Berikut di bawah adalah petikan Surat Pekeliling Ikhtisas BIL. 3/1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran KP (BS) 8591/Jilid XV/ (3) yang menjadi satu arahan yang
mesti bagi setiap orang guru di Malaysia untuk merancang dan menyediakan
rancangan pengajaran bagi setiap mata pelajaran yang diajar. Sila teliti
petikan kandungan surat pekeliling di bawah.
“ 3. Dengan Surat Pekeliling lkhtisas ini,
berkuatkuasakan pada tarikh ia dikeluarkan, Rekod Pengajaran dan Pembelajaran
hendaklah mengandungi hanya dua unsur sahaja,
iaitu (i) Rancangan Pelajaran Tahunan, dan (ii) Rancangan
Pelajaran Harian. Pengetua, Guru Besar atau wakilnya hendaklah memastikan
kedua-dua unsur tersebut dibuat mengikut prinsip-prinsip perancangan yang
mutakhir”
(i) RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN
Rancangan Pengajaran Tahuan mengandungi secara ringkas
isi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran kebangsaanyang
dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
(ii) RANCANGAN PELAJARAN HARIAN
Rancangan Pelajaran Harian merupakan terjemahan Rancangan
Pelajaran
Tahunan yang mengandungi sekurang-kurangnya maklumat
seperti objektif,
cara bagaimana hendak mencapai objektif dan kenyataan
sejauh mana
objektif itu tercapai.
4. Rekod Pengajaran dan Pembelajaran bolehlah disediakan
dalam apa jua bentuk
yang munasabah dan sesuai dengan teknologi semasa. la
haruslah diurus dengan sempurna dan dapat dikemukakan dengan serta merta
apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa. Bahan-bahan lain yang
berkaitan dengan penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran
Harian juga perlu diurus dengan baik dan dapat dikemukakan dengan serta merta
apabila dikehendaki oleh pihak yang diberi kuasa.
Petikan daripada
SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 3/1999:
Penyediaan Rekod Pengajaran dan
Pembelajaran
KP (BS) 8591/Jilid XV/ (3)
9 Mac 1999
Setiap orang guru perlu memahami arahan surat pekeliling
ini dan mematuhinya. Pihak pentadbir sekolah dan juga Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) amat mengambil berat dan memastikan pematuhan terhadap surat
pekeliling ini sentiasa dilakukan oleh pihak guru. Pemantau oleh pentadbir
sekolah, daerah, negeri dan persekutuan sentiasa dilaksanakan untuk memastikan
arahan ini dipatuhi. Tindakan boleh diambil oleh KPM sekiranya guru tidak mematuhi
arahan ini.
Perancangan pengajaran perlu dilakukan bagi memastikan
proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat berjalan lancar tanpa
gangguan dan guru perlu merancang dalam pengajaran dengan baik. Hasil kajian
mendapati punca kegawatan tingkah laku pelajar, prestasi rendah pelajar di
sekolah-sekolah adalah berpunca daripada pengajaran tidak dirancang dengan baik
dalam bilik darjah. Kemahiran dan kecekapan guru dalam perancangan menguruskan
bilik darjah akan dapat menghindari pengajaran dan pembelajaran yang tidak
efektif. Pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah pemangkin kepada kecemerlangan
murid bagi melahirkan modal insan yang seimbang daripada segi intelek, rohani
dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Penyediaan rancangan pengajaran memerlukan ketelitian dan
kreativiti guru. Proses ini boleh dilakukan secara berkumpulan di dalam panitia
mata pelajaran masing-masing. Model perancangan yang sesuai seperti plan, do,
check and act boleh digunakan sebagai
garis panduan penyediaan rancangan pengajaran.
Plan (Rancang)
Aktiviti pengajaran yang dirancang dengan rapi dan
sistematik dapat mengelakkan pelaksanaan secara ad-hoc. Guru tidak boleh meniru
aktiviti pengajaran daripada rakan-rakan lain semata-mata. Guru perlu menyemak
Sukatan Pelajaran sesuatu mata pelajaran disamping menjadikan Huraian Sukatan
Pelajaran (HSP) sebagai panduan untuk merancang aktiviti pengajaran yang lebi
kreatif dan inovatif. Rujuk HSP supaya semua kemahiran yang perlu dikuasai oleh
seseorang murid telah dicakupi dalam perancangan pengajaran masing-masing.
Do (Buat)
Setelah perancangan dihasilkan, guru mesti melaksanakan
dengan sepenuhnya. Peringkat ini adalah paling penting dan kritikal kerana dapat
menentukan kejayaan setiap perancangan.
Check (Semak)
Semakan perlu dilakukan oleh guru-guru supaya perancangan
yang telah dilakukan mencapai objektifnya. Kemungkinan objektif perlu dibuat
penambahbaikan supaya sesuai dengan murid dan persekitaran pembelajaran. Kaedah
penilaian juga begitu penting dalam pengajaran dan pembelajaran, oleh itu,
semakan perancangan dapat menambah baik lagi aktiviti penilaian yang telah
dirancang supaya mencapai objektif seperti terkandung dalam sukatan pelajaran.
Pentadbir sekolah sebagai pemimpin instruksional perlu memantau setiap perancangan
pengajaran yang telah disediakan oleh guru. Sebagai pentadbir, mereka perlu
memberikan pandangan dan nasihat kepada guru supaya mematuhi setiap perancangan
yang telah dibuat sebelumnya.
