Menyelia guru pelatih merupakan suatu tugas yang begitu memerlukan amanah, jujur dan ikhlas. Sebagai seorang bakal guru, mereka menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Mereka juga bakal menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam alam pendidikan, lebih-lebih lagi dalam zaman ini yang penuh dengan pelbagai keajaiban…
Sedih juga melihatkan mereka diperkotak-katikkan oleh murid dalam bilik darjah. Kenakalan murid menjadi satu cabaran kepada mereka. Bukan mudah untuk mengawal kelas yang mengandungi murid nakal. Semakin rendah kelas, semakin ramai murid yang nakal. Semua sekolah boleh dikatakan menghadapi masalah kenakalan murid, terutamanya murid Tingkatan 1 dan 2. Rata-rata murid ini adalah daripada mereka yang berbangsa Cina dan India. Bukan saya menuduh sebarang, ini adalah hakikat dan berdasarkan pengalaman serta pemerhatian yang begitu lama dalam alam pendidikan ini. Kenakalan mereka seolah-olah mencabar kita sebagai pendidik. sebab itu tak hairanlah apabila kita membaca dan mendengar dari pelbagai sumber mengatakan guru-guru menghadapi tekanan mental. Salah satu daripada puncanya ialah mereka terpaksa menghadapi karenah murid nakal. Malahan kini, alam pendidikan diramaikan oleh kaum wanita. Bukan saya ingin merendahkan kaum wanita, tetapi terimalah hakikat ini bahawa dalam hal mendisiplinkan murid nakal, alam pendidikan memerlukan LELAKI untuk mententeramkan suasana.
Maka dengan sebilangan kecil guru lelaki di sekolah-sekolah (terutamanya sekitar Lembah Klang dan kawasan bandar-bandar besar)….(mengapa ya?)..merekalah merupakan tempat pentadbir sekolah menaruh harapan agar dapat berfungsi dengan baik bagi mententeramkan suasana kenakalan murid. Saya pernah berjumpa dengan seorang guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di sebuah sekolah di Bandar Kinrara. Beliau berlegar-legar di sekeliling kawasan sekolah sambil membawa sebatang rotan. Beliau adalah seorang wanita yang cantik, berbadan kecil dan kelihatan begitu bersopan sekali. saya bertanya adalah beliau merotan apabila berjumpa murid yang membuat kesalahan? Beliau menjawab hanya memukul meja, dinding dan objek yang ada di sekelilingnya sahaja untuk tujuan menakutkan murid. Adakah tindakan beliau berkesan????
Dalam sebuah bilik darjah yang saya selia, seorang guru wanita sedang mengajar. Sementara beberapa orang murid lelaki berbangsa Cina kelihatan mundar mandir di sekitar bilik darjah. Guru mengarahkan mereka duduk di tempat masing-masing dan ikut arahan, tetapi murid-murid ini tidak menghiraukan arahan guru. Saya cuma memerhatikan bagaimana seorang guru pelatih dapat bertindak mententeramkan keadaan tersebut. Murid nakal ini terus mengganggu rakan-rakan lain yang sedang belajar, menjerit-jerit dalam bahasa Cina bercakap sesama mereka dalam bahasa tersebut. Salah seorang daripada mereka tidur di lantai dan berguling-guling sambil tertawa. Guru tidak dapat berbuat apa-apa.
Dalam satu situasi lain, murid mengelilingi guru yang sedang mengajar dan menjerit-jerit sambil melompat-lompat. Guru juga terpaksa menjerit dan mengarahkan mereka duduk di tempat masing-masing, tetapi tidak dihiraukan. Suasana bilik darjah menjadi begitu bising dan pembelajaran tidak dapat berlaku dengan lancar. Guru sudah panik dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran beliau.
Cuba kita lihat suasana ini, setiap hari berlaku dalam bilik-bilik darjah di sekolah kita seluruh negara. Sekiranya kita prihatin, situasi ini adalah membimbangkan. Harian Metro pernah menyiarkan mengenai Samseng Sekolah. Masalah ini diletakkan tanggung jawab kepada guru disiplin dan kaunselor. Adakah ini wajar? Kementerian Pelajaran Malaysia pernah menyatakan bahawa “semua guru adalah guru disiplin dan semua guru adalah guru kaunseling” Adakah ini berlaku di sekolah?
Siapakah yang wajar menjadi guru disiplin? guru lelaki? guru wanita? guru yang garang? atau watak-watak guru yang mempunyai ciri-ciri khas bagi membendung gejala kenakalan ini?
Lihat saja meja tulis murid di sekolah, meja makmal sains, semuanya berconteng dan sesetengahnya tidak ada tempat lagi untuk ditulis sekiranya kita ingin juga menyumbang idea. Berbagai-bagai jenis, bentuk dan kata-kata yang dicurahkan di atas meja tersebut. Ada yang seronok untuk dibaca dan ada yang “tak lalu” untuk dibaca. Inikah budaya murid sekolah sekarang? Adakah pihak pentadbir sekolah tahu dan memandang serious tentang hal ini? Adakah langkah-langkah diambil untuk membendungnya?
Saya pernah melawat ke sebuah sekolah di Klang, semua cermin tingkap (nako) di bilik darjah tingkat 4 sebuah bangunan sekolah tersebut tidak ada kerana dipecahkan oleh murid. Tingkat empat adalah tempat yang tinggi dan sebarang kemungkinan kemalangan serious boleh berlaku sekiranya murid tertolak atau ditolak semasa bermain-main. Saya bertanyakan guru mengapa tidak diganti cermin tersebut? Beliau cakap kalau diganti hari ini, esok sudah pecah semuanya. Katanya, pintu bilik darjah pun dipecahkan oleh murid dan sekolah pernah mengganti dengan pintu besi. Beliau menunjukkan pintu besi tersebut dan pintu besi itu pun kelihatan kemek di sana-sini. Apatah lagi kalau pintu kayu….Pengalaman saya sebagai seorang guru sekolah, pensyarah maktab perguruan, pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia, Jemaah Nazir Sekolah dan pendidik guru di sebuah IPTA memberikan satu gambaran senario yang begitu jelas tentang kenakalan murid sekolah dan gambaran tentang kelemahan pentadbir sekolah menangani permasalah ini. Saya telah mengalami pelbagai situasi yang memberikan saya keyakinan untuk bercakap mengenai perkara ini. Kita akan berbicara lagi dalam siri kedua nanti….. salam hormat.
1 comment:
Mintak penulis melakukan sedikit kajian ... adakah dengan perlaksanaan pbs ini akan menjadikan murid lebih tidak terkawal atau dan mengakibatkan murid atau guru datang ke sekolah kerana terpaksa dan sia sia..tima kasih
Post a Comment