Thursday, October 9, 2008

Refleksi 7 - PPSMI

Pencerapan dilakukan terhadap seorang guru wanita Melayu yang mengajar mata pelajaran Sains Am Tingkatan Empat. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Teknologi Makanan dari sebuah universiti di Sabah.
Guru menggunakan bahasa Inggeris daripada permulaan pengajaran secara konsisten, diselang seli dengan bahasa Melayu. Lebih kurang 80% bahasa Inggeris digunakan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Apabila guru merasakan terdapat perkataan yang sukar difahami (vocab), guru akan menjelaskannya dalam bahasa Melayu. Teknik penyoalan guru agak baik dan berfokus, guru menunggu murid menjawab sebelum memberikan ulasan, tetapi tidak memberikan ganjaran secara intrinsik kepada respons murid. Apa yang menjadi pelik bagi saya ialah guru bertanya kepada murid dengan menggunakan perkataan ”UNDERSTANDING?” semasa memastikan sama ada murid faham atau tidak. Bagi saya perkataan tersebut tidak sesuai – saya rasa beliau perlu menyebut ”UNDERSTAND?” bukan ”UNDERSTANDING” Guru kelihatan sangat yakin untuk berbahasa Inggeris di hadapan murid walau pun terdapat kesalahan daripada segi tatabahasa dan sebutan. Antaranya ialah sebutan ’lead’ bagi merujuk kepada Plumbum. Beliau menyebut ’lid’ untuk plumbun dan bukan ’led’ yang sepatutnya disebut. Saya menegur beliau selepas sesi pengajaran dan meminta beliau bertanya kepada guru bahasa Inggeris mengenai sebutan yang betul. Guru memberikan latihan bertulis dalam bahasa Inggeris tetapi murid tidak faham menyebabkan guru terpaksa menjelaskannya dan menterjemahkannya satu perkataan demi perkataan.
Reaksi murid terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi pengajaran ini adalah berbagai-bagai. Terdengar murid menyebut ’dok fahang sepatah harang’ dalam loghat daerah. Ini menunjukkan mereka tidak dapat menerima medium bahasa ini sebagai bahasa pengantar. Selain itu, keadaan ini membuktikan bahawa guru sengaja menggunakan bahasa Inggeris berlebihan dalam sesi pencerapan ini berbanding sesi pengajaran biasa (tanpa kehadiran orang lain)
Dalam pemerhatian saya, guru seolah-olah mengajar bahasa Inggeris pula, kena bantu murid translate satu persatu. Ini adalah kerana murid-murid didapati sangat lemah dalam penguasaan kosa kata (vokabulari).
Walau pun tajuk mata pelajaran ini sangat menarik iaitu ’radioaktif’ dan guru banyak idea untuk bercerita mengenainya, tetapi menjadi terhad dengan penguasaan bahasa Inggeris beliau serta murid. Sepatutnya guru boleh menghubungkaitkan bahan radioaktif dengan isu semasa dunia, penggunaan dalam peperangan sebagai senjata, penggunaan bahan radioaktif untuk menjana tenaga dan untuk tujuan perubatan. ’Pronounciation’ murid semasa berinteraksi dengan guru agak lemah walau pun guru menggalakkan murid dalam bahasa Inggeris. Menurut guru, pelaksanaan PPSMI ini menyebabkan guru Melayu tidak cukup berani dan yakin untuk memohon guru pakar atau guru cemerlang kerana mereka takut dicerap oleh pihak tertentu seperti Jemaah Nazir Sekolah dan lain-lain bagi tujuan pengesahan kelak.

No comments: