Thursday, October 30, 2008

Mengapa Guru Perlu Menggunakan Media Pengajaran

Profesionalisme seseorang guru dapat dipertingkatkan dengan pelbagai cara. Salah satu daripada caranya ialah dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan menggunakan media pengajaran semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Banyak kajian dan penyelidikan telah dijalankan di dalam dan luar Negara mengenai faedah dan kepentingan media pengajaran dalam pendidikan. Artikel ini akan membincangkan peranan media pengajaran dan faedah kepada guru dan murid. Dengan penggunaan media pengajaran, guru akan dapat dilihat sebagai seorang yang sentiasa proaktif dan menitik beratkan hasil akhir pengajaran yang mana akan dapat membantu murid memahami dan mengingati sesuatu fakta dan ilmu. Menurut kajian, peratus penerimaan semasa proses pengajaran pembelajaran berlaku adalah dipengaruhi oleh penglibatan deria masing-masing. Deria % Penerimaan Mata 70 Hidung 5 Mulut 4 Telinga 15 Rasa/sentuhan 6

Kepentingan media pengajaran dalam proses pengajaran pembelajaran ialah seperti berikut:

  • Pengajaran lebih terancang
  • Melibatkan pelbagai deria
  • Memperkayakan pengalaman
  • Perluasan batasan komunikasi
  • Pembelajaran individu
  • Keseronokan belajar/motivasi
  • Sumber maklumat
  • Menolong membentuk gambaran yang betul dalam fikiran murid.
  • Menguat dan mengekalkan daya ingatan
  • Menghubungkan yang abstrak kepada konkrit
  • Memberikan gambaran dan peristiwa di luar bilik darjah ke dalam bilik darjah
  • Menjimatkan masa
  • Membantu murid membentuk konsep dengan lebih mudah serta jelas
  • Mempelbagaikan aktiviti pengajaran pembelajaran
Pemilihan Media Pengajaran Seseorang guru harus tahu dan bijak untuk memilih media pengajaran, faktor-faktor berikut perlu diberikan perhatian: 1. Kesesuaian 2. Peringkat penerimaan/kefahaman 3. Pemerolehan 4. Harga 5. Mutu Kesesuaian Sebelum memilih sesuatu media pengajaran, guru perlu menetapkan objektif yang hendak dicapai terlebih dahulu. Contohnya, kalau objektif guru adalah supaya murid mengetahui tentang bunyi sebutan perkataan yang betul di dalam pembelajaran bahasa kedua, dan di samping membetulkan bunyi sebutannya, maka murid perlu mendengarnya sendiri. Oleh itu media yang betul ialah alat perakam audio. Boleh juga alat perakam audio digabungkan dengan carta dan sebagainya jika difikirkan mustahak. Sesuatu media dianggap sesuai jika memenuhi syarat berikut:
  • Memenuhi kehendak isi dan objektif murid
  • Memudahkan kefahaman murid
  • Memerlukan latihan yang minimum untuk menggunakannya
  • Menimbulkan suasana pengajaran pembelajaran yang menyeronokkan
  • Mudah diubahsuai dari segi penggunaan serta juga senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain
  • Selamat digunakan oleh murid

Peringkat penerimaan/kefahaman Mungkin isi kandungan media yang dipilih itu sesuai, tetapi cara penyampaian atau peringkat penerimaan murid adalah tidak setara dengan keupayaan mereka. Dengan lain perkataan media tersebut tidak setanding dengan keupayaan murid untuk menerima dan memahami isi kandungan yang disampaikan oleh media tersebut. Ini berlaku kepada media yang telah siap tersedia oleh pihak-pihak tertentu seperti syarikat pengeluar media tersebut. Untuk mengelakkan perkara ini, media perlulah dihasilkan sendiri oleh guru yang mengajar. Media yang dapat memudahkan pemahaman murid terhadap konsep-konsep yang hendak disampaikan hendaklah dipilih. Harga Sesuatu media yang hendak digunakan hendaklah diperolehi dengan mudah dan harga yang murah. Media elektronik tidak dapat dinafikan mempunyai keupayaan yang lebih baik walaupun harganya mahal. Sekiranya harga tidak menjadi masalah, pilihlah media yang dapat memberikan kesan yang lebih baik. Kos adalah munasabah dan tidak terlalu membebankan. Pemerolehan Seseorang guru yang merancang menggunakan media pengajaran, perlu mengenal pasti pemerolehan sesuatu media itu. Adakah media tersebut ada di pusat sumber atau sekolah masing-masing? Bolehkah media tersebut disediakan dengan mudah? Sekiranya mudah diperolehi, akan mendorongkan seseorang guru menggunakannya dengan lebih kerap. Mutu Sekiranya faktor-faktor di atas sudah dipenuhi, apakah guru akan menolak penggunaan media tersebut kerana mutu yang rendah? Sesuatu objektif pembelajaran tidak akan tercapai sekiranya mutu media yang digunakan itu tidak elok seperti warna, suara dan tulisan yang tidak jelas. Penghasilan Media Kebanyakan media yang ada di pasaran adalah dipasarkan untuk mencari keuntungan tanpa memenuhi kehendak dan keperluan tertentu guru dan murid. Oleh itu untuk menyediakan media yang sesuai, guru perlulah membuat sendiri. Banyak sekali faedah yang diperolehi dari penghasilan media oleh guru seperti berikut:

  • Isi kandungan yang sesuai dengan sukatan sekolah
  • Objektif pengajaran pembelajaran disusun dengan lebih tepat
  • Jika dilibatkan murid dalam penghasilan media, akan dapat mengukuhkan lagi daya ingatan dan meberikan pengalaman yang berguna kepada murid
  • Menambahkan koleksi pusat sumber sekolah di samping menjimatkan kos

Beberapa aspek yang perlu dititik beratkan dalam penghasilan media adalah seperti berikut:
  • Pengetahuan mengenai bahan yang hendak dihasilkan (isi kandungan)
  • Kemahiran untuk penghasilan
  • Mempunyai daya kreatif
  • Tenaga untuk penghasilan
  • Alatan khas yang diperlukan
  • Masa
  • Kos

Dalam perbincangan ini, kita akan membincangkan faedah penghasilan media oleh guru dan oleh murid. Media Yang Dihasilkan Oleh Guru Sebagai seorang guru, kita perlu memikirkan penghasilan media pengajaran dalam dua kategori;

  1. Media pengajaran yang akan digunakan untuk persembahan dalam bilik darjah, perbincangan dengan murid, penilaian atau aktiviti yang diarahkan oleh guru. Contohnya, bahan tayangan yang mudah seperti transparensi, selaid, kaset audio, poster, grafik dan bahan pameran.
  2. Media pengajaran yang digunakan terus oleh murid untuk tujuan pembelajaran. Contohnya, kit pelbagai media yang digunakan untuk pembelajaran individu, bahan 3D dan 'mock-up' yang digunakan oleh murid kejuruteraan

Faedah sampingan yang diperolehi apabila guru menghasilkan media atau mengarahkan murid menghasilkan media adalah guru sendiri akan dapat memahami dan menjelaskan lagi objektif dan idea mengenai bagaimana menyusun program pengajaran pembelajaran dengan lebih baik lagi. Media Yang Dihasilkan Oleh Murid. Murid yang terlibat dalam penghasilan media akan memperolehi faedah daripada pengalaman mereka. Mereka boleh memberikan sumbangan berupa idea yang kreatif untuk sesuatu penghasilan media. Bakat murid dalam penghasilan media seperti bahan pameran, bahan pembelajaran kendiri, transparensi, selaid, bahan 2D, poster dan sebagainya tidak boleh diperkecilkan. Disebalik khidmat penghasilan media, murid juga boleh membantu guru untuk merekabentuk media pengajaran supaya sesuai dan mencapai kehendak dan keperluan bilik darjah. Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya guru ingin murid menghasilkan media:

  • Ingat bahawa penghasilan akhir sesuatu media tidaklah begitu penting berbanding proses dan pengalaman yang digunakan untuk mencapai objektif
  • Apabila murid menghabiskan masa dan tenaga dalam penghasilan media, pastikan mereka memahami apa yang dibuat dan mereka merasakan dihargai. Matlamat guru bukanlah untuk mempergunakan murid atau memaksa mereka berkerja melampaui keupayaan, tetapi memberikan peluang kepada mereka supaya produktif dan seronok melakukan aktiviti penghasilan media
  • Pastikan, sebelum projek dimulakan, murid menghasilkan perancangan di atas kertas. Bantulah mereka belajar bagaimana membuat 'lay-out' projek sebelum kerja sebenar dijalankan, untuk mempastikan dengan jelas setiap langkah yang akan diambil akan mencapai kejayaan
  • Bantu murid menghadapi kekecewaan jika terdapat kesilapan dan mencuba semula. Kesilapan adalah perkara biasa dalam memmuridi sesuatu yang baru

