Thursday, October 30, 2008

Mengapa Guru Perlu Menggunakan Media Pengajaran

Profesionalisme seseorang guru dapat dipertingkatkan dengan pelbagai cara. Salah satu daripada caranya ialah dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan menggunakan media pengajaran semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Banyak kajian dan penyelidikan telah dijalankan di dalam dan luar Negara mengenai faedah dan kepentingan media pengajaran dalam pendidikan. Artikel ini akan membincangkan peranan media pengajaran dan faedah kepada guru dan murid. Dengan penggunaan media pengajaran, guru akan dapat dilihat sebagai seorang yang sentiasa proaktif dan menitik beratkan hasil akhir pengajaran yang mana akan dapat membantu murid memahami dan mengingati sesuatu fakta dan ilmu. Menurut kajian, peratus penerimaan semasa proses pengajaran pembelajaran berlaku adalah dipengaruhi oleh penglibatan deria masing-masing. Deria % Penerimaan Mata 70 Hidung 5 Mulut 4 Telinga 15 Rasa/sentuhan 6

Kepentingan media pengajaran dalam proses pengajaran pembelajaran ialah seperti berikut:

  • Pengajaran lebih terancang
  • Melibatkan pelbagai deria
  • Memperkayakan pengalaman
  • Perluasan batasan komunikasi
  • Pembelajaran individu
  • Keseronokan belajar/motivasi
  • Sumber maklumat
  • Menolong membentuk gambaran yang betul dalam fikiran murid.
  • Menguat dan mengekalkan daya ingatan
  • Menghubungkan yang abstrak kepada konkrit
  • Memberikan gambaran dan peristiwa di luar bilik darjah ke dalam bilik darjah
  • Menjimatkan masa
  • Membantu murid membentuk konsep dengan lebih mudah serta jelas
  • Mempelbagaikan aktiviti pengajaran pembelajaran
Pemilihan Media Pengajaran Seseorang guru harus tahu dan bijak untuk memilih media pengajaran, faktor-faktor berikut perlu diberikan perhatian: 1. Kesesuaian 2. Peringkat penerimaan/kefahaman 3. Pemerolehan 4. Harga 5. Mutu Kesesuaian Sebelum memilih sesuatu media pengajaran, guru perlu menetapkan objektif yang hendak dicapai terlebih dahulu. Contohnya, kalau objektif guru adalah supaya murid mengetahui tentang bunyi sebutan perkataan yang betul di dalam pembelajaran bahasa kedua, dan di samping membetulkan bunyi sebutannya, maka murid perlu mendengarnya sendiri. Oleh itu media yang betul ialah alat perakam audio. Boleh juga alat perakam audio digabungkan dengan carta dan sebagainya jika difikirkan mustahak. Sesuatu media dianggap sesuai jika memenuhi syarat berikut:
  • Memenuhi kehendak isi dan objektif murid
  • Memudahkan kefahaman murid
  • Memerlukan latihan yang minimum untuk menggunakannya
  • Menimbulkan suasana pengajaran pembelajaran yang menyeronokkan
  • Mudah diubahsuai dari segi penggunaan serta juga senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain
  • Selamat digunakan oleh murid

Peringkat penerimaan/kefahaman Mungkin isi kandungan media yang dipilih itu sesuai, tetapi cara penyampaian atau peringkat penerimaan murid adalah tidak setara dengan keupayaan mereka. Dengan lain perkataan media tersebut tidak setanding dengan keupayaan murid untuk menerima dan memahami isi kandungan yang disampaikan oleh media tersebut. Ini berlaku kepada media yang telah siap tersedia oleh pihak-pihak tertentu seperti syarikat pengeluar media tersebut. Untuk mengelakkan perkara ini, media perlulah dihasilkan sendiri oleh guru yang mengajar. Media yang dapat memudahkan pemahaman murid terhadap konsep-konsep yang hendak disampaikan hendaklah dipilih. Harga Sesuatu media yang hendak digunakan hendaklah diperolehi dengan mudah dan harga yang murah. Media elektronik tidak dapat dinafikan mempunyai keupayaan yang lebih baik walaupun harganya mahal. Sekiranya harga tidak menjadi masalah, pilihlah media yang dapat memberikan kesan yang lebih baik. Kos adalah munasabah dan tidak terlalu membebankan. Pemerolehan Seseorang guru yang merancang menggunakan media pengajaran, perlu mengenal pasti pemerolehan sesuatu media itu. Adakah media tersebut ada di pusat sumber atau sekolah masing-masing? Bolehkah media tersebut disediakan dengan mudah? Sekiranya mudah diperolehi, akan mendorongkan seseorang guru menggunakannya dengan lebih kerap. Mutu Sekiranya faktor-faktor di atas sudah dipenuhi, apakah guru akan menolak penggunaan media tersebut kerana mutu yang rendah? Sesuatu objektif pembelajaran tidak akan tercapai sekiranya mutu media yang digunakan itu tidak elok seperti warna, suara dan tulisan yang tidak jelas. Penghasilan Media Kebanyakan media yang ada di pasaran adalah dipasarkan untuk mencari keuntungan tanpa memenuhi kehendak dan keperluan tertentu guru dan murid. Oleh itu untuk menyediakan media yang sesuai, guru perlulah membuat sendiri. Banyak sekali faedah yang diperolehi dari penghasilan media oleh guru seperti berikut:

  • Isi kandungan yang sesuai dengan sukatan sekolah
  • Objektif pengajaran pembelajaran disusun dengan lebih tepat
  • Jika dilibatkan murid dalam penghasilan media, akan dapat mengukuhkan lagi daya ingatan dan meberikan pengalaman yang berguna kepada murid
  • Menambahkan koleksi pusat sumber sekolah di samping menjimatkan kos

Beberapa aspek yang perlu dititik beratkan dalam penghasilan media adalah seperti berikut:
  • Pengetahuan mengenai bahan yang hendak dihasilkan (isi kandungan)
  • Kemahiran untuk penghasilan
  • Mempunyai daya kreatif
  • Tenaga untuk penghasilan
  • Alatan khas yang diperlukan
  • Masa
  • Kos

Dalam perbincangan ini, kita akan membincangkan faedah penghasilan media oleh guru dan oleh murid. Media Yang Dihasilkan Oleh Guru Sebagai seorang guru, kita perlu memikirkan penghasilan media pengajaran dalam dua kategori;

  1. Media pengajaran yang akan digunakan untuk persembahan dalam bilik darjah, perbincangan dengan murid, penilaian atau aktiviti yang diarahkan oleh guru. Contohnya, bahan tayangan yang mudah seperti transparensi, selaid, kaset audio, poster, grafik dan bahan pameran.
  2. Media pengajaran yang digunakan terus oleh murid untuk tujuan pembelajaran. Contohnya, kit pelbagai media yang digunakan untuk pembelajaran individu, bahan 3D dan 'mock-up' yang digunakan oleh murid kejuruteraan

Faedah sampingan yang diperolehi apabila guru menghasilkan media atau mengarahkan murid menghasilkan media adalah guru sendiri akan dapat memahami dan menjelaskan lagi objektif dan idea mengenai bagaimana menyusun program pengajaran pembelajaran dengan lebih baik lagi. Media Yang Dihasilkan Oleh Murid. Murid yang terlibat dalam penghasilan media akan memperolehi faedah daripada pengalaman mereka. Mereka boleh memberikan sumbangan berupa idea yang kreatif untuk sesuatu penghasilan media. Bakat murid dalam penghasilan media seperti bahan pameran, bahan pembelajaran kendiri, transparensi, selaid, bahan 2D, poster dan sebagainya tidak boleh diperkecilkan. Disebalik khidmat penghasilan media, murid juga boleh membantu guru untuk merekabentuk media pengajaran supaya sesuai dan mencapai kehendak dan keperluan bilik darjah. Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya guru ingin murid menghasilkan media:

  • Ingat bahawa penghasilan akhir sesuatu media tidaklah begitu penting berbanding proses dan pengalaman yang digunakan untuk mencapai objektif
  • Apabila murid menghabiskan masa dan tenaga dalam penghasilan media, pastikan mereka memahami apa yang dibuat dan mereka merasakan dihargai. Matlamat guru bukanlah untuk mempergunakan murid atau memaksa mereka berkerja melampaui keupayaan, tetapi memberikan peluang kepada mereka supaya produktif dan seronok melakukan aktiviti penghasilan media
  • Pastikan, sebelum projek dimulakan, murid menghasilkan perancangan di atas kertas. Bantulah mereka belajar bagaimana membuat 'lay-out' projek sebelum kerja sebenar dijalankan, untuk mempastikan dengan jelas setiap langkah yang akan diambil akan mencapai kejayaan
  • Bantu murid menghadapi kekecewaan jika terdapat kesilapan dan mencuba semula. Kesilapan adalah perkara biasa dalam memmuridi sesuatu yang baru

Peringkat Usaha Penghasilan Media a) Penghasilan media secara tiruan Penghasilan media secara tiruan boleh diilustrasikan seperti memotong huruf berdasarkan bentuk, melukiskan peta dan gambar melalui surihan imej tayangan atau menghasilkan terarium atau boneka berdasarkan arahan buku atau gambar. b) Penghasilan media secara pengubahsuaian Pengubahsuaian memerlukan penciptaan dalam bentuk baru atau cara baru dalam penggunaan media sedia ada. Prototaip atau gambar prototaip yang ada adalah sebagai panduan berguna, tetapi hasil akhir kelak akan memerlukan individu terlibat dalam pelbagai masalah. Penghasilan media secara pengubahsuaian memerlukan pertimbangan individu, arah kendiri dan inisiatif. c) Rekaan kreatif Melibatkan keupayaan mentafsir dan menyelesaikan masalah dengan cara yang asli, tanpa bergantung kepada pengalaman atau penulisan. Penghasilan filem slaid bersuara, fotograf, penggambaran video dan sebagainya untuk digunakan dalam pengajaran pembelajaran adalah antara contoh rekaan kreatif. Guru perlu menggalakkan murid membuat rekaan kreatif dan asli. d) Inovasi dari peniruan Meniru secara kreatif mengandungi dua unsur yang seolah-olah bertentangan. Sesuatu yang kreatif tentulah bersifat asli. Sebaliknya sesuatu yang dihasilkan secara meniru tentulah tidak asli, oleh itu tidak kreatif. Walau bagaimana pun peniruan kreatif adalah penghasilan semula apa yang telah dicipta oleh orang lain dalam bentuk yang tersendiri dan mempunyai keunikan tersendiri dari segi fizikal dan fungsinya. Guru dan murid perlulah menggunakan kaedah ini untuk menghasilkan media yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran pembelajaran. Media Kos Murah Definisi media kos murah adalah berdasarkan kepada ciri-ciri berikut:

  • Media yang boleh disediakan oleh guru dan murid sendiri
  • Media yang dibekalkan dan boleh menambahkan keberkesanan pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah tanpa memerlukan kos tambahan
  • Proses yang terlibat dalam penghasilan media tersebut adalah mudah dan murah
  • Penghasilan media tersebut tidak memakan masa yang panjang
  • Bahan mentah yang digunakan adalah percuma dan mudah diperolehi dari persekitaran murid dan guru

Jenis Media Kos Murah

  • Gambar kaku
  • Gambarajah
  • Carta
  • Graf
  • Peta
  • Kartun
  • Poster
  • Carta bersiri
  • Bahan 3D seperti boneka, glob, model, realia, 'mock-up' dan lain-lain.

Prinsip Reka Bentuk Media Kos Murah

  • Jelas. Idea mesti tepat, mudah dan terus terang. Ini mestilah sesuai dengan ukuran, warna, kontras dan reka letak
  • Menarik. Mesej yang hendak disampaikan mestilah dapat menarik perhatian, membolehkan ia mencetuskan reaksi yang cepat dalam kalangan murid
  • Senang digunakan. Termasuk dari segi mudah dibawa, dimanipulasikan dan difahami murid
  • Berkaitan. Bahan yang dihasilkan itu mestilah menggambarkan hubungannya dengan isi kandungan muridan dan matlamat yang hendak dicapai. Ia juga mestilah menggambarkan peringkat umur dan pengalaman murid yang menggunakannya
  • Berpatutan dengan kos. Ia mestilah menunjukkan unsur-unsur penjimatan dari segi masa, tenaga dan kewangan. Perancangan yang teliti dan membiasakan diri dengan berbagai jenis dan tujuan media kos murah akan membantu ke arah penjimatan di dalam pengeluaran.

Saya menyeru kepada semua guru supaya sentiasa menjaga dan meningkatkan nilai profesionalisme perguruan kita supaya sentiasa dipandang tinggi di sisi masyarakat. Dengan mempraktiskan apa yang dibincangkan di atas, sudah pasti kita akan diiktiraf sebagai seorang yang profesional dalam bidang kerjaya kita di mata masyarakat. Anda semua dapat mempelajari bidang Teknologi Pendidikan dengan mengikuti kursus-kursus yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Pusat Kegiatan Guru (PKG), Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui kursus jangka pendek atau kursus jangka panjang yang ditawarkan dari semasa ke semasa. Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai satu bahagian profesional yang menawarkan kursus berkaitan dengan Teknologi Pendidikan atau Teknologi Pengajaran iaitu Pusat Teknologi Pendidikan dan Media (PTPM). Anda juga boleh melanjutkan pelajaran di peringkat master atau Ph.D dalam bidang Teknologi Pendidikan di Universiti Awam Tempatan atau luar negara. Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang menawarkan pelbagai kursus di peringkat master dan Ph.D, dan bidang Teknologi Pendidikan ini tidak terkecuali. Buat masa kini terdapat ramai pelajar daripada kalangan guru yang melanjutakan pelajaran di UPM dalam bidang Teknologi Pendidikan. Terdapat juga pelajar daripada luar negara seperti Iran, Yemen, Indonesia dan beberapa negara lain sedang mengikuti kursus Teknologi Pendidikan dan juga kursus-kursus lain di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Kursus boleh diikuti sama ada sepenuh masa dan separuh masa. Kursus sepenuh masa diikuti oleh majoriti pelajar tajaan Kerajaan Malaysia (Jabatan Perkhid matan Awam (JPA) atau Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)).

Tuesday, October 28, 2008

Penyelidikan : Faedah Kepada Guru Sebagai Penyelidik

Artikel sebelum ini telah membincangkan peranan guru sebagai penyelidik. Saya berpendapat semua guru seharusnya pandai melakukan penyelidikan dan berkongsi pengalaman hasil dapatan penyelidikan dengan rakan-rakan seprofesion lain. Kali ini saya ingin membincangkan mengenai faedah penyelidikan kepada kita sebagai warga guru bagi mempertingkatkan profesion perguruan. Sebarang kerja penyelidikan, sama ada dilakukan secara bersendirian atau pun berkumpulan. Apabila disempurnakan secara sistematik akan membawa para penyelidik itu sendiri ke dalam dua alam yang menguntungkan dan mengasyikkan iaitu;

  • Alam peribadi (the personal self)
  • Alam ilmu (the world of knowledge)

Penyelidikan yang menuntut komitmen, ketelitian, ketekunan, keobjektifan, keterbukaan, ketahanan dan keyakinan diri yang tinggi sudah tentu akan membawa para penyelidik itu dan petugas penyelidikan itu kepada penemuan diri dan peribadi (personal self) yang sekali gus membolehkan mereka menilai kekuatan diri dan tahap profesionaliti masing-masing. Pensyarah, bakal guru dan guru-guru perlu diberikan pendedahan kepada pengendalian penyelidikan. Bengkel dan latihan khas sebagai latihan lanjutan kepada guru perlu diberi untuk meyakinkan dan meningkatkan iltizam terhadap penyelidikan. Harus diwujudkan mod insentif yang menarik dan wacana yang kondusif untuk mereka berkongsi hasil penyelidikan.

Dalam era masa kini masyarakat di sekeliling begitu peka dan sensitif dengan isu pendidikan dan keguruan di Malaysia. Masyarakat mempersoalkan profesionalisme keguruan itu sendiri. Profesionalisme keguruan itu akan dilihat dari dua sudut penting. Pertama, ia akan membincangkan tentang kualiti apa yang guru lakukan, menurut perlakuan dan garis panduan yang mengawal perlakuan tersebut. Kedua, ia akan berkait rapat dengan bagaimana perasaan guru yang dilihat dari kacamata orang lain seperti statusnya, kedudukan dan tahap ganjaran di atas keprofesionalnya itu. Masyarakat akan membuat pemerhatian dan andaian sendiri terhadap profesionalisme keguruan yang selalunya akan mencetuskan kontroversi yang akhirnya terpaksa cuba disanggah oleh kalangan kita yang memikul dan menyandang gelaran seorang guru. Di dalam pembangunan profesionalisme keguruan itu, ia berakar umbi dari tindakan guru mencari jawapan yang sahih dan jitu menerusi kajian tindakan. Tanpa data yang sempurna dan berasaskan kajian yang sistematik akan menyukarkan kita untuk mempertahankan diri. Akibatnya, masyarakat lebih mudah mempercayai apa jua yang disogokkan oleh andaian yang dibuat menerusi pemerhatian sahaja, sesuatu yang kurang tepat untuk menggambarkan sesuatu isu. Akhir-akhir ini pelbagai isu pendidikan disajikan kepada kita melalui media massa. Kita akan dapat mengetahui dan menyelesaikan isu tersebut sekiranya terdapat data yang sistematik dikumpulkan (melalui penyelidikan) dan dengan ini dapat menangkis sebarang prasangka buruk terhadap profesion ini. Sekiranya kita tidak dapat mengemukakan bukti yang empirikal, akhirnya, secara umum profesionalisme keguruan itu sendiri dipandang rendah oleh masyarakat. Dan usaha untuk memartabatkannya akan mengambil masa yang panjang. Hasil dapatan pada hari ini mungkin akan menjadi usang atau tidak releven pada hari esok. Era sekadar membaca dan mengkaji sumber maklumat daripada dapatan orang lain, sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Warga pendidik negara ini harus berani mengkaji dan menyelidik bagi menghasilkan sesuatu dapatan yang baru seterusnya mengorak langkah menyerlahkan profesion perguruan negara. Pelbagai teori pendidikan yang dibekal kepada bakal pendidik semasa latihan di institusi-institusi latihan adalah berperanan untuk membimbing para guru memahami sesuatu situasi dalam proses pendidikan. Ini adalah kerana; “.. a theory was a set of interrelated constructs, definitions and propositions that presents a systematic view of phenomena by specifying relations among variables with the purpose of explaining and predicting phenomena”.

(Kerlinger, 1870) Hakikatnya, seseorang pendidik yang menjadikan penyelidikan sebagai budaya kerjanya merupakan seorang yang kaya dengan pengetahuan dan kemahiran hasil daripada pembacaannya yang meluas dan mendalam. Dengan kata lain, budaya menyelidik dan budaya membaca adalah sinonim, bagaikan aur dengan tebing. Guru yang berciri dan berperibadi ‘penyelidik’ dapat melahirkan warga guru yang yakin dengan tugas dan peranan mereka sebagai pengurus bilik darjah. Mereka juga mampu membuat diagnosis terhadap prestasi pelajar serta membuat penilaian kendiri dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Melalui peranannya sebagai penyelidik dan pengamal yang reflektif, seseorang pendidik berupaya menyelesaikan pelbagai isu yang dapat menyelesaikan masalah di bilik darjah. Bidang-Bidang Dalam Penyelidikan Pendidikan Empat domain asas yang menjadi rujukan kepada penyelidikan pendidikan ialah (Shumway, 1980);

  • Tingkah laku pengajaran
  • Mata pelajaran
  • Tingkah laku pembelajaran
  • Penyusunan aktiviti pengajaran dan pembelajaran

Penyelidikan pendidikan boleh juga diklasifikasikan sebagai suatu proses penyiasatan terhadap fenomena dalam pendidikan (phenomena investigated). Fenomena yang sering menjadi tumpuan penyelidikan pendidikan merangkumi bidang-bidang berikut;

  • Proses pengajaran
  • Proses pembelajaran
  • Aspek kognitif
  • Kaedah pengajaran dalam bilik darjah
  • Sahsiah pelajar
  • Motivasi dalam pendidikan
  • Kepimpinan dalam pendidikan
  • Pengurusan kewangan sekolah
  • Program untuk pelajar khas seperti kurang upaya dan ‘gifted’
  • Perkembangan kurikulum
  • Kokurikulum (sukan dan pasukan berunifom)
  • Bimbingan dan kaunseling
  • Pemulihan
  • Penilaian program
  • Polisi dan dasar pendidikan
  • Pengurusan bilik darjah
  • Penggunaan TMK dalam pendidikan
  • Pengurusan sumber pendidikan
  • Teknologi Pendidikan (bidang yang luas seperti penggunaan dan penghasilan media, reka bentuk pengajaran dan sebagainya)
  • Isu gender dalam pendidikan
  • Pendidikan Jarak Jauh
  • Pendidikan Sepanjang Hayat
  • Dan sebagainya...

Friday, October 24, 2008

Amalan Kecindan (Jenaka) Oleh Guru

Kamus Dewan menterjemahkan kecindan atau ‘sense of humor’ dalam bahasa Inggeris sebagai jenaka, lawak dan kelakar. Kecindan boleh ditakrifkan sebagai kebolehan seseorang manusia, objek, situasi atau perkataan untuk mencetuskan perasaan gembira atau terhibur. Suasana kecindan boleh berlaku apabila kita ketawakan kepada sesuatu situasi seperti kelucuan yang ditunjukkan oleh seseorang. Suasana diwujudkan hasil daripada kecindan dikatakan dapat mengurangkan situasi tegang dengan segera. Plato pernah menulis “We laugh when we see the weakness of another” Salah satu peranan penting seseorang guru adalah membina hubungan baik guru–murid. Hampir setiap hari seorang guru bercakap dan berinteraksi dengan muridnya. Oleh itu bercakap atau berinteraksi adalah sebahagian daripada kerja guru. Bagi mewujudkan hubungan baik antara guru–murid, seharusnya seseorang guru itu berkebolehan melakukan jenaka atau kecindan. Menurut penyelidikan yang dijalankan oleh Barry and King (1990), guru harus menunjukkan sifat baik hati, adil dan ramah mesra kerana murid memerlukan kawan selain seorang guru, terutamanya bagi sesetengah murid yang tidak mempunyai ramai kawan dan terpencil. Dengan cara guru mendekati mereka, menggalakkan mereka bertanya dan berkongsi lawak jenaka membolehkan murid merasai guru sebagai seorang kawan Hubungan baik yang terjalin antara guru–murid akan dapat membantu mengawal masalah disiplin dan salah laku dalam kalangan murid. Mengapa kita sebagai seorang guru perlu mengamalkan kecindan dalam bilik darjah? Sebab hidup tanpa kecindan atau jenaka adalah amat membosankan, manakala dengan melakukan sedikit jenaka atau kecindan akan membantu tugas kita bagi merangsang pembelajaran, membolehkan pengajaran dan pembelajaran mudah diingati. Kajian menunjukkan kecindan dalam bilik darjah membantu interaksi guru-murid berlaku dengan lebih lancar dan menambahkan kuantiti serta kualiti masa bercakap pelajar. Sejak 25 tahun kebelakangan ini sahaja penyelidikan mengenai kecindan dalam pendidikan telah dilakukan. Berdasarkan kepada penemuan penyelidikan pendidikan dalam bidang ini sehingga kini, adalah benar untuk dirumuskan bahawa kecindan boleh:

