Tuesday, October 14, 2008

Refleksi 12 – PPSMI

Pencerapan dilakukan ke atas seorang guru wanita yang mengajar mata pelajaran Sains Tingkatan Empat. Tajuk pelajaran hari ini ialah ’Acids and Bases’ Seperti biasa saya memperingatkan kepada guru supaya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dilakukan tanpa pencerapan oleh sesiapa. Beliau menyatakan bahawa beliau memang sentiasa menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya semasa mengajar walaupun tanpa ada sesiapa yang melihat beliau mengajar. Guru menggunakan bahasa Inggeris semasa memperkenalkan tajuk mata pelajaran dan objektif pembelajaran. Set induksi yang dilakukan adalah begitu sempurna dan menarik sekali. Bahasa Inggeris yang digunakan adalah begitu ringkas dan mudah difahami oleh semua murid. Guru menggunakan alat bantu mengajar iaitu slaid persembahan ’powerpoint’ yang disediakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Penyediaan slaid begitu terancang dan menyeluruh kepada isi kandungan tajuk yang disampaikan. Sesekali guru menggunakan bahasa Melayu apabila menyedari terdapat murid-muridnya sukar memahami penjelasan yang diberikan. Guru ini memang berkemampuan melaksanakan PPSMI sepenuhnya kerana beliau begitu yakin dan berkemampuan menyampaikan isi kandungan pelajaran melalui medium ini dengan lancar. Penggunaan bahasa Melayu adalah ditahap yang minimum. Daripada segi penyebutan bahasa Inggeris, guru ini menunjukkan kebolehan yang begitu tinggi (excellence) Namun begitu, keseluruhan sesi pengajaran dan pembelajaran hari ini adalah lebih berbentuk ’teacher-centered’. Aktiviti murid berlaku dengan minimum. Guru lebih memberikan maklumat dan penerangan secara sehala sahaja. Guru ini juga mengawal kelas dengan begitu baik dan melaksanakan aktiviti secara sehala tanpa memberi peluang kepada murid membuat penerokaan atau penyelidikan. Semua jawapan terhadap aktiviti amali yang dilakukan oleh murid ditentukan oleh guru. Keseluruhannya, guru ini adalah satu-satunya guru yang saya cerap sepanjang penyelidikan ini dan menunjukkan kebolehan beliau melaksanakan PPSMI dengan baik dan penuh yakin. Hampir 95% bahasa Inggeris digunakan sepanjang pengajaran beliau. Sekiranya terdapat ramai guru begini, saya pasti pelaksanaan PPSMI dapat dijalankan dengan rintangan yang minima daripada segi kebolehan dan kompetensi guru. Ini adalah catatan refleksi saya yang terakhir dalam siri lawatan pengumpulan data penyelidikan berkaitan dengan pelaksanaan PPSMI di negeri Terengganu. Semoga catatan refleksi ini dapat dimanfaatkan oleh semua guru yang singgah di laman blog saya. Terima kasih.

No comments: