Tuesday, December 30, 2008

Halangan Pembelajaran Kepada Pelajar Dewasa

Setelah membincangkan pembelajaran sepanjang hayat, kita mendapati bahawa terdapat banyak halangan untuk kita meneruskan pembelajaran di peringkat dewasa ini. Cross (1981) dalam kajiannya, mendapati tiga halangan utama penglibatan pelajar pendidikan jarak jauh terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran iaitu; 1. Halangan situasi (situational barrier) Melibatkan kebiasaan yang terdapat dalam kehidupan seharian termasuk tanggung jawab terhadap perkerjaan, keluarga, masalah kewangan dan perkara-perkara lain yang mendesak mereka mengutamakannya. Inilah lumrah kehidupan sebagai seorang dewasa dan kebanyakan daripada kita sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga. Walaupun mempunyai pendapatan yang tetap, namun banyak komitmen yang perlu dipikul. duit gaji digunakan untuk membiayai keluarga, membayar sewa atau ansuran rumah dan kenderaan selain menyara ibu bapa. 2. Halangan institusi (institutional barrier) Amalan, polisi dan prosedur institusi pendidikan yang menghalang pelajar daripada menghadiri kuliah dan aktivit tertentu. Ada antara pusat pengajian tinggi yang melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat (pendidikan jarak jauh) terpaksa menyediakan jadual waktu yang kurang sesuai. Contohnya, kuliah dijadualkan pada hari kerja yang mana pelajar tidak dapat menghadirinya. Terdapat institusi yang menyediakan jadual kuliah di waktu petang dan malam selepas waktu pejabat. 3. Dispositional barrier Merangkumi perasaan dewasa kita terhadap diri sendiri sebagai pelajar. Kita merasa tidak yakin dapat menyediakan tugasan dengan baik apabila diberikan. Pencapaian semasa sekolah dahulu yang tidak begitu baik masih menghantui kita untuk meneruskan pelajar di peringkat ijazah. Kalangan kita juga menganggap diri kita terlalu tua untuk bersaing dengan pelajar-pelajar yang lebih muda. Perasaan rendah diri ini wujud dalam diri masing-masing sehingga menyebabkan kita tidak mahu lagi belajar atau menyambungkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Kesimpulannya: Marilah kita merenung sejenak apakah halangan yang membantutkan hasrat kita untuk terus belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Kita cuba sedaya upaya kita untuk mengatasi masalah tersebut dengan menguatkan semangat dan azam untuk terus belajar. Bulatkan tekad dan kuatkan azam untuk terus belajar. Berdoa kepada Yang Maha Esa supaya sentiasa diberikan kekuatan mental, fizikal dan dimurahkan rezeki agar kita dapat terus belajar dan belajar.

Wednesday, December 24, 2008

Pembelajaran Sepanjang Hayat - Tujuan Melanjutkan Pelajaran

Kita sebagai orang dewasa mempunyai berbagai-bagai sebab untuk melanjutkan pelajaran dalam berbagai peringkat sama ada diploma atau ijazah di pusat-pusat pengajian tinggi. Kebanyakan kita mempunyai matlamat untuk mencapai objektif tertentu iaitu mendapat diploma atau ijazah dan sebagainya. Walau bagaimana pun terdapat juga antara kita yang melanjutkan pelajaran kerana untuk mengikuti aktiviti dan program yang telah ditawarkan disamping mendapatkan ijazah. Terdapat juga pelajar dewasa yang melanjutkan pelajaran dengan matlamat yang berorientasikan ilmu pengetahuan. Mereka ingin melanjutkan pelajaran kerana mahu mendalami bidang ilmu pengetahuan yang diminati untuk kepuasan diri. Walau bagaimana pun, kategori ini adalah amat kecil bilangannya. Kebanyakan pelajar dewasa ini mempunyai alasan yang kuat untuk mendapatkan ijazah pertama kerana dengan itu mereka akan dapat mempertingkatkan diri untuk menjawat jawatan yang lebih baik, mendapat kenaikan pangkat, menambahkan pendapatan atau gaji, memperolehi status sosial yang lebih tinggi dan mempunyai ‘self-esteem’. Bagi kalangan guru, kita dapat mempertingkatkan gred jawatan daripada DG29, 32 atau sebagainya (guru bukan siswazah) kepada gred DG41 iaitu guru siswazah. Selain matlamat untuk mendapatkan ijazah yang mendorong kita mendaftarkan diri di pusat-pusat pengajian tinggi sebagai pelajar pendidikan jarak jauh, pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing dapat membantu menyerlahkan identiti kita (guru) sebagai pelajar dewasa yang matang dan bertanggung jawab. Dalam kalangan kita mungkin sudah berkahwin, mempunyai anak, memegang jawatan tertentu, berkhidmat sebagai pegawai di bidang profesional atau pertubuhan swasta atau awam, serta melakukan kerja-kerja sukarela dalam masyarakat masing-masing. Maka pelajar ini hadir ke kuliah dengan perasaan bebas dan keyakinan yang tinggi untuk belajar. Mereka mungkin tidak banyak mengetahui tentang bidang yang diikuti, tetapi mungkin tahu lebih banyak bidang-bidang lain berbanding dengan pensyarah yang mengajar. Negara kita telah lama mengamalkan pendidikan dewasa melalui pelbagai program pendidikan jarak jauh yang dikendalikan oleh universiti awam dan swasta tempatan, malahan banyak universiti luar negara menawarkan program sebegini melalui pembelajaran atas talian (on-line learning) dan sebagainya. Ayuh para pendidik sekelian, rebutlah peluang yang begitu luas terbuka untuk mempertingkatkan kelayakan akademik masing-masing di samping mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang profesion kita. Pelajar dewasa mendaftarkan diri apabila sudah sedia untuk belajar. Oleh itu motivasi untuk belajar adalah begitu tinggi. Selain matlamat, pengalaman dan kesediaan untuk belajar, mereka juga mempunyai kebolehan kognitif untuk menghadapi suasana pembelajaran. Dua elemen kemahiran kognitif yang penting terdapat dalam diri pelajar ini ialah kecerdikan dan ingatan. Gardner, seorang pakar pendidikan dalam bidang pelbagai kecerdasan (multiple intellegence)telah menyatakan bahawa kecerdikan adalah diukur dari sembilan bidang iaitu kebolehan berbahasa, kebolehan artistik atau muzik, kebolehan dalam bidang logik matematik, ‘spatial awareness’, kebolehan kinestatik (bodily-kinesthetic) dan kesedaran dalaman serta luaran atau perspektif. Manakala faktor yang menyumbang kepada kecerdikan seseorang adalah berbeza-beza, seseorang mungkin mempunyai kebolehan yang tinggi dalam sesetengah bidang manakala bidang lain berkurangan. Begitu juga halnya yang berlaku kepada pelajar dewasa. Elemen ingatan pula beroperasi dalam tiga mod iaitu ingatan sensory, ingatan primer (short term) dan ingatan sekunder (long term). Setiap mod ingatan terlibat dalam memperolehi, menyimpan dan mendapatkan kembali maklumat. Kepercayaan yang menyatakan semakin bertambah usia seseorang, akan semakin sukar untuk mengingati sesuatu maklumat adalah tidak benar. Penyelidikan telah membuktikan bahawa hanya sebahagian kecil sahaja kebolehan ingatan sementara (short-term memory) berkurangan apabila usia semakin bertambah (Gardner, 1988). Kita sering memberi alasan ini untuk tidak mahu belajar lagi. Sudah tua dan tidak mampu untuk belajar lagi sebab otak sudah lembab dan perlahan, daya ingatan sudah lemah dan perlahan dan sebagainya alasan yang diberikan untuk tidak mahu melanjutkan pelajaran sebagai pelajar dewasa. Islam menggalakkan umatnya melanjutkan pelajaran sehingga ke liang lahat dan Rasulullah pernah menggalakkan supaya umatnya belajar sehingga ke negeri China. Ini menunjukkan bahawa Islam menggalakkan umatnya belajar walaupun sejauh mana atau selanjut mana usia seseorang. Alasan usia dan lemah fikiran tidak dapat lagi digunakan untuk kita sebagai guru mengelakkan daripada terus belajar. Bukti-bukti terkini dengan kejayaan yang dicapai oleh pelajar pendidikan jarak jauh di seluruh dunia menunjukkan kepada kita bahawa walau pun masalah ingatan menjadi sedikit berkurangan, mereka tetap menunjukkan kejayaan yang amat memberangsangkan dalam semua bidang yang diikuti di pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus kepada pelajar dewasa. Dengan kaedah pengajaran yang moden dan penggunaan teknologi terkini, masalah tersebut telah dapat diatasi dan dapat membantu pelajar-pelajar dewasa mengikuti pelajaran mereka hingga berjaya mendapatkan ijazah. Pelajar dewasa sebenarnya tidak masuk ke bilik darjah sebagai pelajar dengan tangan yang kosong. Cuma menjadi masalah kepada mereka ialah masa yang mungkin tidak mengizinkan mereka untuk melibakan diri sepenuhnya dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Faktor ini menuntut kita supaya lebih bijak membahagikan masa (pengurusan masa) antara tugas, tanggung jawab dan belajar. Namun pengalaman hidup sebagai seorang manusia yang lebih matang dapat membantu kita menguruskan masa dengan lebih bijak dan mengatasi masalah serta rintangan pembelajaran.

Friday, December 12, 2008

Peranan Pelajar

Ketika pensyarah atau guru memberi syarahan atau kuliah, pelajar hanya berperanan sebagai pemanas kerusi sahaja. Tetapi dalam kelas yang mengamalkan kaedah perbincangan, perkara sebaliknya berlaku di mana pelajar digalakan supaya aktif dan berfikir. Jika guru menjalankan tugasnya dengan baik, semua pelajar akan dapat merasa terangsang untuk berfikir sebanyak mungkin. Oleh itu, semua guru dan pendidik harus tahu bagaimana mengendalikan strategi perbincangan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Proses pengajaran adalah begitu mencabar dan sebahagian dari cabaran ini ialah untuk menggalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam proses pembelajaran. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengemukakan soalan yang membolehkan pelajar membuat refleksi kepada idea perbincangan dan memberikan sedikit masa untuk mereka menyediakan jawapan. Guru tidak perlu bercakap panjang sepanjang masa dalam bilik darjah (Noren, 1997).
Pelajar di sekolah, maktab dan institusi pengajian tinggi jarang disuruh untuk berfikir, mencetuskan idea dan emosi, dilatih untuk membuat keputusan dan bertindak balas dengan keputusan itu. Tradisi amalan pendidik di negara kita adalah guru memberikan segalanya kepada murid. Oleh itu menjadi tugas guru untuk merangsang pelajar bagi melakukan penemuan semula terhadap ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, bukan sekadar untuk mendapatkannya dan menyimpan selama beberapa bulan sebelum meluahkannya kembali di atas kertas peperiksaan akhir atau peperiksaan awam. Mungkin sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menggalakan guru bertindak demikian.
Kementerian Pelajaran Malaysia akhir-akhir ini menekankan bahawa kemahiran berfikir perlu diberikan perhatian yang lebih di sekolah. Kurikulum latihan perguruan telah memasukkan unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) ke kurikulum masing-masing. Institusi pendidikan guru seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) dan fakulti pendidikan di universiti awam tempatan (IPTA) mewajibkan semua pelajar bacelor pendidikan mengambil kursus atau program kemahiran berfikir. Di peringkat sekolah pula, mata pelajar sains jelas telah mengandungi unsur-unsur kemahiran berfikir dalam kemahiran proses sains dimana kerana pelajar dikehendaki membuat andaian, hipotesis dan sebagainya. Kementerian Pelajaran juga telah mula menambahkan unsur-unsur penilaian berterusan dalam sistem pendidikan dengan mengadakan peperiksaan lisan, dan amali dalam beberapa mata pelajaran tertentu. Semoga suatu hari kelak sistem penilaian di negara kita tidak begitu memberatkan ke arah 'exam orientation'. Perkembangan diri murid daripada segi sahsiah dan intelektual (akademik) perlu dinilai secara berperingkat-peringkat. Penilaian berasaskan sekolah perlu diperhebatkan lagi. Terdapat sesetengah pelajar sukakan peluang yang diberi oleh guru semasa di dalam kelas semasa perbincangan kerana mereka dapat mengemukakan idea dan pendapat mereka sentiasa ingin menerangkan idea masing-masing dengan panjang lebar. Tetapi sesetengah pelajar merasakan mereka tidak belajar sepenuhnya jika hanya duduk diam dan mendengar penerangan guru secara pasif. Persoalannya, mengapa sebilangan pelajar pusat pengajian tinggi memilih untuk mendengar syarahan semata-mata? Jawapannya adalah mudah, mereka sudah melalui pengalaman di sekolah menengah selama lima hingga tujuh tahun dengan mengikuti kelas, mendengar guru mereka memberikan jawapan yang akan dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan. Sudah tertanam di dalam minda mereka bahawa inilah cara untuk menjadi orang yang terpelajar. Masih terdapat ramai guru dan pensyarah sama ada di sekolah, maktab dan universiti awam atau swasta menggunakan kaedah bersyarah atau berkuliah ketika menyampaikan maklumat dan isi kandungan pelajaran. Dengan melalui proses pemilihan dan pengisihan (melalui beberapa peringkat peperiksaan) pelajar akhirnya berjaya menjejaki tangga universiti. Jika kita masih percaya bahawa inilah caranya untuk menghasilkan para ilmuan, maka kaedah syarahan perlu dikekalkan. Namun cabaran masa kini memerlukan seseorang ilmuan yang lebih kreatif dan praktikal dengan setiap tindakan yang diambil. Satu tema simposium pendidikan di Universiti Groningen, Belanda berbunyi “Non Scholae, Sed Vitae Discimus” bermaksud “ Anda tidak belajar hanya untuk peperiksaan, tetapi belajar untuk kehidupan anda selepas persekolahan” (Tuijnman dan Van Der Kamp, 1992). Sebenarnya kaedah syarahan versus perbincangan kelihatan seperti suatu masalah yang rumit tetapi hakikatnya adalah mudah. Terdapat institusi pengajian tinggi kita masih lagi mengamalkan kaedah syarahan yang mana sudah ketinggalan 50 tahun ke belakang. Kita sudah mengalami kesan ‘halo’. Adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang terpelajar menyatakan bahawa universiti atau kolej itu dan ini adalah sesuatu institusi yang baik, tetapi hakikatnya tidak. Mereka mengajar perkara yang baik dengan cara yang salah.

Wednesday, December 3, 2008

Kaedah Perbincangan

Selain kaedah syarahan atau kuliah, terdapat satu kaedah yang difikirkan sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kaedah perbincangan. Pengalaman sebagai pendidik guru dan nazir sekolah memebrikan gambaran bagaimana kaedah pengajaran yang berlaku di sekolah dalam negara kita. Begitu jarang dilihat kaedah ini digunakan oleh guru-guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Satu ketika semasa menyelia seorang guru mengajar di sebuah sekolah rendah, beliau cuba menggunakan kaedah perbincangan sebagai strategi pengajaran. Lalu berlakulah sedikit ‘kebisingan’ dalam bilik darjah disebabkan murid-murid berbincang sesama sendiri dalam kumpulan, maka guru ‘menjerit’ meminta murid jangan bising. Sebagai penyelia, saya hanya membuat pemerhatian terhadap gelagat beliau tersebut. Murid menjadi keliru kerana aktiviti yang dijalankan memerlukan mereka berbincang bagi mendapatkan penyelesaian, namun guru meminta mereka tidak berbuat bising. Murid menjadi serba salah dan perbincangan menjadi terganggu. Saya menasihati beliau supaya memahami apa yang sebenarnya berlaku semasa murid berbincang. Kebisingan yang tidak melampau dan tidak menggangu kelas sebelahan adalah wajar dan tidak perlu dirisaukan. Murid merasa seronok belajar sesama rakan sebaya mereka dan berbincang dengan senang dan seronok. Kaedah perbincangan boleh diinterpretasikan seperti berikut; To discuss is to investigate by reasoning or argument; or to talk about. It involves discourse about something in order to arrive at the truth or to convince others or the validity of one’s position. It is a consideration of a question in open and usually informal debate; or a formal treatment of a topic (Penrose, 1981) Berikut adalah satu situasi pembelajaran melalui kaedah perbincangan; Christ was the master teacher. We should search the scriptures to learn his methods. His teaching included small group discussions, giving assigments, use parables and use of visual aids. Good teaching begins with the arrangement of the class room. Rearrange the chairs to facilitate small group discussion. Don’t have rows of chairs facing the teacher. A teacher should foster self-directed learning. One technique is to use ‘post-it-notes’ for brainstroming. Students answer question on the small notes….. (Laney, 1997) Dalam kaedah syarahan, guru atau pensyarah adalah autokratik. Beliau memainkan peranan utama dalam kelas dan pembekal utama ilmu pengetahuan. Dalam kaedah penyampaian tradisional ini guru adalah sumber tunggal maklumat. Guru bertutur sepanjang masa dengan sedikit atau tiada langsung interaksi guru-pelajar (Yusup, 1996). Sebaliknya dalam kaedah perbincangan pelajar mendapat kebebasan. Pelajar dilihat sebagai mempunyai pandangan dan pendapat yang bernas ada pelajar yang menyatakan bahawa mereka merasa dihargai kerana pandangan dan pendapat mereka diberikan perhatian oleh pensyarah dan didengar dengan teliti serta diperbincangkan di hadapan kelas. Dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dalam bilik darjah, murid juga merasa seronok untuk belajar. Ini mengurangkan tekanan yang mereka hadapi sebagai seorang pelajar. Guru sebagai pakar dan pengerusi perbincangan menyediakan isu-isu yang mencabar pemikiran pelajar. Semasa perbincangan, intelektual pelajar menjadi aktif pada peringkat yang komprehensif. Oleh itu tanggung jawab guru hanyalah sebagai orang yang memperkenalkan tajuk atau isu dan adalah lebih kurang sama tarafnya dengan individu yang lain. Keadaan inilah mungkin menyebabkan pensyarah atau guru memilih untuk berkuliah atau bersyarah kerana dapat membezakan mereka dengan pelajar atau seperti kata Laney (1997), “The can stay arms-length from the students”. Ketika perbincangan sedang berjalan, pelajar terlibat secara personal. Mereka memfokuskan perhatian kepada aktiviti, bukan kepada guru. Kenyataan bahawa guru atau pensyarah bukanlah ‘the goddess of wisdom’ perlu dipersetujui oleh semua pendidik. Guru atau pensyarah yang bijaksana memahami bahawa mereka hanya dapat menyediakan peluang dan terpulanglah kepada pelajar untuk menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk belajar. Guru juga bukanlah sebagai ‘giver of answers’. Sebenarnya inilah peranan seorang guru atau pensyarah, mereka boleh melatih, ‘facilitate’ dan memberikan galakan. Hanya pelajar sahaja yang akan dapat memulakan pertumbuhan intelek dan emosi mereka sendiri. Oleh itu, sebagai seorang guru yang profesional, kita harus mempelajari bagaimana kaedah ini dilaksanakan dengan berkesan dan seterusnya mengamalkannya dalam bilik darjah kita.

Tuesday, December 2, 2008

Teacher’s Centered vs Student Centered

Seorang profesor dalam bidang pendidikan dewasa William Penrose dari Universiti Stetson, Deland, Florida menceritakan tentang kejadian di mana isteri beliau telah mengikuti satu syarahan selama tiga jam. Sepanjang masa syarahan tersebut pensyarah tidak bertanyakan sebarang soalan kepada pelajar, tidak ada interaksi. Sesetengah pelajar kelihatan tidur dan pensyarah tidak ambil peduli. Tidak ada pelajar yang merungut tentang proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku. Situasi ini memang berlaku dalam kalangan pelajar di universiti atau mana-mana pusat pengajian tinggi. Malahan di sekolah juga berlaku. Guru asyik memberikan nota sahaja atau asyik membaca buku teks sahaja. Peristiwa ini membuat beliau ingin mengetahui apakah yang sebenarnya patut berlaku dalam sesuatu sesi pengajaran? Lantas, beliau menyemak semula definisi syarahan/kuliah (lecture) dan ia mendapati pengertiannya adalah seperti berikut; ………a discourse given before an audience or class, etc, for instruction.
To deliver a lecture or a course of lectures. To deliver a lecture to …. (Penrose, 1981) Kita sering membincangkan perkara ini secara mendalam dalam seminar, kursus dan bengkel yang berkaitan dengan kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pendidik guru sama ada di universiti atau institusi perguruan sering melafazkan perkataan teacher’s centered dan student centered ini. Banyak yang negatif, tidak baik dan kelemahan diperkatakan mengenai kaedah yang menjurus kepada situasi teacher’s centered berbanding dengan kaedah yang bersituasikan student centered. Apa pandangan pelajar? Satu temubual telah dijalankan oleh sekumpulan pengkaji mendapati terdapat pro dan kontra terhadap kaedah ini. Pandangan Pelajar - Pro Sesetengah pelajar menyokong kaedah syarahan kerana pelbagai sebab. Berikut adalah pandangan yang diberikan oleh pelajar tentang syarahan;
  • Guru adalah merupakan sebagai pusat graviti dalam bilik darjah, bukan pelajar, individu atau kumpulan.
  • “Saya datang ke kelas untuk mendengar idea dan pemikiran pensyarah”. Pensyarah dianggap sebagai tempat terkumpulnya ilmu pengetahuan. Pelajar tidak mepunyai apa-apa maklumat atau buah fikiran, malahan pelajar tak perlu disoal ketika dalam kelas.
  • “Sekolah dan maktab perlu memberikan syarahan/kuliah kepada pelajar kerana mereka akan mengikutinya (amalan) ketika di pusat pengajian tinggi kelak”. Kaedah ini akan membiasakan diri mereka apabila belajar di universiti nanti.
  • “Terdapat sesuatu yang tidak dapat dipersembahkan dalam bentuk lain selain dari kaedah syarahan/kuliah”. Sesetengah subjek atau tajuk hanya boleh dipersembahkan melalui kaedah syarahan sahaja.

Pandangan Pelajar - Kontra Bagi sesetengah pelajar yang tidak sukakan kaedah ini mereka memberikan komen seperti berikut;

  • Kaedah syarahan bermakna pelajar datang ke kelas membawa gelas kosong untuk diisikan dengan cecair dari gelas pensyarah/guru. Cecair berpindah dari gelas guru ke dalam gelas pelajar dan proses inikan yang dipanggil sebagai pendidkan?
  • Di pusat pengajian tinggi, ilmu pengetahuan berpindah dari buku nota pensyarah kepada buku nota pelajar tanpa melalui kepada setiap pelajar. Pelajar menyalin setiap patah perkataan yang dikeluarkan oleh pensyarah semasa di dewan kuliah dan menghafalkanya untuk dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan.

