Thursday, October 23, 2008

Nilai Dan Amalan Profesional Perguruan

Ini adalah satu pandangan umum mengenai status profesionalisme perguruan di Malaysia. Saya ingin mengemukakan pandangan ini kepada pembaca agar dapat kita bincang dan nilai bersama. Kemungkinan idea dan pandangan hasil daripada sumbang saran bersama kelak akan dapat menghasilkan sesuatu buah pemikiran yang lebih kreatif dan rasional untuk dipraktiskan. Saya berpendapat bagi meningkatkan profesionalisme dalam bidang perguruan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melakukan sesuatu anjakan paradigma dalam bidang profesion ini. Guru-guru yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan berkhidmat dengan KPM perlu dianugerahkan Status Kelayakan Guru (SKG). Guru-guru ini harus diikat dengan Kod Etika Perguruan Malaysia yang perlu digubal dan mereka perlu memahami dan mematuhi Kod Etika ini dengan menzahirkan perkara-perkara berikut dalam tugasan harian mereka:

  • Mereka mempunyai jangkaan dan harapan yang tinggi kepada semua pelajar; menghormati sosial, budaya, bahasa, agama, latar belakang etnik, dan komited terhadap usaha meninggikan pencapaian pendidikan mereka.
  • Mereka melayan semua pelajar dengan adil dan saksama secara berterusan, dengan menghormati dan memahami perkembangan pembelajaran yang pelbagai dalam diri seseorang pelajar.
  • Mereka menunjukkan sikap, nilai dan tingkah laku yang positif yang mereka harapkan dari pelajar mereka.
  • Mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan ibu bapa dan penjaga, menghormati peranan, tanggung jawab dan minat mereka dalam pembelajaran pelajar.
  • Mereka dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertanggung jawab dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Mereka sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan cara menilai semula amalan pengajaran masing-masing, mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan berkongsi pengalaman dengan rakan setugas yang lain.
  • Mereka sentiasa bermotivasi dan boleh menjalankan tugas tambahan untuk perkembangan profesionalisme masing-masing.
  • Mereka sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggung jawab berkaitan tugas harian yang berhubung dengan profesionalisme perguruan.

Kualiti Guru Yang Diperlukan

Menurut Grimlett dan MacKinnon (1992), penguasaan aspek-aspek yang telah dibincangkan di atas akan dapat membentuk satu asas pengetahuan pedagogi pelajar. Pemahaman tentang apa yang pelajar percaya, apa yang mereka perlu ambil berat dan apa tugas yang mereka inginkan adalah perlu untuk memotivasikan pelajar supaya mereka berkerja kuat dan memperolehi kejayaan. Berikut adalah apa yang perlu difahami oleh seseorang guru yang mempunyai Status Kelayakan Guru (SKG).

  • Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja.
  • Menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu pengetahuan ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif. - Guru perlu memahami perbezaan yang wujud dalam budaya, pengalaman keluarga, perkembangan mental dan pendekatan pembelajaran. - Guru perlu peka, mendengar dengan baik dan mengambil berat terhadap pelajar semasa melaksanakan tugas-tugas pembelajaran. - Guru perlu berfikir apakah maknanya untuk mempelajari pelbagai perkara untuk tujuan yang berbeza dan bagaimana membuat keputusan yang mana perlu dipelajari dalam pelbagai konteks. - Guru perlu menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk memenuhi pelbagai matlamat dan pelbagai kaedah untuk menilai pengetahuan dan pendekatan pembelajaran pelajar masing-masing. - Guru perlu dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar. - Guru perlukan kemahiran untuk menghadapi pelajar yang mempunyai keperluan khusus atau kecacatan pembelajaran. - Oleh kerana bahasa adalah merupakan pengantara kepada proses pengajaran, guru perlu memahami bagaimana pelajar ‘acquire’ bahasa, dengan itu mereka akan dapat membentuk kemahiran bahasa dan mencipta pengalaman belajar yang bermakna. - Guru perlu mengetahui kurikulum dan teknologi untuk menghubungkan pelajar mereka dengan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka meneroka idea, mendapat dan mensintesis maklumat, merangka dan menyelesaikan masalah. - Guru perlu mengetahui tentang kolaborasi – bagaimana menstrukturkan interaksi di kalangan pelajar supaya pelajar dapat membentuk perkongsian pembelajaran yang kuat, bagaimana berkolaborasi dengan guru-guru lain dan bagaimana berkerjasama dengan ibubapa untk membantu mereka mempelajari lebih lanjut berkaitan anak-anak mereka dan membentuk pengalaman yang dapat membantu di sekolah dan rumah. - Guru perlu boleh menganalisis dan membuat refleksi keatas amalan mereka, menilai keberkesanan pengajaran mereka dan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran.
  • Mereka perlu membuat penilaian berterusan terhadap apa yang pelajar fikir dan faham dan membentuk semula perancangan untuk mengatasi apa yang mereka terokai.
  • Guru dapat memberi; - Pengalaman - memberikan tugasan pembelajaran yang konkrit, menilai, memerhati proses dan perkembangan pembelajaran. - Menggalakkan guru bertanya, meneroka dan melakukan ujikaji di samping penyelidikan. - Kolaboratif, melibatkan perkongsian maklumat di kalangan pendidik. - Menghubungkan guru dengan pelajar di samping meneliti isi kandungan dan kaedah mengajar. - Mengekal dan intensif – disokong oleh model, latihan dan penyelesaian masalah yang berkisar pada masalah amalan yang khusus - Menghubungkan dengan aspek-aspek perubahan sekolah.

Pengetahuan dan Pemahaman Guru-guru yang dianugerahkan Status Kelayakan Guru (SKG) mesti mengamalkan perkara berikut:

  • Mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam mata pelajaran yang dilatih untuk diajar di sekolah. Ilmu pengetahuan yang ada perlulah menyamai kelayakan yang telah ditetapkan iaitu ijazah pertama atau sehingga ke ijazah lanjutan (master atau Ph.D).
  • Mereka mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh kurikulum kebangsaan.
  • Mereka memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing atau apa yang disebut dalam teori pelbagai kecerdasan (Multiple Intelligence).
  • Mereka tahu menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.
  • Mereka memahami tanggung jawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat dari pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu.
  • Mereka mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna.
  • Mereka perlu lulus ujian untuk diiktiraf dan dianugerahkan Sijil Status Kelayakan Guru (SKG) dan bidang kemahiran yang perlu dinilai adalah dalam bidang kemahiran generik, numerasi, literasi ICT (atau Teknologi Maklumat dan Komunikasi – TMK).

Tugas Mengajar Perancangan, jangkaan dan sasaran. Guru-guru yang dianugerahkan SKG mesti menunjukkan:

  • Mereka menyediakan objektif pembelajaran yang berkaitan dengan semua pelajar dalam kelas berdasarkan pengetahuan; o Pelajar o Pengalaman lalu dan sedia ada o Tahap umur o Pengetahuan yang bersesuaian dengan tahap umur
  • Mereka menggunakan objektif pengajaran dan pembelajaran untuk merancang dan merekabentuk persediaan pengajaran dengan mengambil kira pelajar pelbagai pencapaian, lelaki, perempuan dan bangsa.
  • Mereka memilih dan menyediakan sumber (alat/bahan bantu mengajar) dan merancang utnuk menggunakankannya dengan berkesan denga mengambil kira minat, penguasaan bahasa dan latar belakang budaya dengan bantuan dari pelbagai pihak lain mana yang sesuai. Dengan lain perkataan, mereka harus menguasai ilmu Teknologi Pendidikan atau Teknologi Pengajaran secara khususnya. Mereka harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Rekabentuk Pengajaran (Instructional Design) dan Rekabentuk Mesej Pengajaran (Instructional Message Design).
  • Mereka mengambil bahagian dan memberikan sumbangan kepada pasukan pengajar, mana yang sesuai kepada sekolah.
  • Mereka merancang peluang-peluang untuk pelajar mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah seperti merancang lawatan ke muzium, zoo, kerja lapangan dan sebagainya, dengan bantuan staf lain sekira perlu. Mereka perlu menguasai ilmu pedagogi dan teori-teori pembelajaran serta pengkaedahan pengajaran dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing.

Saya berpendapat sekiranya kita ingin meningkatkan taraf profesionalisme perguruan di negara ini, seharusnya langkah yang dicadangkan ini atau serupa dengannya harus diambil oleh pihak tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia. Dengan ini negera kita akan mempunyai guru-guru yang berkualiti dan akan diiktiraf di seluruh dunia.

1 comment:

Anonymous said...

saya sangat setuju..FPK disahut sepenuhnya, tp tidak didalami dan diamalkan sepenuhnya..guru berkualiti, pastinya melahirkan insan yg berkualiti..guru yg sntsa menunjukkan ctoh yg baik, pastinya melahirkan generasi yg baik..isyaAllah..