Act (Bertindak)
Tindakan yang seharusnya diambil oleh setiap guru adalah
apabila mendapati perancangan yang telah dibuat tidak mencapai sasaran atau
wujud kelemahan. Oleh itu, panitia mata pelajaran seharusnya memainkan peranan
yang penting bagi membuat tindakan susulan terhadap kelemahan dan kekurangan
dalam perancangan yang telah dibuat. Apa yang berlaku di sekolah ialah tindakan
ini tidak berlaku, malah proses menyemak sama ada perancangan yang telah dibuat
juga tidak dilaksanakan. Perancangan pengajaran yang digunakan oleh guru adalah
perancangan yang telah dibuat sekian lama dan digunakan berterusan dengan
menukar tarikh sahaja.
Rancangan
Pengajaran Tahunan (RPT)
Rancangan
Pengajaran Tahunan adalah berdasarkan takwim minggu persekolahan. Rancangan
Pengajaran Tahunan ini perlu disediakan pada awal tahun atau awal semester
sebelum sesi persekolahan bermula dimana ia berfungsi sebagai panduan bagi
perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Perancangan ini perlu dibuat untuk
tempoh satu tahun bagi setiap mata pelajaran yang diajar oleh setiap guru.
Rancangan Pengajaran
Tahunan merangkumi skop berikut :
·
Kemahiran bagi
setahun.
·
Senarai
kemahiran-kemahiran.
·
Skop pelajaran
yang perlu , untuk menguasai kemahiran-kemahiran tersebut.
·
Rujukan sukatan
pelajaran.
Rancangan Pengajaran Tahunan adalah sebagai satu panduan yang menyeluruh kepada semua
guru dalam melaksanakan sesuatu pengajaran. Disamping itu RPT dapat mencegah
daripada berlakunya pemesongan topik dalam
sesuatu pengajaran demi mencapai matlamat mata pelajaran tertentu. Penyediaan
RPT juga bertujuan untuk memastikan susunan topik-topik dalam sesuatu mata
pelajaran teratur mengikut perkembangan dan kebolehan murid. Penyediaan RPT
memudahkan guru pengganti menggambil alih
tugas guru yang sebelumnya untuk meneruskan pengajaran. Selain itu
RPT juga menjadi panduan kepada guru untuk menyelaras dan menyediakan soalan
ujian bulanan dan peperiksaan. Guru dapat menyemak topik yang telah diajar dan topik yang
akan diajar dengan lebih mudah sekiranya RPT disediakan dengan jelas dan
lengkap.
Rancangan
Pengajaran Harian (RPH)
Rancangan Pengajaran Harian merupakan satu rekod khas yang disediakan lebih
awal oleh guru sebelum menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Rancangan Pengajaran Harian ini dibina sebagai panduan kepada para guru
untuk mengajar dengan lebih sistematik dan efektif serta mampu untuk mencapai
objektif pengajaran. Dokumen ini sangat penting dan berguna supaya guru dapat
menyampaikan input pembelajaran kepada para murid dengan teratur. Selain itu
RPH adalah bahan bukti bahawa guru telah membuat perancangan rapi terlebih
dahulu sebelum melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di blik darjah.
Rancangan Pengajaran Harian yang dibina perlu merujuk kepada Rancangan
Pengajaran Tahunan (RPT), Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran
(HSP). Maklumat yang perlu dicatatkan dalam RPH adalah hari dan tarikh, mata
pelajaran dan kelas, masa, tajuk dan objektif, kemahiran yang ingin dicapai,
aktiviti yang dijalankan serta impak atau refleksi. Guru boleh merujuk kepada SURAT
PEKELILING IKHTISAS BIL. 3/1999 bagi tujuan penyediaan
RPH untuk memenuhi keperluan pekeliling tersebut.
Terdapat perbezaan format RPH yang perlu disediakan oleh Guru Pelatih
dengan guru terlatih. Guru pelatih menggunakan format RPH yang lebih mendalam.
Setiap institusi latihan perguruan mempunyai format yang tertentu bagi
penyediaan RPH oleh guru pelatih masing-masing.
Kepentingan RPH
Penyediaan RPH
dalam kalangan guru dapat mengelakkan penyelewengan atau terkeluar daripada
topik atau sub topik semasa pengajaran dilakukan. Oleh kerana pengalaman dan
penguasaan isi kandungan guru adalah berbeza antara satu sama lain maka dengan
adanya RPH, persamaan daripada segi maklumat yang disampaikan akan dapat
dilakukan. Guru dapat menggunakan kreativiti masing-masing semasa merancang
aktiviti pembelajaran yang akan dilaksanakan. Siri aktiviti yang dirancang ini
akan membolehkan perubahan tingkah laku dan penguasaan isi kandungan mata
pelajaran yang disampaikan. Objektif atau hasil pembelajaran yang telah
dirancang dalam RPH menjadikan pengajaran dan pembelajaran sentiasa tertumpu
dan guru dapat melaksanakan penyampaian maklumat dan isi kandungan dengan lebih
tersusun dan berfokus.
Pengurusan masa
menjadi faktor yang penting dalam aktiviti pengajaran sebab jadual waktu
pengajaran bagi setiap mata pelajaran adalah begitu terhad dan ketat. Oleh itu
RPH akan membantu guru menguruskan masa dengan lebih cekap.
Aktiviti
pengajaran yang telah disusun dalam RPH membantu guru menyampaikan isi kandunag
pelajaran dengan mudah. Penyusunan sub topik daripada mudah ke sukar
membolehkan murid menguasai pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan dengan mudah
dan jelas.
Penggunaan teknologi pendidikan juga dapat dimanfaat
dengan optimum apabila perancangan dilakukan dengan baik. Guru boleh memikirkan
apakah teknologi yang akan diintegrasikan dalam pengajaran semasa mereka
menyediakan RPH. Guru boleh memeriksa sama ada media yang sesuai dapat
diintegrasikan dalam pengajaran terdapat di Pusat Sumber Sekolah (PSS).
No comments:
Post a Comment