Kritikan terhadap kaedah syarahan/kuliah bukan terhad dalam kalangan pelajar sahaja, malahan ada pensyarah Bahasa Inggeris yang telah menjalankan kajian mendapati ‘semakin banyak guru bercakap – semakin kurang pelajar belajar’. Hakikatnya;

Most of the great teachers of history did not use the lecture method. Instead, they stimulated their listeners to think. They asked questions and told parables. (Penrose, 1981)

Monday, December 1, 2008

Kaedah Mnemonik Dalam Pengajaran

Perkataan mnemonik ini berasal daripada bahasa Greek mnēmonikos, daripada perkataan mnēmōn yang bermaksud ‘mindfulness’, atau mimnēskesthai bermaksud ‘to remember’ iaitu yang banyak berkaitan dengan pemikiran atau minda (mind). Kita sebagai manusia sering mudah lupa kepada sesuatu maklumat atau fakta yang penting. Tidak ada sesuatu pun yang kekal lama dalam ingatan kita tanpa kita membuat semakan atau rujukan semula. Sekiranya sesuatu itu penting bagi kita, perkara itu akan kita rujuki daripada semasa ke semasa, dan pengulangan ini sama ada disedari atau tidak akan memberikan peneguhan kepada ingatan kita terhadap sesuatu fakta atau maklumat. Kita sering dilanda dengan pelbagai perkara dan maklumat baharu dan kita ingin mengekalkannya dalam ingatan kita walau pun kita tidak memerlukannya dalam masa seminggu akan datang atau sebulan akan datang malahan setahun akan datang. Sekiranya kita ingin mengingati perkara tersebut, maka seharusnya kita selalu membuat pengulangan. Walau bagaimanapun, berapa banyak masa yang kita ada untuk mengulangi atau mengingatinya semula? Berapa banyakkan masa untuk kita berbuat demikian? Dengan menggunakan pendekatan mnemonik ini, akan dapat membantu kita mengingati semula perlakar yang ingin kita ingati. Mnemonik boleh menangkap maklumat dalam bentuk yang mudah untuk diingat bagi membantu seseorang itu mengingati sesuatu yang penting dan mustahak baginya. Dalam Negara kita, para guru dan pendidik telah sekian lama menggunakan kaedah ini dalam pendidikan bagi membantu pelajar mengingati sesuatu fakta dan maklumat dengan mudah dan cepat. Guru-guru telah pun mencipta berbagai mnemonic sebagai suatu pendekatan pengajaran dan mnemonic yang dicipta itu telah pun digunakan secara turun temurun. Sesetengahnya begitu terkenal dan tersebar ke seluruh negara, namun penciptanya tidak dapat dikenal pasti atau dijejak. Mnemonik boleh membantu pelajar daripada pelbagai peringkat sama ada pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi untuk lebih cepat mengingat semua maklumat yang sering digunakan dan maklumat yang diperlukan segera ‘at their fingertips’. Selain pelajar, orang ramai juga boleh menggunakan kaedah mnemonik ini untuk mengingat sesuatu peristiwa atau situasi seperti senarai perkara yang perlu dibeli (shoping list). Saya akan memberikan contoh-contoh mnemonic yang boleh digunakan oleh pelajar dalam pelbagai peringkat dan mata pelajaran. Oleh kerana penggunaan kaedah mnemonic ini sudah pun berlaku sejak sekian lama dahulu, maka terdapat banyak perkataan dalam bahasa Inggeris telah digunakan. Namun begitu, dengan penekanan kepada bahasa Inggeris dalam kurikulum sekolah rendah, menengah dan peringkat tinggi di negara kita, maka ini akan dapat membantu semua pelajar untuk memudahkan mereka mengingati sesuatu maklumat dan fakta, di samping mengajar bagaimana untuk membina sendiri mnemonic yang sesuai dengan diri sendiri. Jenis mnemonic yang digunakan adalah berbagai-bagai, bergantung kepada jenis manusia yang berbeza-beza antara satu sama lain. Lain orang mempunyai lain cara atau kaedah untuk mengingati sesuatu maklumat. Sesetengah orang gemar menggunakan irama (rhyme) untuk memudahkan ia mengingati sesuatu seperti menyanyi atau menyajakkan maklumat tersebut, sementara orang lain pula menggunakan kaedah perkaitan sebagai strategi terbaik bagi mengingat sesuatu maklumat. Apa yang penting ialah setiap orang perlu menggunakan kaedah mnemonik yang bersesuaian dengan mereka dan dapat berfungsi dengan baik. Antara jenis mnemonic yang utama ialah irama, akronim, perkaitan dan perkataan. Sesetengah mnemonik berbentuk sajak yang ringkas dan kaedah bacaannya (atau membunyikannya) juga adalah seperti bersajak. Sesetengah mnemonik pula berbentuk lakaran ringkas dan mudah dilukis atau lakar semula. Berikut adalah beberapa contoh mnemonik yang telah digunakan di seluruh dunia bagi memudahkan pelajar mengingati sesuatu fakta dan sebagainya:
(Mercury, Venus, Earth, Mars, Jupiter, Saturn, Uranus, Neptune, Pluto) My Very Easy Method: Just Set Up Nine Planets. (Kingdom, Phylum, Class, Order, Family, Genus, Species) Kids Prefer Cheese Over Fried Green Spinach (Red, Orange, Yellow, Green, Blue, Indigo, Violet) ROY G BIV Darab (Multiply) dan Bahagi (Divide) sebelum kita Tambah (Add) dan Tolak (Subtract) My Dear Aunt Sally Vitamin yang larut dalam lemak adalah mudah diingat iaitu vitamin: A, D, E, K Sementara lainnya iaitu B, C adalah larut dalam air. (Europe, Antarctica, Asia, Africa, Australia, N.America, S.America) "Eat An Aspirin After A Naff Sandwich" (Brackets, Multiplications, Divisions, Additions, Subtractions) " Bless My Dear Aunt Sally! " Contoh: Thus (3*4+4/2-3)*5 is calculated in steps as:calculate for brackets first = [3*4+4/2-3] [*5]multiply within, then divide = [12+2-3] [*5]add within, then subtract = [11] [*5] = 55 (Bracket, Open, Divide, Multiply, Substract) BODMAS Bagi penyelesaian matematik yang melibatkan bahagi, darab dan tolak jika melibatkan kurungan (bracket)

Friday, November 28, 2008

Sifat-Sifat Yang Inovatif

Sebagai seorang guru, kita perlu memiliki sifat-sifat yang inovatif supaya kita dapat mengikuti arus perkembangan terkini dalam bidang pendidikan. Mata pelajaran Inovasi Dalam Pendidikan ditawarkan oleh semua universiti yang mengendalikan progam pasca ijazah di peringkat master dan Ph.D. oleh itu semua para lulusan sarjana dan Ph.D daripada mana-mana universiti dalam bidang pendidikan diharapkan dapat mewarisi ilmu dalam bidang ini dan memiliki sifat-sifat inovatif. Walau bagaimanapun, guru-guru yang tidak memiliki ijazah sarjana dan PhD juga dikehendaki mempunyai sifat-sifat ini supaya semua perkara baharu yang diperkenalkan dalam bidang pendidikan mudah dilaksanakan tanpa banyak halangan. Saya berpendapat semua bakal guru perlu didedahkan kepada kursus ini supaya apabila mereka bertugas di sekolah kelak, mereka sudah memilki sifat-sifat yang inovatif dan ini memudahkan pihak pengurusan dan pembuat keputusan melaksanakan inovasi dalam bidang pendidikan. Sifat-sifat ini adalah suatu sifat yang generik kepada profesionalisme guru. Sifat-sifat inovatif yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Sentiasa mencari lebih banyak maklumat tentang inovasi
  • Sering mengadakan hubungan dengan agen perubahan
  • Lebih membuka diri kepada idea-idea baru
  • Penglibatan sosialnya lebih tinggi
  • Meminati pendidikan dan ilmu pengetahuan
  • Komunikasi yang trampil atau cekap
  • Mengurangkan birokrasi ke tahap minimum
  • Memberi ganjaran kepada inovator dengan pengiktirafan yang bermakna
  • Bersedia mengambil risiko

Thursday, November 27, 2008

Kaedah Pengajaran Dalam Islam

Kita mempunyai pelbagai sumber ilmu yang amat berguna untuk diamalkan dalam profesion perguruan. Antara sumber ilmu tersebut adalah kaedah pengajaran yang digunakan oleh Rasulullah SAW dan para Cendikiawan Islam yang tersohor se antero dunia. Rasulullah SAW Baginda menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dalam menyampaikan ilmu dunia dan akhirat kepada pengikut-pengikut Baginda meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Antara kaedah yang Baginda gunakan ialah:
  • Kuliah
  • Khutbah
  • Dialog
  • Soal jawab
  • Hafazan
  • Mujadallah
  • Gambaran - kini dikenali sebagai penggunaan bahan audio visual
  • Amali
  • Demonstrasi
  • Halaqah dan banyak lagi....

Baginda sebenarnya sudah mendahului pelbagai strategi pengajaran yang masa kini disebut sebagai teknologi pendidikan. Hanya ketiadaan komputer pada zaman baginda sahaja yang membezakan strategi pengajaran yang digunakan dengan strategi pada zaman ini. Walau bagaimanapun Baginda telah mempelopori dan menunjukkan contoh strategi pendekatan pengajaran yang amat sesuai dengan kehendak pelajar. Dalam sebuah buku yang bertajuk Nabi Muhammad: Guru dan Pendidik Terulung, ditulis oleh As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (diterjemah oleh Hj. Shuhadak Mahmud, Dirasat Ulya, Jamieah Maftuhah, Kaherah, Mesir) terbitan Maktab Al-matbuah Islamiah Habab. Diterbitkan bersama oleh M Khari Ent. dan Al Azhar media Ent. Buku ini menghuraikan 40 teknik cara mengajar oleh Rasulullah. Ibn Khaldun Beliau menggunakan kaedah pengajaran mengikut peringkat-peringkat pengajian iaitu bermula daripada peringkat rendah kepada peringkat tinggi. Antara kaedah-kaedah yang digunakan ialah:

  • Qiraah (bacaan)
  • Hafz (hafazan)
  • Kitabah (tulisan)
  • Imla’i (menyalin)
  • Istiwbat (ambilan)
  • Tardid (ulang sebut)
  • Munazarah (pemerhatian)
  • Tikrar (pengulangan)
  • Sama’ (mendengar)
  • Ijtima’al-watan (pergaulan dengan penduduk setempat)
  • Mulakhasah (deduktif)
  • Tamhid (induktif)
  • Juz’i (menjelaskan secara satu persatu)
  • Kulli (menyeluruh)
  • Bati (beransur-ansur)
  • Daqiqah (mendalam)
  • Umuniyyah (umum)
  • Hayah (penghayatan)
  • Muttakamul (kesepadanan)
  • Syumul (menyeluruh dan benar-benar menguasai ilmu) - kaedah sekarang (moden?) dikenali sebagai 'mastery learning'
  • Talkhis (peringkasan)
  • Rihlah (lawatan)
  • Takhdis (huraian)
  • ’amali (praktikal)

Al Qabisi

  • Kuliah dan syarahan bagi mata pelajaran akhlak
  • Hafz (hafazan) hendaklah diikuti dengan amali (aml)
  • Kaedah fard (individu) bagi murid yang lemah
  • Jama’iyyah (berkumpulan)
  • Tardid (meniru)
  • Qudwah (tauladan)
  • Tamsil (tunjuk ajar) - bersamaan dengan kaedah demonstrasi
  • ’amliyah (amali)

Al Farabi, Ibn Sinna dan Ibn Tufail

  • Huraian
  • Perbandingan - banding beza yang dikenali dalam kemahiran berfikir
  • Perkaitan - seperti dalam kemahiran berfikir yang diperkenalkan sekarang
  • Kesimpulan
  • Generalisasi
  • Implikasi
  • Ikhtisar
  • Penyelesaian masalah - dikenali sekarang sebagai problem solving
  • Inkuiri

Al Ghazali dan Sufyan Al ’Uyainah

  • Munaqasah (perbincangan)
  • Al-adwan (main peranan) - dikenali sebagai roleplay

Imam Shafi’i dan Imam Malik

  • Imla’i (menyalin)
  • Istima’ (mendengar)
  • Nazar wa istima’ (pandang dan dengar) - kini dikenali sebagai penggunaan bahan audio visual
  • Kalam (dialog)
  • Qira’ah (bacaan)
  • Kitabah (tulisan)

Lain-lain kaedah pengajaran yang sering digunakan oleh cendekiawan Islam lain adalah seperti berikut:

  • Taqlid duna nazar wa fikr – meniru
  • ’adan al-akhlas bi al dars - peneguhan
  • Burhan wa wadihah – penerangan dan penjelasan
  • Kulliyyat – penerangan
  • Tamhis al-ra’yie – percambahan idea
  • Tikrar ma’a talwin – latih tubi
  • Tajribal al-sakhsiah – pengalaman
  • ’Ibrah – penceritaan
  • Taqdim al-targhib ’ala al-tarhib – mengutamakan kegembiraan daripada ancaman
  • Uswah hasanah – teladan yang baik, mengambil iktibar, tinjauan, muhasabah

Jika diteliti kaedah-kaedah yang telah digunapakai sejak berzaman dahulu ini, ianya masih relevan dan hanya diberi nafas baharu atau dengan lain perkataan bolehlah kita katakan sebagai satu penjenamaan semula mengikut acuan barat. Tambahan pula dengan adanya teknologi canggih terkini iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), maka kaedah-kaedah yang diberikan penjenamaan semula ini kelihatan begitu canggih dan seolah-olah dicipta oleh para cendekiawan barat. Semoga dengan artikel ini, kita semua sebagai warga guru yang mempraktiskan kaedah-kaedah pengajaran ini sedar bahawa ilmu tersebut sebenarnya telah pun diperkenalkan oleh cendekiawan Islam, malahan telah diterajui oleh Rasullullah saw.

Wednesday, November 26, 2008

I Am Looking For A Teacher

Sajak berikut tulis oleh seorang penulis yang saya perolehi daripada sebuah artikel berkaitan dengan guru. Saya amat tertarik dengan sajak ini sebab penulis meluahkan rasa hati dan keinginan untuk mencari seorang insan guru yang ideal. Mungkin kita tidak dapat menyediakan keseluruhan sifat yang diinginkan, namun sebagai seorang guru kita seharusnya menyedari apa yang diperlukan oleh seseorang murid. Sajak ini menyedarkan kita sebagai seorang insan guru betapa pentingnya fungsi dan peranan kita kepada seseorang murid.
I Am Looking For A Teacher (Marilyn Pattison) I am looking for a teacher Who is beautiful inside Honest with the students Giving then a sense of pride I am looking for a teacher With a healthy self esteem Who clearly states the rules And doesn’t have to scream I am looking for a teacher Who creatively prepares But whose first priority Is to convey that she cares I am looking for a teacher Who is interested, no aloof Who treats her students with respect Even when they goof I am looking for a teacher Who knows how to laugh and smile Who enjoys what she’s doing And goes the extra mile I am looking for a teacher Who believes all students can learn Who praises their efforts and talents They give their best return I am looking for a teacher Who communicates with parents well Gently and carefully selecting words When there’s a problem to tell I am looking for a teacher Who will fill a child with desire To love to learn more every day I am looking for a teacher Who encourages children to have a dream To work at solving problems Building their self esteem There are some teachers out there The kind I’m looking for For their student’s future success They have opened up the door

Tuesday, November 25, 2008

Cuti Hujung Tahun

Cuti persekolahan hujung tahun disambut dengan berbagai-bagai perasaan dalam kalangan murid dan ibu bapa. Guru-guru juga merasa agak lega dan lapang selepas bertungkus lumus mengajar dan menjalakan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kokurikulum. Ibu bapa merancang untuk bercuti dan membawa bersama anak-anak mereka. Murid-murid merasa lega dan dapat meluangkan masa bersama keluarga selepas begitu sibuk menghadiri berbagai aktiviti pelajaran dan kokurikulum sepanjang tahun. Namun, terdapat juga ibu bapa yang begitu risau dengan masa lapang anak-anak mereka. Sekiranya kedua-dua ibu bapa bekerja, anak-anak tinggal di rumah dan masa lapang ini jika tidak digunakan dengan baik, akan menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Permainan video game (PlayStation), internet dan sebagainya boleh menyebabkan gejala negatif berlaku. Akhbar baru-baru ini menyiarkan seorang pelajar mengalami suasana pelik dalam alam fantasi selepas bermain game melalui PlayStation dalam satu jangka masa yang panjang (marathon). Kita perlu mengawasi anak-anak kita daripada terlalu asyik bermain game komputer sehinggakan lupa makan dan minum serta beriadah. asyik ber'chating' siang dan malam, sehingga ke larut malam. Laman web 'friendster' adalah lamam web yang sangat sering dilawati oleh para remaja. Kawan-kawan mereka adalah rakan siber yang tidak dikenali secara fizikal, walau pun sering berhubung di ruang siber maya. satu lagi laman web yang sering dilawati ialah YouTube yang memaparkan segala peristiwa yang berlaku dalam bentuk video klip tanpa sebarang penapisan (walau pun tiada yang berunsur seksual) daripada segi keganasan dan nilai moral serta keagamaan. Ini sangat negatif untuk didedahkan kepada remaja yang sedang meningkat usia terutamanya sedang mengalami kematangan minda. Berbagai pihak menganjurkan program dan aktiviti yang dapat disertai oleh ana-anak bagi memenuhi masa cuti panjang mereka. Kita disajikan dengan program yang diberi dengan berbagai nama dan konsep seperti ’summer camp’ khemah ibadat, khemah pembentukan jati diri dan sebagainya. Ada penganjur yang ikhlas dan jujur dalam program serta aktiviti anjuran mereka dan tidak kurang juga yang lebih mementingkan atau mengaut keuntungan daripada peluang yang ada. kepada pengajur program yang sebegini baik, bantulah para remaja kita untuk memperkembangkan sahsiah dan kerohanian yang baik dengan mengadakan program dan aktiviti tanpa mengutamakan keuntungan semata-mata. Tidak semua ibu bapa yang mampu mengeluarkan perbelanjaan yang begitu banyak untuk menghantar anak-anak mengikuti program sedemikian. Sesetengahnya mempunyai dua atau tiga orang anak remaja, ini melibatkan kos yang begitu banyak. para guru harus memainkan peranan penting dalam program seperti ini dan pihak sekolah juga boleh melibatkan diri dalam penganjuran program sedemikian semasa cuti sekolah. Semoga penglibatan dalam aktiviti seperti ini akan menyerlahkan lagi nilai profesionalisme kita sebagai seorang guru. Pada pandangan saya, masa inilah kita boleh membantu anak-anak mempelajari apa yang tidak dapat kita berikan atau guru di sekolah berikan, iaitu pelajar agama seperti pembacaan Al Quran dari segi kelancaran, tajwid dan sebagainya. Begitu juga fardhu Ain yang amat dituntut oleh agama. Ibu bapa perlu mencari peluang untuk menghantar anak-anak ke program dan aktiviti berkaitan supaya dapat menampung kekurangan ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut. Sebagai ibu bapa, kita perlu mengawasi dengan seketat yang mungkin aktiviti anak-anak di rumah semasa ketiadaan kita (suami isteri pergi berkerja). Pengaruh internet amat berkuasa sekali untuk memesongkan pemikiran kepada perkara negatif jika tidak dikongkong dan diawasi dengan ketat. Malahan pengaruh televisyen, terutamanya televisyen satelit seperti ASTRO banyak mendedahkan anak-anak kita kepada gejala negatif dan keruntuhan akhlak/moral.

Monday, November 24, 2008

Ciri-Ciri Guru Cemerlang

Profesion perguruan bukanlah satu profesion yang statik dan tidak menjanjikan peluang kenaikan pangkat yang menarik. Kementerian Pelajaran Malaysia mengadakan pelbagai insentif untuk membantu meningkatkan profesionalisme perguruan melalui pelaksanaan Guru Cemerlang contohnya. Sebagai seorang guru, kita seharusnya mempunyai kualiti yang khusus dan konsisten supaya dipandang mulai oleh masyarakat. Profil guru cemerlang atau ciri-ciri guru yang cemerlang dibahagikan kepada dua aspek utama iaitu:
  1. Ciri-ciri personaliti seperti: menepati masa, berupaya mewujudkan suasana kecindan atau humorous (jenaka) dan tegas.
  2. Aspek kemahiran pedagogi seperti: komunikasi berkesan (bahasa yang mudah dan lancar, pergerakan badan dan mimik muka yang sesuai, intonasi yang menarik dan lantang); kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah secara spontan.

Terdapat lima (5) aspek kecemerlangan yang dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menurut seorang penyelidik iaitu Md. Nasir Masran (2000) dalam kertas prosiding bertajuk Guru Cemerlang: Personaliti dan Kemahiran (Prosiding seminar kebangsaan penyelidikan dan pembangunan dalam pendidikan 2000. 3 – 4 Oktober 2000, Bahagian Pendidikan Guru, KPM, ms. 173 – 178): 1. Kecemerlangan Peribadi

Kecemerlangan peribadi yang dimaksudkan ialah meliputi perkara berikut:

  • Nilai kendiri yang positif
  • Berakhlak mulia
  • Adil
  • Bertimbang rasa
  • Amanah
  • Bertanggung jawab
  • Kreatif
  • Inovatif
  • Kemas
  • Sikap sedia berkongsi
  • Bersikap terbuka
  • Berpemikiran positif

2. Kecemerlangan Pengetahuan dan Kemahiran Berikut adalah perkara yang berkaitan dengan kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran:

  • Mengamalkan budaya ilmu
  • Berkebolehan menyelesaikan masalah
  • Membuat keputusan yang rasional serta objektif
  • Sebagai pakar rujuk bidang masing-masing

3. Kecemerlangan Komunikasi Komunikasi adalah suatu bidang yang amat perlu dikuasai oleh warga guru sebagai suatu senjata utama dalam melaksanakan tugas menyebarkan ilmu dan kemahiran kepada murid-murid. Berikut adalah perkara yang perlu dikuasai oleh seseorang guru cemerlang berkaitan dengan komunikasi:

  • Kecekapan berinteraksi dan menyampaikan idea dan mesej secara berkesan.
  • Memula dan merintis sesuatu usaha sehingga berjaya.
  • Berkeupayaan memelihara hubungan mesra.
  • Menghormati semua ahli masyarakat sekolah atau institusi pendidikan.

4. Kecemerlangan Potensi

  • Keberkesanan sumbangan terhadap kejayaan sekolah atau institusi pendidikan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
  • Penglibatan yang bermakna dalam aktiviti-aktiviti ilmu seperti kursus-kursus profesional, seminar, bengkel.
  • Sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran melalui akademik dan penyelidikan.

5. Personaliti Unggul Personaliti ialah perwatakan dan tingkahlaku. Personaliti ialah satu daripada pembolehubah yang boleh memudahkan atau menyulitkan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru cemerlang perlu mempunyai ciri-ciri personaliti unggul seperti berikut:

  • Adil
  • Sabar
  • Tegas
  • Konsep kendiri positif
  • Kesungguhan
  • Mesra
  • Prihatin
  • Kerjasama
  • Menepati masa
  • Bertanggung jawab
  • Berakhlak mulia
  • Kecindan (unsur jenaka)

Menurut penyelidik ini (Md. Nasir Masran, 2000) hanya memiliki tiga (3) sahaja ciri-ciri di atas iaitu tegas, menepati masa dan kecindan dimiliki oleh semua guru cemerlang yang ada di negara kita masa kini.

Friday, November 21, 2008

Pengajaran Individu (Individualized Instruction)

Salah satu daripada kaedah pengajaran adalah secara pengajaran individu. Saya ingin mengetengahkan kaedah ini kerana terdapat isu di mana ramai guru dikatakan meninggalkan kelas setiap hari disebabkan menghadiri pelbagai aktiviti anjuran Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, Kementerian Pendidikan dan berbagai agensi lain. Ini menyebabkan murid ketinggalan ketika guru tiada dalam kelas. Mekanisme yang digunakan oleh sekolah adalah dengan mengadakan guru ganti, namun mekanisme ini tidak berkesan, hanya sekadar dapat mengawal kelas daripada bising sahaja. Punca guru meninggalkan kelas adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti berikut;

  • Kursus/program dijalankan semasa hari persekolahan.
  • Guru-guru yang mengikuti pengajian melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) mengambil cuti untuk menghadapi peperiksaan.
  • Mesyuarat diadakan semasa hari persekolahan anjuran JPN, PPD atau pihak sekolah sendiri.
  • PPD menggunakan tenaga guru sekolah untuk pelaksanaan program tertentu.

Guru-guru yang sering terlibat dengan kursus/bengkel/program anjuran KPM dan tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan ialah terdiri daripada:

  • Setiausaha Sukan,
  • panel penggubal soalan (UPSR, PMR, SPM, STPM),
  • Jurulatih Utama (JU),
  • Ketua Bidang,
  • GPK dan,
  • Guru Besar/Pengetua.

Kaedah pengajaran yang dibincangkan pada kali ini akan dapat membantu sekolah dan guru sekiranya kita tiada di dalam bilik darjah. Ini juga memudahkan guru ganti berfungsi dengan berkesan. Berikut adalah beberapa definisi berkaitan dengan pengajaran individu:

  • ..wherein students use learning materials specifically designed or chosen to suit their individual interest, abilities and experience, is now almost universally accepted as an important and productive instructional strategy.
  • ..apa juga penyediaan yang membolehkan setiap penuntut bergiat belajar pada setiap masa mengenai perkara-perkara yang didapatinya bernilai kepada dirinya sebagai seorang individu
  • Seseorang pelajar yang ingin belajar secara individu perlulah mempunyai disiplin diri yang tinggi dan dibantu oleh ibu bapa atau waris semasa menghadapi pelajaran.
  • Bahan pembelajaran juga perlu disusun dengan begitu rapi dan sistematik agar pelajar dapat mengikutinya tanpa menghadapi sebarang masalah.Dalam pengajaran individu, perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah perbezaan pada setiap individu dari segi intelek, minat, kecekapan, daya cipta dan sebagainya.
  • Bahan pembelajaran bagi pengajaran individu perlulah disediakan supaya pelajar dapat belajar mengikut kadar kecepatan sendiri.

