Wednesday, July 24, 2013

REKA BENTUK PENGAJARAN



 Asalnya definisi reka bentuk pengajaran adalah suatu proses untuk membina bahan pengajaran seperti modul bercetak, video pengajaran, perisian komputer dan sebagainya.  Proses ini mencakupi proses reka bentuk dan proses membina bahan.

Richey (1986)  mendefinisikan reka bentuk pengajaran sebagai sains untuk mencipta amalan pengajaran yang terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan situasi pembelajaran yang memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran berlaku.

Reka bentuk pengajaran juga adalah merupakan suatu cara yang sistematik bagi mereka bentuk, membina dan menggunakan seluruh proses pengajaran.

Sementara itu, definisi lain pula adalah proses untuk menentukan ciri-ciri dan keperluan untuk pembelajaran yang juga mengambil kira perubahan sistem dan pengaruh alam sekeliling (Seels dan Richey, 1994). Definisi ini menjelaskan bahawa reka bentuk pengajaran adalah proses menyatakan spesifikasi syarat untuk belajar yang meliputi empat bidang utama iaitu;


  • Reka bentuk sistem pengajaran.
  •  Reka bentuk strategi pengajaran.
  •  Reka bentuk mesej pengajaran.
  •   Ciri-ciri pelajar.


Dalam perbincangan ini, fokus utama kita adalah kepada definisi ini kerana ia melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang kita amalkan setiap hari.


Reka Bentuk Sistem Pengajaran

Reka bentuk sistem pengajaran adalah satu tatacara yang teratur untuk menganalisis, mereka bentuk, membina, melaksana dan menilai pengajaran.


  • Menganalisis adalah suatu proses untuk menentukan apa yang harus dipelajari.
  • Membina adalah proses untuk mengarang (seperti membuat perisian komputer) dan menghasilkan bahan pembelajaran
  • Melaksana adalah menggunakan bahan dan strategi (kaedah) pengajaran.
  • Menilai adalah menentukan keupayaan dan keberkesanan pengajaran.


Keempat-empat elemen ini adalah berlaku secara linear dan saling bergantung antara satu sama lain.

















 

 
Kajian-kajian telah mendapati reka bentuk pengajaran dapat membantu atau meningkatkan pencapaian pelajar. Tanpa penggunaan reka bentuk pengajaran, maka pengajaran dalam bilik darjah menjadi tidak teratur dan objektif pengajaran sukar dicapai.

Model Reka bentuk Pengajaran

Terdapat banyak model reka bentuk pengajaran, namun kebanyakan model-model ini mempunyai elemen yang sama. Elemen asas tersebut ialah seperti berikut:

  1. Menentukan keperluan pelajar.
  2.  Menentukan matlamat dan objektif pengajaran.
  3.  Membina kaedah penilaian.
  4.  Mereka bentuk dan memilih strategi pengajaran.
  5.  Mencuba sistem pengajaran.
  6. Menilai keseluruhan sistem.


Terdapat tiga fokus utama model reka bentuk pengajaran iaitu;

  1. Model berasaskan sistem.
  2. Model berasaskan bilik darjah.
  3.  Model berasaskan hasil.


Berikut adalah contoh model yang termasuk dalam kategori di atas.

Model berasaskan bilik darjah adalah model ASSURE (Heineich, Molenda dan Russel, 1993), model berasaskan sistem pula ialah Model Dick dan Carey (1979), sementara model berasaskan hasil ialah Model Leshin, Pollock dan Reigeluth (1990).

Perhatian: Modul ini tidak membincangkan dengan mendalaml terhadap setiap model reka bentuk pengajaran. Pelajar perlu sekadar tahu maksud reka bentuk pengajaran dan kepentingannya dalam perancangan pengajaran di bilik darjah.

Reka Bentuk Strategi Pengajaran

Reka bentuk strategi pengajaran adalah proses memilih dan menyusun peristiwa dan aktiviti pembelajaran dalam sesuatu unit pelajaran termasuk juga pemilihan media yang sesuai. Antara beberapa strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah;

  • Kuliah/syarahan
  • Bersoal jawab
  •  Sumbang saran
  • Perbincangan kumpulan kecil atau kumpulan besar
  •  Demonstrasi
  • Tutorial
  • Temubual
  • Main peranan (role play)

 Pilihlah strategi pengajaran yang sesuai dengan tajuk yang diajar, objektif pengajaran dan juga keperluan pelajar. Kadang-kadang kita boleh menggabungkan lebih dari satu strategi pengajaran dalam satu masa. Ada strategi pengajaran yang menumpukan kepada guru sahaja (teachers' centered), ada yang berpusatkan pelajar (students centered) dan ada pula strategi pengajaran yang menumpukan kepada aktiviti yang dijalankan. Pemilihan media juga perlu dilakukan supaya sesuai dengan strategi yang digunakan.
Reka Bentuk Mesej Pengajaran

Reka bentuk mesej pengajaran adalah merancang untuk menggunakan cara dan format yang paling sesuai untuk menyampaikan mesej kepada pelajar. Contohnya; reka bentuk skrin komputer; penggunaan warna dalam penyediaan poster, carta dan sebagainya, penghurufan seperti saiz dan jenis huruf; jenis media seperti video, audio, gambar dan sebagainya. Selain itu aspek-aspek grafik juga perlu diketahui sedikit sebanyak oleh guru agar dapat menyediakan bahan pembelajaran yang dapat mencapai objektif pengajaran, atau dapat memilih menggunakan bahan yang sesuai.

Ciri-Ciri Pelajar

Latar belakang pengalaman pelajar seperti kemahiran, pengetahuan dan sikap yang sedia ada memberikan kesan terhadap proses pembelajaran. Banyak kajian telah mendapati tahap pengetahuan sedia ada pelajar (entry level) adalah mempengaruhi pencapaian pelajar. Harus diingatkan bahawa tahap pengetahuan sedia ada pelajar adalah amat berbeza antara satu sama lain. Guru perlu sentiasa mengambil perhatian dan tumpuan yang khusus terhadap faktor ini. Kita tidak boleh mengambil mudah dengan menganggap bahawa semua pelajar dalam sesuatu kelas itu adalah sama, sama ada semua mereka sudah tahu atau semua mereka tidak tahu apa-apa tentang pelajaran yang  disampaikan. Faktor kesihatan juga adalah amat penting untuk diberi perhatian oleh guru. Ada pelajar yang datang dari berbagai latar belakang sosio-ekonomi yang melibatkan aspek pemakanan yang sempurna dan tahap kesihatan yang berbeza-beza.

Penggunaan Reka Bentuk Pengajaran Dalam Proses Pengajaran

Terdapat berbagai-bagai model reka bentuk pengajaran seperti Briggs (1977), Brigss & Wager (1988, 1992), Model ASSURE (1982, 1985, 1989, 1993, 1996), Model Romizowski (1981, 1984, 1988), Model Dick & Carey (1978, 1985, 1990) dan Model Dick & Reiser (1989). 

Dari pelbagai model ini, satu rumusan dapat dibuat dan model reka bentuk sistem pengajaran bersepadu (Integrated Instructional System Design) telah dicadangkan.

Model Reka Bentuk Sistem Pengajaran Bersepadu (Integrated Instructional System Design)

Terdapat lima peringkat dalam model ini;

Peringkat Pertama:

                                                  Penentuan Isi Kandungan Pelajaran

 
 
 


Daripada sukatan pelajaran, guru perlu menentukan apakah tajuk yang akan disampaikan. Sumber rujukan seperti buku teks, buku rujukan, media dan guru pakar adalah sumber-sumber yang dapat membantu guru untuk mendapatkan bahan yang sesuai dan terkini.

Peringkat Kedua:


                                           Membina Media Pengajaran

 
 



Sebelum memulakan pengajaran, guru perlu menganalisis isi kandungan pelajaran dan membina media yang sesuai untuk membantu penyampaiannya. Sekiranya media pengajaran telah disediakan di pusat sumber sekolah (PSS), guru harus mengetahui bagaimana membuat pemilihan media yang sesuai dan tepat dengan keperluan isi kandungan. Sekiranya perlu membina media pengajaran sendiri, guru perlu mengetahui sedikit sebanyak asas pembinaan media pengajaran seperti penggunaan kaedah pendekatan sistem dan model reka bentuk pengajaran tertentu (contohnya Model ASSURE).

