Mengapa kita sebagai seorang guru perlu mengetahui reka bentuk pengajaran? Anda mungkin bukan mahir dalam bidang Teknologi Pendidikan atau Teknologi Pengajaran. Namun sebagai seorang guru yang berkelayakan dalam bidang pendidikan, seharusnya anda mengetahui dengan lebih lanjut dan mahir dalam mereka bentuk pengajaran untuk sesi pengajaran dan pembelajaran anda. Sememangnya setiap orang bakal guru telah didedahkan kepada kursus Teknologi Pendidikan atau Teknologi Pengajaran sebelum anda ditempatkan di sekolah sebagai seorang guru yang terlatih. Adakah pengetahuan dan kemahiran mengenai reka bentuk pengajaran ini masih diingat? Atau masih diamalkan dalam bilik darjah? Amat malanglah sekiranya perkara ini tidak berlaku kepada seorang guru yang terlatih. Dalam perbincangan ini, fokus utama kita adalah kepada definisi ini kerana ia melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang kita amalkan setiap hari.
Asalnya definisi reka bentuk pengajaran adalah suatu proses untuk membina bahan pengajaran seperti modul bercetak, video pengajaran, perisian komputer dan sebagainya. Proses ini mencakupi proses reka bentuk dan proses membina bahan. Namun, Richey (1986) mendefinisikan reka bentuk pengajaran sebagai sains untuk mencipta amalan pengajaran yang terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan situasi pembelajaran yang memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran berlaku. Hal ini semestinya berlaku dan diamalkan oleh semua orang guru. Mungkin anda telah merancang sesi pengajaran anda dengan sistematik, tetapi tidak pun menyedari bahawa anda adalah seorang pereka bentuk pengajaran. Keberkesanan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada reka bentuk pengajaran seseorang guru. Reka bentuk pengajaran juga adalah merupakan suatu cara yang sistematik bagi mereka bentuk, membina dan menggunakan seluruh proses pengajaran. Sebab itulah anda perlu mengetahui dan menguasai reka bentuk pengajaran. Terdapat berbagai model reka bentuk pengajaran seperti Model ASSURE, Model ADDIE dan sebagainya.
Definisi lain yang diberikan kepada maksud reka bentuk pengajaran adalah proses untuk menentukan ciri-ciri dan keperluan untuk pembelajaran yang juga mengambil kira perubahan sistem dan pengaruh alam sekeliling (Seels dan Richey, 1994). Definisi ini menjelaskan bahawa reka bentuk pengajaran adalah proses menyatakan spesifikasi syarat untuk belajar yang meliputi empat bidang utama iaitu;
- Reka bentuk sistem pengajaran
- Reka bentuk strategi pengajaran
- Reka bentuk mesej
- Ciri-ciri pelajar
Bidang utama ini akan dibincangkan dalam topik seterusnya.
No comments:
Post a Comment