Tuesday, October 27, 2009

Nak kongsi jenaka mengenai Cikgu Yang Best!

Kelas yang tadi bercempera tiada guru kini menjadi senyap sunyi. Ini adalah kerana guru yang paling digeruni telah masuk ke dalam kelas. Wajahnya garang seperti Jin yang tidak ada Shamsudin. Kalau hendak tahu ikutilah pelajaran cikgu ini. Nama cikgu ialah......?

Murid-murid: Selamat pagi, cikgu.
Cikgu: (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya tak selamat?
Murid-murid: Selamat pagi, petang dan malam cikgu!
Cikgu: Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.
Murid-murid: Selamat sejahtera cikgu!
Cikgu: Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik . Hari ini cikgu nak uji kamu semua tenteng perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu,faham?
Murid-murid: Faham, cikgu!
Cikgu: Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.
Murid-murid: (senyap)
Cikgu: Pandai!
Murid-murid: Bodoh!
Cikgu: Tinggi!
Murid-murid: Rendah!
Cikgu: Jauh!
Murid-murid: Dekat!
Cikgu: Berjaya!
Murid-murid: Usno!
Cikgu: Salah!
Murid-murid: Betul!
Cikgu: Bodoh!
Murid-murid: Pandai!
Cikgu: Bukan!
Murid-murid: Ya!
Cikgu: Oh Tuhan!
Murid-murid: Oh Hamba!
Cikgu: Dengar ini!
Murid-murid: Dengar itu!
Cikgu: Diam!
Murid-murid: Bising!
Cikgu: Itu bukan pertanyaan, bodoh!
Murid-murid: Ini ialah jawapan, pandai!
Cikgu: Mati aku!
Murid-murid: Hidup kami!
Cikgu: Rotan baru tau!
Murid-murid: Akar lama tak tau!

Monday, October 26, 2009

Karektor Guru 12: Mengaku Kesalahan Sendiri

Guru yang paling berkesan adalah mereka yang dengan cepat dan tidak teragak-agak untuk mengaku kesalahan sendiri yang dilakukan. Mereka dengan rasa rendah hati akan memohon maaf daripada pelajar. Mereka dengan segera akan memperbetulkan sesuatu kesalahan yang dilakukan dengan segera tanpa merasa segan dan silu. Misalnya, semasa memeriksa kertas jawapan atau tugasan, sekiranya pelajar mendapati guru melakukan kesalahan memberi markah, guru dengan segera mengakui kesalahan mereka yang terus memperbetulkannya tanpa berlengah-lengah lagi.

Dalam banyak kes disiplin yang berlaku di sekolah, ramai dalam kalangan guru menggunakan kuasa mereka untuk menghukum pelajar tanpa banyak soal jawab atau menyelidiki kedudukan sebenar. Ini menimbulkan perasaan dendam pelajar kepada guru, dan akan memburukkan lagi situasi. sekiranya guru menyedari kesalahan yang dilakukan, maka janganlah merasa bersalah atau malu untuk mengaku kesalahan sendiri, bak kata pepatah "tidak akan hilang bisanya ular yang menyusur akar".


Thursday, October 22, 2009

Karektor Guru 11: Pemaaf

Guru yang paling berkesan adalah mereka yang tidak menyimpan dendam dan kebencian dalam hati terhadap pelajar mereka walaupun pelajar itu nakal dan sentiasa menyakiti hati mereka. Guru sebegini akan sentiasa memaafkan pelajar mereka di atas perlakuan yang tidak sesuai seperti kesalahan disiplin yang ringan atau tingkah laku yang kurang sopan dan sebagainya. Mereka akan sentiasa memberikan nasihat dan panduan secara bersopan kepada pelajar yang berkelakuan yang tidak sepatutnya. Mereka memahami bahawa dengan sikap pemaaf ini akan dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah disiplin yang sukar dibendung. Mereka percaya bahawa dengan menyimpan dendam dan kebencian kepada pelajar yang bermasalah displin ini, akan menyebabkan pelajar memusuhi mereka sama ada di dalam sekolah atau di luar sana. Dengan keadaan yang sukar memaafkan pelajar ini, akan menyebabkan lebih sukar kita untuk menangani masalah yang mereka hadapi. Sifat pemaaf adalah merupakan satu sifat yang universal, semua agama menuntut supaya manusia bersifat demikian. Sifat ini adalah menunjukkan martabat yang tinggi dan nilai kemanusiaan yang hebat dan mulia. Semua guru harus memiliki sifat ini supaya kita sentiasa dipandang mulia oleh pelajar kita, malahan kita akan dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling kita. Saya percaya, sekiranya semua guru memiliki karektor ini, masalah disiplin di sekolah akan dapat dibendung. Penghormatan masyarakat terhadap warga guru juga akan dapat dipulihkan seperti yang pernah kita persoalkan sebelum ini iaitu 'guru dahulu vs guru sekarang'.

Wednesday, October 21, 2009

Karektor Guru 10: Menghormati Pelajar

Guru yang paling berkesan adalah guru yang tidak memalukan pelajarnya sama ada secara bersemuka atau di hadapan khalayak (kelas). Guru yang memberikan penghormatan yang paling tinggi akan memperolehi penghormatan yang paling tinggi daripada anak didik mereka.
Guru perlu menghormati hak individu setiap anak didik mereka, tidak mendedahkan kelemahan seseorang pelajar kepada orang lain sama ada sesama rakan mereka atau guru lain.
Guru boleh berbincang dengan pelajar mengenai markah atau pencapaian seseorang pelajar secara individu tanpa didengari atau diketahui oleh rakan lain. Guru seperti ini akan menunjukkan kepekaan yang tinggi terhadap perasaan pelajarnya dan sentiasa berhati-hati supaya tidak memalukan pelajarnya setiap masa sama ada ianya perlu atau tidak.

Friday, October 16, 2009

Karektor Guru 9: Kebolehan Jenaka (Sense of Humor)

Guru yang paling berkesan adalah guru yang tidak menganggap semua perkara adalah serious dan menjadikan pembelajaran adalah sesuatu yang seronok dan menghiburkan. Mereka menjadikan jenaka sebagai alat untuk ‘breaking the ice’ ketika sesuatu situasi yang sukar dialami. Misalnya, dalam menguruskan bilik darjah, guru perlu menggunakan arahan secara berjenaka bagi mengurangkan tekanan dan ketegangan yang berlaku sesama pelajar. Guru sebegini akan sentiasa berjenaka setiap hari dalam kelasnya. Mereka sentiasa bergelak ketawa bersama-sama pelajar sama ada dalam kelas atau di luar kelas. Mereka sentiasa berjenaka dengan murid dan sebaliknya. Namun, jenaka yang digunakan adalah jenaka yang tidak mendatangkan keburukan seperti memperlekeh atau mempersendakan pelajar atau orang lain, berbentuk ugutan dan berunsur lucah.
Bukan kita mahukan jenaka yang dapat mentertawakan murid sehingga kelas menjadi hingar bingar. Cukuplah sekadar dapat membuatkan murid kita tersenyum atau merasa terhibur dan lega dengan apa yang kita ucapkan. Bukan perlu kita mempelajari atau berlatih untuk berjenaka, tak kanlah sepanjang hayat kita tak pernah pun berjenaka! Jenaka yang ringan dengan memberikan contoh-contoh yang melucukan adalah amat mudah dilakukan oleh guru semasa mengajar dalam kelas.
Banyak kajian di luar negara menunjukkan bahawa murid suka kepada guru yang gemar berjenaka. kajian juga membuktikan bahawa kelas yang diselang seli dengan jenaka oleh guru, dapat memberikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan seterusnya meningkatkan pemahaman murid. Oleh itu kajian yang berbentuk eksperimental telah dilakukan oleh para sarjana barat membuktikan terdapat peningkatan pencapaian yang signifikan bagi kelas yang mengandungi jenaka berbanding sebaliknya.

Friday, October 9, 2009

Karektor Guru 8: Belas Kasihan (Compassionate)

Guru yang paling berkesan adalah guru mengambil berat akan masalah peribadi setiap pelajarnya dan sentiasa mengambil perhatian terhadap perkara yang berkaitan dengan masalah tersebut. Misalnya, seorang pelajar yang mengidap penyakit lelah, guru akan mengambil perhatian khusus kepada beliau supaya tidak terdedah kepada habuk atau cuaca sejuk yang memudaratkan lagi kesihatan beliau.
Pelajar yang memakai cermin mata dan mempunyai masalah penglihatan, diberi peluang dan dipastikan supaya beliau dapat duduk di hadapan kelas dan dapat melihat tulisan di papan hitam atau papan putih atau skrin. Banyak cerita yang mengkisahkan bagaimana seseorang guru itu mengambil berat seseorang pelajarnya dan mempengaruhi kehidupan mereka seterusnya.
Pelajar kita dahulu, kini menjadi rakan baik dan sentiasa berkongsi pengalaman, ziarah menziarahi sama ada semasa sihat, sakit dan pada hari-hari perayaan. Kadang-kadang mereka menjawat jawatan tertentu yang tinggi dan dapat memberi bantuan kepada kita yang berurusan dengan mereka. Banyak kisah dimana bekas pelajar tidak mempeduli atau menghiraukan bekas guru mereka semasa berurusan dalam perkhidmatan tertentu kerana guru tidak mengenali mereka dan guru itu juga tidak pernah mempedulikan mereka semasa mengajar di sekolah dahulu. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya dilaksanakan disebabkan kita tidak mempunyai karektor sedemikian.
Bayangkan sekiranya bekas pelajar kita adalah seorang doktor perubatan atau jururawat terlatih!

Karektor Guru 7: Mananamkan Rasa Dipunyai (Sense of Belonging)

Guru yang paling berkesan adalah guru yang berupaya menyediakan situasi yang sangat selesa dalam kelas dan menjadikan seolah-olah menyambut kehadiran pelajarnya masuk ke kelas beliau. Pelajar pula sentiasa tertunggu-tunggu kehadiran guru tersebut untuk mengajar mereka. Walaupun mata pelajaran yang diajar adalah mata pelajaran yang sukar, namun, beliau dapat menyedia penyampaiannya sehinggakan pelajar pun menjadi suka kepada mata pelajaran tersebut. Banyak pengalaman yang kita sendiri dapat kongsikan di mana seorang guru itu dapat menjadikan kita ‘suka’ kepada sesuatu mata pelajaran yang sangat kita ‘benci’ selama ini dan akhirnya kita lulus dengan baik walaupun kita tak suka kepada mata pelajaran itu.
Pelajar sentiasa merasakan mereka memiliki dan bersama-sama dengan guru semasa belajar dalam kelas yang diajar oleh guru sedemikian. Pelajar juga tahu bahawa mereka mempunyai seorang guru yang seronok mengajar mereka dalam mata pelajaran tersebut dan seorang guru yang begitu komited dengan kerjayanya.
Ramai antara kita (warga guru) dapat menamakan guru-guru kita dahulu yang mempunyai karektor sebegini. Subjek Fizik yang sangat tidak disukai, dapat diikuti dengan mudah dan lulus dengan cemerlang dalam SPM. Selepas itu tak sentuh lagi buku Fizik dan subjek yang berkaitan dengan Fizik. Maka, jadikanlah kita seperti guru ini dan kelak nanti kita akan sentiasa dikenang oleh pelajar kita.

Monday, October 5, 2009

Karektor Guru 6: Mempamerkan Sentuhan Peribadi (Personal Touch)

Guru yang paling berkesan adalah guru yang mudah didekati oleh semua pelajarnya. Mereka berhubung dengan pelajar secara personal. Mereka berkongsi pengalaman bersama pelajar di dalam kelas. Guru seperti ini akan mengambil berat dan memahami setiap pelajarnya secara personal serta mencuba untuk memahami semua pelajarnya sebanyak mungkin. Mereka melawat ke ‘alam pelajar’ seperti makan bersama mereka di kantin sekolah, bersukan bersama-sama di padang, malah menziarahi pelajar yang sakit dan terlantar di rumah atau hospital. Berapa ramai antara kita berbuat demikian. Ayuh, mulai hari ini kita tunjukkan karektor guru yang sebenarnya supaya profesion ini menjadi lebih dihormati. Kembalikan kegemilangan zaman profesion perguruan yang diperkatakan bahawa sudah kurang mulai malap berbanding dengan suatu masa dahulu.
Guru sebegini akan mengambil tahu kesihatan, latar belakang dan masalah peribadi pelajarnya (bukan mengambil kesempatan). Guru seperti ini juga akan mengenali semua ibu bapa pelajarnya dan sentiasa berinteraksi dengan mereka sama ada dalam atau luar sekolah. Guru sebeginilah akan dikenang sepanjang hayat oleh bekas pelajar mereka. Guru sebeginilah yang senantiasa didoakan keampunan, kesejahteraan dan keselamatan oleh bekas murid mereka.

Karektor Guru 5: Adil dan Saksama

Guru yang paling berkesan ialah guru yang dapat menangani semua masalah pelajarnya dan juga memberikan markah ujian atau peperiksaan dengan adil dan saksama. Mereka tidak kedekut markah dan memberikan markah yang sepatutnya kepada pelajar yang sepatutnya memiliki markah tersebut.
Mereka menyediakan keperluan yang sesuai dan peraturan yang jelas untuk kelas. Sekiranya pelajar melanggar peraturan yang telah ditetapkan, guru akan bertindak mengikut garis panduan yang telah dipersetujui bersama. Ini menyebabkan pelajar tidak merasa diri mereka dianiayai oleh guru.
Pelajar akan menyedari bahawa adil dan saksama itu bukanlah semestinya melayani semua pelajar dengan cara yang sama, tetapi memberi peluang dan ruang kepada semua pelajar untuk mencapai kejayaan.
Guru seperti ini juga akan menyedari bahawa bukan semua pelajar itu belajar dengan kaedah yang sama dan pada kadar yang sama. Ada sesetengah pelajar agak lambat untuk memahami sesuatu topik dan mempunyai cara yang berlainan untuk memahaminya seperti perlu perbincangan dengan rakan-rakan lain. Guru perlu memberikan peluang kepada mereka untuk belajar dengan kaedah dan kecepatan sendiri sebelum menguji atau menilai mereka.