Thursday, September 11, 2008

PPSMI - Apa Yang Murid Belajar?

PPSMI adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris iaitu dasar pendidikan yang telah dilaksanakan kebelakangan ini terhadap pengajaran dan pembelajaran bagi kedua-dua mata pelajaran penting dalam kurikulum kebangsaan. Pelbagai insentif telah diadakan oleh pihak kerajaan bagi merealisasi dan menjayakan dasar ini. Walau pun pelbagai rintangan dan halangan daripada berbagai pihak, namun pelaksanaan PPSMI tetap dilakukan.
Ini adalah arahan TOP – DOWN daripada peringkat paling tinggi. Sudah berbilion wang (RM) telah digunakan bagi mempastikan PPSMI berjalan dengan lancar.Bagaimana hasilnya? Maklumbalas pelaksanaan PPSMI diperolehi oleh Kementerian Pelajaran melalui pelaksanaan penaziran oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) dimana terdapat satu unit naziran PPSMI yang diketuai oleh seorang Ketua Penolong Pengarah. Pemeriksaan pengajaran dan pembelajaran PPSMI dilakukan secara menyeluruh ke seluruh negara oleh nazir daripada Putrajaya dan juga nazir di semua negeri semanajung, Sabah dan Sarawak. Hasil atau maklum balas laporan nazir telah dikemukakan kepada menteri pelajaran sejak beberapa tahun kebelakangan. Nampaknya, hasil naziran menunjukkan semuannya berjalan dengan lancar dan baik. Bagaimanakan aspek kelemahan dan ’ketidakmenjadian’ murid? Adakah dilaporkan dengan telus dan berani? Soal ini banyak menimbulkan tanda tanya??? Secara jujurnya, sekiranya kita melihat perkembangan pencapaian PPSMI murid dalam tempoh setahun kebelakangan ini, banyak persoalan dan isu dapat dibincangkan diperingkat nasional dan tertinggi kerajaan.
Sehingga persidangan UMNO tahun 2007 telah membangkitkan perkara ini dengan lantang dan beraninya supaya dasar dikaji semula. Sebelum itu, dalam satu wadah persidangan Orang Melayu, ada satu kajian telah dibentangkan oleh sekumpulan cendekiawan Melayu yang mengkaji pelaksanaan dasar ini. Banyak perkara yang kurang menarik telah dilaporkan. Khabarnya kumpulan cendekiawan tersebut menghadapi beberapa masalah selepas itu. Kini, ketelusan terhadap pelaksanaan dasar tersebut kian terserlah dan sudah ramai yang berani tampil ke hadapan untuk membincangkan isu ini.Nak tahu keberkesanan atau baik buruknya pelaksanaan dasar ini?
Tanyalah kepada guru yang mengajar! Bagaimana? Mestilah melalui penyelidikan! Siapa yang nak lakukan? Sudah tentu agensi kerajaan seperti EPRD dan pensyarah-pensyarah di IPTA/S atau Institut Perguruan. Kalau anda bertanya kepada guru secara formal melalui kajian, adakah mereka mahu menyatakan bahawa yang pelaksaaan dasar tersebut mempunyai masalah besar kepada murid? Setahu saya, guru adalah insan yang paling patuh kepada orang yang memberi arahan. Mereka akan memberi tahu kepada pengkaji bahawa PPSMI adalah baik dan ok!
Memang pun pesanan Guru Besar dan Pengetua sentiasa dipatuhi. Guru-guru perlu menunjukkan sikap yang positif terhadap pelaksanaan PPSMI. Kalau ada pegawai daripada kementerian atau mana-mana badan atau agensi kerajaan atau sebagainya datang melawat ke bilik darjah, guru-guru mesti mengajar dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Tambahan lagi kalau dicerap oleh Nazir Sekolah. Kalau siapa pun tanya tentang PPSMI, guru-guru mesti bagi tahu yang ok sahaja. Hanya ada segelintir sahaja guru yang BERANI melanggar arahan ini. Mereka ini menyatakan yang benar berlaku dalam bilik darjah mengenai ‘kemenjadian’ murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris. Ada caranya kalau kita nak tahu yang sebenar… pergilah berbisik dengan guru tersebut, cakap perlahan-lahan dan pujuk mereka, pasti fakta sebenarnya akan dapat diketahui.
Seorang Pengetua sekolah pernah bertanya kepada seorang penyelidik, “Apa pandangan tuan tentang PPSMI?”
Penyelidik ini tidak menjawab, malah menyoal semula pengetua tersebut “Kalau ada dua aliran sekolah (Melayu dan Inggeris), sekolah manakah yang Puan akan hantar anak Puan?”
Pengetua ini menjawab “Sekolah Inggeris”.
Penyelidik ini berkata “Itulah jawapan saya
Bermakna beliau amat menyokong PPSMI. Persoalannya….. adakah sama sekolah aliran Inggeris dengan sekolah yang melaksanakan PPSMI? Kalau nak bagi murid pandai bahasa Inggeris, ajarlah mereka dengan bahasa tersebut, bukan ajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut!!!Menurut seorang aktivis Melayu yang kini sedang rancak menjalankan kajian mengenai PPSMI, hanya 20% sahaja murid yang dapat ikut. Selebihnya (majoriti) tertinggal.
Semasa membuat penyeliaan di dua buah sekolah (menengah dan rendah), saya boleh mengesahkan dakwaan aktivis ini. Sebuah kelas yang terpandai sahaja (daripada lima buah kelas) yang OK dengan PPSMI, selebihnya KO. Kelas yang sederhana itu adalah dalam 20% ke 30% yang boleh ikut. Semasa melaksanakan ujian yang 100% dalam bahasa Inggeris, mereka tak dapat memahami soalan. Murid kita ini sebenarnya ada dua masalah besar apabila menjawab soalan dalam bahasa Inggeris:
  • Masalah untuk memahami soalan dalam bahasa Inggeris.
  • Masalah untuk menjawab atau mencari jawapan (terutamanya dalam Matematik, Fizik dan Kimia)

