Kamus Dewan menterjemahkan kecindan atau ‘sense of humor’ dalam bahasa Inggeris sebagai jenaka, lawak dan kelakar. Kecindan boleh ditakrifkan sebagai kebolehan seseorang manusia, objek, situasi atau perkataan untuk mencetuskan perasaan gembira atau terhibur. Suasana kecindan boleh berlaku apabila kita ketawakan kepada sesuatu situasi seperti kelucuan yang ditunjukkan oleh seseorang. Suasana diwujudkan hasil daripada kecindan dikatakan dapat mengurangkan situasi tegang dengan segera. Plato pernah menulis “We laugh when we see the weakness of another” Salah satu peranan penting seseorang guru adalah membina hubungan baik guru–murid. Hampir setiap hari seorang guru bercakap dan berinteraksi dengan muridnya. Oleh itu bercakap atau berinteraksi adalah sebahagian daripada kerja guru. Bagi mewujudkan hubungan baik antara guru–murid, seharusnya seseorang guru itu berkebolehan melakukan jenaka atau kecindan. Menurut penyelidikan yang dijalankan oleh Barry and King (1990), guru harus menunjukkan sifat baik hati, adil dan ramah mesra kerana murid memerlukan kawan selain seorang guru, terutamanya bagi sesetengah murid yang tidak mempunyai ramai kawan dan terpencil. Dengan cara guru mendekati mereka, menggalakkan mereka bertanya dan berkongsi lawak jenaka membolehkan murid merasai guru sebagai seorang kawan Hubungan baik yang terjalin antara guru–murid akan dapat membantu mengawal masalah disiplin dan salah laku dalam kalangan murid. Mengapa kita sebagai seorang guru perlu mengamalkan kecindan dalam bilik darjah? Sebab hidup tanpa kecindan atau jenaka adalah amat membosankan, manakala dengan melakukan sedikit jenaka atau kecindan akan membantu tugas kita bagi merangsang pembelajaran, membolehkan pengajaran dan pembelajaran mudah diingati. Kajian menunjukkan kecindan dalam bilik darjah membantu interaksi guru-murid berlaku dengan lebih lancar dan menambahkan kuantiti serta kualiti masa bercakap pelajar. Sejak 25 tahun kebelakangan ini sahaja penyelidikan mengenai kecindan dalam pendidikan telah dilakukan. Berdasarkan kepada penemuan penyelidikan pendidikan dalam bidang ini sehingga kini, adalah benar untuk dirumuskan bahawa kecindan boleh:
- mewujudkan suasana yang membantu pembelajaran
- meningkatkan perhatian dan keseronokan belajar
- membantu pembelajaran menahan pelajar untuk terus belajar
- meningkatkan kemahiran berfikir
- dinyatakan sebagai ciri guru yang berkesan
Laman web pendidikan (http://712educators.about.com/od/teachingstrategies/tp/sixkeys.htm) meletakkan unsur kecindan sebagai salah satu daripada enam kunci penting untuk menjadi seorang guru yang berjaya. Unsur kecindan boleh membantu seseorang itu menjadi guru yang baik dan berjaya. Unsur jenaka yang disampaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran akan dapat mengurangkan situasi tegang dalam bilik darjah. Amalan kecindan dalam kalangan guru juga akan membolehkan murid merasa lebih seronok (enjoy) dan membantu murid menumpukan perhatian kepada pelajaran. Manakala manfaat dalam kalangan guru pula, mereka akan dapat menikmati situasi kerja dengan lebih seronok dan terhibur apabila melihat reaksi anak didik seronok dan ketawa. Ini menyumbang kepada kehidupan yang lebih gembira dalam menghadapi situasi kerja yang kadang kala menimbulkan ketegangan (stress). Kadang kala guru boleh membuat lawak bodoh semasa mengajar yang mana akan ditertawakan oleh murid, kadang kala kecindan dapat dikongsi bersama murid dan kadang kala pula kecindan yang dihasilkan oleh murid. Ini boleh membuatkan seseorang yang mempunyai sikap positif dan unsur kecindan akan sentiasa gembira sepanjang kariernya sebagai seorang guru. Menurut As Syeikh Abdul Fattah (2001), Rasulullah menggunakan pendekatan seloka dan gurau senda (yang tidak keterlaluan) sebagai satu kaedah pengajaran. Baginda bergurau semasa mengajar para sahabat dan pengikutnya namun perkataan yang keluar daripada mulut baginda hanyalah perkataan yang benar. Menurut kajian yang telah dijalankan, kelas yang tidak ada kecindan dianggap membosankan dan kurang mesra. Kelas yang dipenuhi dengan kecindan yang relevan dianggap menarik oleh murid. Guru yang mengamalkan unsur kecindan yang tinggi dinilai oleh murid sebagai lebih positif dan membantu mereka dalam proses pembelajaran. Unsur kecindan boleh meningkatkan kreativiti dan pembelajaran. Beberapa kajian menunjukkan pelajar yang mendengar rakaman dan menonton filem yang mengandungi unsur kecindan dapat membantu meningkatkan pencapaian dalam skor secara signifikan dalam ujian kreativiti. Banyak manakah unsur kecindan yang harus dimasukkan ke dalam sesi pengajaran? Menurut seorang penyelidik, ‘rule of thumb’ bagi mengamalkan kecindan kepada pelajar antara adalah tiga (3) hingga lima (5) kali bagi setiap 50 minit waktu pengajaran. Beberapa cara guru boleh mengamalkan kecindan dalam bilik darjah adalah seperti berikut:
- Gunakan kecindan yang relevan dengan isi kandungan pelajaran dalam tugasan bacaan. Cari contoh yang kecindan dalam sejarah, bahasa Inggeris, Sains dan sebagainya.
- Penulisan tugasan: tugaskan murid mencari sekurang-kurangnya tiga kartun yang berkaitan dengan tajuk atau konsep isi kandungan pelajaran. Minta murid jelaskan setiap kartun tersebut, bagaimana ia berkait dengan isi kandungan pelajaran.
- Papan Buletin yang berunsur kecindan: wujudkan papan buletin yang mengandungi unsur-unsur kecindan dalam bilik darjah dan papan buletin sekolah. Maklumat dan mesej yang disampaikan melalui papan buletin ini harus dalam bentuk seperti kartun yang berunsur kecindan tetapi berkait dengan tujuan atau isi kandungan pelajaran.
- Gunakan tiga hingga empat kartun yang berunsurkan kecindan dalam menyampaikan isi kandungan pelajaran berbentuk cerita, contoh dan anekdot dalam setiap 50 minit syarahan.
- Gunakan pernyataan yang berunsur kecindan apabila menyediakan soalan ujian. Tambahkan soalan yang mengandungi unsur kecindan di akhir peperiksaan sebagai kredit tambahan.
- Tayangkan video yang berunsur jenaka atau siaran TV dalam kelas. Pastikan ianya mempunyai kaitan dengan isi kandungan pelajaran.
- Adakan pertandingan melukis kartun.
Kepada guru-guru semua, selamat berjaya melaksanakan tugas mengajar dan seringlah mengamalkan kecindan semasa mengajar dan berinteraksi dengan murid atau sesama rakan setugas.
No comments:
Post a Comment