Peringkat Ketiga:


                                         Merancang Pengajaran

 
 



Satu persediaan pengajaran perlu disediakan untuk memudahkan guru menyampaikan isi kandungan pelajaran melalui strategi pengajaran yang telah dipilih dan mengintegrasikan penggunaan media pengajaran. Persediaan pengajaran harus mempunyai beberapa elemen tertentu seperti objektif pengajaran, apa yang dilakukan oleh guru, penggunaan media, cara pelajar bertindak balas dengan guru dan kaedah pengajaran yang digunakan untuk mencapai objektif pengajaran.

Peringkat Keempat: 

      Pelaksanaan Pengajaran
 
 
 Peringkat ini adalah peringkat yang paling penting di mana berlakunya proses pembelajaran yang telah dirancangkan secara sistematik. Peranan guru dan media pengajaran adalah membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Elemen-elemen penting dalam peringkat ini adalah seperti; menyampaikan maklumat dan contoh, latihan dan maklum balas, motivasi, pengayaan dan pemulihan, penilaian dan aktiviti susulan (kerja rumah).

Peringkat Kelima: 

           Proses Pembelajaran

 
 
 Kejayaan sesuatu pengajaran adalah bergantung kepada perancangan yang sistematik. Sekiranya proses pembelajaran berlaku, maka perubahan tingkah laku pelajar dapat dilihat sama ada dari segi sikap, kemahiran psikomotor atau pengetahuan dalam bidang tertentu. Sekiranya objektif pengajaran tidak tercapai, maka guru harus mengkaji semula kaedah pengajaran yang dilakukan termasuk media pengajaran yang digunakan. Guru perlu mengulang semula pengajarannya dan memastikan objektif pengajaran tercapai sepenuhnya (mengulang kaji pelajaran contohnya).

 Kepentingan Reka bentuk Pengajaran.

Reka bentuk pengajaran adalah satu disiplin dalam pendidikan yang memberikan tumpuan kepada memberikan kefahaman terhadap proses pengajaran dan cara-cara meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan luas dalam kaedah pengajaran akan membantu guru menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pengajaran. Reka bentuk pengajaran dapat membantu proses pembelajaran untuk individu, kumpulan kecil atau kumpulan besar. Guru yang masuk ke kelas tanpa menyedia dan merancang pengajaran akan kehilangan pengajarannya dan dalam beberapa keadaan tidak dapat menilai apa yang telah diajarnya.
 
Reka bentuk pengajaran adalah merupakan suatu cabang dalam bidang Teknologi Pendidikan. Teknologi pendidikan adalah satu cara pemikiran dan juga menentukan matlamat-matlamat pendidikan yang boleh dicapai oleh pelajar. Ia adalah satu proses yang menggalakkan guru membuat pertimbangan tentang pemilihan strategi pengajaran dan media. Teknologi pendidikan juga merupakan satu proses bersepadu  yang melibatkan manusia (guru dan pelajar), prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah, mereka bentuk, melaksana, menilai dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan aspek-aspek pembelajaran manusia. Kadang kala teknologi pendidikan dikaitkan dengan penggunaan alat-alat seperti komputer, televisyen, radio dan pelbagai media lain sebagai bahan bantuan kepada guru dalam menyampaikan maklumat.


5 comments:

Anonymous said...

Terim kasih. Rencana ini banyak membantu saya untuk mereka bentuk pengajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

Anonymous said...

nice thanks...

Anonymous said...

assalamualaikum. saya nak tanya model SG dan MRK itu apa ? terimakasih

along atie said...

Assalamualaikum..terima kasih...penulisan cikgu amat membantu dalam penulisan tugasan saya...saya nak minta keizinan untuk copy bahan ini...

Anonymous said...

Assalamualaikum cikgu, boleh saya tahu sumber rujukan cikgu dapatkan dari mana? terima kasih.