Thursday, November 20, 2008

Aktiviti Persekolahan Di Hujung Semester Akhir

Peperiksaan akhir (bukan peperiksaan awam) sekolah diadakan beberapa minggu sebelum persekolahan berakhir. Murid ada beberapa minggu lagi untuk pergi ke sekolah. Ini menyebabkan murid tidak belajar lebih kurang dua atau tiga minggu sebelum sesi persekolahan berakhir di hujung tahun. Sementara itu, buku teks dikumpulkan semula oleh guru buku teks untuk diagihkan kepada pelajar lain bagi pesediaan tahun hadapan. Oleh itu, murid masuk kelas tak belajar apa-apa. Guru pula tidak masuk kelas sebab alasan memeriksa kertas jawapan dan memproses markah. Murid buat apa? Ini menjadi persoalan kepada ibu bapa. Terdapat murid yang tidak mahu pergi sekolah kerana alasan yang diberikan ialah ’tidak belajar’. Sementara ibu bapa pula mendesak anak mereka supaya pergi ke sekolah. Kesan yang timbul ialah, anak-anak mereka tidak pergi ke sekolah, malahan mereka melepak di tempat-tempat tertentu seperti kedai kopi, restauran, pusat membeli belah dan siber kafe. Keadaan begini akan mendedahkan mereka kepada gejala negatif seperti pergaulan bebas, dadah dan pil-pil khayal. Pihak berwajib seharusnya menyedari perkara ini dan berusaha membendungnya. Pihak pentadbiran sekolah perlu mengambil tindakan yang sesuai untuk menanganinya.
Saya cadangkan supaya sekolah mengadakan peperiksaan di minggu terakhir persekolahan supaya isu ini tidak lagi timbul di masa-masa akan datang. Alasan guru tidak sempat memeriksa kertas peperiksaan adalah tidak wajar sekali. Guru boleh memeriksa kertas soalan semasa cuti persekolahan, kerana guru sebenarnya bukan ’cuti’ kerana mereka masih dibayar gaji tanpa dikurangkan sedikit pun. Mereka harus bersikap profesional dan menggunakan kesempatan masa cuti untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan profesion masing-masing, kerana mereka sebenarnya masih ’berkerja’.
Pihak sekolah perlu tetapkan tempoh tertentu untuk guru memeriksa kertas soalan dan mengira markah, contohnya dua minggu selepas persekolahan berakhir, semua guru mesti menghantar markah masing-masing. Selepas itu, tetapkan suatu tarikh murid dan ibu bapa datang ke sekolah untuk mengambil markah peperiksaan. Tarikh tersebut juga digunakan untuk murid memulangkan buku teks yang dipinjamkan oleh pihak sekolah. Suatu tarikh lain ditentukan oleh pihak sekolah contohnya seminggu sebelum persekolahan bermula, murid dikehendaki datang ke sekolah untuk mendapatkan pinjaman buku teks. Dengan ini, masa persekolahan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, bukan digunakan untuk aktiviti pengurusan dan pentadbiran. Ini adalah wajar sekali dilakukan kerana guru dan pihak sekolah sering menyatakan mereka ’tidak cukup masa’ untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Apabila ditanya mengapa tidak menggunakan bahan bantu mengajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), ramai guru yang memberikan alasan bahawa mereka kekurangan masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran dengan alasan kononnya jika menggunakan bahan bantu mengajar, akan melambatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Alasan sebegini seringkali dan sudah lama digunakan oleh guru-guru untuk mengelakkan daripada menggunakan berbagai peralatan teknologi pendidikan yang dibekalkan kepada mereka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Berbagai penyelidikan telah dijalankan dalam bidang teknologi pendidikan dan alasan begini sering ditemui oleh penyelidik dalam negara kita. Terdapat sekolah yang mengambil inisiatif mengadakan peperiksaan di minggu terakhir persekolahan. Ini adalah satu amalan yang baik dan dapat membantu mengelakkan murid daripada melepak dan ponteng sekolah.
Rusa di Zoo Melaka
Pada masa dahulu, zaman persekolahan saya di tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, masa hujung persekolahan inilah diadakan aktiviti lawatan ke tempat-tempat tertentu seperti zoo, muzium dan sebagainya. Bagi sekolah yang terletak di luar bandar, inilah peluang guru-guru membawa murid mereka melawat Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain. Dengan aktiviti begini, murid dapat meluaskan pengalaman dan pandangan di samping dapat mempelajari banyak perkara. Pada zaman ini, aktiviti begini masih lagi dilakukan oleh sekolah-sekolah di luar bandar.
Pertujukan gajah di Zoo Melaka
Bagi sekolah-sekolah di bandar pula, mereka harus didedahkan kepada pengalaman luar bandar. Bawalah murid anda melawat ke kawasan luar bandar seperti kawasan pertanian getah, kelapa sawit, padi dan kawasan tanaman sayuran dan sebagainya. Bawalah mereka melawat ke kampung nelayan, melihat bagaimana penternakan ayam, itik, kambing dan lembu dijalankan. Ini akan memberikan kesan yang begitu mendalam dalam diri anak-anak yang akan mewarisi kita.

No comments: