Friday, November 28, 2008

Sifat-Sifat Yang Inovatif

Sebagai seorang guru, kita perlu memiliki sifat-sifat yang inovatif supaya kita dapat mengikuti arus perkembangan terkini dalam bidang pendidikan. Mata pelajaran Inovasi Dalam Pendidikan ditawarkan oleh semua universiti yang mengendalikan progam pasca ijazah di peringkat master dan Ph.D. oleh itu semua para lulusan sarjana dan Ph.D daripada mana-mana universiti dalam bidang pendidikan diharapkan dapat mewarisi ilmu dalam bidang ini dan memiliki sifat-sifat inovatif. Walau bagaimanapun, guru-guru yang tidak memiliki ijazah sarjana dan PhD juga dikehendaki mempunyai sifat-sifat ini supaya semua perkara baharu yang diperkenalkan dalam bidang pendidikan mudah dilaksanakan tanpa banyak halangan. Saya berpendapat semua bakal guru perlu didedahkan kepada kursus ini supaya apabila mereka bertugas di sekolah kelak, mereka sudah memilki sifat-sifat yang inovatif dan ini memudahkan pihak pengurusan dan pembuat keputusan melaksanakan inovasi dalam bidang pendidikan. Sifat-sifat ini adalah suatu sifat yang generik kepada profesionalisme guru. Sifat-sifat inovatif yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Sentiasa mencari lebih banyak maklumat tentang inovasi
  • Sering mengadakan hubungan dengan agen perubahan
  • Lebih membuka diri kepada idea-idea baru
  • Penglibatan sosialnya lebih tinggi
  • Meminati pendidikan dan ilmu pengetahuan
  • Komunikasi yang trampil atau cekap
  • Mengurangkan birokrasi ke tahap minimum
  • Memberi ganjaran kepada inovator dengan pengiktirafan yang bermakna
  • Bersedia mengambil risiko

Thursday, November 27, 2008

Kaedah Pengajaran Dalam Islam

Kita mempunyai pelbagai sumber ilmu yang amat berguna untuk diamalkan dalam profesion perguruan. Antara sumber ilmu tersebut adalah kaedah pengajaran yang digunakan oleh Rasulullah SAW dan para Cendikiawan Islam yang tersohor se antero dunia. Rasulullah SAW Baginda menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dalam menyampaikan ilmu dunia dan akhirat kepada pengikut-pengikut Baginda meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Antara kaedah yang Baginda gunakan ialah:
  • Kuliah
  • Khutbah
  • Dialog
  • Soal jawab
  • Hafazan
  • Mujadallah
  • Gambaran - kini dikenali sebagai penggunaan bahan audio visual
  • Amali
  • Demonstrasi
  • Halaqah dan banyak lagi....

Baginda sebenarnya sudah mendahului pelbagai strategi pengajaran yang masa kini disebut sebagai teknologi pendidikan. Hanya ketiadaan komputer pada zaman baginda sahaja yang membezakan strategi pengajaran yang digunakan dengan strategi pada zaman ini. Walau bagaimanapun Baginda telah mempelopori dan menunjukkan contoh strategi pendekatan pengajaran yang amat sesuai dengan kehendak pelajar. Dalam sebuah buku yang bertajuk Nabi Muhammad: Guru dan Pendidik Terulung, ditulis oleh As Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (diterjemah oleh Hj. Shuhadak Mahmud, Dirasat Ulya, Jamieah Maftuhah, Kaherah, Mesir) terbitan Maktab Al-matbuah Islamiah Habab. Diterbitkan bersama oleh M Khari Ent. dan Al Azhar media Ent. Buku ini menghuraikan 40 teknik cara mengajar oleh Rasulullah. Ibn Khaldun Beliau menggunakan kaedah pengajaran mengikut peringkat-peringkat pengajian iaitu bermula daripada peringkat rendah kepada peringkat tinggi. Antara kaedah-kaedah yang digunakan ialah:

  • Qiraah (bacaan)
  • Hafz (hafazan)
  • Kitabah (tulisan)
  • Imla’i (menyalin)
  • Istiwbat (ambilan)
  • Tardid (ulang sebut)
  • Munazarah (pemerhatian)
  • Tikrar (pengulangan)
  • Sama’ (mendengar)
  • Ijtima’al-watan (pergaulan dengan penduduk setempat)
  • Mulakhasah (deduktif)
  • Tamhid (induktif)
  • Juz’i (menjelaskan secara satu persatu)
  • Kulli (menyeluruh)
  • Bati (beransur-ansur)
  • Daqiqah (mendalam)
  • Umuniyyah (umum)
  • Hayah (penghayatan)
  • Muttakamul (kesepadanan)
  • Syumul (menyeluruh dan benar-benar menguasai ilmu) - kaedah sekarang (moden?) dikenali sebagai 'mastery learning'
  • Talkhis (peringkasan)
  • Rihlah (lawatan)
  • Takhdis (huraian)
  • ’amali (praktikal)

Al Qabisi

  • Kuliah dan syarahan bagi mata pelajaran akhlak
  • Hafz (hafazan) hendaklah diikuti dengan amali (aml)
  • Kaedah fard (individu) bagi murid yang lemah
  • Jama’iyyah (berkumpulan)
  • Tardid (meniru)
  • Qudwah (tauladan)
  • Tamsil (tunjuk ajar) - bersamaan dengan kaedah demonstrasi
  • ’amliyah (amali)

Al Farabi, Ibn Sinna dan Ibn Tufail

  • Huraian
  • Perbandingan - banding beza yang dikenali dalam kemahiran berfikir
  • Perkaitan - seperti dalam kemahiran berfikir yang diperkenalkan sekarang
  • Kesimpulan
  • Generalisasi
  • Implikasi
  • Ikhtisar
  • Penyelesaian masalah - dikenali sekarang sebagai problem solving
  • Inkuiri

Al Ghazali dan Sufyan Al ’Uyainah

  • Munaqasah (perbincangan)
  • Al-adwan (main peranan) - dikenali sebagai roleplay

Imam Shafi’i dan Imam Malik

  • Imla’i (menyalin)
  • Istima’ (mendengar)
  • Nazar wa istima’ (pandang dan dengar) - kini dikenali sebagai penggunaan bahan audio visual
  • Kalam (dialog)
  • Qira’ah (bacaan)
  • Kitabah (tulisan)

Lain-lain kaedah pengajaran yang sering digunakan oleh cendekiawan Islam lain adalah seperti berikut:

  • Taqlid duna nazar wa fikr – meniru
  • ’adan al-akhlas bi al dars - peneguhan
  • Burhan wa wadihah – penerangan dan penjelasan
  • Kulliyyat – penerangan
  • Tamhis al-ra’yie – percambahan idea
  • Tikrar ma’a talwin – latih tubi
  • Tajribal al-sakhsiah – pengalaman
  • ’Ibrah – penceritaan
  • Taqdim al-targhib ’ala al-tarhib – mengutamakan kegembiraan daripada ancaman
  • Uswah hasanah – teladan yang baik, mengambil iktibar, tinjauan, muhasabah

Jika diteliti kaedah-kaedah yang telah digunapakai sejak berzaman dahulu ini, ianya masih relevan dan hanya diberi nafas baharu atau dengan lain perkataan bolehlah kita katakan sebagai satu penjenamaan semula mengikut acuan barat. Tambahan pula dengan adanya teknologi canggih terkini iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), maka kaedah-kaedah yang diberikan penjenamaan semula ini kelihatan begitu canggih dan seolah-olah dicipta oleh para cendekiawan barat. Semoga dengan artikel ini, kita semua sebagai warga guru yang mempraktiskan kaedah-kaedah pengajaran ini sedar bahawa ilmu tersebut sebenarnya telah pun diperkenalkan oleh cendekiawan Islam, malahan telah diterajui oleh Rasullullah saw.

Wednesday, November 26, 2008

I Am Looking For A Teacher

Sajak berikut tulis oleh seorang penulis yang saya perolehi daripada sebuah artikel berkaitan dengan guru. Saya amat tertarik dengan sajak ini sebab penulis meluahkan rasa hati dan keinginan untuk mencari seorang insan guru yang ideal. Mungkin kita tidak dapat menyediakan keseluruhan sifat yang diinginkan, namun sebagai seorang guru kita seharusnya menyedari apa yang diperlukan oleh seseorang murid. Sajak ini menyedarkan kita sebagai seorang insan guru betapa pentingnya fungsi dan peranan kita kepada seseorang murid.
I Am Looking For A Teacher (Marilyn Pattison) I am looking for a teacher Who is beautiful inside Honest with the students Giving then a sense of pride I am looking for a teacher With a healthy self esteem Who clearly states the rules And doesn’t have to scream I am looking for a teacher Who creatively prepares But whose first priority Is to convey that she cares I am looking for a teacher Who is interested, no aloof Who treats her students with respect Even when they goof I am looking for a teacher Who knows how to laugh and smile Who enjoys what she’s doing And goes the extra mile I am looking for a teacher Who believes all students can learn Who praises their efforts and talents They give their best return I am looking for a teacher Who communicates with parents well Gently and carefully selecting words When there’s a problem to tell I am looking for a teacher Who will fill a child with desire To love to learn more every day I am looking for a teacher Who encourages children to have a dream To work at solving problems Building their self esteem There are some teachers out there The kind I’m looking for For their student’s future success They have opened up the door

Tuesday, November 25, 2008

Cuti Hujung Tahun

Cuti persekolahan hujung tahun disambut dengan berbagai-bagai perasaan dalam kalangan murid dan ibu bapa. Guru-guru juga merasa agak lega dan lapang selepas bertungkus lumus mengajar dan menjalakan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kokurikulum. Ibu bapa merancang untuk bercuti dan membawa bersama anak-anak mereka. Murid-murid merasa lega dan dapat meluangkan masa bersama keluarga selepas begitu sibuk menghadiri berbagai aktiviti pelajaran dan kokurikulum sepanjang tahun. Namun, terdapat juga ibu bapa yang begitu risau dengan masa lapang anak-anak mereka. Sekiranya kedua-dua ibu bapa bekerja, anak-anak tinggal di rumah dan masa lapang ini jika tidak digunakan dengan baik, akan menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Permainan video game (PlayStation), internet dan sebagainya boleh menyebabkan gejala negatif berlaku. Akhbar baru-baru ini menyiarkan seorang pelajar mengalami suasana pelik dalam alam fantasi selepas bermain game melalui PlayStation dalam satu jangka masa yang panjang (marathon). Kita perlu mengawasi anak-anak kita daripada terlalu asyik bermain game komputer sehinggakan lupa makan dan minum serta beriadah. asyik ber'chating' siang dan malam, sehingga ke larut malam. Laman web 'friendster' adalah lamam web yang sangat sering dilawati oleh para remaja. Kawan-kawan mereka adalah rakan siber yang tidak dikenali secara fizikal, walau pun sering berhubung di ruang siber maya. satu lagi laman web yang sering dilawati ialah YouTube yang memaparkan segala peristiwa yang berlaku dalam bentuk video klip tanpa sebarang penapisan (walau pun tiada yang berunsur seksual) daripada segi keganasan dan nilai moral serta keagamaan. Ini sangat negatif untuk didedahkan kepada remaja yang sedang meningkat usia terutamanya sedang mengalami kematangan minda. Berbagai pihak menganjurkan program dan aktiviti yang dapat disertai oleh ana-anak bagi memenuhi masa cuti panjang mereka. Kita disajikan dengan program yang diberi dengan berbagai nama dan konsep seperti ’summer camp’ khemah ibadat, khemah pembentukan jati diri dan sebagainya. Ada penganjur yang ikhlas dan jujur dalam program serta aktiviti anjuran mereka dan tidak kurang juga yang lebih mementingkan atau mengaut keuntungan daripada peluang yang ada. kepada pengajur program yang sebegini baik, bantulah para remaja kita untuk memperkembangkan sahsiah dan kerohanian yang baik dengan mengadakan program dan aktiviti tanpa mengutamakan keuntungan semata-mata. Tidak semua ibu bapa yang mampu mengeluarkan perbelanjaan yang begitu banyak untuk menghantar anak-anak mengikuti program sedemikian. Sesetengahnya mempunyai dua atau tiga orang anak remaja, ini melibatkan kos yang begitu banyak. para guru harus memainkan peranan penting dalam program seperti ini dan pihak sekolah juga boleh melibatkan diri dalam penganjuran program sedemikian semasa cuti sekolah. Semoga penglibatan dalam aktiviti seperti ini akan menyerlahkan lagi nilai profesionalisme kita sebagai seorang guru. Pada pandangan saya, masa inilah kita boleh membantu anak-anak mempelajari apa yang tidak dapat kita berikan atau guru di sekolah berikan, iaitu pelajar agama seperti pembacaan Al Quran dari segi kelancaran, tajwid dan sebagainya. Begitu juga fardhu Ain yang amat dituntut oleh agama. Ibu bapa perlu mencari peluang untuk menghantar anak-anak ke program dan aktiviti berkaitan supaya dapat menampung kekurangan ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut. Sebagai ibu bapa, kita perlu mengawasi dengan seketat yang mungkin aktiviti anak-anak di rumah semasa ketiadaan kita (suami isteri pergi berkerja). Pengaruh internet amat berkuasa sekali untuk memesongkan pemikiran kepada perkara negatif jika tidak dikongkong dan diawasi dengan ketat. Malahan pengaruh televisyen, terutamanya televisyen satelit seperti ASTRO banyak mendedahkan anak-anak kita kepada gejala negatif dan keruntuhan akhlak/moral.

Monday, November 24, 2008

Ciri-Ciri Guru Cemerlang

Profesion perguruan bukanlah satu profesion yang statik dan tidak menjanjikan peluang kenaikan pangkat yang menarik. Kementerian Pelajaran Malaysia mengadakan pelbagai insentif untuk membantu meningkatkan profesionalisme perguruan melalui pelaksanaan Guru Cemerlang contohnya. Sebagai seorang guru, kita seharusnya mempunyai kualiti yang khusus dan konsisten supaya dipandang mulai oleh masyarakat. Profil guru cemerlang atau ciri-ciri guru yang cemerlang dibahagikan kepada dua aspek utama iaitu:
  1. Ciri-ciri personaliti seperti: menepati masa, berupaya mewujudkan suasana kecindan atau humorous (jenaka) dan tegas.
  2. Aspek kemahiran pedagogi seperti: komunikasi berkesan (bahasa yang mudah dan lancar, pergerakan badan dan mimik muka yang sesuai, intonasi yang menarik dan lantang); kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah secara spontan.

Terdapat lima (5) aspek kecemerlangan yang dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menurut seorang penyelidik iaitu Md. Nasir Masran (2000) dalam kertas prosiding bertajuk Guru Cemerlang: Personaliti dan Kemahiran (Prosiding seminar kebangsaan penyelidikan dan pembangunan dalam pendidikan 2000. 3 – 4 Oktober 2000, Bahagian Pendidikan Guru, KPM, ms. 173 – 178): 1. Kecemerlangan Peribadi

Kecemerlangan peribadi yang dimaksudkan ialah meliputi perkara berikut:

  • Nilai kendiri yang positif
  • Berakhlak mulia
  • Adil
  • Bertimbang rasa
  • Amanah
  • Bertanggung jawab
  • Kreatif
  • Inovatif
  • Kemas
  • Sikap sedia berkongsi
  • Bersikap terbuka
  • Berpemikiran positif

2. Kecemerlangan Pengetahuan dan Kemahiran Berikut adalah perkara yang berkaitan dengan kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran:

  • Mengamalkan budaya ilmu
  • Berkebolehan menyelesaikan masalah
  • Membuat keputusan yang rasional serta objektif
  • Sebagai pakar rujuk bidang masing-masing

3. Kecemerlangan Komunikasi Komunikasi adalah suatu bidang yang amat perlu dikuasai oleh warga guru sebagai suatu senjata utama dalam melaksanakan tugas menyebarkan ilmu dan kemahiran kepada murid-murid. Berikut adalah perkara yang perlu dikuasai oleh seseorang guru cemerlang berkaitan dengan komunikasi:

  • Kecekapan berinteraksi dan menyampaikan idea dan mesej secara berkesan.
  • Memula dan merintis sesuatu usaha sehingga berjaya.
  • Berkeupayaan memelihara hubungan mesra.
  • Menghormati semua ahli masyarakat sekolah atau institusi pendidikan.

4. Kecemerlangan Potensi

  • Keberkesanan sumbangan terhadap kejayaan sekolah atau institusi pendidikan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
  • Penglibatan yang bermakna dalam aktiviti-aktiviti ilmu seperti kursus-kursus profesional, seminar, bengkel.
  • Sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan kemahiran melalui akademik dan penyelidikan.

5. Personaliti Unggul Personaliti ialah perwatakan dan tingkahlaku. Personaliti ialah satu daripada pembolehubah yang boleh memudahkan atau menyulitkan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru cemerlang perlu mempunyai ciri-ciri personaliti unggul seperti berikut:

  • Adil
  • Sabar
  • Tegas
  • Konsep kendiri positif
  • Kesungguhan
  • Mesra
  • Prihatin
  • Kerjasama
  • Menepati masa
  • Bertanggung jawab
  • Berakhlak mulia
  • Kecindan (unsur jenaka)

Menurut penyelidik ini (Md. Nasir Masran, 2000) hanya memiliki tiga (3) sahaja ciri-ciri di atas iaitu tegas, menepati masa dan kecindan dimiliki oleh semua guru cemerlang yang ada di negara kita masa kini.

Friday, November 21, 2008

Pengajaran Individu (Individualized Instruction)

Salah satu daripada kaedah pengajaran adalah secara pengajaran individu. Saya ingin mengetengahkan kaedah ini kerana terdapat isu di mana ramai guru dikatakan meninggalkan kelas setiap hari disebabkan menghadiri pelbagai aktiviti anjuran Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, Kementerian Pendidikan dan berbagai agensi lain. Ini menyebabkan murid ketinggalan ketika guru tiada dalam kelas. Mekanisme yang digunakan oleh sekolah adalah dengan mengadakan guru ganti, namun mekanisme ini tidak berkesan, hanya sekadar dapat mengawal kelas daripada bising sahaja. Punca guru meninggalkan kelas adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti berikut;

  • Kursus/program dijalankan semasa hari persekolahan.
  • Guru-guru yang mengikuti pengajian melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) mengambil cuti untuk menghadapi peperiksaan.
  • Mesyuarat diadakan semasa hari persekolahan anjuran JPN, PPD atau pihak sekolah sendiri.
  • PPD menggunakan tenaga guru sekolah untuk pelaksanaan program tertentu.

Guru-guru yang sering terlibat dengan kursus/bengkel/program anjuran KPM dan tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan ialah terdiri daripada:

  • Setiausaha Sukan,
  • panel penggubal soalan (UPSR, PMR, SPM, STPM),
  • Jurulatih Utama (JU),
  • Ketua Bidang,
  • GPK dan,
  • Guru Besar/Pengetua.

Kaedah pengajaran yang dibincangkan pada kali ini akan dapat membantu sekolah dan guru sekiranya kita tiada di dalam bilik darjah. Ini juga memudahkan guru ganti berfungsi dengan berkesan. Berikut adalah beberapa definisi berkaitan dengan pengajaran individu:

  • ..wherein students use learning materials specifically designed or chosen to suit their individual interest, abilities and experience, is now almost universally accepted as an important and productive instructional strategy.
  • ..apa juga penyediaan yang membolehkan setiap penuntut bergiat belajar pada setiap masa mengenai perkara-perkara yang didapatinya bernilai kepada dirinya sebagai seorang individu
  • Seseorang pelajar yang ingin belajar secara individu perlulah mempunyai disiplin diri yang tinggi dan dibantu oleh ibu bapa atau waris semasa menghadapi pelajaran.
  • Bahan pembelajaran juga perlu disusun dengan begitu rapi dan sistematik agar pelajar dapat mengikutinya tanpa menghadapi sebarang masalah.Dalam pengajaran individu, perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah perbezaan pada setiap individu dari segi intelek, minat, kecekapan, daya cipta dan sebagainya.
  • Bahan pembelajaran bagi pengajaran individu perlulah disediakan supaya pelajar dapat belajar mengikut kadar kecepatan sendiri.

Jenis-jenis pengajaran individu

  • Munsyi atau ‘tutoring’ Kaedah ini bermula sejak abad ke 19 di kalangan orang-orang bangsawan. Ia merupakan kaedah pengajaran individu yang sebenar iaitu seorang pelajar dipimpin oleh seorang guru (munsyi) semasa mengikuti pelajarannya.Is one to one method of instruction in which the decisions to be made by the tutor are ‘’programmed’ in advance by means of carefully structured printed instructions. The “teacher’s book” has the answers to the exercises; “the student’s book” does not

  • Koresponden Kaedah bermula sejak tahun 1873. Guru mengirimkan bahan pembelajaran ke rumah dan setiap tugasan atau latihan perlu dikirimkan semula kepada guru.

  • Self-Paced Unit Plans Kaedah bahan pembelajaran disusun dengan unit-unit yang kecil dan lengkap untuk mengkaji sesuatu topik. Pelajar akan belajar mengikut kecepatan sendiri.
  • Pengajaran Terancang (Programme Instruction) Kaedah di asaskan oleh B.F. Skinner. Konsep yang diperkenalkan oleh beliau ialah ‘ bahan pengajaran dibahagikan kepada langkah-langkah kecil dan setiap langkah diberikan ganjaran. Terdapat dua jenis pengajran terancang iaitu secara linear dan bercabang
  • Personalized System of Instruction (PSI) Could be described as a technology for managing instruction. It puts the reinforcement theory into action as the overall framework for a whole course. In the PSI classroom students work individually at their own pace using any of a variety of instruction materials - a chapter in a book, CAI, a loop film, a sound film strip, a programmed booklet, etc. The materials are arranged sequential order and the student must show mastery of each unit before being allowed to move on to the next.Mastery in determined by means of a test taken whenever the student feels ready for it. Study help and testing are handled by proctors - usually more advanced students who volunteer to help others. Proctors are critical component of PSI for it is their one-to-one tutorial assistance that makes the system personalized. The instructor acts primarily as a planner, designer, manager and guide to students and proctors. Maklumat lanjut mengenai PSI ini boleh didapati di laman web berikut: http://starfsfolk.khi.is/solrunb/system.htm
  • Audio Tutorial Systems Developed by S.N. Postlethwait at Purdue University in the early 1960s.Maklumat lanjut mengenai ATS ini boleh didapati di laman web berikut: http://www.hull.ac.uk/php/edskas/edtech/audiotutorial.pdf
  • Modul Modules are usually designed as self-instructional units for independent study. Kegunaan modul adalah untuk pengajaran biasa, memperkayakan bahan pengajaran pembelajaran, pemulihan, menetapkan kebolehan yang sama di peringkat permulaan sebelum memulakan topik baru, mengajar murid yang ketinggalan di dalam pelajaran kerana sakit, merancang kursus melalui pos atau pendidikan jarak jauh dan sebagainya termasuklah apabila guru tidak dapat hadir ke kelas untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Terdapat sebuah sekolah menengah di Ipoh menggunakan kaedah modul untuk membantu murid yang tidak dapat menghadiri kelas kerana terlibat dalam permainan hoki di peringkat negeri dan kebangsaan. Kaedah ini tidak akan menjejaskan pembelajaran murid walau pun murid itu terpaksa menghadiri latihan hoki atau permainan lain dalam waktu persekolahan. Guru mata pelajaran perlu menyediakan modul untuk murid ini dapat terus belajar.

Thursday, November 20, 2008

Aktiviti Persekolahan Di Hujung Semester Akhir

Peperiksaan akhir (bukan peperiksaan awam) sekolah diadakan beberapa minggu sebelum persekolahan berakhir. Murid ada beberapa minggu lagi untuk pergi ke sekolah. Ini menyebabkan murid tidak belajar lebih kurang dua atau tiga minggu sebelum sesi persekolahan berakhir di hujung tahun. Sementara itu, buku teks dikumpulkan semula oleh guru buku teks untuk diagihkan kepada pelajar lain bagi pesediaan tahun hadapan. Oleh itu, murid masuk kelas tak belajar apa-apa. Guru pula tidak masuk kelas sebab alasan memeriksa kertas jawapan dan memproses markah. Murid buat apa? Ini menjadi persoalan kepada ibu bapa. Terdapat murid yang tidak mahu pergi sekolah kerana alasan yang diberikan ialah ’tidak belajar’. Sementara ibu bapa pula mendesak anak mereka supaya pergi ke sekolah. Kesan yang timbul ialah, anak-anak mereka tidak pergi ke sekolah, malahan mereka melepak di tempat-tempat tertentu seperti kedai kopi, restauran, pusat membeli belah dan siber kafe. Keadaan begini akan mendedahkan mereka kepada gejala negatif seperti pergaulan bebas, dadah dan pil-pil khayal. Pihak berwajib seharusnya menyedari perkara ini dan berusaha membendungnya. Pihak pentadbiran sekolah perlu mengambil tindakan yang sesuai untuk menanganinya.
Saya cadangkan supaya sekolah mengadakan peperiksaan di minggu terakhir persekolahan supaya isu ini tidak lagi timbul di masa-masa akan datang. Alasan guru tidak sempat memeriksa kertas peperiksaan adalah tidak wajar sekali. Guru boleh memeriksa kertas soalan semasa cuti persekolahan, kerana guru sebenarnya bukan ’cuti’ kerana mereka masih dibayar gaji tanpa dikurangkan sedikit pun. Mereka harus bersikap profesional dan menggunakan kesempatan masa cuti untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan profesion masing-masing, kerana mereka sebenarnya masih ’berkerja’.
Pihak sekolah perlu tetapkan tempoh tertentu untuk guru memeriksa kertas soalan dan mengira markah, contohnya dua minggu selepas persekolahan berakhir, semua guru mesti menghantar markah masing-masing. Selepas itu, tetapkan suatu tarikh murid dan ibu bapa datang ke sekolah untuk mengambil markah peperiksaan. Tarikh tersebut juga digunakan untuk murid memulangkan buku teks yang dipinjamkan oleh pihak sekolah. Suatu tarikh lain ditentukan oleh pihak sekolah contohnya seminggu sebelum persekolahan bermula, murid dikehendaki datang ke sekolah untuk mendapatkan pinjaman buku teks. Dengan ini, masa persekolahan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, bukan digunakan untuk aktiviti pengurusan dan pentadbiran. Ini adalah wajar sekali dilakukan kerana guru dan pihak sekolah sering menyatakan mereka ’tidak cukup masa’ untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Apabila ditanya mengapa tidak menggunakan bahan bantu mengajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), ramai guru yang memberikan alasan bahawa mereka kekurangan masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran dengan alasan kononnya jika menggunakan bahan bantu mengajar, akan melambatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Alasan sebegini seringkali dan sudah lama digunakan oleh guru-guru untuk mengelakkan daripada menggunakan berbagai peralatan teknologi pendidikan yang dibekalkan kepada mereka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Berbagai penyelidikan telah dijalankan dalam bidang teknologi pendidikan dan alasan begini sering ditemui oleh penyelidik dalam negara kita. Terdapat sekolah yang mengambil inisiatif mengadakan peperiksaan di minggu terakhir persekolahan. Ini adalah satu amalan yang baik dan dapat membantu mengelakkan murid daripada melepak dan ponteng sekolah.
Rusa di Zoo Melaka
Pada masa dahulu, zaman persekolahan saya di tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, masa hujung persekolahan inilah diadakan aktiviti lawatan ke tempat-tempat tertentu seperti zoo, muzium dan sebagainya. Bagi sekolah yang terletak di luar bandar, inilah peluang guru-guru membawa murid mereka melawat Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain. Dengan aktiviti begini, murid dapat meluaskan pengalaman dan pandangan di samping dapat mempelajari banyak perkara. Pada zaman ini, aktiviti begini masih lagi dilakukan oleh sekolah-sekolah di luar bandar.
Pertujukan gajah di Zoo Melaka
Bagi sekolah-sekolah di bandar pula, mereka harus didedahkan kepada pengalaman luar bandar. Bawalah murid anda melawat ke kawasan luar bandar seperti kawasan pertanian getah, kelapa sawit, padi dan kawasan tanaman sayuran dan sebagainya. Bawalah mereka melawat ke kampung nelayan, melihat bagaimana penternakan ayam, itik, kambing dan lembu dijalankan. Ini akan memberikan kesan yang begitu mendalam dalam diri anak-anak yang akan mewarisi kita.

Friday, November 14, 2008

Keputusan UPSR Penentu PPSMI

Tidak mengejutkan bagi guru-guru yang terlibat dalam PPSMI apabila keputusan UPSR 2008 diumumkan! Bagi mereka yang tahu selok belok peperiksaan awam di Malaysia, perkara ini boleh berlaku dan tidak mustahil. Tanyalah Lembaga Peperiksaan Malaysia (KPM) apa yang sebenarnya berlaku dalam menangani markah peperiksaan awam tersebut. Hakikatnya:-
  • Soalan peperiksaan masih dwi bahasa
  • Murid membaca soalan bahasa Melayu (cuba buat kajian)
  • Guru masih mengajar menggunakan bahasa Melayu (dapatan daripada kajian dan pemerhatian, terutamanya di luar bandar dan pedalaman)
  • Penguasaan bahasa Inggeris tinggi (naik) kerana mereka banyak didedahkan kepada persekitaran bahasa Inggeris. (Apakah kita mahu mereka pandai berbahasa Inggeris atau Sains dan Matematik?)
  • Persekitaran pembelajaran di luar bandar masih berorientasikan bahasa Melayu
  • Kompetensi guru PPSMI berbahasa Inggeris masih lemah (terutamanya di luar bandar dan pedalaman)
  • Sekiranya semua soalan ditulis dalam bahasa Inggeris, apakah keputusan begini berterusan?

Semoga keputusan UPSR ini tidak dijadiakan sebagai satu kayu ukur untuk membuat keputusan pelaksanaan PPSMI di negara kita. Penyelidikan yang menyeluruh, adil dan telus perlu dilakukan oleh semua pihak untuk mengenalpasti kejayaan pelaksanaan PPSMI.

Bahasa Inggeris adalah bahasa Lingua-Franca dan amat penting dalam semua bidang. Tidak dapat dinafikan lagi kepentingan bahasa ini oleh sesiapa pun. Namun, untuk seseorang menguasai bahasa ini, tidak ada satu negara pun di dunia ini yang menggunakan pendekatan yang kita lakukan kepada anak-anak kita supaya mereka menguasai bahasa penting ini.

Monday, November 3, 2008

Guru-Guru Tiada Di Sekolah Pada Masa Persekolahan

Apa yang ingin dikongsi pada kali ini ialah mengenai ketiadaan guru di dalam bilik darjah semasa hari persekolahan. Mungkin ini mengejutkan sesetengah pihak, terutamanya ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka belajar apabila pergi ke sekolah. Data diambil daripada beberapa buah sekolah dalam satu kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Berikut dipaparkan sedikit maklumat mengenai ketiadaan guru dalam bilik darjah atau di sekolah semasa hari persekolahan berjalan: Negeri Selangor Tahun 2004 - Aktiviti rasmi (651), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (301), lain-lain sebab (9). Tahun 2005 – Aktiviti rasmi (1285), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (606), lain-lain sebab (102). Tahun 2006 – Aktiviti rasmi (3623), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (2183), lain-lain sebab (727), tanpa sebab (8). Negeri Kedah Tahun 2004 - Aktiviti rasmi (3071), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1173), lain-lain sebab (47). Tahun 2005 – Aktiviti rasmi (4013), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1429), lain-lain sebab (37). Tahun 2006 – Aktiviti rasmi (5088), cuti rehat/cuti saki/cuti bersalin (1706), lain-lain sebab (356). Walaupun data ini agak ketinggalan, namun ia menggambarkan sesuatu yang berlaku di sekolah dan yang pentingnya ialah pola yang ditunjukkan adalah semakin ada peningkatan dari segi jumlah. Ini merungsingkan jika berterusan. Guru tidak hadir ke sekolah kerana menghadiri aktiviti rasmi anjuran KPM bertambah dengan drastik di kedua-dua buah negeri sejak tahun 2004 hingga bulan Jun 2006. Peningkatan berlaku hampir dua kali ganda di setiap negeri. Jumlah keseluruhan juga menunjukkan peningkatan ketidakhadiran yang begitu tinggi. Guru tidak hadir disebabkan cuti rehat/cuti sakit/cuti bersalin juga mencatatkan peningkatan di kedua-dua buah negeri. Guru tidak hadir dengan lain sebab juga mencatatkan peningkatan walau pun dalam jumlah yang kecil. Sementara itu, terdapat juga guru yang tidak hadir ke sekolah tanpa sebab di negeri Selangor iaitu seramai lapan orang sehingga bulan Jun tahun 2006. Punca guru meninggalkan kelas adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti berikut:-
  • Kursus/program dijalankan semasa hari persekolahan.
  • Guru-guru yang mengikuti pengajian melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) mengambil cuti untuk menghadapi peperiksaan.
  • Mesyuarat diadakan semasa hari persekolahan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau pihak sekolah sendiri.
  • PPD menggunakan tenaga guru sekolah untuk pelaksanaan program tertentu.

Guru-guru yang sering terlibat dengan kursus/bengkel/program anjuran KPM dan tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan ialah terdiri daripada:-

  • Setiausaha Sukan
  • Panel penggubal soalan (UPSR, PMR, SPM, STPM)
  • Jurulatih Utama (JU)
  • Ketua Bidang
  • Guru Penolong Kanan (GPK) dan,
  • Guru Besar/Pengetua

Kesan Ketiadaan Guru Di Sekolah

Beberapa kesan telah dikenalpasti hasil daripada temubual dengan guru dan murid apabila guru tidak tidak hadir ke sekolah semasa hari persekolahan:

  • Guru yang mengganti kelas yang ditinggalkan oleh guru yang mengajar mata pelajaran tertentu tidak sama opsyen
  • Guru ganti tidak mengajar dan menyuruh murid membuat kerja sendiri Guru ganti mengambil peluang mengajar mata pelajaran opsyennya sendiri semasa masuk kelas ganti
  • Guru yang meninggalkan kelas tidak menyediakan modul atau tugasan untuk dilakukan oleh murid semasa beliau tidak hadir
  • Sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan terutamanya bagi kelas yang akan menghadapi peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM)
  • Hampir setiap hari guru melaksanakan kelas ganti menyebabkan tugas-tugas lain seperti penyediaan Rancangan Pelajaran Harian (RPH), penyediaan sumber pengajaran dan pembelajaran, menanda buku latihan, memeriksa kertas ujian dan tugas-tugas panitia, setiausaha peperiksaan, penyelaras pusat sumber dan sebagainya tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan
  • Terdapat juga perasaan kurang senang di kalangan guru-guru disebabkan kekerapan guru yang sama meninggalkan sekolah masa persekolahan untuk menghadiri kursus atau program anjuran KPM

Bagaimana Mengatasi Masalah Ini? Pihak sekolah telah mengamalkan beberapa kaedah bagi mengatasi masalah guru tiada di sekolah pada masa persekolahan seperti berikut;

  • Menyediakan jadual kelas ganti untuk memastikan kelas yang dikosongkan itu diambilalih oleh guru lain dengan mengambil kira waktu senggang guru (free period) dan opsyen guru ganti tersebut
  • Pihak pengurusan sekolah mengumpulkan murid-murid di dalam dewan dan mengadakan aktiviti yang sesuai sekiranya melibatkan banyak kelas dan ramai guru yang tidak hadir
  • Pihak pengurusan sekolah meminta guru yang akan bercuti menyediakan lembaran kerja atau tugasan supaya dapat digunakan oleh guru ganti semasa mereka tidak hadir ke sekolah

Kekangan Pelaksanaan Kelas Ganti Semasa melaksanakan pencerapan kepada pelajar bacelor pendidikan ketika menjalani praktikal atau latihan mengajar di sekolah-sekolah, saya mendapati hampir setiap hari mereka dibebani dengan tugas mengganti kelas guru yang tidak hadir ke sekolah. Ini menjejaskan tugas mereka sebagai seorang bakal guru yang perlukan masa panjang untuk belajar di sekolah itu. Dalam buku rekod pengajaran mereka terdapat banyak slip tampalan kelas ganti yang ditugaskan kepada mereka. Mereka bukan menggantikan kelas opsyen mereka, malah berbagai mata pelajaran yang diganti kelas. Apa yang mereka buat? Keseluruhan mereka mengatakan hanya duduk dan mengawal murid daripada berkeliaran dan membuat bising. Sesetengahnya dibawa masuk ke Pusat Sumber Sekolah untuk aktiviti bebas (membaca dan lain-lain).

