Monday, August 22, 2011

Kesan PPSMI

Saya merasa terpanggil untuk memberitahu semua pihak mengenai cerita terbaharu yang saya peroleh daripada anak buah saya. Mereka datang berkerja di Kuala Lumpur sebagai pekerja am (buruh) di sebuah syarikat. Mereka (3 orang) datang daripada keluarga yang sederhana (tidak susah sangat dan tidak miskin sangat) Saya terkejut dengan jawapan yang mereka berikan apabila saya bertanya sampai mana peringkat persekolahan mereka. Jawapan mereka adalah setakat PMR sahaja. Apabila ditanya kenapa tidak melanjutkan pelajaran di tingkatan 4. Jawapan mereka adalah sebab mereka tak faham apa yang diajar dalam BI seperti subjek Sains dan Matematik. Mereka kata lebih baik mereka berhenti daripada masuk kelas dan tak tahu apa pun yang dicakap oleh guru. Mereka tinggal dan bersekolah di kawasan luar bandar dan tidaklah begitu jauh daripada pekan kecil (Kuala Nerang). Menurut kata mereka, ramai lagi kawan2 mereka yang berbuat demikian disebabkan tak mampu belajar dalam BI, lalu berhenti sekolah. Terdapat juga dalam kalangan kawan2 mereka yang mendapat keputusan baik dan pandai semasa di sekolah, tetapi apabila masuk ke tingkatan 4, mereka tak dapat mengikuti pelajaran yang diajar dalam BI dengan baik dan pencapaian akademik mereka merudum.

Kita tidak nafikan BI adalah bahasa ilmu dan digunakan pakai antarabangsa, namun jangnanlah ramai anak-anak kita terabai dan tercicir dek BI.

Kini di fakulti pendidikan pula menjadi kewajipan bagi pensyarah untuk menyampaikan kuliah dalam BI. Saya tertanya-tanya adakah pelajar boleh memahami dengan baik dan adakah ilmu yang akan disampaikan itu boleh dikuasai sepenuhnya? Bakal-bakal guru ini akan berkhidmat di sekolah dalam negara dan juga termasuk di luar bandar. Adakah kita mahu menyediakan guru untuk mengajar dalam BI?

Saya terbaca Akhbar Berita Harian 20 ogos 2011yang ditulis oleh Razak Ghows mengenai tajuk "UM usah taksub mengejar ranking dunia"  Pensyarah universiti terutamanya universiti yang bertaraf Universiti Penyelidikan (Research University - RU) kini berlumba-lumba mengejar ranking dunia tanpa memikirkan masalah dan hal ehwal dalam negara. seolah-olah univerisiti kita ini (IPTA) ditubuhkan bukan untuk orang kita pulak. Kita bangga dengan universiti yang ramai orang luar (foreigner) sama ada berkulit hitam atau putih. Maka ramailah pelbagai bangsa tadi datang ke negara kita untuk belajar. Kita pulak berbangga dengan kehadiran mereka, kononnya kita mendapat pelajar yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Semua pensyarah universiti tahu apa yang berlaku kepada pelajar antarabangsa. adakah mereka ini sangat handal? BI mereka pun banyak yang lintang pukang dan belasah saja.

Pensyarah diutamakan supaya menulis artikel untuk diterbitkan dalam jurnal antarabangsa seperti ISI, dan seumpamanya. Artikel yang tersiar dalam jurnal tempatan tidak memberikan erti apa-apa kepada pihak universiti. Pensyarah tidak boleh menggunakan penerbitan jurnal tempatan sebagai CV mereka bagi tujuan kenaikan pangkat dan lain-lain. Jika dilihat, ramai pelajar pasca siswazah tempatan menggunakan dapatan kajian tempatan yang diperoleh daripada jurnal tempatan sebab kajian mereka adalah berfokuskan masalah tempatan. Selepas ini artikel dalam jurnal tempatan akan berkurangan dan akan menjadi masalah kepada pelajar dan penyelidik untuk membuat rujukan bagi kajian mereka.

Sebenarnya bukan mudah untuk menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang bertaraf liam atau enam bintang itu. Semua para akademik daripada seluruh dunia akan menghantar artikel untuk jurnal yang mempunyai bilangan terhad ini. Dalam bidang-bidang tertentu, hanya beberapa buah jurnal sahaja berstatus ini. Maka peluang untuk diterbitkan dalam jurnal ini cukup terhadap dan persaingan yang tinggi. Maka mengeluhlah para akademik di universiti, terutamanya RU.

Kelihatan semakin ramai profesor dan profesor madya yang akan berpencen, namun pengganti mereka adalah sukar ditemui lantaran syarat-syarat yang begitu ketat sekali untuk memohon jawatan tersebut. Beruntunglah para profesor dan profesor madya yang hidup dalam zaman bukan RU dan zaman yang tidak mengejar ranking dunia. Trend untuk berpindah ke universiti yang bukan RU dimana syarat kenaikan pangkat tidak begitu ketat akan berlaku dan sedang berlaku. Kemungkinan suatu hari kelak bilangan prof dan PM akan berkurangan dalam sesebuah fakulti sekiranya syarat yang ada sekarang diteruskan.

Friday, August 12, 2011

Guru adalah Ibu Bapa Kedua Murid

Murid banyak menghabiskan masa di sekolah di sebelah siang hari berbanding bersama ibu bapa mereka. Oleh itu secara tidak langsung, guru adalah pembimbing dan penjaga kepada murid semasa mereka berada di sekolah. Maka peranan sebagai ibu bapa kedua tidak boleh dinafikan oleh setiap insan yang bergelar guru. Semasa di sekolah, murid perlu dijaga dari segi keselamatan mereka, ksihatan dan pemakanan mereka. Sekolah telah menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan murid semasa mereka berada dalam kawasan sekolah, malahan kawasan sekolah sentiasa diawasi oleh pegawai keselamatan yang sentiasa bertugas. Bilik rawatan, kantin dan surau telah tersedia untuk  murid melakukan aktiviti yang berkenaan. 

Hanya guru yang benar-benar berdedikasi sahaja mampu menunaikan tanggung jawab ini dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh. Berapa ramai antara guru menziarahi anak didik mereka sekiranya sakit dan terlantar di rumah atau hospital? Berapa ramai guru yang bertanyakan khabar sekiranya anak didik mereka tidak hadir ke sekolah melebihi 2 atau 3 hari? Ada ketika murid mereka sakit dan tidak hadir ke sekolah sehinggga melebihi 3 hari, guru langsung tidak mengambil tahu atau bertanyakan khabar. Guru boleh menghubungi ibu bapa dan bertanya mengapa anak mereka tidak hadir ke sekolah, dan sekiranya sakit maka hadirlah ke rumah mereka untuk menziarahi murid yang sakit. Kemana hilangnnya nilai keperibadian baik yang sepatutnya ada dalam diri seseorang guru sehingga tidak perlu mengambil tahu hal murid mereka? 
Kita banyak mendengar orang membandingkan guru dahulu dan guru sekarang. Perkara inilah yang membezakan guru dahulu dengan guru sekarang, guru dahulu menjalankan tugas sebagai ibu bapa kedua kepada murid dengan penuh rasa tanggung jawab menyebabkan mereka sentiasa dihormati sepanjang zaman. Bagaimana kita mahu murid menghormati kita sekiranya kita tidak menghormati mereka?

Kita pernah mendengar ada orang yang menyatakan mereka menjumpai amalan nilai Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Masyarakat di Barat mengamalkan nilai-nilai menghormati sesama sendiri dengan lebih baik berbanding masyarakat kita (Islam). Guru mereka sangat menghormati anak didik dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. 

Oleh itu janganlah memaki hamun, mencaci, mencela, memandang remeh anak didik kita walau pun mereka masih kecil. Suatu ketika nanti mereka akan menjadi dewasa dan mungkin menjadi seseorang yang terkenal. Sekiranya mereka tidak diajar untuk menghormati kita, maka kita akan kecewa apabila masa tersebut tiba.

Monday, August 1, 2011

Mengakui Kesalahan Sendiri

Manusia dilahirkan mempunyai kekurangan, kelemahan dan sentiasa membuat kesilapan. Sebab itulah ALLH SWT dan Rasullah SAW sentiasa menyuruh kita bertaubat dan berightifar setiap hari. Begitu juga insan guru, akan sentiasa menghadapi situasi membuat kesilapan setiap hari semasa berhadapan dengan murid. Seharusnya sebagai seorang manusia biasa, seseorang guru tidak akan teragak-agak untuk mengakui kesilpan dan kesalahan yang dilakukan kepada murid. Perlakuan ini akan menimbulkan persepsi positif dalam kalangan murid kita. Kita sentiasa mengikuti ceramah dan ucapan dari pelbagai pihak, dimana diakhir ucapan mereka sentiasa menyebut "akhir sekali saya memohon ampun dan maaf sekiranya ......  yang baik itu daripada ALLAH SWT dan yang buruk itu adalah daripada saya". Ini menunjukkan penceramah tersebut menguki bahawa beliau juga ada membuat kesilapan dan mempunyai kelemahan dalam penyampaiannya. Berbalik kepada kita sebagai warga guru, ada kemungkinan setiap kali berhadapan dengan murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, kita juga membuat kesilapan yang dapat menyinggung perasaan murid kita. Alangkah baiknya sebelum meninggalkan bilik darjah, kita memohon maaf daripada murid kita. Guru yang bersikap tidak ego dan berlaku jujur serta membetulkan kesilapan dengan segera akan menjadi contoh dan teladan kepada murid kita.

Thursday, May 26, 2011

Hari Guru

Kecewa sangat apabila melihat tokoh-tokoh guru yang dipilih pada tahun ini dan setiap tahun adalah daripada mereka yang 'Ternama" dengan gelaran Dato', Datuk, Profesor, etc..... seolah-olah tidak ada tokoh guru dalam kalangan bekas-bekas guru yang tidak "ternama' dan bertugas di kawasan masing-masing (bandar, luar bandar, pinggir bandar, pedalam, pulau dan pelbagai tempat lagi). Mereka juga mempunyai sumbangan yang begitu bernilai dan tinggi terhadap pendidikan walau pun tidak diperingkat antarabangsa. Apalah ada pada antara bangsa kalau tidak bermula dengan peringat daerah, negeri dan kebangsaan. Apakah ertinya TOKOH GURU itu... adakah tafsiran defnisi tersebut hanya untuk antarabangsa sahaja. 

Ramai dalam kalangan guru-guru (dan bekas guru) yang begitu menonjol diperingkat atau daerah atau negeri masing-masing. Sumbangan mereka terhadap sekolah dan masyarakat setempat tidak dapat diukur dengan wang ringgit. Pengorbanan mereka terhadap dunia pendidikan begitu tinggi sekali nilainya, namun mereka diketepikan daripada memperolehi gelaran TOKOH GURU.

Semoga gelaran TOKOH GURU tidak ditafsir dengan begitu sempit pada masa hadapan.

Wednesday, May 18, 2011

MBMMBI

Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Mulai tahun 2011 ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan dasar MBMMBI di seluruh sekolah di Malaysia. Sehubungan itu juga, mulai 2011 semua murid sekolah kebangsaan (SK) akan belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu (BM) dan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina (SJK Tamil dan SJK Cina) akan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini bermakna murid SJK(T) akan belajar sains dan Matematik dalam Bahasa Tamil dan murid SJK(C) akan belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Mandarin.

Hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid sekolah akan diperkuatkan melalui pelaksanaan dasar MBMMBI ini. Dasar baharu ini adalah bagi mengganti dasar PPSMI yang telah dimansuhkan. Dasar ini juga mengambil kira Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu dikuasai oleh semua warga negara Malaysia. Bagi saya, ini adalah satu dasar yang adil dan perlu didokong oleh semua warga guru dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. 

Beberapa hari yang lalu saya terbaca satu artikel yang ditulis oleh seorang guru dalam akhbar The Star. Beliau menyarankan supaya mata pelajaran sejarah diajar dalam BI bagi membantu murid mengukuhkan lagi penguasaan penulisan dan lisan BI. Beliau memberikan hujah yang begitu meyakinkan, antaranya adalah melalui subjek ini murid dapat belajar kosa kata, tatabahasa, komunikasi dan susunan ayat yang betul. Lagi pun terdapat begitu banyak teks sejarah dalam BI yang terkenal. 

Saya percaya sekiranya subjek ini diajar dalam BI, hasrat untuk memperkukuhkan BI dalam MBMMBI akan menjadi kenyataan.

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru

Kepada semua warga guru di seluruh tanah air. Semoga pengorbanan kita sentiasa dirahmatai Allah SWT dan diberkati. Semoga Allah SWT mengurniakan kita pahala di atas segala keihklasan, kesabaran, ketulusan dan pengorbanan yang telah kita lakukan sepanjang melaksanakan tugas dengan penuh jujur dan amanah.

Wahai para guru,

Laksanakanlah tugas anda dengan penuh jujur dan amanah serta dengan penuh kesungguhan. Janganlah mengeluh dek kerenah murid dan organisasi. Itulah cabaran dan dugaan, insyaAllah akan dikurniakan kebaikan daripada kesusahan yang dialami.

Kepada guru dipedalaman,

Jasa anda sentiasa dikenang dan dihormati oleh semua para guru diserata negara. kami tahu bahawa anada sesungguhnya telah mengorbankan sebahagian daripada keselesaan, kemudahan dan kegembiraan demi menunaikan amanah dan tanggungjawab. Syabas kepada anda yang masih sanggup di sana. Teruskan perjuangan anda, kami di luar sini akan sentiasa mendoakan kesejahteraan anda.

Kepada guru pendidikan khas;

Masyarakat sentiasa menyanjungi jasa anda yang tidak pernah kenal jemu dan bosan. Keprihatinan anda sentiasa menjadi buah mulut masyarakat. kami sentiasa mendoakankan kesejahteraan anda dan semoaga sentiasa tabah menghadapai segala dugaan dan cabaran.

Semoga ganjaran pahala yang sentiasa melimpah dan berkekalan walaupun selepas kita meninggalkan dunia fana ini.

Thursday, May 12, 2011

Contoh Teladan

Guru adalah merupakan seorang insan yang sentiasa diperhatikan oleh seluruh ahli masyarakat. Setiap tingkah laku, gerak geri dan aktiviti yang dilakukan akan dinilai oleh semua orang, terutamanya anak didik di sekolah masing-masing.Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, malahan tingkah laku dan amalan baik mereka akan sentiasa menjadi ikutan dan rujukan oleh semua pihak. Walau pun penghormatan terhadap guru pada suatu masa dahulu adalah begitu dimuliakan oleh ahli masyarakat, namun masa kini masih lagi masyarakat menyanjung guru.

Guru menjadi ibu bapa 'sementara' kepada murid semasa mereka berada di sekolah.Sekiranya amalan, perbuatan dan tingkah laku baik mereka disaksikan oleh murid, maka ianya akan menjadi ikutan dan dihormati. Sekiranya guru berpakaian yang sopan dan sesuai, bertutur dengan sopan, maka murid akan meniru contoh amalan yang baik ini. Maka wajarlah guru itu dikatakan USWATUN HASANAH sekiranya mereka memilih mengerjakan yang terbaik dan mengajak kepada kebaikan melalui teladan.

Orang yang melakukan sesuatu kebaikan akan memperolehi pahala yang sama dengan orang yang mengikutinya. Oleh itu sekiranya contoh teladan yang baik dan menepati kehendak Islam itu diikuti secara berterusan oleh orang lain, maka orang yang melakukan contoh teladan yang baik itu akan mendapat pahala berterusan sekali pun dia sudah meninggal dunia.

Tuesday, May 10, 2011

Murid Ponteng Sekolah

Masalah ponteng sekolah sudah menjadi isu yang hangat secara bertahun-tahun yang lepas. Namun tidak terdapat sebarang bentuk penyelesaian yang kukuh dan dapat diamalkan oleh pihak sekolah. masalah ini tidak wujud di sekolah berasrama penuh dan MRSM sebab semua mruid ditempatkan di asrama sekolah.

Sudah ramai penyelidik sama ada dalam kalangan guru atau pensyarah di institusi pendidikan guru dan universiti menjalankan kajian mengenai permasalahan ponteng dalam kalangan murid sama ada di sekolah rendah atau pun sekolah menengah. Masalah ponteng bukan berlaku dalam kalangan murid lelaki sahaja, malahan murid perempuan juga ponteng sekolah.

Terdapat dua kategori ponteng iaitu:
1. Ponteng Sekolah (tidak hadir ke sekolah)
2. Ponteng Kelas (Tidak masuk ke kelas semasa guru mengajar, tetapi mereka hadir sekolah)

Kedua-dua kategori di atas adalah berbeza daripada segi faktor penyebabnya, namun terdapat beberapa faktor yang sama menjadi punca ponteng. Contohnya murid tidak berminat untuk bersekolah, mereka akan ponteng sekolah dan seterusnya mereka ponteng kelas. Namun sekiranya murid hanya tidak suka kepada guru-guru tertentu atau subjek tertentu, mereka hanya melakukan ponteng kelas. Lokasi ponteng juga berbeza, ponteng sekolah - murid akan berada di lokasi yang terletak di luar kawasan sekolah, manakala ponteng kelas pula, murid masih berada dalam kawasan sekolah, cuma mereka bersembunyi di tempat tertentu yang tidak diketahui oleh guru.

Terdapat berbagai sistem yang telah diperkenalkan mengatasi masalah ponteng seperti Sistem Merit Demerit yang popular dibeberapa buah sekolah tertentu. Sistem ini dikatakan mempunyai kesan yang baik dan dapat membantu masalah ponteng, namun terdapat juga kelemahan dalam sistem ini. beberapa buah sekolah yang melaksanakan sistem ini menemui kegagalan.

Ponteng sekolah dalam kalangan murid ini tidak mengira lokasi sekolah, ia boleh berlaku di sekolah bandar dan luar bandar atau pinggir bandar. begitu juga sekolah di pedalaman, masih menghadapi masalah yang sama. Faktor penyebab di sekolah yang berlainan lokasi ini adalah sangat berbeza. Contohnya, di sekolah pedalaman, ibu bapa yang bertanggung jawab dan menyebabkan murid tidak hadir ke sekolah. Ibu bapa membawa anak-anak mereka ke ladang di musim menuai untuk membantu mereka di ladang. Bagi sekolah di bandar terutamanya bandar besar, murid tidak berminat untuk ke sekolah disebabkan oleh suasana atau persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif.

Pihak pentadbiran sekolah dan seluruh warga guru adalah bertanggung jawab bersama-sama untuk membanteras atau mengurangkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid. Guru Kelas atau Guru Tingkatan adalah berperanan penting bagi membendung masalah ini. Mereka harus memberikan seluruh perhatian dan menggunakan pelbagai strategi untuk mengenal pasti punca permasalahan sebenar yang membawa kepada masalah ponteng. Contoh, sekiranya murid datang lewat ke sekolah janganlah mereka didenda dengan pelbagai dendaan yang tidak munasabah atau memaki hamun mereka di hadapan murid lain. Mungkin lewat disebabkan oleh bas sekolah, atau ibu bapa yang menghantar mereka. Apa yang boleh dilakukan oleh murid jika bas lambat, ibu bapa lambat? Mereka hanya menumpang kenderaan sahaja, namun apabila masuk ke kelas, guru memaki hamun mereka dan  memberikan pelbagai dendaan yang menyebabkan mereka merasa malu. Akhirnya mereka akan dendam atau pun takut untuk ke sekolah sekiranya terlambat. perkara ini akan mendorong murid untuk ponteng sekolah.

Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan oleh guru dan pentadbir sekolah dalam mendepani masalah ponteng dengan bijaksana. Pentadbir sekolah dan guru seharusnya sentiasa berbincang untuk mendapatkan idea yang lebih bernas dan logik bagi menghasilkan pelan tindakan yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.

Tuesday, May 3, 2011

Kemerosotan mutu bola sepak negara

Salam, Ini hanya satu pandangan hasil daripada pengalaman dan pemerhatian.

 Bola sepak negara kini ketandusan pemain yang berkaliber dan sukar mencari pemain yang berkualiti. Antara sebab-sebab yang boleh mempengaruhi keadaan ini ialah:
Pemain bola sepak di peringkat sekolah rendah dan menengah agak terlalu sukar untuk dicari sebab ramai murid sekolah tidak berminat untuk bermain bola sepak. Antara faktor yang menjadi penyumbang adalah kekurangan guru lelaki di sekolah. Berapa ramai guru wanita yang berminat dengan bola sepak? kalau ada pun terlalu sedikit dan mereka tak bermain bola sepak. Sesetengah sekolah saya dapati keadaan padang bola sepak sangat menyedihkan. Masa saya bersekolah dahulu, kami dikehendaki mencabut pokok duri semalu dengan menggunakan playar di padang sekolah. 
Tambahan pula guru besar atau pengetua sekolah adalah wanita, maka padang sekolah pun tidak terjaga. Kalau begitu keadaannya, bagaimanakah sukan bola sepak boleh dipopularkan di sekolah bagi mencungkil bakat-bakat baru yang mahir dan berkemahiran tinggi. 
Masih ingat lagi masa sekolah dulu, kami juga menolong guru membuat garisan di padang bola sepak.

Wednesday, February 16, 2011

Refleksi Kerjaya Guru

Perkara yang  paling menyentuh hati saya ialah kesanggupan guru untuk berjauhan dengan keluarga, terpisah dari kemudahan yang ada semata-mata untuk mendidik anak murid yang dahagakan ilmu pengetahuan. Saya pernah bertanya kepada diri saya "Sanggupkah aku berhijrah ke kawasan pedalaman untuk mengajar anak murid di sana seperti yang telah dilakukan oleh guru yang sedabng mengajar di kawasan itu?" mungkin jawapannya adalah agak berat untuk berbuat demikian, tetapi guru yang telah sedia berkhidmat sanggup meninggalkan kesenangan dan kemudahan yang ada semata-mata ingin berbakti. Jasa mereka ini sangat besar kepada negara sehingga tidak dapat dibalas dengan wang ringgit semata-mata.

