Seseorang guru harus menghafal fakta-fakta dalam isi kandungan pengajaran yang akan diajar dalam bilik darjah. Contohnya, formula-formula yang akan digunakan dalam PnP. Bagi guru mata pelajaran matematik, fizik dan kimia, aspek ini sangatlah dititikberatkan. Sekiranya guru sendiri tidak dapat menghafal fakta atau formula tertentu, apatah lagi muridnya. Malah, guru perlu membimbing murid untuk menghafal sesuatu fakta dan formula dengan kaedah yang mudah diingat. Guru boleh menggunakan kaedah mnemonik bagi memudahkan hafalan.
Percakapan guru semasa penyampaian juga perlu dititkberatkan. Umpamanya guru perlu menggunakan ayat yang ringkas (tanpa mengurangkan maknanya). Perkara ini memang tidak mudah untuk dilakukan.
Jawapan atau maklum balas yang diberikan oleh guru kepada murid semasa menjawab soalan atau pertanyaan murid adalah perlu jelas dan disertai dengan contoh-contoh yang berkaitan dengan persekitaran murid supaya mudah difahami. Sekiranya guru tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan, janganlah cuba membuat pernyataan palsu atau 'pembohongan' sebab dikhuatiri nanti akan memakan diri sendiri. Zaman teknologi maklumat di hujung jari sekarang ini memudahkan murid membuat rujukan daripada pelbagai sumber. Berlakulah jujur dan akulah bahawa kita tidak dapat memberikan jawapan yang betul.Sifat ini tidak akan merendahkan martabat kita sebagai guru. pepatah menyatakan 'tak akan hilang bisa ular yang menyusur akar'
Guru-guru terlatih yang ada disekolah seluruh negara masa kini telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan isi kandungan dan juga kemahiran pedagogi melalui kursus perguruan yang mereka ikuti.Oleh itu, seharusnya semua guru telah dapat menguasai kedua-dua bidang ini dengan baik bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru adalah 'Technological Pedagogical Content Knowledge" atau dikenali sebagai TPCK. Kemahiran ini adalah amat relevan dengan kecanggihan dunia masa kini iaitu berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam kalangan guru. Guru harus menguasai teknologi dan memanfaatkan penggunaannya dalam bilik darjah. Ilmu ini perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua guru agar martabat profesion kita sentiasa dipandang tinggi dan bertaraf dunia. Ilmu dan kemahiran mengenai penggunaan ICT telah ditegas dan diberikan kepada semua guru oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, begitu juga institusi pengajian tinggi yang melatih bakal-bakal guru.