Tuesday, February 9, 2010

Apakah Kualiti Guru Yang Diperlukan Oleh Masyarakat?

Menurut Grimlett dan MacKinnon (1992), penguasaan aspek-aspek tertentu akan dapat membentuk satu asas pengetahuan pedagogi pelajar. Pemahaman tentang apa yang pelajar percaya, apa yang mereka ambil berat dan apa tugas yang mereka inginkan adalah perlu untuk memotivasikan pelajar supaya mereka berkerja kuat dan memperolehi kejayaan. Berikut adalah antara aspek yang guru perlu kuasai bagi memenuhi kehendak masyarakat dan negara:

  • Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja.
  • Menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu pengetahuan ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif.
  • Guru perlu memahami perbezaan yang wujud dalam budaya, pengalaman keluarga, perkembangan mental dan pendekatan pembelajaran.
  • Guru perlu peka, mendengar dengan baik dan mengambil berat terhadap pelajar semasa melaksanakan tugas-tugas pembelajaran.
  • Guru perlu berfikir apakah maknanya untuk mempelajari pelbagai perkara untuk tujuan yang berbeza dan bagaimana membuat keputusan yang mana perlu dipelajari dalam pelbagai konteks.
  • Guru perlu menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk memenuhi pelbagai matlamat dan pelbagai kaedah untuk menilai pengetahuan dan pendekatan pembelajaran pelajar masing-masing.
  • Guru perlu dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar.
  • Guru perlukan kemahiran untuk menghadapi pelajar yang mempunyai keperluan khusus atau kecacatan pembelajaran.
  • Oleh kerana bahasa adalah merupakan pengantara kepada proses pengajaran, guru perlu memahami bagaimana pelajar ‘acquire’ bahasa, dengan itu mereka akan dapat membentuk kemahiran bahasa dan mencipta pengalaman belajar yang bermakna.
  • Guru perlu mengetahui kurikulum dan teknologi untuk menghubungkan pelajar mereka dengan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka meneroka idea, mendapat dan mensintesis maklumat, merangka dan menyelesaikan masalah.
  • Guru perlu mengetahui tentang kolaborasi – bagaimana menstrukturkan interaksi dalam kalangan pelajar supaya pelajar dapat membentuk perkongsian pembelajaran yang kuat, bagaimana berkolaborasi dengan guru-guru lain dan bagaimana berkerjasama dengan ibubapa untuk membantu mereka mempelajari lebih lanjut berkaitan anak-anak mereka dan membentuk pengalaman yang dapat membantu di sekolah dan rumah.
  • Guru perlu boleh menganalisis dan membuat refleksi ke atas amalan mereka, menilai keberkesanan pengajaran mereka dan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran.
  • Mereka perlu membuat penilaian berterusan terhadap apa yang pelajar fikir dan faham dan membentuk semula perancangan untuk mengatasi apa yang mereka terokai.

Apakah sumbangan guru kepada dunia pendidikan? Guru perlu;
  • Pengalaman - memberikan tugasan pembelajaran  atau kerja rumah yang konkrit, menilai, memerhati proses dan perkembangan pembelajaran.
  • Menggalakkan pelajar bertanya, meneroka dan melakukan ujikaji di samping penyelidikan.
  • Kolaboratif, melibatkan perkongsian maklumat dalam kalangan pendidik atau sesama rakan setugas.
  • Menghubungkan guru dengan pelajar di samping meneliti isi kandungan dan kaedah mengajar.
  • Konsisten dan intensif – disokong oleh model, latihan dan penyelesaian masalah yang berkisar pada masalah amalan yang khusus.
  • Inovatif dan peka kepada perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan, terutamanya dalam persekitaran sekolah dan bilik darjah.
Guru perlu mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Mereka juga perlu memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing. Di samping itu, guru perlu tahu menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.


Guru perlu memahami tanggungjawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu. Mereka perlu mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna.

Pengalaman saya mengenai guru di luar negara adalah amat menyeronokkan dimana saya mendapati guru-guru di Australia dan New Zealand sentiasa mempunyai hubungan yang erat antara satau sama lain dan sentiasa berkolaborasi untuk meningkatkan profesionalisme perguruan masing-masing. sebelum pulang ke rumah, antara guru mata pelajaran - mereka berkumpul dan berbincang mengenai masalah, kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan mereka saling bantu membantu untuk mengatasi masalah rakan sejawat.

Mereka selalu berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan pengajaran masing-amsing, berkongsi media dan kaedah yang digunakan. Mereka sering membuat penyelidikan mengenai pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajar, terutamanya penyelidikan tindakan atau 'action research' atau 'classroom action research'. Hasil penyelidikan akan disebarkan melalui bentul penulisan dalam artikel jurnal dan seminar atau bengkel. Budaya ini amat perlu diperkenal, semai dan diterapkan kepada semua guru di Malaysia.

Apa yang berlaku di negera kita adalah sebaliknya. Guru berlumba-lumba untuk pulang ke rumah bersama-sama murid di pintu pagar sekolah. sebaik sahaja loceng berbunyi, guru terus mencapai beg dan terus ke kereta untuk pulang, atau pun sudah sedia memegang beg menunggu loceng terakhir berbunyi. bukan semua guru  begitu, namun amat malanglah sekiranya guru bertindak sedemikian.

Kini buku Standard Guru Malaysia telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. buku ini perlu dimiliki oleh semua guru. Bukan sekadar memiliki sahaja... guru perlu membaca, meneliti dan menghayati buku tersebut seandainya guru itu merasakan dia adalah seorang GURU dan bertugas dengan penuh keikhlasan demi untuk membantu anak bangsa untuk enyebarkan ilmu pengetahuan serta MENDIDIK anak bangsa menjadi manusia yang berguna, berilmu dan beriman. Saya berpeluang menyertai kumpulan pertama yang membincangkan penggubalan buku tersebut semasa bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia, walau pun hanya separuh jalan (tak sampai separuh jalan pun, peringkat permulaan saja dan ada sedikit 'homework' yang telah diberikan kepada saya pada peringkat awal idea pembikinan buku ini. Masih ada write up peringkat awal bersama saya).

No comments: