Monday, November 3, 2008

Guru-Guru Tiada Di Sekolah Pada Masa Persekolahan

Apa yang ingin dikongsi pada kali ini ialah mengenai ketiadaan guru di dalam bilik darjah semasa hari persekolahan. Mungkin ini mengejutkan sesetengah pihak, terutamanya ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka belajar apabila pergi ke sekolah. Data diambil daripada beberapa buah sekolah dalam satu kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Berikut dipaparkan sedikit maklumat mengenai ketiadaan guru dalam bilik darjah atau di sekolah semasa hari persekolahan berjalan: Negeri Selangor Tahun 2004 - Aktiviti rasmi (651), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (301), lain-lain sebab (9). Tahun 2005 – Aktiviti rasmi (1285), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (606), lain-lain sebab (102). Tahun 2006 – Aktiviti rasmi (3623), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (2183), lain-lain sebab (727), tanpa sebab (8). Negeri Kedah Tahun 2004 - Aktiviti rasmi (3071), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1173), lain-lain sebab (47). Tahun 2005 – Aktiviti rasmi (4013), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1429), lain-lain sebab (37). Tahun 2006 – Aktiviti rasmi (5088), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1706), lain-lain sebab (356). Walaupun data ini agak ketinggalan, namun ia menggambarkan sesuatu yang berlaku di sekolah dan yang pentingnya ialah pola yang ditunjukkan adalah semakin ada peningkatan dari segi jumlah. Ini merungsingkan jika berterusan. Guru tidak hadir ke sekolah kerana menghadiri aktiviti rasmi anjuran KPM bertambah dengan drastik di kedua-dua buah negeri sejak tahun 2004 hingga bulan Jun 2006. Peningkatan berlaku hampir dua kali ganda di setiap negeri. Jumlah keseluruhan juga menunjukkan peningkatan ketidakhadiran yang begitu tinggi. Guru tidak hadir disebabkan cuti rehat/cuti sakit/cuti bersalin juga mencatatkan peningkatan di kedua-dua buah negeri. Guru tidak hadir dengan lain sebab juga mencatatkan peningkatan walau pun dalam jumlah yang kecil. Sementara itu, terdapat juga guru yang tidak hadir ke sekolah tanpa sebab di negeri Selangor iaitu seramai lapan orang sehingga bulan Jun tahun 2006. Punca guru meninggalkan kelas adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti berikut:-
  • Kursus/program dijalankan semasa hari persekolahan.
  • Guru-guru yang mengikuti pengajian melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) mengambil cuti untuk menghadapi peperiksaan.
  • Mesyuarat diadakan semasa hari persekolahan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau pihak sekolah sendiri.
  • PPD menggunakan tenaga guru sekolah untuk pelaksanaan program tertentu.

Guru-guru yang sering terlibat dengan kursus/bengkel/program anjuran KPM dan tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan ialah terdiri daripada:-

  • Setiausaha Sukan
  • Panel penggubal soalan (UPSR, PMR, SPM, STPM)
  • Jurulatih Utama (JU)
  • Ketua Bidang
  • Guru Penolong Kanan (GPK) dan,
  • Guru Besar/Pengetua

Kesan Ketiadaan Guru Di Sekolah

Beberapa kesan telah dikenalpasti hasil daripada temubual dengan guru dan murid apabila guru tidak tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan:

  • Guru yang mengganti kelas yang ditinggalkan oleh guru yang mengajar mata pelajaran tertentu tidak sama opsyen
  • Guru ganti tidak mengajar dan menyuruh murid membuat kerja sendiri Guru ganti mengambil peluang mengajar mata pelajaran opsyennya sendiri semasa masuk kelas ganti
  • Guru yang meninggalkan kelas tidak menyediakan modul atau tugasan untuk dilakukan oleh murid semasa beliau tidak hadir
  • Sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan terutamanya bagi kelas yang akan menghadapi peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM)
  • Hampir setiap hari guru melaksanakan kelas ganti menyebabkan tugas-tugas lain seperti penyediaan Rancangan Pelajaran Harian (RPH), penyediaan sumber pengajaran dan pembelajaran, menanda buku latihan, memeriksa kertas ujian dan tugas-tugas panitia, setiausaha peperiksaan, penyelaras pusat sumber dan sebagainya tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan
  • Terdapat juga perasaan kurang senang di kalangan guru-guru disebabkan kekerapan guru yang sama meninggalkan sekolah masa persekolahan untuk menghadiri kursus atau program anjuran KPM