  • mewujudkan suasana yang membantu pembelajaran
  • meningkatkan perhatian dan keseronokan belajar
  • membantu pembelajaran menahan pelajar untuk terus belajar
  • meningkatkan kemahiran berfikir
  • dinyatakan sebagai ciri guru yang berkesan

Laman web pendidikan (http://712educators.about.com/od/teachingstrategies/tp/sixkeys.htm) meletakkan unsur kecindan sebagai salah satu daripada enam kunci penting untuk menjadi seorang guru yang berjaya. Unsur kecindan boleh membantu seseorang itu menjadi guru yang baik dan berjaya. Unsur jenaka yang disampaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran akan dapat mengurangkan situasi tegang dalam bilik darjah. Amalan kecindan dalam kalangan guru juga akan membolehkan murid merasa lebih seronok (enjoy) dan membantu murid menumpukan perhatian kepada pelajaran. Manakala manfaat dalam kalangan guru pula, mereka akan dapat menikmati situasi kerja dengan lebih seronok dan terhibur apabila melihat reaksi anak didik seronok dan ketawa. Ini menyumbang kepada kehidupan yang lebih gembira dalam menghadapi situasi kerja yang kadang kala menimbulkan ketegangan (stress). Kadang kala guru boleh membuat lawak bodoh semasa mengajar yang mana akan ditertawakan oleh murid, kadang kala kecindan dapat dikongsi bersama murid dan kadang kala pula kecindan yang dihasilkan oleh murid. Ini boleh membuatkan seseorang yang mempunyai sikap positif dan unsur kecindan akan sentiasa gembira sepanjang kariernya sebagai seorang guru. Menurut As Syeikh Abdul Fattah (2001), Rasulullah menggunakan pendekatan seloka dan gurau senda (yang tidak keterlaluan) sebagai satu kaedah pengajaran. Baginda bergurau semasa mengajar para sahabat dan pengikutnya namun perkataan yang keluar daripada mulut baginda hanyalah perkataan yang benar. Menurut kajian yang telah dijalankan, kelas yang tidak ada kecindan dianggap membosankan dan kurang mesra. Kelas yang dipenuhi dengan kecindan yang relevan dianggap menarik oleh murid. Guru yang mengamalkan unsur kecindan yang tinggi dinilai oleh murid sebagai lebih positif dan membantu mereka dalam proses pembelajaran. Unsur kecindan boleh meningkatkan kreativiti dan pembelajaran. Beberapa kajian menunjukkan pelajar yang mendengar rakaman dan menonton filem yang mengandungi unsur kecindan dapat membantu meningkatkan pencapaian dalam skor secara signifikan dalam ujian kreativiti. Banyak manakah unsur kecindan yang harus dimasukkan ke dalam sesi pengajaran? Menurut seorang penyelidik, ‘rule of thumb’ bagi mengamalkan kecindan kepada pelajar antara adalah tiga (3) hingga lima (5) kali bagi setiap 50 minit waktu pengajaran. Beberapa cara guru boleh mengamalkan kecindan dalam bilik darjah adalah seperti berikut:

  • Gunakan kecindan yang relevan dengan isi kandungan pelajaran dalam tugasan bacaan. Cari contoh yang kecindan dalam sejarah, bahasa Inggeris, Sains dan sebagainya.
  • Penulisan tugasan: tugaskan murid mencari sekurang-kurangnya tiga kartun yang berkaitan dengan tajuk atau konsep isi kandungan pelajaran. Minta murid jelaskan setiap kartun tersebut, bagaimana ia berkait dengan isi kandungan pelajaran.
  • Papan Buletin yang berunsur kecindan: wujudkan papan buletin yang mengandungi unsur-unsur kecindan dalam bilik darjah dan papan buletin sekolah. Maklumat dan mesej yang disampaikan melalui papan buletin ini harus dalam bentuk seperti kartun yang berunsur kecindan tetapi berkait dengan tujuan atau isi kandungan pelajaran.
  • Gunakan tiga hingga empat kartun yang berunsurkan kecindan dalam menyampaikan isi kandungan pelajaran berbentuk cerita, contoh dan anekdot dalam setiap 50 minit syarahan.
  • Gunakan pernyataan yang berunsur kecindan apabila menyediakan soalan ujian. Tambahkan soalan yang mengandungi unsur kecindan di akhir peperiksaan sebagai kredit tambahan.
  • Tayangkan video yang berunsur jenaka atau siaran TV dalam kelas. Pastikan ianya mempunyai kaitan dengan isi kandungan pelajaran.
  • Adakan pertandingan melukis kartun.

Kepada guru-guru semua, selamat berjaya melaksanakan tugas mengajar dan seringlah mengamalkan kecindan semasa mengajar dan berinteraksi dengan murid atau sesama rakan setugas.

Thursday, October 23, 2008

Nilai Dan Amalan Profesional Perguruan

Ini adalah satu pandangan umum mengenai status profesionalisme perguruan di Malaysia. Saya ingin mengemukakan pandangan ini kepada pembaca agar dapat kita bincang dan nilai bersama. Kemungkinan idea dan pandangan hasil daripada sumbang saran bersama kelak akan dapat menghasilkan sesuatu buah pemikiran yang lebih kreatif dan rasional untuk dipraktiskan. Saya berpendapat bagi meningkatkan profesionalisme dalam bidang perguruan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melakukan sesuatu anjakan paradigma dalam bidang profesion ini. Guru-guru yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan berkhidmat dengan KPM perlu dianugerahkan Status Kelayakan Guru (SKG). Guru-guru ini harus diikat dengan Kod Etika Perguruan Malaysia yang perlu digubal dan mereka perlu memahami dan mematuhi Kod Etika ini dengan menzahirkan perkara-perkara berikut dalam tugasan harian mereka:

  • Mereka mempunyai jangkaan dan harapan yang tinggi kepada semua pelajar; menghormati sosial, budaya, bahasa, agama, latar belakang etnik, dan komited terhadap usaha meninggikan pencapaian pendidikan mereka.
  • Mereka melayan semua pelajar dengan adil dan saksama secara berterusan, dengan menghormati dan memahami perkembangan pembelajaran yang pelbagai dalam diri seseorang pelajar.
  • Mereka menunjukkan sikap, nilai dan tingkah laku yang positif yang mereka harapkan dari pelajar mereka.
  • Mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan ibu bapa dan penjaga, menghormati peranan, tanggung jawab dan minat mereka dalam pembelajaran pelajar.
  • Mereka dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertanggung jawab dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Mereka sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan cara menilai semula amalan pengajaran masing-masing, mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan berkongsi pengalaman dengan rakan setugas yang lain.
  • Mereka sentiasa bermotivasi dan boleh menjalankan tugas tambahan untuk perkembangan profesionalisme masing-masing.
  • Mereka sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggung jawab berkaitan tugas harian yang berhubung dengan profesionalisme perguruan.

Kualiti Guru Yang Diperlukan

Menurut Grimlett dan MacKinnon (1992), penguasaan aspek-aspek yang telah dibincangkan di atas akan dapat membentuk satu asas pengetahuan pedagogi pelajar. Pemahaman tentang apa yang pelajar percaya, apa yang mereka perlu ambil berat dan apa tugas yang mereka inginkan adalah perlu untuk memotivasikan pelajar supaya mereka berkerja kuat dan memperolehi kejayaan. Berikut adalah apa yang perlu difahami oleh seseorang guru yang mempunyai Status Kelayakan Guru (SKG).

  • Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja.
  • Menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu pengetahuan ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif. - Guru perlu memahami perbezaan yang wujud dalam budaya, pengalaman keluarga, perkembangan mental dan pendekatan pembelajaran. - Guru perlu peka, mendengar dengan baik dan mengambil berat terhadap pelajar semasa melaksanakan tugas-tugas pembelajaran. - Guru perlu berfikir apakah maknanya untuk mempelajari pelbagai perkara untuk tujuan yang berbeza dan bagaimana membuat keputusan yang mana perlu dipelajari dalam pelbagai konteks. - Guru perlu menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk memenuhi pelbagai matlamat dan pelbagai kaedah untuk menilai pengetahuan dan pendekatan pembelajaran pelajar masing-masing. - Guru perlu dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar. - Guru perlukan kemahiran untuk menghadapi pelajar yang mempunyai keperluan khusus atau kecacatan pembelajaran. - Oleh kerana bahasa adalah merupakan pengantara kepada proses pengajaran, guru perlu memahami bagaimana pelajar ‘acquire’ bahasa, dengan itu mereka akan dapat membentuk kemahiran bahasa dan mencipta pengalaman belajar yang bermakna. - Guru perlu mengetahui kurikulum dan teknologi untuk menghubungkan pelajar mereka dengan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka meneroka idea, mendapat dan mensintesis maklumat, merangka dan menyelesaikan masalah. - Guru perlu mengetahui tentang kolaborasi – bagaimana menstrukturkan interaksi di kalangan pelajar supaya pelajar dapat membentuk perkongsian pembelajaran yang kuat, bagaimana berkolaborasi dengan guru-guru lain dan bagaimana berkerjasama dengan ibubapa untk membantu mereka mempelajari lebih lanjut berkaitan anak-anak mereka dan membentuk pengalaman yang dapat membantu di sekolah dan rumah. - Guru perlu boleh menganalisis dan membuat refleksi keatas amalan mereka, menilai keberkesanan pengajaran mereka dan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran.
  • Mereka perlu membuat penilaian berterusan terhadap apa yang pelajar fikir dan faham dan membentuk semula perancangan untuk mengatasi apa yang mereka terokai.
  • Guru dapat memberi; - Pengalaman - memberikan tugasan pembelajaran yang konkrit, menilai, memerhati proses dan perkembangan pembelajaran. - Menggalakkan guru bertanya, meneroka dan melakukan ujikaji di samping penyelidikan. - Kolaboratif, melibatkan perkongsian maklumat di kalangan pendidik. - Menghubungkan guru dengan pelajar di samping meneliti isi kandungan dan kaedah mengajar. - Mengekal dan intensif – disokong oleh model, latihan dan penyelesaian masalah yang berkisar pada masalah amalan yang khusus - Menghubungkan dengan aspek-aspek perubahan sekolah.

Pengetahuan dan Pemahaman Guru-guru yang dianugerahkan Status Kelayakan Guru (SKG) mesti mengamalkan perkara berikut:

  • Mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam mata pelajaran yang dilatih untuk diajar di sekolah. Ilmu pengetahuan yang ada perlulah menyamai kelayakan yang telah ditetapkan iaitu ijazah pertama atau sehingga ke ijazah lanjutan (master atau Ph.D).
  • Mereka mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh kurikulum kebangsaan.
  • Mereka memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing atau apa yang disebut dalam teori pelbagai kecerdasan (Multiple Intelligence).
  • Mereka tahu menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.
  • Mereka memahami tanggung jawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat dari pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu.
  • Mereka mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna.
  • Mereka perlu lulus ujian untuk diiktiraf dan dianugerahkan Sijil Status Kelayakan Guru (SKG) dan bidang kemahiran yang perlu dinilai adalah dalam bidang kemahiran generik, numerasi, literasi ICT (atau Teknologi Maklumat dan Komunikasi – TMK).

Tugas Mengajar Perancangan, jangkaan dan sasaran. Guru-guru yang dianugerahkan SKG mesti menunjukkan:

  • Mereka menyediakan objektif pembelajaran yang berkaitan dengan semua pelajar dalam kelas berdasarkan pengetahuan; o Pelajar o Pengalaman lalu dan sedia ada o Tahap umur o Pengetahuan yang bersesuaian dengan tahap umur
  • Mereka menggunakan objektif pengajaran dan pembelajaran untuk merancang dan merekabentuk persediaan pengajaran dengan mengambil kira pelajar pelbagai pencapaian, lelaki, perempuan dan bangsa.
  • Mereka memilih dan menyediakan sumber (alat/bahan bantu mengajar) dan merancang utnuk menggunakankannya dengan berkesan denga mengambil kira minat, penguasaan bahasa dan latar belakang budaya dengan bantuan dari pelbagai pihak lain mana yang sesuai. Dengan lain perkataan, mereka harus menguasai ilmu Teknologi Pendidikan atau Teknologi Pengajaran secara khususnya. Mereka harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Rekabentuk Pengajaran (Instructional Design) dan Rekabentuk Mesej Pengajaran (Instructional Message Design).
  • Mereka mengambil bahagian dan memberikan sumbangan kepada pasukan pengajar, mana yang sesuai kepada sekolah.
  • Mereka merancang peluang-peluang untuk pelajar mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah seperti merancang lawatan ke muzium, zoo, kerja lapangan dan sebagainya, dengan bantuan staf lain sekira perlu. Mereka perlu menguasai ilmu pedagogi dan teori-teori pembelajaran serta pengkaedahan pengajaran dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing.

Saya berpendapat sekiranya kita ingin meningkatkan taraf profesionalisme perguruan di negara ini, seharusnya langkah yang dicadangkan ini atau serupa dengannya harus diambil oleh pihak tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia. Dengan ini negera kita akan mempunyai guru-guru yang berkualiti dan akan diiktiraf di seluruh dunia.

Wednesday, October 22, 2008

Guru Perlu Menyelidik - Teacher is Researcher

Kepentingan Penyelidikan Kepada Guru
Saya katakan semua guru adalah penyelidik. saya katakan semua guru perlu menyelidik...
Rasional membuat penyelidikan adalah berasaskan sebab-sebab berikut; Membuat jangkaan terhadap sesuatu fenomena yang bakal berlaku (prediction) penyelidikan dapat menyediakan maklumat yang penting berkaitan dengan fenomena yang dijangkakan, contohnya, jangkaan terhadap pencapaian pelajar dalam sesuatu peperiksaan. Membuat penambahbaikan terhadap sesuatu keadaan atau program (improvement). Dapatan kajian dapat membantu individu, kumpulan atau organisasi untuk memperbaiki program yang sedia ada dan juga sebagai asas untik memperbaiki kelemahan yang ada. Dalam hal ini, penyelidikan penilaian (evaluation research) memainkan peranan yang penting. Dalam konteks bilik darjah, guru-guru perlu membuat penilaian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) masing-masing dari semasa ke semasa. Dengan ini, kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki dan penambahbaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa terhadap amalan kita. Jenis kajian yang sesuai dijalankan selain dari penilaian adalah kajian tindakan (action research).
Guru-guru di seluruh negara telah didedahkan kepada kepada konsep penyelidikan tindakan (Action Research). Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan siri pendedahan melalui kursus jangka pendek yang dikendalikan oleh Jabatan Pelajaran Negeri dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Sesetengah IPG begitu aktif menjalankan kursus penyelidikan tindakan disamping pensyarahnya melakukan penyelidikan tindakan samada bersendirian, bersama rakan setugas lain atau bersama guru-guru sekolah. Terdapat IPG yang sangat aktif dalam penyelidikan tindakan dan mengadakan seminar penyelidikan tindakan peringkat kebangsaan seperti IPG Perlis, IPG Kinta, Ipoh dan IPG Keningau, Sabah. Beberapa buah IPG lagi yang tidak disebutkan di sini juga aktif dalam penyelidikan tindakan.
Penyelidikan dapat membantu guru-guru memberi penjelasan (explanation) terhadap sesuatu fenomena yang berlaku dalam amalan P&P, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan. Guru sebagai pengurus pembelajaran dan pengurus pentadbiran sekolah sentiasa mengalami fenomena tertentu sepanjang menjalankan tugas. Ada fenomena yang memberi impak positif dan sebaliknya. Malahan sering berlaku kita sendiri tidak dapat memahami kenapa keadaan ini berlaku. Penyelidikan dapat membantu memberikan kita penjelasan sekiranya fenomena ini perlu ditangani dengan cara yang betul. Melalui penyelidikan, deskripsi sesuatu fenomena (description) dapat disediakan berkaitan dengan bidang yang dikaji dalam membantu untuk memahami fenomena tersebut. Maklumat statistik melalui penyelidikan dapat disediakan sekiranya diperlukan oleh pihak pembuat dasar (Policy Makers). Penyelidikan juga akan dapat membantu guru menyelesaikan masalah yang timbul semasa melaksanakan tugas harian. Sekiranya kita menyelesaikan masalah tanpa mencari punca masalah sebenarnya, kemungkinan masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dengan baik, malahan masalah lain yang lebih rumit akan menyusul. ‘Teacher is a researcher’ adalah satu ungkapan yang sering dilaungkan oleh para pakar pendidikan dalam mana-mana seminar, khususnya seminar penyelidikan pendidikan. Selain itu ungkapan lain yang sering dilaungkan adalah ‘guru sebagai pengamal reflektif’. Dalam era kualiti diukur dan akauntabiliti ditekan ini, pemastian kualiti pendidikan adalah amat penting. Oleh itu penyelidikan adalah salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru agar pemastian kualiti pendidikan dapat dicapai bagi memenuhi hasrat negara dan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Negara perlu menghasilkan guru-guru yang dapat mengendalikan penyelidikan berasaskan bilik darjah dan dapat menilai aspek-aspek dalam pengajaran dan pembelajaran. Penyelidikan tindakan, amalan reflektif dan penulisan potfolio dan kes digalakkan di kalangan guru-guru. ‘Reflection is the essential tool for developing the professional knowledge base of the teacher’. Guru perlu disediakan sebagai seorang pengamal (practitioner) seperti profesion lain iaitu doktor dan jururawat dan dapat mengamalkan konstruktivisme, i.e. mampu membina ilmu baru berasaskan ilmu sedia ada, bukan seperti seorang ahli falsafah atau ahli sejarah. Budaya keintelektualan @ budaya akademia perlu disemai dalam kalangan guru. Suasana budaya bagi sesebuah institusi pendidikan adalah menggalakkan pencarian ilmu, pembelajaran tanpa jemu dan secara berterusan, membolehkan pelajar menerokai idea-idea baru yang boleh meningkatkan perkembangan ilmu. membuka ruang minda pelajar untuk berfikir dengan terbuka, kritikal dan analitikal dan melambangkan kecendekiawanan para ilmuan (guru-guru) dalam institusi tersebut.

Tuesday, October 14, 2008

Refleksi 12 – PPSMI

Pencerapan dilakukan ke atas seorang guru wanita yang mengajar mata pelajaran Sains Tingkatan Empat. Tajuk pelajaran hari ini ialah ’Acids and Bases’ Seperti biasa saya memperingatkan kepada guru supaya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran seperti biasa dilakukan tanpa pencerapan oleh sesiapa. Beliau menyatakan bahawa beliau memang sentiasa menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya semasa mengajar walaupun tanpa ada sesiapa yang melihat beliau mengajar. Guru menggunakan bahasa Inggeris semasa memperkenalkan tajuk mata pelajaran dan objektif pembelajaran. Set induksi yang dilakukan adalah begitu sempurna dan menarik sekali. Bahasa Inggeris yang digunakan adalah begitu ringkas dan mudah difahami oleh semua murid. Guru menggunakan alat bantu mengajar iaitu slaid persembahan ’powerpoint’ yang disediakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Penyediaan slaid begitu terancang dan menyeluruh kepada isi kandungan tajuk yang disampaikan. Sesekali guru menggunakan bahasa Melayu apabila menyedari terdapat murid-muridnya sukar memahami penjelasan yang diberikan. Guru ini memang berkemampuan melaksanakan PPSMI sepenuhnya kerana beliau begitu yakin dan berkemampuan menyampaikan isi kandungan pelajaran melalui medium ini dengan lancar. Penggunaan bahasa Melayu adalah ditahap yang minimum. Daripada segi penyebutan bahasa Inggeris, guru ini menunjukkan kebolehan yang begitu tinggi (excellence) Namun begitu, keseluruhan sesi pengajaran dan pembelajaran hari ini adalah lebih berbentuk ’teacher-centered’. Aktiviti murid berlaku dengan minimum. Guru lebih memberikan maklumat dan penerangan secara sehala sahaja. Guru ini juga mengawal kelas dengan begitu baik dan melaksanakan aktiviti secara sehala tanpa memberi peluang kepada murid membuat penerokaan atau penyelidikan. Semua jawapan terhadap aktiviti amali yang dilakukan oleh murid ditentukan oleh guru. Keseluruhannya, guru ini adalah satu-satunya guru yang saya cerap sepanjang penyelidikan ini dan menunjukkan kebolehan beliau melaksanakan PPSMI dengan baik dan penuh yakin. Hampir 95% bahasa Inggeris digunakan sepanjang pengajaran beliau. Sekiranya terdapat ramai guru begini, saya pasti pelaksanaan PPSMI dapat dijalankan dengan rintangan yang minima daripada segi kebolehan dan kompetensi guru. Ini adalah catatan refleksi saya yang terakhir dalam siri lawatan pengumpulan data penyelidikan berkaitan dengan pelaksanaan PPSMI di negeri Terengganu. Semoga catatan refleksi ini dapat dimanfaatkan oleh semua guru yang singgah di laman blog saya. Terima kasih.

Friday, October 10, 2008

Refleksi 11 - PPSMI

Pencerapan seterusnya adalah dilakukan terhadap seorang guru wanita yang mengajar Sains Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah berhampiran Kuala Terengganu.
Menurut guru ini kehadiran murid dalam kelas ini agak merosot disebabkan bulan Ramadhan. Kebiasaannya kehadiran murid semasa bulan Ramadhan agak merosot sedikit berbanding bulan biasa. Guru memulakan pengajaran dalam bahasa Inggeris diselang-seli dengan bahasa Melayu. Kaedah yang digunakan ialah dengan menerangkan dalam bahasa Inggeris dan diikuti menterjemahkannya dalam bahasa Melayu bagi setiap arahan yang diberikan.
Contohnya: What is aloy? (Apakah aloi?) (Tajuk pelajaran hari ini ialah logam campuran iaitu ALOI) Penyebutan (pronuntiation) guru agak lemah bagi sesetengah perkataan. Contohnya, guru menyebut aloi brass sebagai ‘bres’. Saya agak terkejut kerana sebutan beliau agak boleh memalukan seorang wanita. Yang saya pelik ialah seorang murid telah menyebut pancalogam brass dengan betul iaitu 'bras' namun guru masih juga menyebut 'bres'. Guru terpaksa menerangkan dan menterjemah setiap ayat dan perkataan bahasa Inggeris yang beliau gunakan kepada bahasa Melayu. Ini seolah-olah guru ini mengajar bahasa Inggeris pulak. Fungsi guru menjadi dua, iaitu mengajar sains dan sebagai penterjemah. Guru ada menggunakan mnemonic bagi memudahkan murid mengingati aloi dan komponennya seperti GANGKUTI (Gangsa adalah daripada campuran Kuprum dengan Timah) tetapi ini adalah dalam bahasa Melayu sedangkan guru dan murid melaksanakan PPSMI. Bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru adalah transparensi yang bertulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Guru menterjemahkan setiap maksud perkataan yang tertulis di atas transparensi kepada bahasa Melayu. Rumusan: Guru berkemampuan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris walau pun sesetengah sebutan perkataan tidak begitu tepat, tetapi murid tidak dapat mengikutinya, maka guru terpaksalah menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Murid juga berinteraksi sesama sendiri semasa menjalankan aktiviti sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Guru juga tidak menggunakan contoh sebenar aloi untuk memaparkan ciri-ciri logam tersebut. Ini menyebabkan murid tidak dapat melihat sifat-sifat aloi yang sebenarnya.