Peringkat Usaha Penghasilan Media a) Penghasilan media secara tiruan Penghasilan media secara tiruan boleh diilustrasikan seperti memotong huruf berdasarkan bentuk, melukiskan peta dan gambar melalui surihan imej tayangan atau menghasilkan terarium atau boneka berdasarkan arahan buku atau gambar. b) Penghasilan media secara pengubahsuaian Pengubahsuaian memerlukan penciptaan dalam bentuk baru atau cara baru dalam penggunaan media sedia ada. Prototaip atau gambar prototaip yang ada adalah sebagai panduan berguna, tetapi hasil akhir kelak akan memerlukan individu terlibat dalam pelbagai masalah. Penghasilan media secara pengubahsuaian memerlukan pertimbangan individu, arah kendiri dan inisiatif. c) Rekaan kreatif Melibatkan keupayaan mentafsir dan menyelesaikan masalah dengan cara yang asli, tanpa bergantung kepada pengalaman atau penulisan. Penghasilan filem slaid bersuara, fotograf, penggambaran video dan sebagainya untuk digunakan dalam pengajaran pembelajaran adalah antara contoh rekaan kreatif. Guru perlu menggalakkan murid membuat rekaan kreatif dan asli. d) Inovasi dari peniruan Meniru secara kreatif mengandungi dua unsur yang seolah-olah bertentangan. Sesuatu yang kreatif tentulah bersifat asli. Sebaliknya sesuatu yang dihasilkan secara meniru tentulah tidak asli, oleh itu tidak kreatif. Walau bagaimana pun peniruan kreatif adalah penghasilan semula apa yang telah dicipta oleh orang lain dalam bentuk yang tersendiri dan mempunyai keunikan tersendiri dari segi fizikal dan fungsinya. Guru dan murid perlulah menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan media yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran pembelajaran. Media Kos Murah Definisi media kos murah adalah berdasarkan kepada ciri-ciri berikut:

  • Media yang boleh disediakan oleh guru dan murid sendiri
  • Media yang dibekalkan dan boleh menambahkan keberkesanan pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah tanpa memerlukan kos tambahan
  • Proses yang terlibat dalam penghasilan media tersebut adalah mudah dan murah
  • Penghasilan media tersebut tidak memakan masa yang panjang
  • Bahan mentah yang digunakan adalah percuma dan mudah diperolehi dari persekitaran murid dan guru

Jenis Media Kos Murah

  • Gambar kaku
  • Gambarajah
  • Carta
  • Graf
  • Peta
  • Kartun
  • Poster
  • Carta bersiri
  • Bahan 3D seperti boneka, glob, model, realia, 'mock-up' dan lain-lain.

Prinsip Reka Bentuk Media Kos Murah

  • Jelas. Idea mesti tepat, mudah dan terus terang. Ini mestilah sesuai dengan ukuran, warna, kontras dan reka letak
  • Menarik. Mesej yang hendak disampaikan mestilah dapat menarik perhatian, membolehkan ia mencetuskan reaksi yang cepat dalam kalangan murid
  • Senang digunakan. Termasuk dari segi mudah dibawa, dimanipulasikan dan difahami murid
  • Berkaitan. Bahan yang dihasilkan itu mestilah menggambarkan hubungannya dengan isi kandungan muridan dan matlamat yang hendak dicapai. Ia juga mestilah menggambarkan peringkat umur dan pengalaman murid yang menggunakannya
  • Berpatutan dengan kos. Ia mestilah menunjukkan unsur-unsur penjimatan dari segi masa, tenaga dan kewangan. Perancangan yang teliti dan membiasakan diri dengan berbagai jenis dan tujuan media kos murah akan membantu ke arah penjimatan di dalam pengeluaran.

Saya menyeru kepada semua guru supaya sentiasa menjaga dan meningkatkan nilai profesionalisme perguruan kita supaya sentiasa dipandang tinggi di sisi masyarakat. Dengan mempraktiskan apa yang dibincangkan di atas, sudah pasti kita akan diiktiraf sebagai seorang yang profesional dalam bidang kerjaya kita di mata masyarakat. Anda semua dapat mempelajari bidang Teknologi Pendidikan dengan mengikuti kursus-kursus yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Pusat Kegiatan Guru (PKG), Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui kursus jangka pendek atau kursus jangka panjang yang ditawarkan dari semasa ke semasa. Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai satu bahagian profesional yang menawarkan kursus berkaitan dengan Teknologi Pendidikan atau Teknologi Pengajaran iaitu Pusat Teknologi Pendidikan dan Media (PTPM). Anda juga boleh melanjutkan pelajaran di peringkat master atau Ph.D dalam bidang Teknologi Pendidikan di Universiti Awam Tempatan atau luar negara. Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang menawarkan pelbagai kursus di peringkat master dan Ph.D, dan bidang Teknologi Pendidikan ini tidak terkecuali. Buat masa kini terdapat ramai pelajar daripada kalangan guru yang melanjutakan pelajaran di UPM dalam bidang Teknologi Pendidikan. Terdapat juga pelajar daripada luar negara seperti Iran, Yemen, Indonesia dan beberapa negara lain sedang mengikuti kursus Teknologi Pendidikan dan juga kursus-kursus lain di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Kursus boleh diikuti sama ada sepenuh masa dan separuh masa. Kursus sepenuh masa diikuti oleh majoriti pelajar tajaan Kerajaan Malaysia (Jabatan Perkhid matan Awam (JPA) atau Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)).

4 comments:

Penulis said...

Menarik. Berguna untuk guru.

tice sha said...

tq for the info.. it helps me a lot..:)

elvans said...

terbaik ty

Anonymous said...

terima kasih atas perkongsian ini.... sgt berguna dan bermanfaat