Tersentuh hati saya apabila melihat pengorbanan yang telah dilakuan oleh guru-guru di pedalaman. Namun sumbangan dan pengorbanan merekalah yang akan dapat membantu murid-murid di pedalaman belajar dan membawa perubahan kepada masyarakat mereka di sana. Ketabahan guru-guru inilah yang pastinya membantu merubah nasib anak bangsa di kawasan yang berjauhan daripada arus pemodenan dan kemajuan teknologi. Guru-guru ini menganggap tugas meraka adalah sebagai satu cabaran yang perlu diharungi dan semua guru di seluruh negara perlu mencontohi seangat dan ketabahan mereka. Guru-guru yang bertugas di kawasan bandar khususnya haruslah merasa bersyukur dengan semua kemudahan yang diperoleh dalam melaksanakan tugas mengajar di bilik darjah. Tidak perlulah mereka merungut dengan masalah-masalah kecil yang dihadapi. Seseorang guru itu perlulah mendidik muridnya dengan sehabis baik supaya mereka menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Kesusahan murid yang belajar di kawasan pedalaman membuatkan saya berfikir sejenak betapa untungnya  saya dilahirkan dan dapat bersekolah dengan baik dengan kemudahan yang mencukupi. Kanak-kanak di pedalaman belajar dengan kemudahan yang minimum dan prasarana yang asas sahaja. Namun mereka begitu bersemangat untuk belajar, sedangkan sesetengah murid di kawasan bandar malas untuk belajar dan sering ponteng sekolah.

Nukilan:  Herny Yusnita binti Marwan
               DPLI (SP) 2010
               Disember 2010

Monday, January 24, 2011

Refleksi terhadap Guru Pedalaman

Guru, bukan mudah untuk menjadi guru yang bergelas pendidik yang mampu menjalankan amanah yang diberi tanpa mengharapkan balasan. Hanya guru yang ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya yang layak digelar pendidik... yang memberi tanpa mengharapkan balasan dan penghormatan. Demi amanah yang ditanggung mereka sanggup mengharungi suka duka, mendaki gunung-ganang, menyusuri lautan samudera dengan nita yang satu iaitu memberi ilmu kepada anak bangsa untuk menjadikan mereka seorang manusia yang berilmu.
Tahniah kepada guru-guru yang sudi untuk mengajar di kawasan pedalaman. tahniah juga kepada guru-guru yang terlibat dalam Pendidikan Khas. Tidak semua guru yang mampu untuk menjadi seperti kalian.
Pengorbanan guru-guru pedalaman dan Pendidikan Khas amat besar dan berharga kepada negara. Guru adalah pembina tamaddun manusia, tanpa mereka hancrulah tamaddun kita.

Oleh: Nur Hayati Hussain. DPLI Sains Pertanian, UPM. 2011
.................................................................................................................................................

Setelah melihat semua klip video tersebut, saya dapati setiap guru mempunyai pengalaman dan cabaran yang berbeza selain daripada mengajar sahaja. Guru perlu mengajar dan mendidik anak murid menjadi insan yang cemerlang dari segi akademik dan juga sahsiah diri. Guru perlu mempunyai tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam membentuk anak murid kerana guru ibarat "Lilin yang membakar diri demi untuk memberi cahaya kepada orang lain". Oleh itu, segala cabaran dan dugaan yang datang, guru perlu melaluinya dengan sabar dan lebih berusaha untuk menjadikan murid-murid berjaya dari segala segi, bukan hanya dari segi akademik sahaja.
Saya amat terharu dengan pengorbanan yang para guru buat demi anak bangsa. Segala penat lelah tidak dihiraukan asalkan matlamat yang satu iaitu murid-mutrid cemerlang dari segala segi tercapai. Pengorbanan guru amat besar bagi anak bangsa jkerana jika tiada insan yang bergelar guru, anak bangsa tidak akan berjaya kerana guru adalah perintis kepada segalanya.

