Thursday, October 30, 2008

Bersyarah Bukan Mengajar

Apa yang saya ingin bincangkan pada kali ini ialah mengenai kaedah pengajaran yang digunakan oleh sebilangan besar guru dan pensyarah di negara kita. Hasil daripada pemerhatian dan pencerapan yang pernah saya lakukan, didapati sebilangan besar daripada kita menggunakan kaedah yang berorientasikan ’teacher-centered’ atau berpusatkan guru. Bilangan guru dan pensyarah yang mengamalkan kaedah ’student-centered’ amatlah kecil dan jarang sekali dilakukan. Guru-guru kita sebenarnya telah dibekalkan dengan ilmu mengenai perguruan yang mencukupi semasa mengikuti latihan pra perkhidmatan di maktab-maktab perguruan dan universiti-universiti sama ada tempatan dan luar negeri. Mereka telah belajar ilmu pedagogi, andragogi dan sebagainya. Kurikulum latihan pendidikan guru kita amat mantap dan menyeluruh berbanding sesetengah negara lain. Ini diakui oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa melalui kajian dan penyelidikan yang dijalankan. Seorang profesor dalam bidang pendidikan dewasa William Penrose dari Universiti Stetson, Deland, Florida menceritakan tentang kejadian di mana isteri beliau telah mengikuti satu syarahan selama tiga jam. Sepanjang masa syarahan tersebut pensyarah tidak bertanyakan sebarang soalan kepada pelajar, tidak ada interaksi. Sesetengah pelajar kelihatan tidur dan pensyarah tidak ambil peduli. Tidak ada pelajar yang merungut tentang proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku. Apabila kembali ke rumah, beliau menyemak semula definisi syarahan/kuliah (lecture) dan ia adalah adalah seperti berikut; ………a discourse given before an audience or class, etc, for instruction. To deliver a lecture or a course of lectures. To deliver a lecture to …. (Penrose, 1981) Pandangan Pelajar Sesetengah pelajar menyokong kaedah syarahan kerana pelbagai sebab. Berikut adalah pandangan yang diberikan oleh pelajar tentang syarahan;
  • Guru adalah merupakan sebagai pusat graviti dalam bilik darjah, bukan pelajar, individu atau kumpulan.
  • “Saya datang ke kelas untuk mendengar idea dan pemikiran pensyarah”. Pensyarah dianggap sebagai tempat terkumpulnya ilmu pengetahuan. Pelajar tidak mempunyai apa-apa maklumat atau buah fikiran, malahan pelajar tak perlu disoal ketika dalam kelas.
  • “Sekolah dan maktab perlu memberikan syarahan/kuliah kepada pelajar kerana mereka akan mengikutinya (amalan) ketika di pusat pengajian tinggi kelak”. Kaedah ini akan membiasakan diri mereka apabila belajar di universiti nanti.
  • “Terdapat sesuatu yang tidak dapat dipersembahkan dalam bentuk lain selain dari kaedah syarahan/kuliah”. Sesetengah subjek atau tajuk hanya boleh dipersembahkan melalui kaedah syarahan sahaja.

Bagi sesetengah pelajar yang tidak sukakan kaedah ini mereka memberikan komen seperti berikut;

Kaedah syarahan bermakna pelajar datang ke kelas membawa gelas kosong untuk diisikan dengan cecair dari gelas pensyarah/guru. Cecair berpindah dari gelas guru ke dalam gelas pelajar dan proses inikan yang dipanggil sebagai pendidkan?

Di pusat pengajian tinggi, ilmu pengetahuan berpindah dari buku nota pensyarah kepada buku nota pelajar tanpa melalui kepada setiap pelajar. Pelajar menyalin setiap patah perkataan yang dikeluarkan oleh pensyarah semasa di dewan kuliah dan menghafalkannya untuk dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan. Kritikan terhadap kaedah syarahan/kuliah bukan terhad dalam kalangan pelajar sahaja, malahan ada pensyarah bahasa Inggeris yang telah menjalankan kajian mendapati ‘semakin banyak guru bercakap – semakin kurang pelajar belajar’. Hakikatnya;

Most of the great teachers of history did not use the lecture method. Instead, they stimulated their listeners to think. They asked questions and told parables. (Penrose, 1981) Kaedah Perbincangan Selain kaedah syarahan atau kuliah, terdapat satu kaedah yang difikirkan sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kaedah perbincangan. Ia boleh didefinisikan sebagai; To discuss is to investigate by reasoning or argument; or to talk about. It involves discourse about something in order to arrive at the truth or to convince others or the validity of one’s position. It is a consideration of a question in open and usually informal debate; or a formal treatment of a topic. (Penrose, 1981) Berikut adalah satu situasi pembelajaran melalui kaedah perbincangan; Christ was the master teacher. We should search the scriptures to learn his methods. His teaching included small group discussions, giving assigments, use parables and use of visual aids. Good teaching begins with the arrangement of the class room. Rearrange the chairs to facilitate small group discussion. Don’t have rows of chairs facing the teacher. A teacher should foster self-directed learning. One technique is to use ‘post-it-notes’ for brainstroming. Students answer question on the small notes….. (Laney, 1997) Dalam kaedah syarahan, pensyarah adalah autokratik. Beliau memainkan peranan utama dalam kelas dan pembekal utama ilmu pengetahuan. Dalam kaedah penyampaian tradisional ini guru adalah sumber tunggal maklumat. Guru bertutur sepanjang masa dengan sedikit atau tiada langsung interaksi guru-pelajar (Yusup, 1996). Sebaliknya dalam kaedah perbincangan pelajar mendapat kebebasan. Pelajar dilihat sebagai mempunyai pandangan dan pendapat yang bernas ada pelajar yang menyatakan bahawa mereka merasa dihargai kerana pandangan dan pendapat mereka diberikan perhatian oleh pensyarah dan didengar dengan teliti serta diperbincangkan di hadapan kelas. Guru sebagai pakar dan pengerusi perbincangan menyediakan isu-isu yang mencabar pemikiran pelajar. Semasa perbincangan, intelektual pelajar menjadi aktif pada peringkat yang komprehensif. Oleh itu tanggung jawab guru hanyalah sebagai orang yang memperkenalkan tajuk atau isu dan adalah lebih kurang sama tarafnya dengan individu yang lain. Inilah mungkin menyebabkan pensyarah atau guru memilih untuk berkuliah atau bersyarah kerana dapat membezakan mereka dengan pelajar. “The can stay arms-length from the students” (Laney, 1997) Ketika perbincangan sedang berjalan, pelajar terlibat secara personal. Mereka memfokuskan perhatian kepada aktiviti, bukan kepada guru. Ini adalah kenyataan bahawa guru atau pensyarah bukan ‘the goddess of wisdom’. Guru atau pensyarah yang bijaksana memahami bahawa mereka hanya dapat menyediakan peluang dan terpulanglah kepada pelajar untuk menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk belajar. Guru bukanlah sebagai ‘giver of answers’. Inilah sebenarnya peranan seorang guru atau pensyarah. Mereka boleh melatih, ‘facilitate’ dan memberikan galakan. Hanya pelajar sahaja yang akan dapat memulakan pertumbuhan intelek dan emosi mereka. Peranan Pelajar Ketika syarahan atau kuliah sedang berlangsung, pelajar adalah pemanas kerusi. Dalam kelas yang mengamalkan kaedah perbincangan, perkara sebaliknya berlaku di mana pelajar digalakan supaya aktif dan berfikir. Jika guru menjalankan tugasnya dengan baik, semua pelajar akan dapat merasa terangsang untuk berfikir sebanyak mungkin. Proses pengajaran adalah begitu mencabar dan sebahagian dari cabaran ini ialah untuk menggalakkan pelajar melibakan diri dengan aktif dalam proses pembelajaran. Satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan mengemukakan soalan yang membolehkan pelajar membuat refleksi kepada idea perbincangan dan memberikan sedikit masa untuk mereka menyediakan jawapan. Guru tidak perlu bercakap panjang sepanjang masa dalam bilik darjah (Noren, 1997).
Pelajar di sekolah, maktab dan institusi pengajian tinggi jarang disuruh untuk berfikir, mencetuskan idea dan emosi, dilatih untuk membuat keputusan dan bertindak balas dengan keputusan itu. Adalah menjadi tugas guru untuk merangsang pelajar bagi melakukan penemuan semula terhadap ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, bukan sekadar untuk mendapatkannya dan menyimpan selama beberapa bulan sebelum meluahkannya kembali di atas kerta peperiksaan akhir. Mungkin sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan menggalakan guru bertindak demikian. Kementerian Pelajaran Malaysia akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa kemahiran berfikir perlu diberikan perhatian yang lebih rapi di sekolah. Kurikulum latihan perguruan telah memasukkan unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) ke dalamnya. Di peringkat sekolah pula, mata pelajar sains jelas telah mengandungi unsur-unsur kemahiran berfikir kerana pelajar dikehendaki membuat andaian dan hipotesis. Kementerian Pelajaran juga telah mula menambahkan unsur-unsur penilaian berterusan dalam sistem pendidikan dengan mengadakan peperiksaan lisan, dan amali dalam beberapa mata pelajaran tertentu. Terdapat sesetengah pelajar sukakan peluang yang diberi oleh guru semasa di dalam kelas semasa perbincangan kerana mereka dapat mengemukakan idea dan pendapat mereka sentiasa ingin menerangkan idea masing-masing dengan panjang lebar. Tetapi sesetengah pelajar merasakan mereka tidak belajar sepenuhnya jika hanya duduk diam dan mendengar penerangan guru secara pasif. Persoalannya, mengapa sebilangan pelajar pusat pengajian tinggi memilih untuk mendengar syarahan semata-mata? Jawapannya adalah mudah, mereka sudah melalui pengalaman di sekolah menengah selama lima hingga tujuh tahun dengan mengikuti kelas, mendengar guru mereka memberikan jawapan yang akan dikeluarkan di dalam dewan peperiksaan. Sudah tertanam di dalam minda mereka bahawa inilah cara untuk menjadi orang yang terpelajar. Masih terdapat ramai guru dan pensyarah sama ada di sekolah, maktab dan universiti awam atau swasta menggunakan kaedah bersyarah atau berkuliah ketika menyampaikan maklumat dan isi kandungan pelajaran. Dengan melalui proses pemilihan dan pengisihan (melalui beberapa peringkat peperiksaan) pelajar akhirnya berjaya menjejaki tangga universiti. Jika kita masih percaya bahawa inilah caranya untuk menghasilkan para ilmuan, maka kaedah syarahan perlu dikekalkan. Namun cabaran masa kini memerlukan seseorang ilmuan yang lebih kreatif dan praktikal dengan setiap tindakan yang diambil.
Satu tema simposium pendidikan di Universiti Groningen, Belanda berbunyi “Non Scholae, Sed Vitae Discimus” bermaksud “ Anda tidak belajar hanya untuk peperiksaan, tetapi belajar untuk kehidupan anda selepas persekolahan” (Tuijnman dan Van Der Kamp, 1992). Sebenarnya kaedah syarahan versus perbincangan kelihatan seperti suatu masalah yang rumit tetapi hakikatnya adalah mudah. Terdapat institusi pengajian tinggi kita masih lagi mengamalkan kaedah syarahan yang mana sudah ketinggalan 50 tahun ke belakang. Kita sudah mengalami kesan ‘halo’. Adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang terpelajar menyatakan bahawa universiti atau kolej itu dan ini adalah sesuatu institusi yang baik, tetapi hakikatnya tidak. Mereka mengajar perkara yang baik dengan cara yang salah. Penutup Institusi pengajian di negara kita perlu mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani masalah ini bagi membantu pelajar supaya menjadi seorang yang pakar dalam bidang ilmu pengetahuan yang diceburi, mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan masa kini dan cabaran masa hadapan. Jika usaha ini inginkan kejayaan, masyarakat kita perlu membuat pusingan 180°. Seperti kata pendidik terkemuka dunia iaitu Maslow tentang matlamat pendidikan ...the full use of talents, capacities, potentialities, etc. Kita mesti berfikir bahawa pendidikan adalah proses ‘self-actualization’, bukan proses yang pasif. Jean Piaget pernah berkata “It is not by knowing the Pythagorean Theorem that free exercise of personal reasoning power is assured; it is in having rediscovered its existence and its usage”.
Sementara seorang lagi pendidik terkemuka Carl R. Rogers pula berpendapat “We cannot teach another person directly; we can only facilitate his learning”.

4 comments:

AZMAN2020 said...

Tahniah, artikel ilmiah. Maaf kerana memasukkan kandungan kecindan tanpa memasukkan sumber seperti beberapa artikel lain yang saya masukkan sumbernya. Secara profesional saya telah mengeluarkannya dari blog saya. Wassalam. azifa2020@yahoo.com

Deria said...

Terima kasih

Deria

Nurain Shukree said...

Terima kasih, tapi pada pendapat saya tidak semua IPT menjalankan kaedah syarahan. Di UTHM, kami menjalankan kaedah perbincangan. Malah kebanyakan topik dijalankan dalam kaedah perbincangan dan kerusi pelajar kadangkala menjadi panas dengan isu-isu yang diutarakan utk dibincangkan.

Namun begitu, saya bersetuju dgn pendapat penulis, kerana tidak semua jurusan menggunakan kaedah perbincangan seperti yg dianjurkan oleh penulis. Disebabkan hal ini, minda pelajar tidak malalui apa-apa perubahan.

Deria said...

Syabas kepada Nurul Iman. Namun ada kalanya kaedah syarahan ini perlu, tetapi biarlah jangan terlalu 'straight forward' sehinggakan interaksi antara siswa - pensyarah langsung tidak wujud.