Thursday, September 11, 2008

Pengurusan Persekitaran Sekolah

Syabas kepada guru-guru yang dapat menguruskan persekitaran sekolah dengan bersih, kemas dan ceria. Sesungguhnya persekitaran sekolah yang bersih, kemas dan kelihatan ceria akan dapat menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang baik dan membantu guru serta murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih selesa dan berkesan. Ada sekolah yang menyediakan lanskap yang menarik seperti taman herba, taman burung, taman arnab, kolam ikan dengan pancutan atau aliran air. Suasana ini menggambarkan kesungguhan pentadbir dan guru menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Bukan sekadar guru dan murid yang mendapat manfaat daripada persekitaran yang kondusif ini, pelawat sekolah juga merasa terhibur dan seronok melihat suasana yang ceria ini. Pondok bacaan atau wakaf yang mengandungi pelbagai bahan bacaan dapat menggalakkan murid untuk mentelaah pelajaran dengan tenang disamping mendapatkan maklumat yang berguna daripada bahan bacaan yang disediakan.
Lanskap yang menceriakan sekolah
Pondok Bacaan
Pintu masuk tandas murid
Keadaan tandas yang bersih, sama ada tandas murid dan tandas guru membolehkan warga sekolah mensucikan badan dengan selesa.
Aktiviti jualan yang dikendalikan oleh murid
Ada sekolah yang menganjurkan aktiviti hari kokurikulum yang dapat memberikan pengalaman usahawan yang berguna kepada murid. Aktiviti jualan yang sepenuhnya dikendalikan oleh murid akan dapat memberikan pengalaman yang tidak boleh diajar di dalam bilik darjah.
Bilik darjah yang ceria dan sudut informasi yang sentiasa kemas serta menarik disediakan oleh guru dan murid. Ini memerlukan penglibatan secara langsung dan bersungguh-sungguh daripada guru kelas dan guru mata pelajaran. Papan pamer (softboard) yang disediakan di hadapan dan belakang bilik darjah adalah satu peluang untuk guru dan murid berkreatif. Kalau diharapkan murid sahaja, perkara ini tidak akan berlaku. Guru perlu memainkan peranan penting dalam menggalakkan murid mengisi bahan atau maklumat berkaitan dengan pelajaran di ruangan yang disediakan. Ada sekolah yang tidak menguruskan persekitaran dengan baik seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini. Papan hitam dan papan pamer (softboard) yang terdapat dalam bilik darjah yang berlubang dan tidak diselia dengan baik. Ini akan menggambarkan imej guru dan pentadbir sekolah itu sendiri. Saya pernah melawat ke sekolah-sekolah di luar negara dan melihat sendiri bagaimana keadaan bilik darjah di sekolah mereka. Bilik darjah mereka dipenuhi dengan bahan-bahan yang informatik. Hasil kerja murid dipaparkan di bilik darjah. Ini adalah satu bentuk penghargaan kepada hasil kerja murid. Ayuh cikgu, kita bertindak sekarang untuk menceriakan bilik darjah kita sendiri. Bekalkan murid dengan pelbagai bahan informasi berkaitan pelajaran yang kita ajar, minta mereka cari bahan-bahan yang sesuai untuk dipamerkan. Sentiasa kemaskini bahan-bahan tersebut supaya tidak jemu dipandang.
Troli Projektor Yang Lengkap Dengan Penyambung Elektrik digunakan sebagai tempat letak bunga
Bagaimana pulak yang ini? Sepatutnya troli yang menjadi tempat letak projektor LCD yang dilengkapi dengan plug penyambung punca elektrik ini perlu digunapakai dan diuruskan dengan sebaik mungkin. Fungsi alat ini sudah berubah menjadi meja tempat letak bunga. Kalau diperhatikan, banyak sekolah yang menyalahgunakan alat yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran ini. Setiap makmal dibekalkan dengan alat ini. Disesetengah sekolah, alat ini juga kelihatan terdapat di bilik darjah. Rasanya kos untuk membeli peralatan ini agak mahal juga, tetapi alat ini terabai dan tidak digunakan oleh pihak sekolah (guru). Sesetengahnya sudah rosak dan kelihatan buruk, tersimpan dalam stor. Kementerian Pelajaran perlu melihat semula pembekalan alat ini supaya pembaziran tidak berlaku.
Pandangan dari atas sebuah sekolah yang kelihatan bumbung dipenuhi sampah

1 comment:

nurul najib said...

sekolah saya dulu , SM Hillcrest sekolah yang x ada tong sampah.bangga kami menjadi pelajarnya.kami dididik pegang sampah yg nk dibuang dan buang pada plastik sampah sendiri.