Thursday, March 25, 2010

Tugas Mengajar Guru

Guru-guru yang telah dianugerahkan kelulusan ikhtisas perguruan sama ada diploma atau ijazah mesti:

 
  • Menyediakan objektif pembelajaran yang berkaitan dengan semua pelajar dalam kelas berdasarkan pengetahuan pelajar, pengalaman lalu dan sedia ada, tahap umur dan pengetahuan yang bersesuaian dengan tahap umur.
  • Menggunakan objektif pengajaran dan pembelajaran untuk merancang dan merekabentuk persediaan pengajaran dengan mengambil kira pelajar pelbagai pencapaian, lelaki, perempuan dan bangsa.
  • Memilih dan menyediakan sumber (alat/bahan bantu mengajar) dan merancang untuk menggunakankannya dengan berkesan dengan mengambil kira minat, penguasaan bahasa dan latar belakang budaya dengan bantuan dari pelbagai pihak lain mana yang sesuai.
  • Mengambil bahagian dan memberikan sumbangan mana yang sesuai kepada sekolah, seperti bertugas dengan jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam memimpin aktiviti kokurikulum dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah sekolah.
  • Merancang peluang-peluang untuk pelajar mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah seperti merancang lawatan ke muzium, zoo, kerja lapangan dan sebagainya, dengan bantuan staf lain sekira perlu.
  • Sentiasa menambahkan dan mengemaskinikan ilmu pengetahuan supaya tidak ketinggalan dalam bidang masing-masing. Secara tidak langsung, kita juga meningkatkan profesionalisme melalui ilmu pengetahuan yang diperolehi sama ada melalui kursus, bengkel dan pembacaan ilmiah yang dilakukan.
  • Menggunakan teknik, strategi dan kaedah pengajaran yang terkini terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Ini adalah kerana murid di zaman ini sentiasa dikelililingi dengan maklumat yang sangat mudah diperolehi melalui teknologi yang telah tersedia seperti internet dan sebagainya.
Saya mendapati masih ramai dalam kalangan guru kita belum menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat bagi menambahkan ilmu pengetahuan. Apa yang dimaksudkan di sini adalah pembacaan bahan-bahan ilmiah seperti majalah dan jurnal akademik. Kita pasti setiap guru membaca bahan bacaan ringan dan akhbar setiap hari selain buku rujukan yang berkaitan dengan bidang pengajaran masing-masing. Namun itu belum mencukupi untuk kita. Kini terdapat pelbagai bahan atau maklumat melalui internet secara online seperti artikel jurnal sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Melalui pembacaan bahan berbentuk ilmiah begini terutamanya dapatan kajian terkini oleh penyelidik dalam dan luar negara, maka kita dapat mempelajari ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada penyelidik tersebut.

Selamat mengajar....

 

 

 

Monday, March 15, 2010

Pengetahuan dan Pemahaman Yang perlu Dimiliki Oleh Seseorang Yang Bergelar Guru

Guru-guru yang dianugerahkan Sijil Perguruan, Diploma Pendidikan atau Bacelor Pendidikan, iaitu sijil ikhtisas untuk mengajar mesti mengamalkan perkara berikut:
  • Mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam mata pelajaran yang dilatih untuk diajar di sekolah. Kepada mereka yang dilatih untuk sekolah menengah, ilmu pengetahuan yang ada perlulah menyamai kelayakan yang telah ditetapkan iaitu diploma atau ijazah pertama. Ilmu pengetahuan yang dimaksudkan ialah ilmu pengetahuan dalam bidang atau mata pelajaran yang diajar atau content knowledge dan juga kemahiran mengajar atau pengkaedah pedagogical content knowledge.
  • Mereka mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh kurikulum kebangsaan.
  • Mereka memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing.
  • Mereka tahu menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.
  • Mereka memahami tanggung jawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu. Setiap guru perlu memiliki, memahami dan menghayati Standard Guru Malaysia (SGM).
  • Mereka mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna. Semua guru perlu bijak menangani sebarang situasi yang tidak dijangkakan dalam bilik darjah. Guru perlu dapat mewujudkan keceriaan, kemesraan dan toleransi yang tinggi antara mereka dan murid.
  • Mereka telah lulus ujian dalam bidang numerasi, literasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) (Computer literacy, ICT Literacy)

 

Tuesday, March 9, 2010

Kisah Nabi Allah Sulaiman dan Semut

Nabi Sulaiman telah berjumpa dengan seekor semut yang hidup di atas batu yang kerig dan sukar untuk mendapatkan makanan, lalu Nabi Sulaiman bertanya kepada semut tersebut bagaimana ia boleh mencari makanan dan berapa banyak yang boleh dimakan dalam sebulan. Maka semut menjawab ia memerlukan hanya sebiji gandum sahaja sebulan. Lalu Nabi Sulaiman pun memberikan semut tersebut sebiji gandum yang diletakkan bersama semut tersebut di dalam sebuah bekas yang tertutup.

Selepas sebulan, beliau datang melihat semut tersebut dan mendapati semut itu hanya memakan separuh sahaja daripada sebiji gandum yang diberikan. Nabi Sulaiman bertanya kepada semut kenapa dia tidak makan habis sebiji gandum yang telah diberikan kepadanya. Semut menjawab bahawa dia akan makan sebiji gandum apabila ia sendiri yang mencarinya di atas batu tersebut dan apa yang diperolehi itu adalah rezeki daripada Allah swt. Dia yakin akan rezeki daripada Allah walau pun di atas batu dan dia sendiri yang berusaha mencarinya.

Tetapi jika rezeki itu diberikan oleh orang lain (yakni Nabi Sulaiman), semut itu tidak yakin rezeki itu akan diberikan lagi (datang menziarahi dia lagi untuk membawa rezeki yang seterusnya) sebab diletakkan dalam bekas yang bertutup dan dia tidak dapat berusaha sendiri. Namun dia tidak yakin untuk bergantung kepada Nabi Sulaiman di atas rezeki yang akan diperolehi kelak, maka dia hanya makan separuh sahaja, supaya dapat bertahan sehingga dua bulan.
Apakah nilai moral yang dapat dipelajari disebalik cerita ini?

Thursday, February 18, 2010

Pengetahuan dan Pemahaman Yang perlu dimiliki oleh seorang insan bergelar guru

Guru-guru yang dianugerahkan bacelor pendidikan, diploma pendidikan iaitu sijil ikhtisas untuk mengajar mesti mengamalkan perkara berikut:

  • Mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam mata pelajaran yang dilatih untuk diajar di sekolah. Kepeda mereka yang dilatih untuk sekolah menengah, ilmu pengetahuan yang ada perlulah menyamai kelayakan yang telah ditetapkan iaitu diploma atau ijazah pertama.
  • Mereka mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh kurikulum kebangsaan.
  • Mereka adalah pendokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan sentiasa mengamalkan konsep FPK dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
  • Mereka memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing.
  • Mereka tahu menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.
  • Mereka memahami tanggung jawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat dari pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu.
  • Mereka mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna.
  • Mereka telah lulus ujian dalam bidang numerasi, literasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Mereka mempunyai literasi maklumat, literasi komputer dan literasi visual.


 

Tuesday, February 9, 2010

Apakah Kualiti Guru Yang Diperlukan Oleh Masyarakat?

Menurut Grimlett dan MacKinnon (1992), penguasaan aspek-aspek tertentu akan dapat membentuk satu asas pengetahuan pedagogi pelajar. Pemahaman tentang apa yang pelajar percaya, apa yang mereka ambil berat dan apa tugas yang mereka inginkan adalah perlu untuk memotivasikan pelajar supaya mereka berkerja kuat dan memperolehi kejayaan. Berikut adalah antara aspek yang guru perlu kuasai bagi memenuhi kehendak masyarakat dan negara:

  • Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja.
  • Menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu pengetahuan ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif.
  • Guru perlu memahami perbezaan yang wujud dalam budaya, pengalaman keluarga, perkembangan mental dan pendekatan pembelajaran.
  • Guru perlu peka, mendengar dengan baik dan mengambil berat terhadap pelajar semasa melaksanakan tugas-tugas pembelajaran.
  • Guru perlu berfikir apakah maknanya untuk mempelajari pelbagai perkara untuk tujuan yang berbeza dan bagaimana membuat keputusan yang mana perlu dipelajari dalam pelbagai konteks.
  • Guru perlu menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk memenuhi pelbagai matlamat dan pelbagai kaedah untuk menilai pengetahuan dan pendekatan pembelajaran pelajar masing-masing.
  • Guru perlu dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar.
  • Guru perlukan kemahiran untuk menghadapi pelajar yang mempunyai keperluan khusus atau kecacatan pembelajaran.
  • Oleh kerana bahasa adalah merupakan pengantara kepada proses pengajaran, guru perlu memahami bagaimana pelajar ‘acquire’ bahasa, dengan itu mereka akan dapat membentuk kemahiran bahasa dan mencipta pengalaman belajar yang bermakna.
  • Guru perlu mengetahui kurikulum dan teknologi untuk menghubungkan pelajar mereka dengan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka meneroka idea, mendapat dan mensintesis maklumat, merangka dan menyelesaikan masalah.
  • Guru perlu mengetahui tentang kolaborasi – bagaimana menstrukturkan interaksi dalam kalangan pelajar supaya pelajar dapat membentuk perkongsian pembelajaran yang kuat, bagaimana berkolaborasi dengan guru-guru lain dan bagaimana berkerjasama dengan ibubapa untuk membantu mereka mempelajari lebih lanjut berkaitan anak-anak mereka dan membentuk pengalaman yang dapat membantu di sekolah dan rumah.
  • Guru perlu boleh menganalisis dan membuat refleksi ke atas amalan mereka, menilai keberkesanan pengajaran mereka dan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran.
  • Mereka perlu membuat penilaian berterusan terhadap apa yang pelajar fikir dan faham dan membentuk semula perancangan untuk mengatasi apa yang mereka terokai.

