt yg mana pelajarnya minat nak belajar, tapi kekurangan tenaga pengajar.

harap tuan dpt utarakn 1 cadangan utk sy. terima kasih.

may.cally said...

kalu ikutkan minat mmg nk je g ngaja sana...(teringat masa g mlwt sklh tu thn 2002 rasanya)...tp tanggungjwb sedia ada kat DARAT ni mcmn pulak....