Thursday, December 13, 2012

Pengenalan Fotografi dalam Pendidikan



Sejak dahulu sehingga kini gambar foto atau fotograf telah digunakan dengan meluas dalam pelbagai bidang seperti bidang penyiaran (contohnya, surat khabar, majalah, buletin, rencana, brosur dan buku). Selain itu selaras dengan perkembangan komputer serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) maka wujud pula satu dunia baharu dalam bidang fotografi yang dikenali sebagai fotografi digital. Maka evolusi bidang fotografi sudah bertukar daripada dunai analog kepada dunia digital. Evolusi ini telah memberikan impak yang besar kepada bidang fotografi seperti perubahan pemprosesan gambar kepada peralatan fotografi. Sangat sukar untuk kita temui filem, kamera yang menggunakan filem dan kedai yang memproses filem seperti zaman tahun 70an dan 80an dahulu.

Kini wujud peralatan seperti kamera digital yang lebih memudahkan manusia untuk melihat secara terus apa yang mereka rakamkan. Di samping itu mereka mempunyai pilihan sama ada untuk mencetak atau tidak gambar yang dirakamkan. Kaedah percetakan fotograf juga telah berubah selaras dengan dunia digital. Foto yang dirakam pula boleh disimpan dalam komputer dan mesin pencetak komputer dapat digunakan untuk tujuan percetakan. Perisian komputer yang berkaitan dengan fotografi juga telah dicipta oleh manusia dimana fotograf yang telah dihasilkan oleh kamera digital dapat diubahsuai mengikut kehendak dan keperluan pengguna.

Fotografi dalam Pendidikan

Gambar foto atau fotograf adalah  merupakan suatu sumber pengajaran pembelajaran yang digunakan oleh guru dan pelajar.  Foto  dapat mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran pembelajaran di bilik darjah sekiranya digunakan dengan betul dan sistematik. Foto adalah dianggap sebagai media pengajaran apabila digunakan untuk membawa maklumat (mesej) dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Foto adalah sebagai suatu media atau  medium yang bermaksud  'antara'. Dalam proses komunikasi, sesuatu maklumat dihantar kepada penerima melalui satu perantaraan yang dikenali sebagai media. Proses komunikasi berlaku di dalam bilik darjah, antara guru dan pelajar.
 















                   

 
 

  


Kenapa Perlu Foto dalam Pendidikan?

Manusia menggunakan pelbagai deria yang ada untuk tujuan pembelajaran dan ingatan. Deria yang ada pada manusia ialah pancaindera kita iaitu mata (lihat), telinga (dengar), lidah (rasa), hidung (bau) dan kulit (sentuhan). Disamping itu manusia menggunakan mulut untuk berkata-kata (bercakap). Menurut kajian, manusia dikatakan dapat mengingat apa yang dipelajari:

10% daripada apa yang mereka baca,
20% daripada apa yang mereka dengar,
30% daripada apa yang mereka lihat,

Sekiranya perbuatan di atas digabungkan, maka peratus ingatan manusia dikatakan akan bertambah:

50% daripada apa yang mereka lihat dan dengar,
70% daripada apa yan mereka tulis dan cakap,
90% daripada apa yang mereka cakap dan lakukan.

Gabungan pelbagai deria atau pancaindera membolehkan manusia menambah kekuatan daya ingatan mereka dan mengekalkan ingatan tersebut dalam jangka waktu tertentu sama ada ingatan jangka pendek atau ingatan jangka panjang. Apa hubungannya dengan foto? Foto adalah suatu media yang membolehkan manusia menggunakan deria mata untuk melihat dan sumbangan foto bagi menambah ingatan manusia ialah pada tahap 30%. Oleh itu, foto adalah begitu penting dalam proses pembelajaran manusia untuk mengingat sesuatu perkara atau ilmu.

Pepatah China lama ada menyatakan:

"What I hear, I forget;
What I see, I remember;
What I do, I understand."

Pepatah ini menunjukkan bahawa foto memainkan peranan penting kepada manusia dalam proses mengingat sesuatu perkara atau fakta.


Peranan Foto dalam Pendidikan

Penggunaan foto dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah oleh guru dapat menarik perhatian pelajar kepada isi kandungan subjek yang diajar dan mengembangkan minat mereka kepada subjek tersebut. Peranan foto di sini adalah untuk menyediakan suatu persekitaran pembelajaran yang dapat sekali gus dapat meningkatkan penerimaan idea dalam isi kandungan yang disampaikan. Peranan foto di sini adalah dapat menggabungkan pengalaman konkrit pelajar bagi memudahkan mereka memahami konsep yang abstrak.