Bagaimana Mengatasi Masalah Ini? Pihak sekolah telah mengamalkan beberapa kaedah bagi mengatasi masalah guru tiada di sekolah pada masa persekolahan seperti berikut;

  • Menyediakan jadual kelas ganti untuk memastikan kelas yang dikosongkan itu diambilalih oleh guru lain dengan mengambil kira waktu senggang guru (free period) dan opsyen guru ganti tersebut
  • Pihak pengurusan sekolah mengumpulkan murid-murid di dalam dewan dan mengadakan aktiviti yang sesuai sekiranya melibatkan banyak kelas dan ramai guru yang tidak hadir
  • Pihak pengurusan sekolah meminta guru yang akan bercuti menyediakan lembaran kerja atau tugasan supaya dapat digunakan oleh guru ganti semasa mereka tidak hadir ke sekolah

Kekangan Pelaksanaan Kelas Ganti Semasa melaksanakan pencerapan kepada pelajar bacelor pendidikan ketika menjalani praktikal atau latihan mengajar di sekolah-sekolah, saya mendapati hampir setiap hari mereka dibebani dengan tugas mengganti kelas guru yang tidak hadir ke sekolah. Ini menjejaskan tugas mereka sebagai seorang bakal guru yang perlukan masa panjang untuk belajar di sekolah itu. Dalam buku rekod pengajaran mereka terdapat banyak slip tampalan kelas ganti yang ditugaskan kepada mereka. Mereka bukan menggantikan kelas opsyen mereka, malah berbagai mata pelajaran yang diganti kelas. Apa yang mereka buat? Keseluruhan mereka mengatakan hanya duduk dan mengawal murid daripada berkeliaran dan membuat bising. Sesetengahnya dibawa masuk ke Pusat Sumber Sekolah untuk aktiviti bebas (membaca dan lain-lain).

Dalam kajian ini pula, mereka mendapati hampir 60.0% guru tidak masuk ke kelas ganti yang telah ditetapkan dalam jadual ganti yang diedarkan kepada mereka. Sebilangan besar guru ganti yang masuk ke kelas hanya bertugas mengawal kelas daripada membuat bising tanpa melaksanakan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya duduk di dalam kelas tanpa berbuat sesuatu sehingga loceng berbunyi, malah murid juga tidak mengenali mereka kerana tidak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Pada dasarnya, tugas guru ganti dipilih mengikut keutamaan opsyen guru yang diganti dan jumlah waktu guru mengajar pada hari tersebut. Namun banyak sekolah tidak dapat melaksanakan keutamaan ini dan memberikan tugas kepada guru bukan opsyen sekadar untuk mengawal kelas supaya tidak bising dan tujuan keselamatan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini apabila guru tiada dalam kelas. Sekolah mempunyai sistem tersendiri menyediakan jadual kelas ganti setiap hari persekolahan. Hampir semua sekolah menyediakan kupon atau slip yang mengandungi nama guru ganti, guru yang diganti, Tahun/Tingkatan, masa serta mata pelajaran. Slip tersebut perlu ditandatangan dan dilekatkan dalam buku rekod pengajaran harian guru ganti. Terdapat sekolah yang menyediakan slip jadual ganti secara manual, buku, komputer atau dipaparkan di papan kenyataan untuk disemak oleh guru dan murid. Cadangan

  • Kursus yang dianjurkan oleh KPM, JPN, PPD dan lain-lain agensi KPM perlu diadakan di hujung minggu atau semasa cuti penggal persekolahan. Terdapat kursus yang memakan masa yang agak panjang dan melibatkan ramai guru
  • Lokasi kursus perlu diadakan berhampiran dengan sekolah dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk pergi dan kembali ke sekolah semula. Contohnya, guru yang mengikuti program PJJ di tempat yang jauh dari sekolah memerlukan jumlah hari yang lebih panjang untuk perjalanan pergi dan balik
  • Mesyuarat perlu diadakan di luar waktu persekolahan. Pihak JPN, PPD dan sekolah perlu mengelakkan penggunaan waktu pengajaran dan pembelajaran untuk menjalankan mesyuarat
  • Aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak NGO (Badan Bukan Kerajaan) perlu difikirkan kepentingannya dari segi pembelajaran murid di sekolah. Pihak JPN, PPD dan sekolah perlu mengelakkan daripada terlibat dengan aktiviti anjuran NGO yang mana memerlukan kehadiran guru-guru semasa persekolahan berjalan
  • Bahagian-bahagian di KPM, JPN dan PPD perlu membuat penyelarasan program-program yang dijalan/dianjurkan supaya tidak berlaku pertindihan program yang sama atau hampir sama. Perkara ini sering berlaku dan melibatkan guru yang sama menghadiri kursus yang sama atau hampir sama
  • Pihak sekolah perlu dimaklumkan terlebih awal tentang keperluan kursus atau latihan yang akan dilaksanakan. Kajian keperluan terhadap kursus perlu diadakan di sekolah bagi mengenalpasti jenis kursus yang diperlukan oleh guru. Terdapat sekolah yang tidak lagi memerlukan sesuatu kursus/latihan kepada guru-gurunya kerana sudah mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan, contohnya dalam bidang teknologi maklumat. Terdapat dua orang guru sekolah pedalaman hadir berkursus mengenai pembinaan laman web sekolah, sedangkan ianya sebuah sekolah kecil dan bilangan guru yang sedikit
  • Pengagihan guru untuk jadual guru ganti perlu dilakukan dengan bijaksana bagi mewujudkan kesaksamaan dalam menjalankan tugas tersebut di kalangan semua guru
  • Pemantauan pelaksanaan kelas ganti ini perlu dilakukan oleh Guru Besar/Pengetua atau GPK secara terancang dan berkesan. Rekod pelaksanaan jadual guru ganti perlu disimpan dan dikemaskini oleh pihak sekolah
  • Guru menyediakan modul pembelajaran yang komprehensif bagi tajuk-tajuk tertentu supaya berlaku pembelajaran kendiri murid semasa guru tidak masuk ke kelas

Kita sebagai ibubapa perlulah prihatin dan sedar tentang perkara ini, yang berlaku di sekolah. Kita dapat menyumbang idea dan buah fikiran untuk mengatasi masalah ini sekiranya kita sedar tentang isu ini. Semasa mesyuarat PIBG dan lain-lain forum seumpamanya, kita sebagai ibubapa perlu hadir dan membincangkan persoalan ini. Semoga penglibatan kita dalam memberikan idea dan pandangan kepada pihak sekolah, akan dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan. Oleh itu, kita perlu hadir dalam sebarang ruang yang disediakan oleh pihak sekolah seperti forum, mesyuarat (terutamanya mesyuarat PIBG) dan sebagainya. Sumbangan masyarakat terhadap pihak sekolah adalah amat bermakna dan selaras dengan perkembangan atau tren pendidikan masa kini. Ini telah diamalkan oleh ibubapa dan sekolah di negara maju.

6 comments:

nurul najib said...

dr.saya linkkan blog dr dlm blog saya--nurul

Deria said...

thanks

Unknown said...

Saya sangat bersetuju dengan kajian, pandangan dan ulasan yang diberikan oleh dr. Sememangnya itulah hakikat yang sedang berlaku dan akan terus berlaku jika tiada pihak yang mahu membahaskan isu ini di peringkat kementerian agar pihak yang berkenaan membuka mata dan melakukan sesuatu seterusnya membendung demi kebaikan generasi kita..

amin ashraf said...

nampak dari kajian ini KPM seolah-olah tidak menyedari akan hal ini.....dulu semasa saya menjawat jawatan sebagai AJK PIBG disekolah anak saya perkara ini menjadi topik yang utama namun tiada pihak yang berani bertemu KPM....sampai bila perkara ini berlanjutan???

Masnawi said...

Boleh saya tahu kajian ini dajalankan oleh bahagian mana di KPM. Saya memerlukan data lengkap kajian ini untuk projek Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK).

Infinity said...

Assalamualaikum...saya ingin dptkan penjelasan drp.semua...adakah kehadiran guru ke tempat kursus menyebabkan guru tersebut perlu ganti balik contact hour dia dgn murid mengikut jumlah hari berkursus?