Reka bentuk sistem pengajaran adalah satu tata cara yang teratur untuk menganalisis, mereka bentuk, membina, melaksana dan menilai pengajaran. Ini adalah satu aturan yang tertib bagi seseorang guru untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setiap insan bergelar guru atau pendidik perlu mengetahuinya. Berikut adalah perincian terhadap setiap langkah:
Menganalisis
Menganalisis adalah suatu proses untuk menentukan apa yang harus dipelajari. Isi kandungan (content) sesuatu mata pelajaran yang akan diajar perlu ditentukan oleh guru sebelum masuk ke dalam kelas. Perkara ini mudah dilakukan iaitu dengan merujuk kepada sukatan pelajaran atau huraian sukatan pelajaran. Setiap orang guru juga dikehendaki menyediakan Perancangan Tahunan bagi setiap tahun pengajaran. Perancangan Tahunan atau dikenali juga sebagai Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) perlu disediakan setiap tahun dan diletakan dalam Buku Persediaan Mengajar, bukannya RPT tahun yang lepas di gunakan berkali-kali. Guru Besar atau Pengetua sekolah perlu menyemak dan memberikan perhatain yang serius kepada guru mereka agar RPT dapat disediakan dengan lengkap.
Mereka Bentuk
Reka bentuk pengajaran sudah dibincangkan dalam sesi yang lalu. Terdapat pelbagai model reka bentuk pengajaran seperti Model ADDIE, Model ASSURE dan lain-lain model reka bentuk pengajaran oleh Dick and Carey, Reisser dan sebagainya. Guru perlu mendalami ilmu dan kemahiran mengenai reka bentuk pengajaran supaya profesionalisme kita menjadi lebih diktiraf oleh sesiapa sahaja. Selain itu strategi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang untuk sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Apakah strategi yang sesuai digunakan kepada murid kita, ia juga bergantung kepada isi kandungan mata pelajaran yang disampaikan.
Membina
Membina adalah proses untuk mengarang (seperti membuat perisian komputer) dan menghasilkan bahan pembelajaran. Sekiranya tidak cukup masa dan peluang untuk membina bahan pengajaran atau dikenali juga sebagai media pengajaran, cubalah lihat dalam Pusat Sumber Sekolah (PSS), mungkin terdapat media pengajaran yang sesuai untuk digunakan. Sekarang ini ramai guru sudah mula menggunakan persembahan ‘powerpoint’ sebagai media pengajaran kerana kebanyakan sekolah telah dilengkapi dengan projektor LCD dan komputer. Kalau anda seorang guru Sains, Matematik atau Geografi, terdapat banyak sekali media pengajaran yang tersimpan dalam PSS atau makmal sekolah. Di sekolah menengah terdapat makmal Biologi, Fizik dan Kimia, almari di belakang makmal-makmal ini sering dipenuhi dengan pelbagai media pengajaran yang sesuai digunakan. Malang sekali, media pengajaran ini sering diabaikan dan dipenuhi habuk.
Melaksana
Melaksana adalah menggunakan bahan dan strategi (kaedah) pengajaran. Langkah ini berlaku dalam bilik darjah semasa kita mengajar. Setiap guru begitru arif dengan langkah-langkah pengajaran yang dimulakan dengan set induksi untuk merangsang minat murid, permulaan mengenalkan tajuk dan isi kandungan, pengembangan sehinggalah kepada penutup atau rumusan. Inilah tugas utama kita sebagai seorang guru. Terdapat langkah yang begitu tradisional sering digunakan oleh guru iaitu:
Memperkenalkan tajuk ---> Menerangkan Isi Kandungan ---> Memberikan Contoh ---> Memberikan Latihan
Atau langkah yang lebih ringkas:
Menerangkan Isi Kandungan ---> Memberikan Contoh ---> Memberikan Latihan
Andaikata kita seorang guru yang tinggi profesionalismenya, adakah kita akan melakukan langkah yang begitu tradisional ini? Sebab itulah saya pernah membincangkan bahawa untuk menjadi seorang guru adalah begitu mudah, tidak perlu masuk ke universiti atau institusi latihan perguruan (tidak perlu ada sijil atau diploma iaitu seperti guru tuisyen).
Menilai
Menilai adalah menentukan keupayaan dan keberkesanan pengajaran. Terdapat dua bentuk penilaian yang boleh digunakan iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian sumatif dilakukan sepanjang sesi pengajaran secara konsisten dan berterusan. Semasa penilaian formatif guru sering menggunakan teknik penyoalan secara lisan untuk menilai kefahaman murid. Sementara penilaian sumatif pula dilakukan diakhir sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian sumatif juga boleh dilakukan secara lisan melalui teknik penyoalan. Oleh itu, guru perlu mempunyai dan menguasai teknik dan kemahiran menyoal. Saya memerhati perkara ini amat sukar dilaksanakan oleh guru. Tidak ramai guru kita menguasai teknik penyoalan yang baik walau pun mereka sudah mempunyai pengalaman mengajar yang lama. Latihan Kemajuan Staf berkaitan teknik penyoalan perlu dikendalikan kepada semua guru secara konsisten supaya semua guru kita dapat menguasai kemahiran menyoal dengan tepat dan jelas.
Semua langkah ini adalah berlaku secara linear dan saling bergantung antara satu sama lain.
Kajian-kajian telah mendapati reka bentuk pengajaran dapat membantu atau meningkatkan pencapaian pelajar. Tanpa penggunaan reka bentuk sistem pengajaran, maka pengajaran dalam bilik darjah menjadi tidak teratur dan objektif pengajaran sukar dicapai.
No comments:
Post a Comment