Reka Bentuk Strategi Pengajaran adalah proses memilih dan menyusun peristiwa dan aktiviti pembelajaran dalam sesuatu unit pelajaran termasuk juga pemilihan media yang sesuai. Semua guru mempunyai kaedah dan cara tersendiri bagi memilih dan menyusun peristiwa dan aktiviti pembelajaran. Pengalaman dan kemahiran guru membolehkan setiap peristiwa pengajaran berbebza antara seorang guru dengan guru yang lain walaupun topik pengajaran adalah sama. Selain itu, persekitaran pembelajaran dan ciri-ciri pelajar juga menyebabkan guru merancang strategi pengajaran yang berbeza. Antara beberapa strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah;
- Kuliah/syarahan
- Bersoal jawab
- Sumbang saran
- Perbincangan kumpulan kecil atau kumpulan besar
- Demonstrasi
- Tutorial
- Temubual
- Main peranan (role play)
Guru perlu memilih strategi pengajaran yang sesuai dengan tajuk yang diajar, objektif pengajaran dan juga keperluan pelajar. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang disediakan oleh pihak kementerian boleh membantu guru untuk memilioh strategi dan objektif pengajaran. Begitu juga dengan buku-buku teks dan rujukan yang terdapat banyak di pasaran. Banyak buku rujukan yang telah menyediakan objektif pengajaran bagi setiap topik pelajaran. Kadang-kadang kita boleh menggabungkan lebih dari satu strategi pengajaran dalam satu masa. Ada strategi pengajaran yang menumpukan kepada guru sahaja (teachers' centered), ada yang berpusatkan pelajar (students centered) dan ada pula strategi pengajaran yang menumpukan kepada aktiviti yang dijalankan. Pemilihan media juga perlu dilakukan supaya sesuai dengan strategi yang digunakan. Ramai memperkatakan bahawa pengajaran berpusatkan murid adalah lebih baik berbanding dengan pengajaran yang berpusatkan guru, namun tidak semestinya sentiasa begitu. Ada waktunya guru perlu melaksanakan pengajaran berpusatkan guru, berdasarkan kepada ciri pelajar, suasana persekitaran dan isi kandungan pelajaran.
Semua guru dan bakal guru perlu menguasai dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mereka bentuk strategi pengajaran supaya pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menjadi lebih profesional. Impaknya kepada murid adalah sangat besar. Mereka dapat mengikuti pengajaran dengan lebih sistematik, dapat menguasai ilmu (isi kandungan pelajaran) dengan lebih baik dan seronok mengikuti sesi tersebut. Semua guru yang berada di sekolah perlu mengamalkan (mempraktikkan) kemahiran ini sepanjang masa supaya tugas yang diamanahkan kepada kita sentiasa dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan. Pihak pentadbir sekolah perlu sentiasa menyemak buku rekod pengajaran guru sama ada terdapat perancangan pengajaran yang mengandungi unsur-unsur rekabentuk sistem pengajaran atau tidak. Pentadbir sekolah juga perlu memantau dan membuat penyeliaan pengajaran untuk mempastikan unsur-unsur ini sentiasa diamalkan oleh guru-guru di bawah tanggung jawab masing-masing. Pastinya sebelum menyemak dan memantau, pentadbir sendiri terlebih dahulu perlu menguasai ilmu dan kemahiran ini. Sekiranya terdapat kelemahan guru dalam aspek ini, pihak pentadbir sekolah perlu mengadakan sesi latihan dalaman atau latihan perkembangan staf dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang ini bagi membantu guru-guru menguasai kemahiran penting ini.