Wednesday, July 31, 2013

Mengapa memilih media pengajaran?



 Menurut kajian, peratus penerimaan semasa proses pengajaran pembelajaran berlaku adalah dipengaruhi oleh penglibatan deria masing-masing.

            Deria                           % penerimaan

            Mata                                        70
            Hidung                                     5
            Mulut                                       4
            Telinga                                     15
            Rasa/sentuhan                          6

Kepentingan media pengajaran dalam proses pengajaran pembelajaran

·         Pengajaran lebih terancang
·         Melibatkan pelbagai deria
·         Memperkayakan pengalaman
·         Perluasan batasan komunikasi
·         Pembelajaran individu
·         Keseronokan belajar/motivasi
·         Sumber maklumat
·         Menolong membentuk gambaran yang betul dalam fikiran pelajar.
·         Menguat dan mengekalkan daya ingatan.
·         Menghubungkan yang abstrak kepada konkrit.
·         Memberikan gambaran dan peristiwa di luar bilik darjah ke dalam bilik darjah.
·         Menjimatkan masa.
·         Membantu pelajar membentuk konsep dengan lebih mudah serta jelas.
·         Mempelbagaikan aktiviti pengajaran pembelajaran.

Pemilihan media pengajaran

Untuk memilih media pengajaran, faktor-faktor berikut perlu diberikan perhatian:
1.      Kesesuaian
2.      Peringkat penerimaan/kefahaman
3.      Pemerolehan
4.      Harga
5.      Mutu

Kesesuaian
Sebelum memilih sesuatu media pengajaran, guru perlu menetapkan objektif yang hendak dicapai terlebih dahulu. Contohnya, kalau objektif guru adalah supaya pelajar mengetahui tentang bunyi sebutan perkataan yang betul di dalam pembelajaran bahasa kedua, dan disamping membetulkan bunyi sebutannya, maka pelajar perlu mendengarnya sendiri. Oleh itu media yang betul ialah alat perakam audio. Boleh juga alat perakam audio digabungkan dengan carta dan sebagainya jika difikirkan mustahak. Sesuatu media dianggap sesuai jika memenuhi syarat berikut:
·         Memenuhi kehendak isi dan objektif pelajaran.
·         Memudahkan kefahaman pelajar.
·         Memerlukan latihan yang minimum untuk menggunakannya.
·         Menimbulkan suasana pengajaran pembelajaran yang menyeronokkan.
·         Mudah diubahsuai dari segi penggunaan serta juga senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
·         Selamat digunakan oleh pelajar.
Peringkat penerimaan/kefahaman
Mungkin isi kandungan media yang dipilih itu sesuai, tetapi cara penyampaian atau peringkat penerimaan pelajar adalah tidak setara dengan keupayaan mereka. Dengan lain perkataan media tersebut tidak setanding dengan keupayaan pelajar untuk menerima dan memahami isi kandungan yang disampaikan oleh media tersebut. Ini berlaku kepada media yang telah siap tersedia oleh pihak-pihak tertentu seperti syarikat pengeluar media tersebut. Untuk mengelakkan perkara ini, media perlulah dihasilkan sendiri oleh guru yang mengajar. Media yang dapat memudahkan pemahaman pelajar terhadap konsep-konsep yang hendak disampaikan hendaklah dipilih.

Harga
Sesuatu media yang hendak digunakan hendaklah diperolehi dengan mudah dan harga yang murah. Media elektronik tidak dapat dinafikan mempunyai keupayaan yang lebih baik walaupun harganya mahal. Sekiranya harga tidak menjadi masalah, pilihlah media yang dapat memberikan kesan yang lebih baik. Kos adalah munasabah dan tidak terlalu membebankan.

Pemerolehan
Seseorang guru yang merancang menggunakan media pengajaran, perlu mengenal pasti pemerolehan sesuatu media itu. Adakah media tersebut ada di pusat sumber atau sekolah masing-masing? Bolehkah media tersebut disediakan dengan mudah? Sekiranya mudah diperolehi, akan mendorongkan seseorang guru menggunakannya dengan lebih kerap.

Mutu
Sekiranya faktor-faktor di atas sudah dipenuhi, apakah guru akan menolak penggunaan media tersebut kerana mutu yang rendah? Sesuatu objektif pembelajaran tidak akan tercapai sekiranya mutu media yang digunakan itu tidak elok seperti warna, suara dan tulisan yang tidak jelas.

Penghasilan media
Kebanyakan media  yang ada di pasaran adalah dipasarkan untuk mencari keuntungan tanpa memenuhi kehendak dan keperluan tertentu guru dan pelajar. Oleh itu untuk menyediakan media yang sesuai, guru perlulah membuat sendiri. Banyak sekali faedah yang diperolehi dari penghasilan media oleh guru seperti berikut:

·         Isi kandungan yang sesuai dengan sukatan sekolah
·         Objektif pengajaran pembelajaran disusun dengan lebih tepat.
·         Jika dilibatkan pelajar dalam penghasilan media, akan dapat mengukuhkan lagi daya ingatan dan meberikan pengalaman yang berguna kepada pelajar.
·         Menambahkan koleksi pusat sumber sekolah disamping menjimatkan kos..

Beberapa aspek yang perlu dititik beratkan dalam penghasilan media adalah seperti berikut:

·         Pengetahuan mengenai bahan yang hendak dihasilkan (isi kandungan)
·         Kemahiran untuk penghasilan
·         Mempunyai daya kreatif
·         Tenaga untuk penghasilan
·         Alatan khas yang diperlukan
·         Masa
·         Kos

 
Dalam perbincangan ini, kita akan membincangkan faedah penghasilan media oleh guru dan oleh pelajar.

Media yang dihasilkan oleh guru

Sebagai seorang guru, kita perlu memikirkan penghasilan media pengajaran dalam dua kategori;

a)      Media pengajaran yang akan digunakan untuk persembahan dalam bilik darjah, perbincangan dengan pelajar, penilaian atau aktiviti yang diarahkan oleh guru. Contohnya, bahan tayangan yang mudah seperti transparensi, selaid, kaset audio, poster, grafik dan bahan pameran.

b)      Media pengajaran yang digunakan terus oleh pelajar untuk tujuan pembelajaran. Contohnya, kit pelbagai media yang digunakan untuk pembelajaran individu, bahan 3D dan 'mock-up' yang digunakan oleh pelajar kejuruteraan.

Faedah sampingan yang diperolehi apabila guru menghasilkan media atau mengarahkan pelajar menghasilkan media adalah guru sendiri akan dapat memahami dan menjelaskan lagi objektif dan idea mengenai bagaimana menyusun program pengajaran pembelajaran dengan lebih baik lagi.

Media yang dihasilkan oleh pelajar.

Pelajar yang terlibat dalam penghasilan media akan memperolehi faedah daripada pengalaman mereka. Mereka boleh memberikan sumbangan berupa idea yang kreatif untuk sesuatu penghasilan media. Bakat pelajar dalam penghasilan media seperti bahan pameran, bahan pembelajaran kendiri, transparensi, selaid, bahan 2D, poster dan sebagainya tidak boleh diperkecilkan. Disebalik khidmat penghasilan media, pelajar juga boleh membantu guru untuk merekabentuk media pengajaran supaya sesuai dan mencapai kehendak dan keperluan bilik darjah.

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:

·         Ingat bahawa penghasilan akhir sesuatu media tidaklah begitu penting berbanding proses dan pengalaman yang digunakan untuk mencapai objektif.
·         Apabila pelajar menghabiskan masa dan tenaga dalam penghasilan media, pastikan mereka memahami apa yang dibuat dan mereka merasakan dihargai. Matlamat guru bukanlah untuk mempergunakan pelajar atau memaksa mereka berkerja melampaui keupayaan, tetapi memberikan peluang kepada mereka supaya produktif dan seronok melakukan aktiviti penghasilan media.
·         Pastikan, sebelum projek dimulakan, pelajar menghasilkan perancangan di atas kertas. Bantulah mereka belajar bagaimana membuat 'lay-out'  projek sebelum kerja sebenar dijalankan, untuk mempastikan dengan jelas setiap langkah yang akan diambil akan mencapai kejayaan.
·         Bantu pelajar menghadapi kekecewaan jika terdapat kesilapan dan mencuba semula. Kesilapan adalah perkara biasa dalam mempelajari sesuatu yang baru.