Dalam kajian ini pula, mereka mendapati hampir 60.0% guru tidak masuk ke kelas ganti yang telah ditetapkan dalam jadual ganti yang diedarkan kepada mereka. Sebilangan besar guru ganti yang masuk ke kelas hanya bertugas mengawal kelas daripada membuat bising tanpa melaksanakan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya duduk di dalam kelas tanpa berbuat sesuatu sehingga loceng berbunyi, malah murid juga tidak mengenali mereka kerana tidak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Pada dasarnya, tugas guru ganti dipilih mengikut keutamaan opsyen guru yang diganti dan jumlah waktu guru mengajar pada hari tersebut. Namun banyak sekolah tidak dapat melaksanakan keutamaan ini dan memberikan tugas kepada guru bukan opsyen sekadar untuk mengawal kelas supaya tidak bising dan tujuan keselamatan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini apabila guru tiada dalam kelas. Sekolah mempunyai sistem tersendiri menyediakan jadual kelas ganti setiap hari persekolahan. Hampir semua sekolah menyediakan kupon atau slip yang mengandungi nama guru ganti, guru yang diganti, Tahun/Tingkatan, masa serta mata pelajaran. Slip tersebut perlu ditandatangan dan dilekatkan dalam buku rekod pengajaran harian guru ganti. Terdapat sekolah yang menyediakan slip jadual ganti secara manual, buku, komputer atau dipaparkan di papan kenyataan untuk disemak oleh guru dan murid. Cadangan

  • Kursus yang dianjurkan oleh KPM, JPN, PPD dan lain-lain agensi KPM perlu diadakan di hujung minggu atau semasa cuti penggal persekolahan. Terdapat kursus yang memakan masa yang agak panjang dan melibatkan ramai guru
  • Lokasi kursus perlu diadakan berhampiran dengan sekolah dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk pergi dan kembali ke sekolah semula. Contohnya, guru yang mengikuti program PJJ di tempat yang jauh dari sekolah memerlukan jumlah hari yang lebih panjang untuk perjalanan pergi dan balik
  • Mesyuarat perlu diadakan di luar waktu persekolahan. Pihak JPN, PPD dan sekolah perlu mengelakkan penggunaan waktu pengajaran dan pembelajaran untuk menjalankan mesyuarat
  • Aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak NGO (Badan Bukan Kerajaan) perlu difikirkan kepentingannya dari segi pembelajaran murid di sekolah. Pihak JPN, PPD dan sekolah perlu mengelakkan daripada terlibat dengan aktiviti anjuran NGO yang mana memerlukan kehadiran guru-guru semasa persekolahan berjalan
  • Bahagian-bahagian di KPM, JPN dan PPD perlu membuat penyelarasan program-program yang dijalan/dianjurkan supaya tidak berlaku pertindihan program yang sama atau hampir sama. Perkara ini sering berlaku dan melibatkan guru yang sama menghadiri kursus yang sama atau hampir sama
  • Pihak sekolah perlu dimaklumkan terlebih awal tentang keperluan kursus atau latihan yang akan dilaksanakan. Kajian keperluan terhadap kursus perlu diadakan di sekolah bagi mengenalpasti jenis kursus yang diperlukan oleh guru. Terdapat sekolah yang tidak lagi memerlukan sesuatu kursus/latihan kepada guru-gurunya kerana sudah mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan, contohnya dalam bidang teknologi maklumat. Terdapat dua orang guru sekolah pedalaman hadir berkursus mengenai pembinaan laman web sekolah, sedangkan ianya sebuah sekolah kecil dan bilangan guru yang sedikit
  • Pengagihan guru untuk jadual guru ganti perlu dilakukan dengan bijaksana bagi mewujudkan kesaksamaan dalam menjalankan tugas tersebut di kalangan semua guru
  • Pemantauan pelaksanaan kelas ganti ini perlu dilakukan oleh Guru Besar/Pengetua atau GPK secara terancang dan berkesan. Rekod pelaksanaan jadual guru ganti perlu disimpan dan dikemaskini oleh pihak sekolah
  • Guru menyediakan modul pembelajaran yang komprehensif bagi tajuk-tajuk tertentu supaya berlaku pembelajaran kendiri murid semasa guru tidak masuk ke kelas

Kita sebagai ibubapa perlulah prihatin dan sedar tentang perkara ini, yang berlaku di sekolah. Kita dapat menyumbang idea dan buah fikiran untuk mengatasi masalah ini sekiranya kita sedar tentang isu ini. Semasa mesyuarat PIBG dan lain-lain forum seumpamanya, kita sebagai ibubapa perlu hadir dan membincangkan persoalan ini. Semoga penglibatan kita dalam memberikan idea dan pandangan kepada pihak sekolah, akan dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan. Oleh itu, kita perlu hadir dalam sebarang ruang yang disediakan oleh pihak sekolah seperti forum, mesyuarat (terutamanya mesyuarat PIBG) dan sebagainya. Sumbangan masyarakat terhadap pihak sekolah adalah amat bermakna dan selaras dengan perkembangan atau tren pendidikan masa kini. Ini telah diamalkan oleh ibubapa dan sekolah di negara maju.