Sebab itulah, orang Melayu ramai lulus Sains dan Matematik ketika sekitar tahun 1980an (agaknya) sebab mereka belajar dalam bahasa Melayu dan hanya menghadapi satu masalah sahaja iaitu menjawab soalan! Kalau nak tengok daripada keputusan peperiksaan awam yang lalu (UPSR, PMR dan SPM) memanglah ramai yang lulus tinggi dalam Matematik dan Sains. Tanya Lembaga Peperiksaan Malaysia, cara nak meramaikan orang lulus cemerlang. Cikgu sendiri pun terkjut beruk! Murid yang tak sangka skor pun dapat bagus… murid sendiri pun terkejut, “ehh!! macam mana aku boleh pandai macam ni?”. Ibu bapa pun sama, “laaaa!!! dia boleh skor ya… tak sangka!!!”

Banyak faktor yang boleh dibincangkan di sini, antaranya ialah:

  • Latar belakang sosial murid, terutamanya yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.Pendedahan murid dan ibu bapa kepada bahasa Inggeris adalah terhad sama ada daripada segi bacaan (bahan bacaan) dan pertuturan sama ada di rumah atau dalam masyarakat.
  • Latar belakang guru. Tidak ramai guru yang kompetens dalam berbahasa Inggeris. Lainlah guru dalam zaman dahulu yang ada sekolah aliran Inggeris. Semua gurunya mahir dan yakin berkomunikasi dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris.
  • Terminologi yang digunakan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Banyak terminologi yang ada dalam kedua-dua subjek ini tidak membantu murid untuk cekap berbahasa Inggeris, sama ada daripada segi vokabularinya atau pun tata bahasa (grammar).
Maka, wujudkanlah semula aliran bahasa Inggeris sekiranya kerajaan mahukan warga negara yang pandai berbahasa Inggeris. Ibu bapa akan mempunyai pilihan mereka sendiri sama ada mahu menghantar anak ke sekolah Inggeris atau sekolah Melayu. Sekolah Inggeris dahulu, semua subjek diajar dalam bahasa tersebut. Ada hari yang tak boleh cakap Melayu langsung, kalau cakap sepatah 10 sen denda… maka lahirlah ramai orang Melayu yang berbahasa Inggeris dengan fasih. Adakah kerajaan mahukan itu? Apakah yang terkandung dalam dasar Bahasa Kebangsaan? Selama ini dilaungkan-laungkan bahasa bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Lihat sahaja bahasa Indonesia. Terbukti bahawa bahasa dapat menyatu padukan rakyat….
Memang kasihan kepada guru-guru yang terlibat dalam PPSMI. Mereka dibebankan dengan pengajaran begini dan mereka juga akan dipersalahkan jika murid gagal. Diharapkan, janganlah ikut sangat dasar yang mantan PM tu buat. Tengoklah balik… jangan menang sorak, kampung tergadai. Masa depan orang Melayu perlu diutamakan. Pandangan ramai pihak menyatakan bahawa dalam sedekad akan datang kita akan dapat melihat kesan ke atas pelaksanaan dasar ini. Graf bilangan Melayu dalam bidang Sains dan Matematik akan menurun dengan mendadak.

Sebahagian Guru dan Nazir Semasa Membuat Pemeriksaan PPSMI di SMK Hang Kasturi, Melaka

No comments: