Artikel sebelum ini telah membincangkan peranan guru sebagai penyelidik. Saya berpendapat semua guru seharusnya pandai melakukan penyelidikan dan berkongsi pengalaman hasil dapatan penyelidikan dengan rakan-rakan seprofesion lain. Kali ini saya ingin membincangkan mengenai faedah penyelidikan kepada kita sebagai warga guru bagi mempertingkatkan profesion perguruan. Sebarang kerja penyelidikan, sama ada dilakukan secara bersendirian atau pun berkumpulan. Apabila disempurnakan secara sistematik akan membawa para penyelidik itu sendiri ke dalam dua alam yang menguntungkan dan mengasyikkan iaitu;
- Alam peribadi (the personal self)
- Alam ilmu (the world of knowledge)
Penyelidikan yang menuntut komitmen, ketelitian, ketekunan, keobjektifan, keterbukaan, ketahanan dan keyakinan diri yang tinggi sudah tentu akan membawa para penyelidik itu dan petugas penyelidikan itu kepada penemuan diri dan peribadi (personal self) yang sekali gus membolehkan mereka menilai kekuatan diri dan tahap profesionaliti masing-masing. Pensyarah, bakal guru dan guru-guru perlu diberikan pendedahan kepada pengendalian penyelidikan. Bengkel dan latihan khas sebagai latihan lanjutan kepada guru perlu diberi untuk meyakinkan dan meningkatkan iltizam terhadap penyelidikan. Harus diwujudkan mod insentif yang menarik dan wacana yang kondusif untuk mereka berkongsi hasil penyelidikan.
Dalam era masa kini masyarakat di sekeliling begitu peka dan sensitif dengan isu pendidikan dan keguruan di Malaysia. Masyarakat mempersoalkan profesionalisme keguruan itu sendiri. Profesionalisme keguruan itu akan dilihat dari dua sudut penting. Pertama, ia akan membincangkan tentang kualiti apa yang guru lakukan, menurut perlakuan dan garis panduan yang mengawal perlakuan tersebut. Kedua, ia akan berkait rapat dengan bagaimana perasaan guru yang dilihat dari kacamata orang lain seperti statusnya, kedudukan dan tahap ganjaran di atas keprofesionalnya itu. Masyarakat akan membuat pemerhatian dan andaian sendiri terhadap profesionalisme keguruan yang selalunya akan mencetuskan kontroversi yang akhirnya terpaksa cuba disanggah oleh kalangan kita yang memikul dan menyandang gelaran seorang guru. Di dalam pembangunan profesionalisme keguruan itu, ia berakar umbi dari tindakan guru mencari jawapan yang sahih dan jitu menerusi kajian tindakan. Tanpa data yang sempurna dan berasaskan kajian yang sistematik akan menyukarkan kita untuk mempertahankan diri. Akibatnya, masyarakat lebih mudah mempercayai apa jua yang disogokkan oleh andaian yang dibuat menerusi pemerhatian sahaja, sesuatu yang kurang tepat untuk menggambarkan sesuatu isu. Akhir-akhir ini pelbagai isu pendidikan disajikan kepada kita melalui media massa. Kita akan dapat mengetahui dan menyelesaikan isu tersebut sekiranya terdapat data yang sistematik dikumpulkan (melalui penyelidikan) dan dengan ini dapat menangkis sebarang prasangka buruk terhadap profesion ini. Sekiranya kita tidak dapat mengemukakan bukti yang empirikal, akhirnya, secara umum profesionalisme keguruan itu sendiri dipandang rendah oleh masyarakat. Dan usaha untuk memartabatkannya akan mengambil masa yang panjang. Hasil dapatan pada hari ini mungkin akan menjadi usang atau tidak releven pada hari esok. Era sekadar membaca dan mengkaji sumber maklumat daripada dapatan orang lain, sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Warga pendidik negara ini harus berani mengkaji dan menyelidik bagi menghasilkan sesuatu dapatan yang baru seterusnya mengorak langkah menyerlahkan profesion perguruan negara. Pelbagai teori pendidikan yang dibekal kepada bakal pendidik semasa latihan di institusi-institusi latihan adalah berperanan untuk membimbing para guru memahami sesuatu situasi dalam proses pendidikan. Ini adalah kerana; “.. a theory was a set of interrelated constructs, definitions and propositions that presents a systematic view of phenomena by specifying relations among variables with the purpose of explaining and predicting phenomena”.
(Kerlinger, 1870) Hakikatnya, seseorang pendidik yang menjadikan penyelidikan sebagai budaya kerjanya merupakan seorang yang kaya dengan pengetahuan dan kemahiran hasil daripada pembacaannya yang meluas dan mendalam. Dengan kata lain, budaya menyelidik dan budaya membaca adalah sinonim, bagaikan aur dengan tebing. Guru yang berciri dan berperibadi ‘penyelidik’ dapat melahirkan warga guru yang yakin dengan tugas dan peranan mereka sebagai pengurus bilik darjah. Mereka juga mampu membuat diagnosis terhadap prestasi pelajar serta membuat penilaian kendiri dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Melalui peranannya sebagai penyelidik dan pengamal yang reflektif, seseorang pendidik berupaya menyelesaikan pelbagai isu yang dapat menyelesaikan masalah di bilik darjah. Bidang-Bidang Dalam Penyelidikan Pendidikan Empat domain asas yang menjadi rujukan kepada penyelidikan pendidikan ialah (Shumway, 1980);
- Tingkah laku pengajaran
- Mata pelajaran
- Tingkah laku pembelajaran
- Penyusunan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Penyelidikan pendidikan boleh juga diklasifikasikan sebagai suatu proses penyiasatan terhadap fenomena dalam pendidikan (phenomena investigated). Fenomena yang sering menjadi tumpuan penyelidikan pendidikan merangkumi bidang-bidang berikut;
- Proses pengajaran
- Proses pembelajaran
- Aspek kognitif
- Kaedah pengajaran dalam bilik darjah
- Sahsiah pelajar
- Motivasi dalam pendidikan
- Kepimpinan dalam pendidikan
- Pengurusan kewangan sekolah
- Program untuk pelajar khas seperti kurang upaya dan ‘gifted’
- Perkembangan kurikulum
- Kokurikulum (sukan dan pasukan berunifom)
- Bimbingan dan kaunseling
- Pemulihan
- Penilaian program
- Polisi dan dasar pendidikan
- Pengurusan bilik darjah
- Penggunaan TMK dalam pendidikan
- Pengurusan sumber pendidikan
- Teknologi Pendidikan (bidang yang luas seperti penggunaan dan penghasilan media, reka bentuk pengajaran dan sebagainya)
- Isu gender dalam pendidikan
- Pendidikan Jarak Jauh
- Pendidikan Sepanjang Hayat
- Dan sebagainya...
1 comment:
tq for the info sir..:-)
Post a Comment