Oleh: Nor Marshaliza Shaidan. DPLI (SP) UPM. 2011

Thursday, January 6, 2011

Refleksi 3 dan 4

Refleksi oleh: Norfadilah Syaffa bt Ismail (DPLI Sains Pertanian, 2010/2011)
Guru-guru di pedalaman mempunyai semangat yang kental dan cekal. Setiap sekolah di pedalaman mempunyai kesukaran yangterendiri yang perlu ditempuh oleh guru berkenaan.  Kesukaran tersebut tidak akan dirasai oleh guru yang mengajar di bandar. Jerit perih mereka seharusnya perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Antara cadangannya adalah kerajaan perlu memberi kemudahan yang lebih kepada sekolah pedalaman dengan memberi peruntukan yang lebih.
Jika guru terasa perih jerih untuk mengajar, apakah pula dirasai oleh murid? Bagaimanakah pembelajaran mereka? Adakah semakin terciri jauh? Sedangkan murid di bandar lebih jauh kehadapan. Bagaimanakah perancangan PIPP yang diperkenalkan oleh kerajaan? Dimana kononnya ingin merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar? Dengan kemudahan pembelajaran yang terhad, bagaimanakah murid  ini boleh mendapat PnP yang berkesan?
Seharusnya terdapat pengkaji yang melakukan penyelidikan untuk memperbaiki sistem pendidikan luar bandar agar murid luar bandar tidak terus tercicir. Kerajaan juga perlu memberi perhatian yang lebih kepada mereka.

Refleksi Oleh: Nur Izyan bt Alias (DPLI Sains Pertanian, 2010/2011)
Karier seorang guru menuntut kesabaran, semangat, tekad dan keazaman yang tinggi dalam menjalankan tanggung jawab dalam mendidik anak bangsa.
Bagi saya, minat adalah perkara kedua dalam menjalankan amanah sebagai seorang pendidik. Faktor paling utama ialah semangat ingin mencuba dan terus berusaha. Minat akan datang dengan sendirinya setelah kita mengenali dunia perguruan dan pendidikan ini.
Seorang guru yang berjaya adalah guru yang amanah dalam mendidik anak bangsa. Amanah disini membawa maksud menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Seorang guru yang amanah dan ikhlas berbakti kerana Allah dan demi anak bangsa akan menghasilkan pelajar yang cemerlang dari segi moral dan rohani.
Dugaan dan pengalaman baharu yang dihadapi oleh seseorang guru akan menjadikan mereka lebih kuat dan berpengalaman. Dalam menghadapi dugaan dan cabaran ini, seseorang guru harus percaya kepada ketentuan Allah dan menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan walau pun cabaran yang dihadapi amat hebat, namun akhirnya seorang guru itu akan mendapat pengalaman yang amat mahal harganya. Kerana Allah takkan menguji hambaNya diluar kemampuan mereka. Mungkin cabaran yang dihadapi dan berjaya diselesaikan oleh seseorang guru itu akan membawa guru itu ke dunia baharu yang lebih baik.
Guru yang cemerlang akan memikul tanggung jawab dengan penuh amanah dan sentiasa memperbaiki diri untuk menyelesaikan masalah pelajar alam pembelajaran mereka. Seseorang guru hendaklah bertanggung jawab dalam setiap apa yang dilakukan untuk kebaikan muridnya. Mungkin bagi orang lain tindakan itu nampak tidak relevan, tetapi jika kita percaya apa yang kita lakukan itu memberi kebaikan kepada murid, maka teruskan sahaja.
Selain itu seseorang guru harus bersedia berkorban masa, kesenangan, keselesaan, masa rehat dan kewangan demi kesejahteraan murid. Mungkin adakalanya kita akan rasa apa yang kita lakukan tak berbaloi dengan gaji yang kita terima, tetapi mungkin Allah akan membalasnya dengan cara lain seperti menganugerahkan murid yang mengingati kita seumur hidup dan lain-lain lagi.
Seseorang guru juga hendaklah kreatif dalam P&P untuk menyesuaikan dengan pelbagai situasi yang tidak terjangka di sekolah kelak. Contohnya guru di sekolah pedalaman yang tidak mempunyai ABM yang lengkap untuk mengajar dan keadaan murid yang tidak tahu tentang teknologi semasa. Guru perlu kreatif supaya setiap objektif pengajaran tercapai.
Guru bukan sahaja bertanggung jawab mendidik murid dari segi akademik, tetapi juga dari segi jasmani, emosi dan rohani untuk memastikan pengemudi negara di suatu masa kelak adalah insan yang terbilang dan seimbang dan juga berjaya di dunia dan akhirat.