Masalah ponteng sekolah sudah menjadi isu yang hangat secara bertahun-tahun yang lepas. Namun tidak terdapat sebarang bentuk penyelesaian yang kukuh dan dapat diamalkan oleh pihak sekolah. masalah ini tidak wujud di sekolah berasrama penuh dan MRSM sebab semua mruid ditempatkan di asrama sekolah.
Sudah ramai penyelidik sama ada dalam kalangan guru atau pensyarah di institusi pendidikan guru dan universiti menjalankan kajian mengenai permasalahan ponteng dalam kalangan murid sama ada di sekolah rendah atau pun sekolah menengah. Masalah ponteng bukan berlaku dalam kalangan murid lelaki sahaja, malahan murid perempuan juga ponteng sekolah.
Terdapat dua kategori ponteng iaitu:
1. Ponteng Sekolah (tidak hadir ke sekolah)
2. Ponteng Kelas (Tidak masuk ke kelas semasa guru mengajar, tetapi mereka hadir sekolah)
Kedua-dua kategori di atas adalah berbeza daripada segi faktor penyebabnya, namun terdapat beberapa faktor yang sama menjadi punca ponteng. Contohnya murid tidak berminat untuk bersekolah, mereka akan ponteng sekolah dan seterusnya mereka ponteng kelas. Namun sekiranya murid hanya tidak suka kepada guru-guru tertentu atau subjek tertentu, mereka hanya melakukan ponteng kelas. Lokasi ponteng juga berbeza, ponteng sekolah - murid akan berada di lokasi yang terletak di luar kawasan sekolah, manakala ponteng kelas pula, murid masih berada dalam kawasan sekolah, cuma mereka bersembunyi di tempat tertentu yang tidak diketahui oleh guru.
Terdapat berbagai sistem yang telah diperkenalkan mengatasi masalah ponteng seperti Sistem Merit Demerit yang popular dibeberapa buah sekolah tertentu. Sistem ini dikatakan mempunyai kesan yang baik dan dapat membantu masalah ponteng, namun terdapat juga kelemahan dalam sistem ini. beberapa buah sekolah yang melaksanakan sistem ini menemui kegagalan.
Ponteng sekolah dalam kalangan murid ini tidak mengira lokasi sekolah, ia boleh berlaku di sekolah bandar dan luar bandar atau pinggir bandar. begitu juga sekolah di pedalaman, masih menghadapi masalah yang sama. Faktor penyebab di sekolah yang berlainan lokasi ini adalah sangat berbeza. Contohnya, di sekolah pedalaman, ibu bapa yang bertanggung jawab dan menyebabkan murid tidak hadir ke sekolah. Ibu bapa membawa anak-anak mereka ke ladang di musim menuai untuk membantu mereka di ladang. Bagi sekolah di bandar terutamanya bandar besar, murid tidak berminat untuk ke sekolah disebabkan oleh suasana atau persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif.
Pihak pentadbiran sekolah dan seluruh warga guru adalah bertanggung jawab bersama-sama untuk membanteras atau mengurangkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid. Guru Kelas atau Guru Tingkatan adalah berperanan penting bagi membendung masalah ini. Mereka harus memberikan seluruh perhatian dan menggunakan pelbagai strategi untuk mengenal pasti punca permasalahan sebenar yang membawa kepada masalah ponteng. Contoh, sekiranya murid datang lewat ke sekolah janganlah mereka didenda dengan pelbagai dendaan yang tidak munasabah atau memaki hamun mereka di hadapan murid lain. Mungkin lewat disebabkan oleh bas sekolah, atau ibu bapa yang menghantar mereka. Apa yang boleh dilakukan oleh murid jika bas lambat, ibu bapa lambat? Mereka hanya menumpang kenderaan sahaja, namun apabila masuk ke kelas, guru memaki hamun mereka dan memberikan pelbagai dendaan yang menyebabkan mereka merasa malu. Akhirnya mereka akan dendam atau pun takut untuk ke sekolah sekiranya terlambat. perkara ini akan mendorong murid untuk ponteng sekolah.
Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan oleh guru dan pentadbir sekolah dalam mendepani masalah ponteng dengan bijaksana. Pentadbir sekolah dan guru seharusnya sentiasa berbincang untuk mendapatkan idea yang lebih bernas dan logik bagi menghasilkan pelan tindakan yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.
1 comment:
credit to:http://splashurl.com/p8eo922
Post a Comment