Tuesday, May 3, 2011

Kemerosotan mutu bola sepak negara

Salam, Ini hanya satu pandangan hasil daripada pengalaman dan pemerhatian.

 Bola sepak negara kini ketandusan pemain yang berkaliber dan sukar mencari pemain yang berkualiti. Antara sebab-sebab yang boleh mempengaruhi keadaan ini ialah:
Pemain bola sepak di peringkat sekolah rendah dan menengah agak terlalu sukar untuk dicari sebab ramai murid sekolah tidak berminat untuk bermain bola sepak. Antara faktor yang menjadi penyumbang adalah kekurangan guru lelaki di sekolah. Berapa ramai guru wanita yang berminat dengan bola sepak? kalau ada pun terlalu sedikit dan mereka tak bermain bola sepak. Sesetengah sekolah saya dapati keadaan padang bola sepak sangat menyedihkan. Masa saya bersekolah dahulu, kami dikehendaki mencabut pokok duri semalu dengan menggunakan playar di padang sekolah. 
Tambahan pula guru besar atau pengetua sekolah adalah wanita, maka padang sekolah pun tidak terjaga. Kalau begitu keadaannya, bagaimanakah sukan bola sepak boleh dipopularkan di sekolah bagi mencungkil bakat-bakat baru yang mahir dan berkemahiran tinggi. 
Masih ingat lagi masa sekolah dulu, kami juga menolong guru membuat garisan di padang bola sepak.

Wednesday, February 16, 2011

Refleksi Kerjaya Guru

Perkara yang  paling menyentuh hati saya ialah kesanggupan guru untuk berjauhan dengan keluarga, terpisah dari kemudahan yang ada semata-mata untuk mendidik anak murid yang dahagakan ilmu pengetahuan. Saya pernah bertanya kepada diri saya "Sanggupkah aku berhijrah ke kawasan pedalaman untuk mengajar anak murid di sana seperti yang telah dilakukan oleh guru yang sedabng mengajar di kawasan itu?" mungkin jawapannya adalah agak berat untuk berbuat demikian, tetapi guru yang telah sedia berkhidmat sanggup meninggalkan kesenangan dan kemudahan yang ada semata-mata ingin berbakti. Jasa mereka ini sangat besar kepada negara sehingga tidak dapat dibalas dengan wang ringgit semata-mata.

Tersentuh hati saya apabila melihat pengorbanan yang telah dilakuan oleh guru-guru di pedalaman. Namun sumbangan dan pengorbanan merekalah yang akan dapat membantu murid-murid di pedalaman belajar dan membawa perubahan kepada masyarakat mereka di sana. Ketabahan guru-guru inilah yang pastinya membantu merubah nasib anak bangsa di kawasan yang berjauhan daripada arus pemodenan dan kemajuan teknologi. Guru-guru ini menganggap tugas meraka adalah sebagai satu cabaran yang perlu diharungi dan semua guru di seluruh negara perlu mencontohi seangat dan ketabahan mereka. Guru-guru yang bertugas di kawasan bandar khususnya haruslah merasa bersyukur dengan semua kemudahan yang diperoleh dalam melaksanakan tugas mengajar di bilik darjah. Tidak perlulah mereka merungut dengan masalah-masalah kecil yang dihadapi. Seseorang guru itu perlulah mendidik muridnya dengan sehabis baik supaya mereka menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Kesusahan murid yang belajar di kawasan pedalaman membuatkan saya berfikir sejenak betapa untungnya  saya dilahirkan dan dapat bersekolah dengan baik dengan kemudahan yang mencukupi. Kanak-kanak di pedalaman belajar dengan kemudahan yang minimum dan prasarana yang asas sahaja. Namun mereka begitu bersemangat untuk belajar, sedangkan sesetengah murid di kawasan bandar malas untuk belajar dan sering ponteng sekolah.

Nukilan:  Herny Yusnita binti Marwan
               DPLI (SP) 2010
               Disember 2010

Monday, January 24, 2011

Refleksi terhadap Guru Pedalaman

Guru, bukan mudah untuk menjadi guru yang bergelas pendidik yang mampu menjalankan amanah yang diberi tanpa mengharapkan balasan. Hanya guru yang ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya yang layak digelar pendidik... yang memberi tanpa mengharapkan balasan dan penghormatan. Demi amanah yang ditanggung mereka sanggup mengharungi suka duka, mendaki gunung-ganang, menyusuri lautan samudera dengan nita yang satu iaitu memberi ilmu kepada anak bangsa untuk menjadikan mereka seorang manusia yang berilmu.
Tahniah kepada guru-guru yang sudi untuk mengajar di kawasan pedalaman. tahniah juga kepada guru-guru yang terlibat dalam Pendidikan Khas. Tidak semua guru yang mampu untuk menjadi seperti kalian.
Pengorbanan guru-guru pedalaman dan Pendidikan Khas amat besar dan berharga kepada negara. Guru adalah pembina tamaddun manusia, tanpa mereka hancrulah tamaddun kita.

Oleh: Nur Hayati Hussain. DPLI Sains Pertanian, UPM. 2011
.................................................................................................................................................

Setelah melihat semua klip video tersebut, saya dapati setiap guru mempunyai pengalaman dan cabaran yang berbeza selain daripada mengajar sahaja. Guru perlu mengajar dan mendidik anak murid menjadi insan yang cemerlang dari segi akademik dan juga sahsiah diri. Guru perlu mempunyai tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam membentuk anak murid kerana guru ibarat "Lilin yang membakar diri demi untuk memberi cahaya kepada orang lain". Oleh itu, segala cabaran dan dugaan yang datang, guru perlu melaluinya dengan sabar dan lebih berusaha untuk menjadikan murid-murid berjaya dari segala segi, bukan hanya dari segi akademik sahaja.
Saya amat terharu dengan pengorbanan yang para guru buat demi anak bangsa. Segala penat lelah tidak dihiraukan asalkan matlamat yang satu iaitu murid-mutrid cemerlang dari segala segi tercapai. Pengorbanan guru amat besar bagi anak bangsa jkerana jika tiada insan yang bergelar guru, anak bangsa tidak akan berjaya kerana guru adalah perintis kepada segalanya.

Oleh: Nor Marshaliza Shaidan. DPLI (SP) UPM. 2011

Thursday, January 6, 2011

Refleksi 3 dan 4

Refleksi oleh: Norfadilah Syaffa bt Ismail (DPLI Sains Pertanian, 2010/2011)
Guru-guru di pedalaman mempunyai semangat yang kental dan cekal. Setiap sekolah di pedalaman mempunyai kesukaran yangterendiri yang perlu ditempuh oleh guru berkenaan.  Kesukaran tersebut tidak akan dirasai oleh guru yang mengajar di bandar. Jerit perih mereka seharusnya perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Antara cadangannya adalah kerajaan perlu memberi kemudahan yang lebih kepada sekolah pedalaman dengan memberi peruntukan yang lebih.
Jika guru terasa perih jerih untuk mengajar, apakah pula dirasai oleh murid? Bagaimanakah pembelajaran mereka? Adakah semakin terciri jauh? Sedangkan murid di bandar lebih jauh kehadapan. Bagaimanakah perancangan PIPP yang diperkenalkan oleh kerajaan? Dimana kononnya ingin merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar? Dengan kemudahan pembelajaran yang terhad, bagaimanakah murid  ini boleh mendapat PnP yang berkesan?
Seharusnya terdapat pengkaji yang melakukan penyelidikan untuk memperbaiki sistem pendidikan luar bandar agar murid luar bandar tidak terus tercicir. Kerajaan juga perlu memberi perhatian yang lebih kepada mereka.

Refleksi Oleh: Nur Izyan bt Alias (DPLI Sains Pertanian, 2010/2011)
Karier seorang guru menuntut kesabaran, semangat, tekad dan keazaman yang tinggi dalam menjalankan tanggung jawab dalam mendidik anak bangsa.
Bagi saya, minat adalah perkara kedua dalam menjalankan amanah sebagai seorang pendidik. Faktor paling utama ialah semangat ingin mencuba dan terus berusaha. Minat akan datang dengan sendirinya setelah kita mengenali dunia perguruan dan pendidikan ini.
Seorang guru yang berjaya adalah guru yang amanah dalam mendidik anak bangsa. Amanah disini membawa maksud menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Seorang guru yang amanah dan ikhlas berbakti kerana Allah dan demi anak bangsa akan menghasilkan pelajar yang cemerlang dari segi moral dan rohani.
Dugaan dan pengalaman baharu yang dihadapi oleh seseorang guru akan menjadikan mereka lebih kuat dan berpengalaman. Dalam menghadapi dugaan dan cabaran ini, seseorang guru harus percaya kepada ketentuan Allah dan menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan walau pun cabaran yang dihadapi amat hebat, namun akhirnya seorang guru itu akan mendapat pengalaman yang amat mahal harganya. Kerana Allah takkan menguji hambaNya diluar kemampuan mereka. Mungkin cabaran yang dihadapi dan berjaya diselesaikan oleh seseorang guru itu akan membawa guru itu ke dunia baharu yang lebih baik.
Guru yang cemerlang akan memikul tanggung jawab dengan penuh amanah dan sentiasa memperbaiki diri untuk menyelesaikan masalah pelajar alam pembelajaran mereka. Seseorang guru hendaklah bertanggung jawab dalam setiap apa yang dilakukan untuk kebaikan muridnya. Mungkin bagi orang lain tindakan itu nampak tidak relevan, tetapi jika kita percaya apa yang kita lakukan itu memberi kebaikan kepada murid, maka teruskan sahaja.
Selain itu seseorang guru harus bersedia berkorban masa, kesenangan, keselesaan, masa rehat dan kewangan demi kesejahteraan murid. Mungkin adakalanya kita akan rasa apa yang kita lakukan tak berbaloi dengan gaji yang kita terima, tetapi mungkin Allah akan membalasnya dengan cara lain seperti menganugerahkan murid yang mengingati kita seumur hidup dan lain-lain lagi.
Seseorang guru juga hendaklah kreatif dalam P&P untuk menyesuaikan dengan pelbagai situasi yang tidak terjangka di sekolah kelak. Contohnya guru di sekolah pedalaman yang tidak mempunyai ABM yang lengkap untuk mengajar dan keadaan murid yang tidak tahu tentang teknologi semasa. Guru perlu kreatif supaya setiap objektif pengajaran tercapai.
Guru bukan sahaja bertanggung jawab mendidik murid dari segi akademik, tetapi juga dari segi jasmani, emosi dan rohani untuk memastikan pengemudi negara di suatu masa kelak adalah insan yang terbilang dan seimbang dan juga berjaya di dunia dan akhirat.

Thursday, December 30, 2010

Refleksi 2 dan 3

Refleksi 2

Pengalaman yang dialami oleh guru-guru yang bertugas di kawasan masing-masing menunjukkan mereka terpaksa mengharungi suka duka bagi menyalurkan ilmu pengetahuan kepada murid-murid yang menjadi harapan bangsan dan negara. Tugas yang mencabar ini seharusnya dipikul oleh setiap guru dengan penuh rasa tanggung jawab dan ikhlas.
Berdasarkan tayangan video, pengalaman yang dialami oleh guru-guru wajar dijadikan pedoman kepada  bakal-bakal guru yang akan mengajar murid-murid yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh Malaysia. Mereka seharusnya mempersiapkan diri  masing-masing dengan ilmu pengetahuan, ketahanan mental, emosi dan fizikal sekiranya diminta bertugas di kawasan tersebut.
Dapat diperhatikan guru-guru tersebut menunjukkan kesngguhan yang tinggi bagi menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dimana bertujuan untuk mengembangkan potensi murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tugas yang dipikul memerlukan  tumpuan yang maksima di kalangan guru tersebut disamping kebertanggung jawaban yang tinggi bagi mendidik anak bangsa yang tercinta.

Suhaimi Ramly (DPLI SP, Disember 2010)

Refleksi 3

Kesungguhan dan ketekunan guru yang bersemangat kental dalam memikul tanggung jawab, lebih-lebih lagi sebagai seorang guru yang bertugas di kawasan pedalaman. Bukan semua guru yang mampu berkorban apa saja demi membantu anak bangsa. Kebanyakan guru mempunyai tanggung jawab sendiri, tetapi ini tidak sama sekali mematahkan semangat  seorang guru di pedalaman.
Guru ini ibarat satu dalam sejuta di mana tidak ramai yang ingin menawarkan diri untuk mengajar di kawasan pedalaman. Saya merasa bangga dan teruja apabila melihat kesungguhan guru-guru di pedalaman mengajar walaupun terdapat banyak kekurangan  dari segi kemudahan dan sebagainya.
Ada sebahagian sekolah di pedalaman tersebut perlu melalui sungai untuk sampai ke sekolah, guru dan murid perlu menaiki sampan atau rakit. bukan itu saja, jika sungai itu airnya cetek mereka terpaksa turun dan menolak sampan tersebut ke tempat air yang dalam supaya dapat bergerak. Begtu payahnya untuk datang ke sekolah untuk mendidik anak bangsa yang berada di kawasan pedalaman itu. guru-guru yang berada di pedalaman mempunyai  kecekalan hati yang tinggi dan kesabaran yang kuat dalam mengharungi liku-liku kehidupan ketika berada di pedalaman.
Kebanyakan guru-guru yang berada di pedalaman ini adalah terdiri daripada guru-guru lelaki. tetapi ada juga guru perempuan yang sanggup untuk berada bersama-sama untuk membantu dalam mengajar anak-anak di pedalaman.
Selain itu, guru-guru yang mengajar pendidikan khas juga menunjukkan kesungguhan, dimana pelajar ini perlu  fiberi perhatian yang lebih untuk mengajar mereka. Ketekalan dan kesabaran perlu ada pada seseorang guru yang mengajar pendidikan khas. Saya sedikit  sebanyak dapat menjadikan guru-guru di pedalaman sebagai penyuntik semangat untuk bersama-sama dalam membantu dalam mengajar murid di pedalaman.

Mohd Khairun bin Baharuddin (DPLI SP, Disember 2010)

Wednesday, December 29, 2010

Refleksi 1

Saya menayangkan video klip mengenai tugas guru pedalaman kepada pelajar Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (DPLI) (Sains Pertanian) semasa sesi amali sebagai sesi renungan terhadap tugas sebagai seorang pendidik. terdapat juga video klip yang memaparkan tugas guru pendidikan khas. Video ini dikeluarkan oleh bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2008. Pelajar-pelajar ini adalah terdiri daripada graduan dalam bidang berkaitan Sains Pertanian, mereka mengikuti DPLI sebagai syarat untuk menjadi seorang guru terlatih. Saya meminta mereka membuat refleksi terhadap tayangan klip video tersebut dan berikut adalah antara refleksi yang telah dihasilkan oleh mereka. Saya akan menulis semula semua refleksi setiap kesempatan yang ada dalam blog ini sebagai satu pengisian.

Refleksi 1:

Menjadi seorang guru yang berjaya adalah memerlukan persediaan dan sanggup berkorbab apa sahaja seperti masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya dalam mendidik anak bangsa. dengan pengorbanan ini ia menunjukkan kesungguhan kita sebagai seorang pendidik dan seorang guru tidak seharusnya mementingkan diri sendiri sahaja.
Tayangan video tersebut menyedarkan saya tentang jasa dan pengorbanan seorang guru kepada masyarakat dan negara. Jasa guru amat besar dalam melahirkan generasi baharu yang akan menjadi nadi kepada pembangunan negara. Tayangan video klip ini memberi semangat kepada saya sebagai seorang bakal guru untuk berjuang bersama-sama guru sehior bagi mendidik anak bangsa supaya mereka berjaya dalam hidup dan dapat memberi sumbangan kepada pembangunan negara bangsa.
Sifat kesabaran dan tanggung jawab seorang guru akan dapat membuahkan hasil yang baik. Ini dapat dibuktikan melalui pengorbanan guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman, dimana mereka semua sabar dan tabah untuk mendidik anak-anak di pedalaman supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan seperti anak-anak lain di kawasan bandar. Kesanggupan guru-guru ini ke kawasan pedalaman membuktikan guru-guru sanggup melakukan apa sahaja demi negara.
Video guru pendidikan khas, menyedarkan saya bahawa sesetengah guru mempunyai kelebihan dan kebolehan dalam mendidik tidak mengira kebolehan atau kelemahan yang ada pada murid-murid pendidikan khas. Kelebihan ini digunakan oleh mereka untuk membantu murid-murid ini menghadapi masa hadapan.

(Mohd Isnan Amin bin Yusoff, DPLI (SP), UPM  - Disember 2010)

Dalam ruangan seterusnya saya akan memaparkan lagi refleksi yang dibuat oleh pelajar-pelajar ini. Harap pembaca dapat memberi komen dan ulasan.

Thursday, August 19, 2010

Mengajar Kemahiran Berfikir

Bagaimana mahu mengajar murid supaya dapat membuat refleksi dan berfikir dengan kreatif untuk menyelesaikan sesuatu masalah?

Masalah 1:
Secawan gula dimasuki semut.
Bagaimanakah cara mahu mengasingkannya? Minta murid berbincang dalam kumpulan kecil untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mungkin terdapat beberapa cara penyelesaian. Minta setiap kumpulan membentangkan kaedah penyelsaian masing-masing.

Masalah 2:
Secawan gula dimasuki semua dan pasir.
Bagaimanakah cara mengasingkan gula daripada semua dan pasir tersebut? Minta murid berbincang dalam kumpulan kecil untuk menyelesaikan masalah tersebut. Mungkin terdapat beberapa cara penyelesaian. Minta setiap kumpulan membentangkan kaedah penyelesaian masing-masing.

Masalah 3:
Secawan gula telah dicampurkan dengan secawan garam.
Ulangi langkah di atas dan minta murid membentangkan kaedah penyelesaiannya.

Refleksi:
Masalah 1 dan 2 mempunyai beberapa kaedah penyelesaian tersendiri, namun masalah 3 adalah agak rumit dan mungkin tiada penyelesaian di peringkat murid sekolah. Terdapat masalah yang boleh diselesaikan dan masalah yang tidak boleh diselesaikan. Terdapat masalah yang dapat diseleseaikan dengan mengubah beberapa keadaan. Terdapat juga masalah yang tidak dapat diselesaikan dan jika diselesaikan juga, akan merosakkan keadaan (masalah 3 umpamanya)