Jenis-jenis pengajaran individu

  • Munsyi atau ‘tutoring’ Kaedah ini bermula sejak abad ke 19 di kalangan orang-orang bangsawan. Ia merupakan kaedah pengajaran individu yang sebenar iaitu seorang pelajar dipimpin oleh seorang guru (munsyi) semasa mengikuti pelajarannya.Is one to one method of instruction in which the decisions to be made by the tutor are ‘’programmed’ in advance by means of carefully structured printed instructions. The “teacher’s book” has the answers to the exercises; “the student’s book” does not

  • Koresponden Kaedah bermula sejak tahun 1873. Guru mengirimkan bahan pembelajaran ke rumah dan setiap tugasan atau latihan perlu dikirimkan semula kepada guru.

  • Self-Paced Unit Plans Kaedah bahan pembelajaran disusun dengan unit-unit yang kecil dan lengkap untuk mengkaji sesuatu topik. Pelajar akan belajar mengikut kecepatan sendiri.
  • Pengajaran Terancang (Programme Instruction) Kaedah di asaskan oleh B.F. Skinner. Konsep yang diperkenalkan oleh beliau ialah ‘ bahan pengajaran dibahagikan kepada langkah-langkah kecil dan setiap langkah diberikan ganjaran. Terdapat dua jenis pengajran terancang iaitu secara linear dan bercabang
  • Personalized System of Instruction (PSI) Could be described as a technology for managing instruction. It puts the reinforcement theory into action as the overall framework for a whole course. In the PSI classroom students work individually at their own pace using any of a variety of instruction materials - a chapter in a book, CAI, a loop film, a sound film strip, a programmed booklet, etc. The materials are arranged sequential order and the student must show mastery of each unit before being allowed to move on to the next.Mastery in determined by means of a test taken whenever the student feels ready for it. Study help and testing are handled by proctors - usually more advanced students who volunteer to help others. Proctors are critical component of PSI for it is their one-to-one tutorial assistance that makes the system personalized. The instructor acts primarily as a planner, designer, manager and guide to students and proctors. Maklumat lanjut mengenai PSI ini boleh didapati di laman web berikut: http://starfsfolk.khi.is/solrunb/system.htm
  • Audio Tutorial Systems Developed by S.N. Postlethwait at Purdue University in the early 1960s.Maklumat lanjut mengenai ATS ini boleh didapati di laman web berikut: http://www.hull.ac.uk/php/edskas/edtech/audiotutorial.pdf
  • Modul Modules are usually designed as self-instructional units for independent study. Kegunaan modul adalah untuk pengajaran biasa, memperkayakan bahan pengajaran pembelajaran, pemulihan, menetapkan kebolehan yang sama di peringkat permulaan sebelum memulakan topik baru, mengajar murid yang ketinggalan di dalam pelajaran kerana sakit, merancang kursus melalui pos atau pendidikan jarak jauh dan sebagainya termasuklah apabila guru tidak dapat hadir ke kelas untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Terdapat sebuah sekolah menengah di Ipoh menggunakan kaedah modul untuk membantu murid yang tidak dapat menghadiri kelas kerana terlibat dalam permainan hoki di peringkat negeri dan kebangsaan. Kaedah ini tidak akan menjejaskan pembelajaran murid walau pun murid itu terpaksa menghadiri latihan hoki atau permainan lain dalam waktu persekolahan. Guru mata pelajaran perlu menyediakan modul untuk murid ini dapat terus belajar.

Thursday, November 20, 2008

Aktiviti Persekolahan Di Hujung Semester Akhir

Peperiksaan akhir (bukan peperiksaan awam) sekolah diadakan beberapa minggu sebelum persekolahan berakhir. Murid ada beberapa minggu lagi untuk pergi ke sekolah. Ini menyebabkan murid tidak belajar lebih kurang dua atau tiga minggu sebelum sesi persekolahan berakhir di hujung tahun. Sementara itu, buku teks dikumpulkan semula oleh guru buku teks untuk diagihkan kepada pelajar lain bagi pesediaan tahun hadapan. Oleh itu, murid masuk kelas tak belajar apa-apa. Guru pula tidak masuk kelas sebab alasan memeriksa kertas jawapan dan memproses markah. Murid buat apa? Ini menjadi persoalan kepada ibu bapa. Terdapat murid yang tidak mahu pergi sekolah kerana alasan yang diberikan ialah ’tidak belajar’. Sementara ibu bapa pula mendesak anak mereka supaya pergi ke sekolah. Kesan yang timbul ialah, anak-anak mereka tidak pergi ke sekolah, malahan mereka melepak di tempat-tempat tertentu seperti kedai kopi, restauran, pusat membeli belah dan siber kafe. Keadaan begini akan mendedahkan mereka kepada gejala negatif seperti pergaulan bebas, dadah dan pil-pil khayal. Pihak berwajib seharusnya menyedari perkara ini dan berusaha membendungnya. Pihak pentadbiran sekolah perlu mengambil tindakan yang sesuai untuk menanganinya.
Saya cadangkan supaya sekolah mengadakan peperiksaan di minggu terakhir persekolahan supaya isu ini tidak lagi timbul di masa-masa akan datang. Alasan guru tidak sempat memeriksa kertas peperiksaan adalah tidak wajar sekali. Guru boleh memeriksa kertas soalan semasa cuti persekolahan, kerana guru sebenarnya bukan ’cuti’ kerana mereka masih dibayar gaji tanpa dikurangkan sedikit pun. Mereka harus bersikap profesional dan menggunakan kesempatan masa cuti untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan profesion masing-masing, kerana mereka sebenarnya masih ’berkerja’.
Pihak sekolah perlu tetapkan tempoh tertentu untuk guru memeriksa kertas soalan dan mengira markah, contohnya dua minggu selepas persekolahan berakhir, semua guru mesti menghantar markah masing-masing. Selepas itu, tetapkan suatu tarikh murid dan ibu bapa datang ke sekolah untuk mengambil markah peperiksaan. Tarikh tersebut juga digunakan untuk murid memulangkan buku teks yang dipinjamkan oleh pihak sekolah. Suatu tarikh lain ditentukan oleh pihak sekolah contohnya seminggu sebelum persekolahan bermula, murid dikehendaki datang ke sekolah untuk mendapatkan pinjaman buku teks. Dengan ini, masa persekolahan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, bukan digunakan untuk aktiviti pengurusan dan pentadbiran. Ini adalah wajar sekali dilakukan kerana guru dan pihak sekolah sering menyatakan mereka ’tidak cukup masa’ untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Apabila ditanya mengapa tidak menggunakan bahan bantu mengajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), ramai guru yang memberikan alasan bahawa mereka kekurangan masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran dengan alasan kononnya jika menggunakan bahan bantu mengajar, akan melambatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Alasan sebegini seringkali dan sudah lama digunakan oleh guru-guru untuk mengelakkan daripada menggunakan berbagai peralatan teknologi pendidikan yang dibekalkan kepada mereka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Berbagai penyelidikan telah dijalankan dalam bidang teknologi pendidikan dan alasan begini sering ditemui oleh penyelidik dalam negara kita. Terdapat sekolah yang mengambil inisiatif mengadakan peperiksaan di minggu terakhir persekolahan. Ini adalah satu amalan yang baik dan dapat membantu mengelakkan murid daripada melepak dan ponteng sekolah.
Rusa di Zoo Melaka
Pada masa dahulu, zaman persekolahan saya di tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, masa hujung persekolahan inilah diadakan aktiviti lawatan ke tempat-tempat tertentu seperti zoo, muzium dan sebagainya. Bagi sekolah yang terletak di luar bandar, inilah peluang guru-guru membawa murid mereka melawat Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain. Dengan aktiviti begini, murid dapat meluaskan pengalaman dan pandangan di samping dapat mempelajari banyak perkara. Pada zaman ini, aktiviti begini masih lagi dilakukan oleh sekolah-sekolah di luar bandar.
Pertujukan gajah di Zoo Melaka
Bagi sekolah-sekolah di bandar pula, mereka harus didedahkan kepada pengalaman luar bandar. Bawalah murid anda melawat ke kawasan luar bandar seperti kawasan pertanian getah, kelapa sawit, padi dan kawasan tanaman sayuran dan sebagainya. Bawalah mereka melawat ke kampung nelayan, melihat bagaimana penternakan ayam, itik, kambing dan lembu dijalankan. Ini akan memberikan kesan yang begitu mendalam dalam diri anak-anak yang akan mewarisi kita.

Friday, November 14, 2008

Keputusan UPSR Penentu PPSMI

Tidak mengejutkan bagi guru-guru yang terlibat dalam PPSMI apabila keputusan UPSR 2008 diumumkan! Bagi mereka yang tahu selok belok peperiksaan awam di Malaysia, perkara ini boleh berlaku dan tidak mustahil. Tanyalah Lembaga Peperiksaan Malaysia (KPM) apa yang sebenarnya berlaku dalam menangani markah peperiksaan awam tersebut. Hakikatnya:-
  • Soalan peperiksaan masih dwi bahasa
  • Murid membaca soalan bahasa Melayu (cuba buat kajian)
  • Guru masih mengajar menggunakan bahasa Melayu (dapatan daripada kajian dan pemerhatian, terutamanya di luar bandar dan pedalaman)
  • Penguasaan bahasa Inggeris tinggi (naik) kerana mereka banyak didedahkan kepada persekitaran bahasa Inggeris. (Apakah kita mahu mereka pandai berbahasa Inggeris atau Sains dan Matematik?)
  • Persekitaran pembelajaran di luar bandar masih berorientasikan bahasa Melayu
  • Kompetensi guru PPSMI berbahasa Inggeris masih lemah (terutamanya di luar bandar dan pedalaman)
  • Sekiranya semua soalan ditulis dalam bahasa Inggeris, apakah keputusan begini berterusan?

Semoga keputusan UPSR ini tidak dijadiakan sebagai satu kayu ukur untuk membuat keputusan pelaksanaan PPSMI di negara kita. Penyelidikan yang menyeluruh, adil dan telus perlu dilakukan oleh semua pihak untuk mengenalpasti kejayaan pelaksanaan PPSMI.

Bahasa Inggeris adalah bahasa Lingua-Franca dan amat penting dalam semua bidang. Tidak dapat dinafikan lagi kepentingan bahasa ini oleh sesiapa pun. Namun, untuk seseorang menguasai bahasa ini, tidak ada satu negara pun di dunia ini yang menggunakan pendekatan yang kita lakukan kepada anak-anak kita supaya mereka menguasai bahasa penting ini.

Monday, November 3, 2008

Guru-Guru Tiada Di Sekolah Pada Masa Persekolahan

Apa yang ingin dikongsi pada kali ini ialah mengenai ketiadaan guru di dalam bilik darjah semasa hari persekolahan. Mungkin ini mengejutkan sesetengah pihak, terutamanya ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka belajar apabila pergi ke sekolah. Data diambil daripada beberapa buah sekolah dalam satu kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Berikut dipaparkan sedikit maklumat mengenai ketiadaan guru dalam bilik darjah atau di sekolah semasa hari persekolahan berjalan: Negeri Selangor Tahun 2004 - Aktiviti rasmi (651), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (301), lain-lain sebab (9). Tahun 2005 – Aktiviti rasmi (1285), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (606), lain-lain sebab (102). Tahun 2006 – Aktiviti rasmi (3623), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (2183), lain-lain sebab (727), tanpa sebab (8). Negeri Kedah Tahun 2004 - Aktiviti rasmi (3071), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1173), lain-lain sebab (47). Tahun 2005 – Aktiviti rasmi (4013), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1429), lain-lain sebab (37). Tahun 2006 – Aktiviti rasmi (5088), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1706), lain-lain sebab (356). Walaupun data ini agak ketinggalan, namun ia menggambarkan sesuatu yang berlaku di sekolah dan yang pentingnya ialah pola yang ditunjukkan adalah semakin ada peningkatan dari segi jumlah. Ini merungsingkan jika berterusan. Guru tidak hadir ke sekolah kerana menghadiri aktiviti rasmi anjuran KPM bertambah dengan drastik di kedua-dua buah negeri sejak tahun 2004 hingga bulan Jun 2006. Peningkatan berlaku hampir dua kali ganda di setiap negeri. Jumlah keseluruhan juga menunjukkan peningkatan ketidakhadiran yang begitu tinggi. Guru tidak hadir disebabkan cuti rehat/cuti sakit/cuti bersalin juga mencatatkan peningkatan di kedua-dua buah negeri. Guru tidak hadir dengan lain sebab juga mencatatkan peningkatan walau pun dalam jumlah yang kecil. Sementara itu, terdapat juga guru yang tidak hadir ke sekolah tanpa sebab di negeri Selangor iaitu seramai lapan orang sehingga bulan Jun tahun 2006. Punca guru meninggalkan kelas adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti berikut:-
  • Kursus/program dijalankan semasa hari persekolahan.
  • Guru-guru yang mengikuti pengajian melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) mengambil cuti untuk menghadapi peperiksaan.
  • Mesyuarat diadakan semasa hari persekolahan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau pihak sekolah sendiri.
  • PPD menggunakan tenaga guru sekolah untuk pelaksanaan program tertentu.

Guru-guru yang sering terlibat dengan kursus/bengkel/program anjuran KPM dan tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan ialah terdiri daripada:-

  • Setiausaha Sukan
  • Panel penggubal soalan (UPSR, PMR, SPM, STPM)
  • Jurulatih Utama (JU)
  • Ketua Bidang
  • Guru Penolong Kanan (GPK) dan,
  • Guru Besar/Pengetua

Kesan Ketiadaan Guru Di Sekolah

Beberapa kesan telah dikenalpasti hasil daripada temubual dengan guru dan murid apabila guru tidak tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan:

  • Guru yang mengganti kelas yang ditinggalkan oleh guru yang mengajar mata pelajaran tertentu tidak sama opsyen
  • Guru ganti tidak mengajar dan menyuruh murid membuat kerja sendiri Guru ganti mengambil peluang mengajar mata pelajaran opsyennya sendiri semasa masuk kelas ganti
  • Guru yang meninggalkan kelas tidak menyediakan modul atau tugasan untuk dilakukan oleh murid semasa beliau tidak hadir
  • Sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan terutamanya bagi kelas yang akan menghadapi peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM)
  • Hampir setiap hari guru melaksanakan kelas ganti menyebabkan tugas-tugas lain seperti penyediaan Rancangan Pelajaran Harian (RPH), penyediaan sumber pengajaran dan pembelajaran, menanda buku latihan, memeriksa kertas ujian dan tugas-tugas panitia, setiausaha peperiksaan, penyelaras pusat sumber dan sebagainya tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan
  • Terdapat juga perasaan kurang senang di kalangan guru-guru disebabkan kekerapan guru yang sama meninggalkan sekolah masa persekolahan untuk menghadiri kursus atau program anjuran KPM

Bagaimana Mengatasi Masalah Ini? Pihak sekolah telah mengamalkan beberapa kaedah bagi mengatasi masalah guru tiada di sekolah pada masa persekolahan seperti berikut;

  • Menyediakan jadual kelas ganti untuk memastikan kelas yang dikosongkan itu diambilalih oleh guru lain dengan mengambil kira waktu senggang guru (free period) dan opsyen guru ganti tersebut
  • Pihak pengurusan sekolah mengumpulkan murid-murid di dalam dewan dan mengadakan aktiviti yang sesuai sekiranya melibatkan banyak kelas dan ramai guru yang tidak hadir
  • Pihak pengurusan sekolah meminta guru yang akan bercuti menyediakan lembaran kerja atau tugasan supaya dapat digunakan oleh guru ganti semasa mereka tidak hadir ke sekolah

Kekangan Pelaksanaan Kelas Ganti Semasa melaksanakan pencerapan kepada pelajar bacelor pendidikan ketika menjalani praktikal atau latihan mengajar di sekolah-sekolah, saya mendapati hampir setiap hari mereka dibebani dengan tugas mengganti kelas guru yang tidak hadir ke sekolah. Ini menjejaskan tugas mereka sebagai seorang bakal guru yang perlukan masa panjang untuk belajar di sekolah itu. Dalam buku rekod pengajaran mereka terdapat banyak slip tampalan kelas ganti yang ditugaskan kepada mereka. Mereka bukan menggantikan kelas opsyen mereka, malah berbagai mata pelajaran yang diganti kelas. Apa yang mereka buat? Keseluruhan mereka mengatakan hanya duduk dan mengawal murid daripada berkeliaran dan membuat bising. Sesetengahnya dibawa masuk ke Pusat Sumber Sekolah untuk aktiviti bebas (membaca dan lain-lain).

Dalam kajian ini pula, mereka mendapati hampir 60.0% guru tidak masuk ke kelas ganti yang telah ditetapkan dalam jadual ganti yang diedarkan kepada mereka. Sebilangan besar guru ganti yang masuk ke kelas hanya bertugas mengawal kelas daripada membuat bising tanpa melaksanakan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya duduk di dalam kelas tanpa berbuat sesuatu sehingga loceng berbunyi, malah murid juga tidak mengenali mereka kerana tidak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Pada dasarnya, tugas guru ganti dipilih mengikut keutamaan opsyen guru yang diganti dan jumlah waktu guru mengajar pada hari tersebut. Namun banyak sekolah tidak dapat melaksanakan keutamaan ini dan memberikan tugas kepada guru bukan opsyen sekadar untuk mengawal kelas supaya tidak bising dan tujuan keselamatan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini apabila guru tiada dalam kelas. Sekolah mempunyai sistem tersendiri menyediakan jadual kelas ganti setiap hari persekolahan. Hampir semua sekolah menyediakan kupon atau slip yang mengandungi nama guru ganti, guru yang diganti, Tahun/Tingkatan, masa serta mata pelajaran. Slip tersebut perlu ditandatangan dan dilekatkan dalam buku rekod pengajaran harian guru ganti. Terdapat sekolah yang menyediakan slip jadual ganti secara manual, buku, komputer atau dipaparkan di papan kenyataan untuk disemak oleh guru dan murid. Cadangan

  • Kursus yang dianjurkan oleh KPM, JPN, PPD dan lain-lain agensi KPM perlu diadakan di hujung minggu atau semasa cuti penggal persekolahan. Terdapat kursus yang memakan masa yang agak panjang dan melibatkan ramai guru
  • Lokasi kursus perlu diadakan berhampiran dengan sekolah dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk pergi dan kembali ke sekolah semula. Contohnya, guru yang mengikuti program PJJ di tempat yang jauh dari sekolah memerlukan jumlah hari yang lebih panjang untuk perjalanan pergi dan balik
  • Mesyuarat perlu diadakan di luar waktu persekolahan. Pihak JPN, PPD dan sekolah perlu mengelakkan penggunaan waktu pengajaran dan pembelajaran untuk menjalankan mesyuarat
  • Aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak NGO (Badan Bukan Kerajaan) perlu difikirkan kepentingannya dari segi pembelajaran murid di sekolah. Pihak JPN, PPD dan sekolah perlu mengelakkan daripada terlibat dengan aktiviti anjuran NGO yang mana memerlukan kehadiran guru-guru semasa persekolahan berjalan
  • Bahagian-bahagian di KPM, JPN dan PPD perlu membuat penyelarasan program-program yang dijalan/dianjurkan supaya tidak berlaku pertindihan program yang sama atau hampir sama. Perkara ini sering berlaku dan melibatkan guru yang sama menghadiri kursus yang sama atau hampir sama
  • Pihak sekolah perlu dimaklumkan terlebih awal tentang keperluan kursus atau latihan yang akan dilaksanakan. Kajian keperluan terhadap kursus perlu diadakan di sekolah bagi mengenalpasti jenis kursus yang diperlukan oleh guru. Terdapat sekolah yang tidak lagi memerlukan sesuatu kursus/latihan kepada guru-gurunya kerana sudah mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan, contohnya dalam bidang teknologi maklumat. Terdapat dua orang guru sekolah pedalaman hadir berkursus mengenai pembinaan laman web sekolah, sedangkan ianya sebuah sekolah kecil dan bilangan guru yang sedikit
  • Pengagihan guru untuk jadual guru ganti perlu dilakukan dengan bijaksana bagi mewujudkan kesaksamaan dalam menjalankan tugas tersebut di kalangan semua guru
  • Pemantauan pelaksanaan kelas ganti ini perlu dilakukan oleh Guru Besar/Pengetua atau GPK secara terancang dan berkesan. Rekod pelaksanaan jadual guru ganti perlu disimpan dan dikemaskini oleh pihak sekolah
  • Guru menyediakan modul pembelajaran yang komprehensif bagi tajuk-tajuk tertentu supaya berlaku pembelajaran kendiri murid semasa guru tidak masuk ke kelas

Kita sebagai ibubapa perlulah prihatin dan sedar tentang perkara ini, yang berlaku di sekolah. Kita dapat menyumbang idea dan buah fikiran untuk mengatasi masalah ini sekiranya kita sedar tentang isu ini. Semasa mesyuarat PIBG dan lain-lain forum seumpamanya, kita sebagai ibubapa perlu hadir dan membincangkan persoalan ini. Semoga penglibatan kita dalam memberikan idea dan pandangan kepada pihak sekolah, akan dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan. Oleh itu, kita perlu hadir dalam sebarang ruang yang disediakan oleh pihak sekolah seperti forum, mesyuarat (terutamanya mesyuarat PIBG) dan sebagainya. Sumbangan masyarakat terhadap pihak sekolah adalah amat bermakna dan selaras dengan perkembangan atau tren pendidikan masa kini. Ini telah diamalkan oleh ibubapa dan sekolah di negara maju.

Friday, October 31, 2008

Guru Perlu Pelbagaikan Strategi Pengajaran

Seorang guru perlu mahir melaksanakan pelbagai strategi pengajaran semasa melaksanakan pengakaran dan pembelajaran di bilik darjah. Profesionalisme seseorang guru boleh diukur daripada kemahiran beliau menggunakan pelbagai strategi pengajaran semasa melakukan pengajaran. Semasa latihan perguruan (pra perkhidmatan) di institusi latihan perguruan, semua bakal guru telah didedahkan kepada ilmu pedagogi dan andragogi. Selain itu ilmu mengenai kaedah mengajar bagi subjek tertentu juga didedahkan. Semua bakal guru dikehendaki melaksanakan micro-teaching dan latihan mengajar sebelum diiktirafkan sebagai seorang guru yang sebenar. Kita sebagai warga guru perlu memjaga nilai profesion ini supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia dan dihormati. Kalau nak mengajar, tak perlu mengikuti kursus pra perkhidmatan perguruan, semua orang boleh mengajar seperti membuka pusat-pusat tuisyen. Tetapi, kita yang telah mengikuti latihan perguruan, perlulah berbeza daripada guru tuisyen yang tidak mengikuti sebarang kursus. Sekiranya guru tuisyen dapat mengajar dengan lebih baik daripada kita, nilai profesionalisme kita pasti tercabar. Baiklah, sekarang kita akan membincangkan strategi pengajaran, semoga apa yang dibincangkan kali ini akan dapat memberikan sedikit manfaat kepada kita sebagai seorang guru yang profesional. Apa yang dibincangkan di sini mungkin ringkas dan tidak mencakupi secara keseluruhan topik, namun ianya boleh dijadikan sebagai rangsangan dan permulaan kepada kita semua. Aspek utama daripada fasa pengajaran dalam Model perancangan-pengajaran-penilaian ialah pelbagai strategi pengajaran yang digunakan oleh guru. Kepelbagaian strategi pengajaran Pembelajaran perlu dilakukan oleh guru untuk menjadikan proses pengajaran pembelajaran menarik dan efektif. Pembelajaran berpusatkan guru (teacher-directed strategy) adalah dimana guru mengawal keseluruhan proses pengajaran pembelajaran, pelajar pasif semasa guru mengendalikan pengajaran. Sementara pembelajaran berpusatkan murid (pupil-centered strategy) pula, proses pengajaran pembelajaran adalah daripada aktiviti yang telah dirancang dan dilakukan oleh murid. Proses pengajaran boleh juga berlaku di antara kedua-dua strategi ini (perantaraan).
Pembelajaran Berpusatkan -----------> Pembelajaran Berpusatkan

Guru Murid Terdapat banyak pendekatan yang berlainan ke arah pengajaran pembelajaran disebabkan oleh kepelbagaian cara manusia belajar. 1. STRATEGI PENDEKATAN MEDIA Strategi pendekatan media mengandungi 3 langkah;

  • Perancangan
  • Penyediaan media
  • Aktiviti susulan

Tumpuan utama strategi ini ialah untuk membawa pengalaman pembelajaran ke dalam bilik darjah. ‘..experiences from beyond the classroom.' Strategi ini sangat berfaedah untuk perkembangan dan pengayaan pengetahuan, kemahiran dan sikap daripada bahan yang spesifik dan penyampainya. Strategi ini didapati sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kebolehan serta bidang seperti sains sosial, bahasa, sastera, muzik, matematik dan sains. Supaya persembahan menggunakan media menjadi lebih efektif, beberapa keperluan utama dipastikan ialah;

  • periksa Panduan Penggunaan atau pra-tonton (preview) bahan (video/filem/slaid) untuk mempastikan program sesuai dengan umur, kebolehan, keperluan dan minat pelajar.
  • persembahan memenuhi keperluan objektif pelajaran.
  • pelajar diberikan tugasan khusus untuk dilakukan semasa dan selepas menonton.
  • guru memainkan peranan penting sebelum, semasa dan selepas persembahan.

2. STRATEGI PENDEKATAN LATIH TUBI Pendekatan ini memerlukan 6 langkah utama; i. Perancangan ii. Semak makna perkataan dan kefahaman iii. Tumpukan kepada bahagian utama pelajaran iv. Latih tubi v. Ujian bertulis vi. Pemeriksaan dan pemarkahan

Tumpuan utama strategi ini ialah, melalui pengulangan dapat menghasilkan respon yang segera atau pengingatan kembali yang cepat terhadap fakta, nama dan perkataan. Latih tubi melalui komputer adalah contoh yang sangat baik. Sekiranya strategi ini dilakukan tanpa had menyebabkan pelajar menjadi bosan dan tanpa tujuan. Pelajar akan menghafal seperti nyanyian dengan sedikit kefahaman sahaja. Untuk melakukan strategi ini dengan lebih berkesan, beberapa prinsip perlu diberikan perhatian utama;

  • bahan mestilah mudah difahami oleh pelajar, berdasarkan contoh yang konkrit/pengalaman pelajar.
  • latih tubi perlu pendek, tepat, pantas dan sesi latih tubi tidak melebihi 10 minit.
  • latih tubi perlu aplikasi secara praktikal.
  • latih tubi perlu menarik; penggunaan kad imbasan, OHP, audio kaset, permainan akan menambahkan minat, perisian komputer adalah salah satu cara yang sangat berkesan.
  • kadar kejayaan perlulah tinggi.
  • peneguhan seperti pujian dan maklumbalas segera akan menguatkan lagi daya ingatan.
  • latih tubi perlu berdasarkan kepada keperluan dan 'individualized' sebanyak mungkin.

3. STRATEGI PENDEKATAN EKSPOSISI Mengandungi 4 langkah utama; i. Perancangan ii. Persembahan bahan iii. Aktiviti pelajar iv. Uji kefahaman/pemindahan bahan ke dalam kehidupan sebenar

Tumpuan utama strategi ini ialah untuk memindahkan maklumat dengan secepat yang mungkin dan difahami. Guru memindahkan maklumat dan pelajar pasif secara fizikal sebagai penerima. Strategi ini kerap digunakan kepada pelajar yang lebih matang. Strategi ini menyebabkan pelajar menjadi bosan, terlalu lama mendengar dan menerima maklumat dengan lemah. contoh strategi ini adalah syarahan dan ceramah iaitu lebih berbentuk strategi pembelajaran berpusatkan guru. Untuk persembahan dengan kaedah ini, beberapa perkara perlu diberikan perhatian khusus;

  • strategi ini sesuai dengan peringkat umur, kebolehan, minat dan keperluan pelajar; kesesuaian ini adalah berasaskan kepada masa penumpuan dan isi kandungan pelajaran
  • bermula dari tahu kepada tidak tahu
  • isi kandungan dipersembahkan dalam langkah-langkah yang kecil
  • had masa persembahan adalah kira-kira 20 minit yang mencakupi dua hingga tiga idea utama
  • persembahan adalah pantas, menarik, hidup dan bersemangat
  • pelajar dilibatkan sebanyak mungkin melalui pendengaran, komen, soal jawab dan tindakbalas

4. STRATEGI PENDEKATAN DEMONSTRASI (A DEMONSTRATION STRATEGY) Pendekatan ini mengandungi 3 langkah utama;

i. Perancangan ii. Penerangan dan demonstrasi kemahiran/isi kandungan iii. Pelajar melakukan demonstrasi dengan maklumbalas guru iv. Penggunaan/pemindahan kemahiran/isi kandungan Tumpuan utama ialah untuk memperkenalkan kemahiran baru, isi kandungan dan tingkah laku melalui pengamatan/pemerhatian dan peniruan. Ia merupakan satu kaedah tradisional tetapi sangat efektif terutamanya kepada pelajar yang peringkat umur rendah serta lembam. Untuk persembahan yang efektif dalam pendekatan ini, perkara berikut perlulah diberikan perhatian khusus;

  • aktiviti bersesuaian dengan umur, kebolehan, minat dan keperluan pelajar.
  • tugasan yang diberikan perlu jelas, langkah demi langkah yang mudah dan istilah yang mudah.
  • semua pelajar dapat melihat dan mendengar penerangan dan demonstrasi yang ditunjukkan oleh guru.
  • menyediakan penglibatan pelajar dan penilaian kendiri sebanyak mungkin.

5. STRATEGI KONSEP (A CONCEPT STRATEGY) Pendekatan ini mengandungi 4 langkah utama;

i. Perancangan ii. Kenalpasti item yang berkaitan dengan permasalahan iii. Kumpulkan item-item ini berdasarkan kesamaan iv. Labelkan kumpulan

Tumpuan utama adalah untuk mengurus dan mengkategori maklumat atau pengalaman kepada sesuatu yang intelektual dan bermakna. Berfikir secara konsep dapat menolong pelajar berfikir dengan lebih sempurna dan efektif dengan menjelaskan kepada mereka kaedah untuk mengingat fakta, menggunakan berbagai cara dan mengumpulkannya mengikut kumpulan. Contoh konsep dalam beberapa mata pelajaran:

  • Matematik - bentuk, set, nombor perdana, perkaitan operasi, pengukuran, tempat, persamaan
  • Sains - tenaga, momentum, magnet, mamalia, hidup/bukan hidup, serangga, labah-labah, vertebrata.
  • Sains sosial - budaya, antropologi, bangsa, perkhidmatan yang baik, pengguna dan penghasil, lokasi, daerah, kerajaan, nilai.
  • Muzik - irama, mood, melodi, harmoni

Beberapa perkara perlu diambil perhatian semasa strategi konsep digunakan:

  • konsep mestilah berkaitan
  • konsep mestilah mempunyai ciri-ciri yang jelas
  • pelajar mempunyai contoh dan pengalaman yang konkrit untuk menghubungkan konsep sebelum dikaitkan dengan bentuk yang lebih abstrak
  • penglibatan pelajar yang aktif.

6. STRATEGI PERMAINAN SIMULASI (SIMULATION GAMES) Sesi pengajaran bagi strategi ini mengandungi langkah-langkah seperti berikut;

i. Perancangan ii. Persediaan untuk permainan simulasi iii. Permainan simulasi iv. Perbincangan dan rumusan

Tumpuan utama strategi ini ialah menghasilkan sedekat mungkin pengalaman atau situasi sebenar. Pelajar akan dapat belajar prinsip yang khusus, konsep atau kemahiran berfikir didalam domain kognitif, psikomotor dan nilai serta sikap yang berkaitan dengan kepercayaan empati, kebaikan (efficacy) dan akibat (consequence). Pelajar akan belajar dengan lebih seronok. Permainan simulasi boleh dibuat oleh guru atau yang sudah tersedia. Keburukannya ialah permainan simulasi ini boleh menyebabkan gangguan kepada realiti, 'over-competitive' dan nilai yang tersembunyi. Permainan simulasi yang dipilih perlulah memenuhi keperluan berikut:

  • sesuai dengan peringkat umur, peringkat kebolehan dan minat pelajar
  • guru perlu mahir dengan peraturan permainan terlebih dahulu
  • permainan dijelaskan dengan tepat dan difahami pelajar
  • guru mengawal kelas dengan baik supaya tidak berlaku salah faham
  • semua pelajar terlibat secara aktif
  • selepas permainan guru perlu memberikan penerangan dan rumusan tentang kepentingan prinsip, kefahaman, nilai dan kemahiran daripada permainan tersebut.

7. STRATEGI PERBINCANGAN KUMPULAN (A GROUP DISCUSSION STRATEGY) Pendekatan ini memerlukan 4 langkah utama;

i. Penyusunan kumpulan ii. Penyediaan tugasan iii. Perbincangan iv. Persembahan hasilan Tumpuan utama strategi ini ialah untuk menggalakkan kemahiran komunikasi di kalangan pelajar dalam kelas. Menolong pelajar berfikir dan kemahiran membuat keputusan di samping menggalakkan mereka mengeluar pendapat dan buah fikiran. Strategi ini tidak sesuai kepada pelajar peringkat rendah sebab kemahiran membuat keputusan diperlukan (level of reasoning). Kaedah ini juga berlaku dalam suasana yang bebas dalam persekitaran kelas. Beberapa perkara perlu diambil perhatian sebelum melakukan strategi ini:

  • kelas telah biasa dengan kumpulan
  • topik sesuai dengan umur, dan peringkat kematangan pelajar, serta dapat merangsang ke arah perbincangan
  • suasana kelas adalah koperatif dan tenang
  • setiap kumpulan mempunyai tugas yang tertentu dilakukan dalam masa yang telah ditetapkan
  • tugasan adalah jelas dan tersusun
  • guru mengawasi kebisingan kelas dan progres perbincangan
  • guru memberi panduan, berbincang dan mambantu pelajar

8. STRATEGI PENEMUAN BERPANDU (A GUIDED DISCOVERY STRATEGY) Terdiri dari 3 langkah;

i. Guru mencetuskan masalah ii. Pelajar mengkaji masalah iii. Guru dan pelajar berbincang masalah dan membuat kesimpulan Tumpuan utama strategi ini ialah menolong pelajar menghasilkan kemahiran menyelesaikan masalah. Strategi ini menekankan supaya pelajar mengenali bagaimana belajar dengan melakukan sendiri. Strategi ini boleh digunakan kepada pelajar di peringkat rendah tetapi lebih sesuai dan berfaedah kepada peringkat tinggi. Kelemahannya ialah tidak sesuai untuk memindahkan maklumat atau fakta yang banyak sekali gus. Tanpa panduan guru, pelajar akan mengambil masa yang lebih panjang untuk belajar dengan kaedah ini. Untuk menentukan supaya pendekatan ini efektif dilaksanakan, beberapa perkara perlu diberikan perhatian;

  • strategi ini sesuai dengan peringkat umur, kebolehan, minat dan keperluan pelajar
  • strategi sesuai dengan jadual (class routines)
  • guru benar-benar memahami isi kandungan dan proses penemuan yang akan dilaksanakan oleh pelajar
  • semua bahan/alat bantuan mengajar disediakan dengan sempurna
  • masalah dan tugasan diterangkan dengan jelas
  • semua pelajar terlibat sepenuhnya dan diberikan panduan sepanjang pengajaran pembelajaran
  • hasilan yang utama dibuat rumusan

Semoga apa yang dipaparkan dalam perbincangan kali ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua warga guru untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran. Dengan itu, suasana dan persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah menjadi lebih dinamik dan ceria. Sebagai seorang pengamal kerjaya profesional, kita akan dipandang lebih tinggi dalam kalangan warga kerja dan bidang profesional lain.

Thursday, October 30, 2008

Bersyarah Bukan Mengajar

Apa yang saya ingin bincangkan pada kali ini ialah mengenai kaedah pengajaran yang digunakan oleh sebilangan besar guru dan pensyarah di negara kita. Hasil daripada pemerhatian dan pencerapan yang pernah saya lakukan, didapati sebilangan besar daripada kita menggunakan kaedah yang berorientasikan ’teacher-centered’ atau berpusatkan guru. Bilangan guru dan pensyarah yang mengamalkan kaedah ’student-centered’ amatlah kecil dan jarang sekali dilakukan. Guru-guru kita sebenarnya telah dibekalkan dengan ilmu mengenai perguruan yang mencukupi semasa mengikuti latihan pra perkhidmatan di maktab-maktab perguruan dan universiti-universiti sama ada tempatan dan luar negeri. Mereka telah belajar ilmu pedagogi, andragogi dan sebagainya. Kurikulum latihan pendidikan guru kita amat mantap dan menyeluruh berbanding sesetengah negara lain. Ini diakui oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa melalui kajian dan penyelidikan yang dijalankan. Seorang profesor dalam bidang pendidikan dewasa William Penrose dari Universiti Stetson, Deland, Florida menceritakan tentang kejadian di mana isteri beliau telah mengikuti satu syarahan selama tiga jam. Sepanjang masa syarahan tersebut pensyarah tidak bertanyakan sebarang soalan kepada pelajar, tidak ada interaksi. Sesetengah pelajar kelihatan tidur dan pensyarah tidak ambil peduli. Tidak ada pelajar yang merungut tentang proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku. Apabila kembali ke rumah, beliau menyemak semula definisi syarahan/kuliah (lecture) dan ia adalah adalah seperti berikut; ………a discourse given before an audience or class, etc, for instruction. To deliver a lecture or a course of lectures. To deliver a lecture to …. (Penrose, 1981) Pandangan Pelajar Sesetengah pelajar menyokong kaedah syarahan kerana pelbagai sebab. Berikut adalah pandangan yang diberikan oleh pelajar tentang syarahan;
  • Guru adalah merupakan sebagai pusat graviti dalam bilik darjah, bukan pelajar, individu atau kumpulan.
  • “Saya datang ke kelas untuk mendengar idea dan pemikiran pensyarah”. Pensyarah dianggap sebagai tempat terkumpulnya ilmu pengetahuan. Pelajar tidak mempunyai apa-apa maklumat atau buah fikiran, malahan pelajar tak perlu disoal ketika dalam kelas.
  • “Sekolah dan maktab perlu memberikan syarahan/kuliah kepada pelajar kerana mereka akan mengikutinya (amalan) ketika di pusat pengajian tinggi kelak”. Kaedah ini akan membiasakan diri mereka apabila belajar di universiti nanti.
  • “Terdapat sesuatu yang tidak dapat dipersembahkan dalam bentuk lain selain dari kaedah syarahan/kuliah”. Sesetengah subjek atau tajuk hanya boleh dipersembahkan melalui kaedah syarahan sahaja.

Bagi sesetengah pelajar yang tidak sukakan kaedah ini mereka memberikan komen seperti berikut;

Kaedah syarahan bermakna pelajar datang ke kelas membawa gelas kosong untuk diisikan dengan cecair dari gelas pensyarah/guru. Cecair berpindah dari gelas guru ke dalam gelas pelajar dan proses inikan yang dipanggil sebagai pendidkan?

Di pusat pengajian tinggi, ilmu pengetahuan berpindah dari buku nota pensyarah kepada buku nota pelajar tanpa melalui kepada setiap pelajar. Pelajar menyalin setiap patah perkataan yang dikeluarkan oleh pensyarah semasa di dewan kuliah dan menghafalkannya untuk dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan. Kritikan terhadap kaedah syarahan/kuliah bukan terhad dalam kalangan pelajar sahaja, malahan ada pensyarah bahasa Inggeris yang telah menjalankan kajian mendapati ‘semakin banyak guru bercakap – semakin kurang pelajar belajar’. Hakikatnya;

Most of the great teachers of history did not use the lecture method. Instead, they stimulated their listeners to think. They asked questions and told parables. (Penrose, 1981) Kaedah Perbincangan Selain kaedah syarahan atau kuliah, terdapat satu kaedah yang difikirkan sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kaedah perbincangan. Ia boleh didefinisikan sebagai; To discuss is to investigate by reasoning or argument; or to talk about. It involves discourse about something in order to arrive at the truth or to convince others or the validity of one’s position. It is a consideration of a question in open and usually informal debate; or a formal treatment of a topic. (Penrose, 1981) Berikut adalah satu situasi pembelajaran melalui kaedah perbincangan; Christ was the master teacher. We should search the scriptures to learn his methods. His teaching included small group discussions, giving assigments, use parables and use of visual aids. Good teaching begins with the arrangement of the class room. Rearrange the chairs to facilitate small group discussion. Don’t have rows of chairs facing the teacher. A teacher should foster self-directed learning. One technique is to use ‘post-it-notes’ for brainstroming. Students answer question on the small notes….. (Laney, 1997) Dalam kaedah syarahan, pensyarah adalah autokratik. Beliau memainkan peranan utama dalam kelas dan pembekal utama ilmu pengetahuan. Dalam kaedah penyampaian tradisional ini guru adalah sumber tunggal maklumat. Guru bertutur sepanjang masa dengan sedikit atau tiada langsung interaksi guru-pelajar (Yusup, 1996). Sebaliknya dalam kaedah perbincangan pelajar mendapat kebebasan. Pelajar dilihat sebagai mempunyai pandangan dan pendapat yang bernas ada pelajar yang menyatakan bahawa mereka merasa dihargai kerana pandangan dan pendapat mereka diberikan perhatian oleh pensyarah dan didengar dengan teliti serta diperbincangkan di hadapan kelas. Guru sebagai pakar dan pengerusi perbincangan menyediakan isu-isu yang mencabar pemikiran pelajar. Semasa perbincangan, intelektual pelajar menjadi aktif pada peringkat yang komprehensif. Oleh itu tanggung jawab guru hanyalah sebagai orang yang memperkenalkan tajuk atau isu dan adalah lebih kurang sama tarafnya dengan individu yang lain. Inilah mungkin menyebabkan pensyarah atau guru memilih untuk berkuliah atau bersyarah kerana dapat membezakan mereka dengan pelajar. “The can stay arms-length from the students” (Laney, 1997) Ketika perbincangan sedang berjalan, pelajar terlibat secara personal. Mereka memfokuskan perhatian kepada aktiviti, bukan kepada guru. Ini adalah kenyataan bahawa guru atau pensyarah bukan ‘the goddess of wisdom’. Guru atau pensyarah yang bijaksana memahami bahawa mereka hanya dapat menyediakan peluang dan terpulanglah kepada pelajar untuk menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk belajar. Guru bukanlah sebagai ‘giver of answers’. Inilah sebenarnya peranan seorang guru atau pensyarah. Mereka boleh melatih, ‘facilitate’ dan memberikan galakan. Hanya pelajar sahaja yang akan dapat memulakan pertumbuhan intelek dan emosi mereka. Peranan Pelajar Ketika syarahan atau kuliah sedang berlangsung, pelajar adalah pemanas kerusi. Dalam kelas yang mengamalkan kaedah perbincangan, perkara sebaliknya berlaku di mana pelajar digalakan supaya aktif dan berfikir. Jika guru menjalankan tugasnya dengan baik, semua pelajar akan dapat merasa terangsang untuk berfikir sebanyak mungkin. Proses pengajaran adalah begitu mencabar dan sebahagian dari cabaran ini ialah untuk menggalakkan pelajar melibakan diri dengan aktif dalam proses pembelajaran. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengemukakan soalan yang membolehkan pelajar membuat refleksi kepada idea perbincangan dan memberikan sedikit masa untuk mereka menyediakan jawapan. Guru tidak perlu bercakap panjang sepanjang masa dalam bilik darjah (Noren, 1997).
Pelajar di sekolah, maktab dan institusi pengajian tinggi jarang disuruh untuk berfikir, mencetuskan idea dan emosi, dilatih untuk membuat keputusan dan bertindak balas dengan keputusan itu. Adalah menjadi tugas guru untuk merangsang pelajar bagi melakukan penemuan semula terhadap ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, bukan sekadar untuk mendapatkannya dan menyimpan selama beberapa bulan sebelum meluahkannya kembali di atas kerta peperiksaan akhir. Mungkin sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menggalakan guru bertindak demikian. Kementerian Pelajaran Malaysia akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa kemahiran berfikir perlu diberikan perhatian yang lebih rapi di sekolah. Kurikulum latihan perguruan telah memasukkan unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) ke dalamnya. Di peringkat sekolah pula, mata pelajar sains jelas telah mengandungi unsur-unsur kemahiran berfikir kerana pelajar dikehendaki membuat andaian dan hipotesis. Kementerian Pelajaran juga telah mula menambahkan unsur-unsur penilaian berterusan dalam sistem pendidikan dengan mengadakan peperiksaan lisan, dan amali dalam beberapa mata pelajaran tertentu. Terdapat sesetengah pelajar sukakan peluang yang diberi oleh guru semasa di dalam kelas semasa perbincangan kerana mereka dapat mengemukakan idea dan pendapat mereka sentiasa ingin menerangkan idea masing-masing dengan panjang lebar. Tetapi sesetengah pelajar merasakan mereka tidak belajar sepenuhnya jika hanya duduk diam dan mendengar penerangan guru secara pasif. Persoalannya, mengapa sebilangan pelajar pusat pengajian tinggi memilih untuk mendengar syarahan semata-mata? Jawapannya adalah mudah, mereka sudah melalui pengalaman di sekolah menengah selama lima hingga tujuh tahun dengan mengikuti kelas, mendengar guru mereka memberikan jawapan yang akan dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan. Sudah tertanam di dalam minda mereka bahawa inilah cara untuk menjadi orang yang terpelajar. Masih terdapat ramai guru dan pensyarah sama ada di sekolah, maktab dan universiti awam atau swasta menggunakan kaedah bersyarah atau berkuliah ketika menyampaikan maklumat dan isi kandungan pelajaran. Dengan melalui proses pemilihan dan pengisihan (melalui beberapa peringkat peperiksaan) pelajar akhirnya berjaya menjejaki tangga universiti. Jika kita masih percaya bahawa inilah caranya untuk menghasilkan para ilmuan, maka kaedah syarahan perlu dikekalkan. Namun cabaran masa kini memerlukan seseorang ilmuan yang lebih kreatif dan praktikal dengan setiap tindakan yang diambil.
Satu tema simposium pendidikan di Universiti Groningen, Belanda berbunyi “Non Scholae, Sed Vitae Discimus” bermaksud “ Anda tidak belajar hanya untuk peperiksaan, tetapi belajar untuk kehidupan anda selepas persekolahan” (Tuijnman dan Van Der Kamp, 1992). Sebenarnya kaedah syarahan versus perbincangan kelihatan seperti suatu masalah yang rumit tetapi hakikatnya adalah mudah. Terdapat institusi pengajian tinggi kita masih lagi mengamalkan kaedah syarahan yang mana sudah ketinggalan 50 tahun ke belakang. Kita sudah mengalami kesan ‘halo’. Adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang terpelajar menyatakan bahawa universiti atau kolej itu dan ini adalah sesuatu institusi yang baik, tetapi hakikatnya tidak. Mereka mengajar perkara yang baik dengan cara yang salah. Penutup Institusi pengajian di negara kita perlu mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani masalah ini bagi membantu pelajar supaya menjadi seorang yang pakar dalam bidang ilmu pengetahuan yang diceburi, mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan masa kini dan cabaran masa hadapan. Jika usaha ini inginkan kejayaan, masyarakat kita perlu membuat pusingan 180°. Seperti kata pendidik terkemuka dunia iaitu Maslow tentang matlamat pendidikan ...the full use of talents, capacities, potentialities, etc. Kita mesti berfikir bahawa pendidikan adalah proses ‘self-actualization’, bukan proses yang pasif. Jean Piaget pernah berkata “It is not by knowing the Pythagorean Theorem that free exercise of personal reasoning power is assured; it is in having rediscovered its existence and its usage”.
Sementara seorang lagi pendidik terkemuka Carl R. Rogers pula berpendapat “We cannot teach another person directly; we can only facilitate his learning”.