Apakah sumbangan guru kepada dunia pendidikan? Guru perlu;
  • Pengalaman - memberikan tugasan pembelajaran  atau kerja rumah yang konkrit, menilai, memerhati proses dan perkembangan pembelajaran.
  • Menggalakkan pelajar bertanya, meneroka dan melakukan ujikaji di samping penyelidikan.
  • Kolaboratif, melibatkan perkongsian maklumat dalam kalangan pendidik atau sesama rakan setugas.
  • Menghubungkan guru dengan pelajar di samping meneliti isi kandungan dan kaedah mengajar.
  • Konsisten dan intensif – disokong oleh model, latihan dan penyelesaian masalah yang berkisar pada masalah amalan yang khusus.
  • Inovatif dan peka kepada perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan, terutamanya dalam persekitaran sekolah dan bilik darjah.
Guru perlu mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Mereka juga perlu memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing. Di samping itu, guru perlu tahu menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.


Guru perlu memahami tanggungjawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu. Mereka perlu mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna.

Pengalaman saya mengenai guru di luar negara adalah amat menyeronokkan dimana saya mendapati guru-guru di Australia dan New Zealand sentiasa mempunyai hubungan yang erat antara satau sama lain dan sentiasa berkolaborasi untuk meningkatkan profesionalisme perguruan masing-masing. sebelum pulang ke rumah, antara guru mata pelajaran - mereka berkumpul dan berbincang mengenai masalah, kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan mereka saling bantu membantu untuk mengatasi masalah rakan sejawat.

Mereka selalu berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan pengajaran masing-amsing, berkongsi media dan kaedah yang digunakan. Mereka sering membuat penyelidikan mengenai pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajar, terutamanya penyelidikan tindakan atau 'action research' atau 'classroom action research'. Hasil penyelidikan akan disebarkan melalui bentul penulisan dalam artikel jurnal dan seminar atau bengkel. Budaya ini amat perlu diperkenal, semai dan diterapkan kepada semua guru di Malaysia.

Apa yang berlaku di negera kita adalah sebaliknya. Guru berlumba-lumba untuk pulang ke rumah bersama-sama murid di pintu pagar sekolah. sebaik sahaja loceng berbunyi, guru terus mencapai beg dan terus ke kereta untuk pulang, atau pun sudah sedia memegang beg menunggu loceng terakhir berbunyi. bukan semua guru  begitu, namun amat malanglah sekiranya guru bertindak sedemikian.

Kini buku Standard Guru Malaysia telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. buku ini perlu dimiliki oleh semua guru. Bukan sekadar memiliki sahaja... guru perlu membaca, meneliti dan menghayati buku tersebut seandainya guru itu merasakan dia adalah seorang GURU dan bertugas dengan penuh keikhlasan demi untuk membantu anak bangsa untuk enyebarkan ilmu pengetahuan serta MENDIDIK anak bangsa menjadi manusia yang berguna, berilmu dan beriman. Saya berpeluang menyertai kumpulan pertama yang membincangkan penggubalan buku tersebut semasa bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia, walau pun hanya separuh jalan (tak sampai separuh jalan pun, peringkat permulaan saja dan ada sedikit 'homework' yang telah diberikan kepada saya pada peringkat awal idea pembikinan buku ini. Masih ada write up peringkat awal bersama saya).

Thursday, January 21, 2010

Siapakah sebenarnya yang bergelar insan GURU?

Guru adalah merupakan profesion yang begitu penting dalam masyarakat. Setiap hari mereka menjalankan tugas menyebarkan pelbagai maklumat dan mengubah sikap dan kelakuan pelajar-pelajar secara langsung melalui kurikulum yang diajar dan secara tidak langsung melalui amalan, sikap, kelakuan, nilai dan hubungan dengan pelajar-pelajar mereka.
Guru yang baik sentiasa optimis dengan apa yang akan dicapai oleh pelajar mereka dalam sebarang situasi dan latar belakang. Dari pengalaman, mereka tahu bagaimana membimbing pelajar kearah kejayaan. Mereka memahami kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam setiap pelajar dan berusaha mengatasinya bagi membantu pelajar-pelajar mereka mengikut keupayaan masing-masing. Namun begitu proses mendidik adalah melebihi dari itu, ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran amali, kebolehan untuk membuat pertimbangan, menyeimbangkan tekanan dan cabaran, amalan dan kreativiti, minat dan kesungguhan, dan memahami bagaimana pelajar belajar dan berkembang. Ini melibatkan pengaruh orang lain dalam perkembangan diri pelajar seperti rakan sebaya dalam kelas, ibu bapa dan keluarga di rumah serta masyarakat setempat.
Ibu bapa dan masyarakat mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap guru-guru agar dapat membantu anak-anak mereka mencapai kejayaan yang tinggi. Oleh itu, guru-guru perlu mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap pelajar agar mereka dapat mencapai kejayaan. Mengajar adalah memerlukan kreativiti, intelektualiti dan ganjaran, oleh itu piawaian untuk profesion perguruan haruslah juga tinggi. Guru yang berkemahiran tinggi menyebabkan proses pengajaran menjadi mudah. Oleh itu guru perlu mempelajarai kemahiran tersebut dan menambahkannya melalui latihan, amalan, penilaian dan belajar dari rakan setugas yang lain.
Profesion perguruan adalah sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan globalisasi dan teknologi terkini. Piawaian mengajar sentiasa berubah dari semasa ke semasa dan menjadi bertambah baik. Ini tentulah mempengaruhi sistem pendidikan negara dan ‘performance’ pelajar.
Guru-guru baru yang mulai menceburkan diri dalam profesion ini menghadapi cabaran-cabaran yang menuntut supaya mereka sentiasa belajar dan mendapatkan maklumat-maklumat yang terkini bagi menyediakan diri bagi menyahut cabaran tersebut. Guru-guru yang sedia ada di dalam sistem persekolahan juga sentiasa perlu meningkatkan diri dalam pelbagai ilmu dan bidang pengetahuan yang sentiasa berubah dan semakin canggih.
Sebuah buku yang menjadi piawaian dan keperluan rujukan perlu diwujudkan bagi memastikan supaya semua guru-guru baru mempunyai pengetahuan dalam bidang (subjek) masing-masing dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan, dan bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam profesion perguruan yang diceburi.
Seseorang guru yang telah dianugerahkan status mengajar dari institusi pendidikan guru perlu memahami dan mematuhi Kod Etika Perguruan Malaysia dengan menzahirkan perkara-perkara berikut dalam tugasan harian mereka:
• Mereka mempunyai jangkaan dan harapan yang tinggi kepada semua pelajar; menghormati sosial, budaya, bahasa, agama, latar belakang etnik, dan komited terhadap usaha meninggikan pencapaian pendidikan mereka.
• Mereka melayan semua pelajar dengan adil dan saksama secara berterusan, dengan menghormati dan memahami perkembangan pembelajaran yang pelbagai dalam diri seseorang pelajar.

• Mereka menunjukkan sikap, nilai dan tingkah laku yang positif yang mereka harapkan dari pelajar mereka.

• Mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan ibu bapa dan penjaga, menghormati peranan, tanggung jawab dan minat mereka dalam pembelajaran pelajar.

• Mereka dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertanggung jawab dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

• Mereka sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan cara menilai semula amalan pengajaran masing-masing, mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan berkongsi pengalaman dengan rakan setugas yang lain. Mereka sentiasa bermotivasi dan boleh menjalankan tugas tambahan untuk perkembangan profesionalisme masing-masing.

• Mereka sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggung jawab berkaitan tugas harian yang berhubung dengan profesionalisme perguruan.

Wednesday, January 6, 2010

Ciri Guru

Saya berkesempatan berkongsi pengalaman dengan sekumpulan pensyarah daripada Maktab rendah Sains MARA dan beberapa buah institusi pendidikan MARA yang mengikuti kursus PTK di German-Malaysia Institute, Kajang, pada minggu terakhir 2009. Semasa memeriksa tugasan yang mereka siapkan, saya terjumpa dengan satu penulisan mengenai ciri-ciri guru yang perlu ada bagi menghasilkan pengajaran yang berkualiti (Oleh Encik Amerudin bin Abdul Rahim, MRSM Alor Gajah, Melaka). Saya ingin berkongsi penulisan beliau dengan anda semua.

Menurut beliau, seseorang guru yang mempunyai ciri-ciri berikut akan dapat menghasilkan pengajaran yang berkualiti:
  • profesional, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik unggul setiap masa.
  • menguasai subjek (isi kandungan)
  • mahir dalam pedagogi dan kaya ilmu
  • memahami perkembangan pelajar dan menyayangi mereka
  • memahami psikologi pembelajaran
  • memiliki kemahiran kaunseling
  • menggunakan teknologi terkini
  • berupaya melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh
  • sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran (up to date)
  • prihatin dengan kehendak pelajar dan ibu bapa
Sebagai warga pendidik, kita cuba muhasabah diri (reflection) dan cuba menjadi pendidik yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.