Saya menayangkan video klip mengenai tugas guru pedalaman kepada pelajar Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (DPLI) (Sains Pertanian) semasa sesi amali sebagai sesi renungan terhadap tugas sebagai seorang pendidik. terdapat juga video klip yang memaparkan tugas guru pendidikan khas. Video ini dikeluarkan oleh bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2008. Pelajar-pelajar ini adalah terdiri daripada graduan dalam bidang berkaitan Sains Pertanian, mereka mengikuti DPLI sebagai syarat untuk menjadi seorang guru terlatih. Saya meminta mereka membuat refleksi terhadap tayangan klip video tersebut dan berikut adalah antara refleksi yang telah dihasilkan oleh mereka. Saya akan menulis semula semua refleksi setiap kesempatan yang ada dalam blog ini sebagai satu pengisian.
Refleksi 1:
Menjadi seorang guru yang berjaya adalah memerlukan persediaan dan sanggup berkorbab apa sahaja seperti masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya dalam mendidik anak bangsa. dengan pengorbanan ini ia menunjukkan kesungguhan kita sebagai seorang pendidik dan seorang guru tidak seharusnya mementingkan diri sendiri sahaja.
Tayangan video tersebut menyedarkan saya tentang jasa dan pengorbanan seorang guru kepada masyarakat dan negara. Jasa guru amat besar dalam melahirkan generasi baharu yang akan menjadi nadi kepada pembangunan negara. Tayangan video klip ini memberi semangat kepada saya sebagai seorang bakal guru untuk berjuang bersama-sama guru sehior bagi mendidik anak bangsa supaya mereka berjaya dalam hidup dan dapat memberi sumbangan kepada pembangunan negara bangsa.
Sifat kesabaran dan tanggung jawab seorang guru akan dapat membuahkan hasil yang baik. Ini dapat dibuktikan melalui pengorbanan guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman, dimana mereka semua sabar dan tabah untuk mendidik anak-anak di pedalaman supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan seperti anak-anak lain di kawasan bandar. Kesanggupan guru-guru ini ke kawasan pedalaman membuktikan guru-guru sanggup melakukan apa sahaja demi negara.
Video guru pendidikan khas, menyedarkan saya bahawa sesetengah guru mempunyai kelebihan dan kebolehan dalam mendidik tidak mengira kebolehan atau kelemahan yang ada pada murid-murid pendidikan khas. Kelebihan ini digunakan oleh mereka untuk membantu murid-murid ini menghadapi masa hadapan.
(Mohd Isnan Amin bin Yusoff, DPLI (SP), UPM - Disember 2010)
Dalam ruangan seterusnya saya akan memaparkan lagi refleksi yang dibuat oleh pelajar-pelajar ini. Harap pembaca dapat memberi komen dan ulasan.
No comments:
Post a Comment