Peringkat Usaha Penghasilan Media

a)      Penghasilan media secara tiruan
Penghasilan media secara tiruan boleh diilustrasikan seperti memotong huruf berdasarkan bentuk, melukiskan peta dan gambar melalui surihan imej tayangan atau menghasilkan terarium atau boneka berdasarkan arahan buku atau gambar.

b)      Penghasilan media secara pengubahsuaian
Pengubahsuaian memerlukan penciptaan dalam bentuk baru atau cara baru dalam penggunaan media sedia ada. Prototaip atau gambar prototaip yang ada adalah sebagai panduan berguna, tetapi hasil akhir kelak akan memerlukan individu terlibat dalam pelbagai masalah. Penghasilan media secara pengubahsuaian memerlukan pertimbangan individu, arah kendiri dan inisiatif.

c)      Rekaan kreatif
Melibatkan keupayaan mentafsir dan menyelesaikan masalah dengan cara yang asli, tanpa bergantung kepada pengalaman atau penulisan. Penghasilan filem slaid bersuara, fotograf, penggambaran video dan sebagainya untuk digunakan dalam pengajaran pembelajaran adalah antara contoh rekaan kreatif. Guru perlu menggalakkan pelajar membuat rekaan kreatif dan asli.

d)      Inovasi dari peniruan
Meniru secara kreatif mengandungi dua unsur yang seolah-olah bertentangan. Sesuatu yang kreatif tentulah bersifat asli. Sebaliknya sesuatu yang dihasilkan secara meniru tentulah tidak asli, oleh itu tidak kreatif.  Walau bagaimana pun peniruan kreatif adalah penghasilan semula apa yang telah dicipta oleh orang lain dalam bentuk yang tersendiri dan mempunyai keunikan tersendiri dari segi fizikal dan fungsinya. Guru dan pelajar perlulah menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan media yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran pembelajaran.

Media kos murah

Definisi media kos murah adalah berdasarkan kepada ciri-ciri berikut:

·         Media yang boleh disediakan oleh guru dan pelajar sendiri.
·         Media yang dibekalkan dan boleh menambahkan keberkesanan pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah tanpa memerlukan kos tambahan.
·         Proses yang  terlibat dalam penghasilan media tersebut adalah mudah dan murah.
·         Penghasilan media tersebut tidak memakan masa yang panjang.
·         Bahan mentah yang digunakan adalah percuma dan mudah diperolehi dari persekitaran pelajar dan guru..

Jenis media kos murah

·         Gambar kaku
·         Gambarajah
·         Carta
·         Graf
·         Peta
·         Kartun
·         Poster
·         Carta bersiri
·         Bahan 3D seperti boneka, glob, model, realia, 'mock-up' dan lain-lain.

Prinsip reka bentuk media kos murah

·         Jelas. Idea mesti tepat, mudah dan terus terang. Ini mestilah sesuai dengan ukuran, warna, kontras dan reka letak.
·         Menarik. Mesej yang hendak disampaikan mestilah dapat menarik perhatian, membolehkan ia mencetuskan reaksi yang cepat di kalangan pelajar.
·         Senang digunakan. Termasuk dari segi mudah dibawa, dimanipulasikan dan difahami pelajar.
·         Berkaitan. Bahan yang dihasilkan itu mestilah menggambarkan hubungannya dengan isi kandungan pelajaran dan matlamat yang hendak dicapai. Ia juga mestilah menggambarkan peringkat umur dan pengalaman pelajar yang menggunakannya.
·         Berpatutan dengan kos. Ia mestilah menunjukkan unsur-unsur penjimatan dari segi masa, tenaga dan kewangan. Perancangan yang teliti dan membiasakan diri dengan berbagai jenis dan tujuan media kos murah akan membantu ke arah penjimatan di dalam pengeluaran.

No comments: