Laman blog ini memaparkan idea dan amalan dalam bidang perguruan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sepanjang menjadi guru, pendidik guru dan bidang pentadbiran yang berkaitan dengan perguruan di Malaysia. Semoga pengalaman dan idea ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan guru yang lain.
Wednesday, February 25, 2009
Kisah di SMK Bandar Tasik Selatan
Tuesday, February 24, 2009
Penggunaan Reka Bentuk Pengajaran Dalam Proses Pengajaran
Makluman kepada guru-guru semua, terdapat berbagai-bagai model reka bentuk pengajaran seperti Briggs (1977), Brigss & Wager (1988, 1992), Model ASSURE (1982, 1985, 1989, 1993, 1996), Model Romizowski (1981, 1984, 1988), Model Dick & Carey (1978, 1985, 1990) dan Model Dick & Reiser (1989). Kalau kita mendalami bidang teknologi pendidikan, model-model ini sentiasa dibincangkan dalam kuliah atau seminar-seminar sama ada dalam atau luar negeri. Bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajar di peringkat master atau PhD khususnya dalam bidang teknologi pendidikan, perlulah mahir dalam hal ini. Daripada pelbagai yang dinyatakan di atas, satu rumusan dapat dibuat dan model reka bentuk sistem pengajaran bersepadu (Integrated Instructional System Design) telah dicadangkan. Rumusan model ini memudahkan semua guru dan pendidik menggunakannya. Terdapat lima peringkat dalam model ini; Peringkat Pertama: Penentuan Isi Kandungan Pelajaran Daripada sukatan pelajaran, guru perlu menentukan apakah tajuk yang akan disampaikan. Sumber rujukan seperti buku teks, buku rujukan, media dan guru pakar adalah sumber-sumber yang dapat membantu guru untuk mendapatkan bahan yang sesuai dan terkini. Zaman ini, Internet akan dapat membantu kita untuk mencari bahan dan isi kandungan yang sesuai. Peringkat Kedua: Membina Media Pengajaran Sebelum memulakan pengajaran, guru perlu menganalisis isi kandungan pelajaran dan membina media yang sesuai untuk membantu penyampaiannya. Sekiranya media pengajaran telah disediakan di pusat sumber sekolah (PSS), guru harus mengetahui bagaimana membuat pemilhan media yang sesuai dan tepat dengan keperluan sis kandungan. Sekiranya perlu membina media pengajaran sendiri, guru perlu mengetahui sedikit sebanyak asas pembinaan media pengajaran seperti penggunaan kaedah pendekatan sistem dan model reka bentuk pengajaran tertentu (contohnya Model ASSURE). Seperti yang telah saya bincangkan sebelum ini, kita mendapati banyak sekali media yang dibeli oleh pihak sekolah, namun penggunaan masih lagi di tahap yang rendah. Banyak kajian telah dijalankan di dalam dan luar negara menunjukkan guru dan pendidikan masih berat menggunakan media pengajaran sewaktu mereka melaksanakan pengajaran dalam bilik darjah. Faktor seperti sikap dan beban tugas serta beberapa faktor lagi yang mempengaruhi penggunaan media telah ditemui dan dibincangkan secara meluas. Peringkat Ketiga: Merancang Pengajaran. Satu persediaan pengajaran perlu disediakan untuk memudahkan guru menyampaikan isi kanduingan pelajaran melalui strategi pengajaran yang telah dipilih dan mengintegrasikan penggunaan media pengajaran. Persediaan pengajaran harus mempunyai beberapa elemen tertentu seperti objektif pengajaran, apa yang dilakukan oleh guru, penggunaan media, cara pelajar bertindak balas dengan guru dan kaedah pengajaran yang diguankan untuk mencapai objektif pengajaran. Tiga perkara penting yang termaktub dalam surat pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai perancangan persediaan mengajar ialah:
- Apa yang hendak disampaikan (Isi kandungan dan Objektif)
- Bagaimana isi kandungan mata pelajaran itu disampaikan (Strategi Pengajaran)
- Adakah apa yang dirancangkan untk disampaikan kepada murid itu telah terlaksana (Refleksi)
Peringkat Keempat: Pelaksanaan Pengajaran Peringkat yang paling penting dimana berlakunya proses pembelajaran yang telah dirancangkan secara sistematik. peringkat ini berlaku dalam bilik darjah. Peranan guru dan media pengajaran adalah membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Elemen-elemen penting dalam peringkat ini adalah seperti; menyampaikan maklumat dan contoh, latihan dan maklum balas, motivasi, pengayaan dan pemulihan, penilaian dan aktiviti susulan (kerja rumah). Peringkat Kelima: Proses Pembelajaran Kejayaan sesuatu pengajaran adalah bergantung kepada perancangan yang sistematik. Sekiranya proses pembelajaran berlaku, maka perubahan tingkah laku pelajar dapat dilihat sama ada dari segi sikap, kemahiran psikomotor atau pengetahuan dalam bidang tertentu. Sekiranya objektif pengajaran tidak tercapai, maka guru harus mengkaji semula kaedah pengajaran yang dilakukan termasuk media pengajaran yang digunakan. Guru perlu mengulang semula pengajarannya dan memastikan objektif pengajaran tercapai sepenuhnya (mengulangkaji pelajaran contohnya). Kesimpulan Teknologi pendidikan adalah satu cara pemikiran dan juga menentukan matlamat-matlamat pendidikan yang boleh dicapai oleh pelajar. Ia adalah satu proses yang menggalakkan guru membuat pertimbangan tentang pemilihan strategi pengajaran dan media. Teknologi pendidikan juga merupakan satu proses bersepadu yang melibatkan manusia (guru dan pelajar), prosedur, idea, perlatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah, mereka bentuk, melaksana, menilai dan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan aspek-aspek pembelajaran manusia. Kadang kala teknologi pendidikan dikaitkan dengan penggunaan alat-alat seperti komputer, televisyen, radio dan pelbagai media lain sebagai bahan bantuan kepada guru dalam menyampaikan maklumat. Selamat mengajar cikgu, semoga apa yang diusahakan selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Kejayaan murid kita adalah di tangan kita, kejayaan murid kita adalah kejayaan kita dan balasan baik sentiasa menunggu kita di masa hadapan dalam bentuk yang tidak pernah kita duga.
Monday, February 16, 2009
Ciri-Ciri Pelajar
Saya telah membincangkan mengenai pelajar berbangsa China gemar membawa minuman air kosong (plain water) ke dalam bilik darjah, malah ke mana sahaja mereka pergi, mereka sering membawa botol air minuman bersama. Perkara ini bukan berlaku di sekolah rendah dan menengah sahaja, malahan berlanjutan sehingga ke peringkat universiti. Agak pelik sekiranya kita mendapati murid berbangsa lain (Melayu dan India) melakukan perkara ini. Tabiat inilah yang seharusnya dipelajari oleh semua bangsa. Negara kita yang beriklim tropika dan sentiasa panas ini memerlukan kita banyak meminum air bagi mengganti air yang hilang melalui peluh dan air kencing. Air yang paling sesuai diminun ketika dahaga ialah air kosong bukannya air teh, kopi atau milo dan sebagainya.
Mata pelajaran yang agak sukar seperti Sains dan Matematik sepatutnya dijadualkan pada sebelah pagi (selain Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang sewajarnya di sebelah pagi. Kecuali sekolah yang mempunyai kemudahan gimnasium atau dewan tertutup untuk bersukan). Sekiranya terpaksa dijadualkan sebelah tengah hari atau petang, murid keletihan dabn memerlukan konsentrasi yang tinggi untuk mengikuti mata pelajaran ini. Keadaan panas dan kering menyebabkan kita cepat keletihan. Dengan meminum air yang banyak, pasti akan dapat membantu badan menjadi segar dan menghilangkan mengantuk. Guru seharusnya menggalakkan murid meminum air kosong dengan banyak, terutamanya dalam kelas. Sesetengah guru tidak membenarkan murid minum air ketika beliau mengajar.. mengapa?Reka Bentuk Mesej Pengajaran
Zaman Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjanjikan pelbagai kemudahan kepada warga guru untuk merancang dan melaksanakan reka bentuk mesej pengajaran dengan baik dan berkesan. Penggunaan microsoft office yang mengandungi pemerosesan perkataan, hamparan elektronik dan perisian persembahan yang begitu canggih dapat membantu kita sebagai guru untuk merealisasikan satu sesi pengajaran yang bermutu tinggi. Hampir semua guru di Malaysia telah didedahkan dengan kemahiran komputer melalui pelbagai kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dan agensi yang berkaitan. Oleh itu, ayuhlah kita merealisasikan pelaksanaan kemahiran yang kita kuasai itu kepada anak didik kita.
Sediakanlah pengajaran anda dengan menggunakan kemudahan komputer yang ada. Anda akan pasti tidak kecewa dengan hasil pembelajaran yang akan diperolehi oleh murid kelak. Mereka akan lebih memudah memahami apa yang kita sampaikan sekiranya kita dapat menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai dengan menggunakan reka bentuk mesej pengajaran tertentu.