Ketika pensyarah atau guru memberi syarahan atau kuliah, pelajar hanya berperanan sebagai pemanas kerusi sahaja. Tetapi dalam kelas yang mengamalkan kaedah perbincangan, perkara sebaliknya berlaku di mana pelajar digalakan supaya aktif dan berfikir. Jika guru menjalankan tugasnya dengan baik, semua pelajar akan dapat merasa terangsang untuk berfikir sebanyak mungkin. Oleh itu, semua guru dan pendidik harus tahu bagaimana mengendalikan strategi perbincangan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Proses pengajaran adalah begitu mencabar dan sebahagian dari cabaran ini ialah untuk menggalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam proses pembelajaran. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengemukakan soalan yang membolehkan pelajar membuat refleksi kepada idea perbincangan dan memberikan sedikit masa untuk mereka menyediakan jawapan. Guru tidak perlu bercakap panjang sepanjang masa dalam bilik darjah (Noren, 1997).
Pelajar di sekolah, maktab dan institusi pengajian tinggi jarang disuruh untuk berfikir, mencetuskan idea dan emosi, dilatih untuk membuat keputusan dan bertindak balas dengan keputusan itu. Tradisi amalan pendidik di negara kita adalah guru memberikan segalanya kepada murid. Oleh itu menjadi tugas guru untuk merangsang pelajar bagi melakukan penemuan semula terhadap ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, bukan sekadar untuk mendapatkannya dan menyimpan selama beberapa bulan sebelum meluahkannya kembali di atas kertas peperiksaan akhir atau peperiksaan awam. Mungkin sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menggalakan guru bertindak demikian.
Kementerian Pelajaran Malaysia akhir-akhir ini menekankan bahawa kemahiran berfikir perlu diberikan perhatian yang lebih di sekolah. Kurikulum latihan perguruan telah memasukkan unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) ke kurikulum masing-masing. Institusi pendidikan guru seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) dan fakulti pendidikan di universiti awam tempatan (IPTA) mewajibkan semua pelajar bacelor pendidikan mengambil kursus atau program kemahiran berfikir. Di peringkat sekolah pula, mata pelajar sains jelas telah mengandungi unsur-unsur kemahiran berfikir dalam kemahiran proses sains dimana kerana pelajar dikehendaki membuat andaian, hipotesis dan sebagainya. Kementerian Pelajaran juga telah mula menambahkan unsur-unsur penilaian berterusan dalam sistem pendidikan dengan mengadakan peperiksaan lisan, dan amali dalam beberapa mata pelajaran tertentu. Semoga suatu hari kelak sistem penilaian di negara kita tidak begitu memberatkan ke arah 'exam orientation'. Perkembangan diri murid daripada segi sahsiah dan intelektual (akademik) perlu dinilai secara berperingkat-peringkat. Penilaian berasaskan sekolah perlu diperhebatkan lagi.
Terdapat sesetengah pelajar sukakan peluang yang diberi oleh guru semasa di dalam kelas semasa perbincangan kerana mereka dapat mengemukakan idea dan pendapat mereka sentiasa ingin menerangkan idea masing-masing dengan panjang lebar. Tetapi sesetengah pelajar merasakan mereka tidak belajar sepenuhnya jika hanya duduk diam dan mendengar penerangan guru secara pasif.
Persoalannya, mengapa sebilangan pelajar pusat pengajian tinggi memilih untuk mendengar syarahan semata-mata? Jawapannya adalah mudah, mereka sudah melalui pengalaman di sekolah menengah selama lima hingga tujuh tahun dengan mengikuti kelas, mendengar guru mereka memberikan jawapan yang akan dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan. Sudah tertanam di dalam minda mereka bahawa inilah cara untuk menjadi orang yang terpelajar. Masih terdapat ramai guru dan pensyarah sama ada di sekolah, maktab dan universiti awam atau swasta menggunakan kaedah bersyarah atau berkuliah ketika menyampaikan maklumat dan isi kandungan pelajaran. Dengan melalui proses pemilihan dan pengisihan (melalui beberapa peringkat peperiksaan) pelajar akhirnya berjaya menjejaki tangga universiti. Jika kita masih percaya bahawa inilah caranya untuk menghasilkan para ilmuan, maka kaedah syarahan perlu dikekalkan. Namun cabaran masa kini memerlukan seseorang ilmuan yang lebih kreatif dan praktikal dengan setiap tindakan yang diambil. Satu tema simposium pendidikan di Universiti Groningen, Belanda berbunyi “Non Scholae, Sed Vitae Discimus” bermaksud “ Anda tidak belajar hanya untuk peperiksaan, tetapi belajar untuk kehidupan anda selepas persekolahan” (Tuijnman dan Van Der Kamp, 1992).
Sebenarnya kaedah syarahan versus perbincangan kelihatan seperti suatu masalah yang rumit tetapi hakikatnya adalah mudah. Terdapat institusi pengajian tinggi kita masih lagi mengamalkan kaedah syarahan yang mana sudah ketinggalan 50 tahun ke belakang. Kita sudah mengalami kesan ‘halo’. Adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang terpelajar menyatakan bahawa universiti atau kolej itu dan ini adalah sesuatu institusi yang baik, tetapi hakikatnya tidak. Mereka mengajar perkara yang baik dengan cara yang salah.
No comments:
Post a Comment