Thursday, November 29, 2012

Kesempurnaan Menyampaikan Pengajaran

Seseorang guru harus menghafal fakta-fakta dalam isi kandungan pengajaran yang akan diajar dalam bilik darjah. Contohnya, formula-formula yang akan digunakan dalam PnP. Bagi guru mata pelajaran matematik, fizik dan kimia, aspek ini sangatlah dititikberatkan. Sekiranya guru sendiri tidak dapat menghafal fakta atau formula tertentu, apatah lagi muridnya. Malah, guru perlu membimbing murid untuk menghafal sesuatu fakta dan formula dengan kaedah yang mudah diingat. Guru boleh menggunakan kaedah mnemonik bagi memudahkan hafalan.

Percakapan guru semasa penyampaian juga perlu dititkberatkan. Umpamanya guru perlu menggunakan ayat yang ringkas (tanpa mengurangkan maknanya). Perkara ini memang tidak mudah untuk dilakukan. 

Jawapan atau maklum balas yang diberikan oleh guru kepada murid semasa menjawab soalan atau pertanyaan murid adalah perlu jelas dan disertai dengan contoh-contoh yang berkaitan dengan persekitaran murid supaya mudah difahami. Sekiranya guru tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukakan, janganlah cuba membuat pernyataan palsu atau 'pembohongan' sebab dikhuatiri nanti akan memakan diri sendiri. Zaman teknologi maklumat di hujung jari sekarang ini memudahkan murid membuat rujukan daripada pelbagai sumber. Berlakulah jujur dan akulah bahawa kita tidak dapat memberikan jawapan yang betul.Sifat ini tidak akan merendahkan martabat kita sebagai guru. pepatah menyatakan 'tak akan hilang bisa ular yang menyusur akar'

Guru-guru terlatih yang ada disekolah seluruh negara masa kini telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan isi kandungan dan juga kemahiran pedagogi melalui kursus perguruan yang mereka ikuti.Oleh itu, seharusnya semua guru telah dapat menguasai kedua-dua bidang ini dengan baik bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Satu lagi kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru adalah 'Technological Pedagogical Content Knowledge" atau dikenali sebagai TPCK. Kemahiran ini adalah amat relevan dengan kecanggihan dunia masa kini iaitu berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam kalangan guru. Guru harus menguasai teknologi dan memanfaatkan penggunaannya dalam bilik darjah. Ilmu ini perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua guru agar martabat profesion kita sentiasa dipandang tinggi dan bertaraf dunia. Ilmu dan kemahiran mengenai penggunaan ICT telah ditegas dan diberikan kepada semua guru oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, begitu juga institusi pengajian tinggi yang melatih bakal-bakal guru.

Wednesday, November 21, 2012

Guru Sebagai Model Pendidikan

Rasulullah SAW tidak pernah mengarahkan sesuatu perkara melainkan Beliaulah orang yang pertama melaksanakankannya terlebih dahulu. Iktibar daripada ajaran ini kepada guru adalah begitu signifikan sekali. Insan guru seharusnya menjadi model pendidikan kepada murid mereka. Setiap perkara yang dilakukan oleh guru akan menjadi turutan anak didik kita, khususnya apa yang kita lakukan dalam bilik darjah, semuanya diperhati dan diteliti oleh anak didik kita. Apatah lagi kita bersama-sama dengan mereka hampir setiap hari (persekolahan) dan mungkin selama beberapa tahun kita mengajar mereka.

Tauladan yang baik daripada segi budi pekerti dan perbuatan adalah aspek yang utama perlu ditonjolkan oleh guru dihadapan murid. Namun terdapat guru yang berkelakuan kurang sopan umpamanya merokok, tidak menjawab salam (atau tidak memberi salam), tidak menghormati murid, memarahi murid dihadapan kawan mereka dan sebagainya. Mengajar dengan perbuatan dan praktikal adalah lebih berkesan dan merupakan cara yang terbaik untuk difahami. Cara ini juga boleh mendorong murid untuk mengikuti berbanding dengan cara pengajaran yang berbentuk teori dan penerangan semata-mata.

Fitrah semulajadi manusia sememangnya enggan  untuk menerima penyampaian yang hanya berbentuk teori tanpa dipraktikkan terlebih dahulu oleh orang yang menyampaikan sesuatu perkara tersebut. Mereka yang hanya bercakap tak serupa bikin tidak akan mendapat tempat dihati murid dalam penyampaian mesej pengajaran.

Semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, guru sepatutnya menulangi sesuatu arahan sebanyak tiga kali agar mudah difahami. Guru juga perlu menerangkan sesuatu teori secara praktikal dan memberikan contoh-contohnya sesuai dengan latar belakang murid.

Monday, November 5, 2012

Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Hujung Semester

Kebanyakan ibu bapa mendengar rungutan datripada anak-anak mengenai aktiviti pembelajaran mereka di hujung semester begini. Mereka agak malas atau liat untuk ke sekolah sebab tidak ada lagi aktiviti P&P yang berlaku dalam bilik darjah. Aktiviti persekolahan di hujung semester begini lebih kepada aktiviti bukan akademik dan sukan/permainan. Sesetengah sekolah mengadakan ujian/peperiksaan akhir tahun 3 atau4 minggu sebelum minggu akhir semester. Oleh itu guru mempunyai masa kira-kira 3 atau 4 minggu untuk menyemak kertas soalan dan urusan pemarkahan murid, namun proses ini menyebabkan minggu interaksi P&P rugi sebanyak 3 - 4 minggu. 
Ironinya, ramai guru yang merungut bahawa mereka kesuntukan masa untuk menghabiskan silibus dan TERPAKSA melaksanakan aktiviti P&P secara Berpusatkan Guru (Teacher's Centered) bagi menghabiskan silibus segera. Oleh itu, mereka agak sukar untuk melaksanakan pengajaran yang lebih berpusatkan murid (Student Centered) sebab kononnya memakan masa. Apa yang kita boleh perhatikan disini ialah banyak lagi masa yang agak terluang dan tidak digunakan sebaik mungkin di hujung semester. Keadaan ini berlau setiap tahun (setiap hujung semester). 
Saya menulis disini bukanlah secara rambang, saya sangat berpengalaman dengan situasi persekolahan di negara kita melalui tugas kerjaya saya yang lalu. Ramai guru yang mengikuti pengajian peringkat Master dan PhD juga menyuarakan pendapat sedemikian sama ada melalui perbincangan dalam kuliah, pembentangan tugasan dan kajian/tesis peringkat master dan PhD. isu sedemikian banyak dikaji oleh pendidikan dan dibincangkan dalam pelbagai wacana seperti jurnal dan pembentangan seminar/bengkel/kursus seluruh negara. Oleh itu, isu yang saya ketengahkan ini adalah benar dan wajar diambil perhatian oleh semua.
Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang Teknologi Pendidikan, saya sering mendengar alasan-alasan bahawa guru tidak mempunyai masa untuk menggunakan teknologi atau ABM semasa mengajar sebab kesuntukan masa untuk menghabiskan sukatan. Mereka mendakwa bahawa penggunaan teknologi atau ABM akan melambatkan P&P dan dikhuatiri tidak sempat menghabiskan sukatan pelajaran. Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia lebih arif dengan dakwaan dan alasan sebegini, maka banyaklah agenda BTP, BTPN dan PKG tidak mendapat sambutan yang memuaskan dalam kalangan guru iaitu daripada aspek menjadikan bilik darjah sebagai pusat aktivti P&P yang lebih aktif. Contohnya BTP telah menyediakan portal EDUWEBTV bagi mengganti TV Pendidikan untuk kemudahan guru menggunakan teknologi ICT dalam P&P mereka. (Berapakah wang telah dilaburkan oleh KPM untuk  menyediakan portal ini?) Saya ingin bertanya... berapa ramai guru yang memanfaatkan teknologi ini? apakah alasan yang diberikan untuk tidak menggunakankannya?... salah satu daripada alasan ialah "kesuntukan masa - untuk menghabiskan silibus". Sementara kita telah kerugian 3 - 4 minggu di setiap hujung semester - setiap tahun.
Kepada guru dan pentadbir sekolah, anda semua dipertanggungjawabkan dalam hal ini dan bertindaklah supaya keadaan ini tidak berterusan.


Wednesday, October 17, 2012

We will Make a Difference...

Kerjaya guru adalah amat memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada penjawatnya. Hasil komitmen yang penuh dan kesungguhan yang kuat maka terhasillah anak didik yang berjaya dalam kehidupan. Saya tidak percaya bahawa seseorang itu perlu dilahirkan sebagai 'guru' untuk menjawat jawatan sebagai guru. Seseorang 'guru' adalah lahir daripada pengalaman, kematangan dan sedikit daripada sifat semulajadi atau genetik. Seseorang guru yang berjaya tidak semestinya ia bercita-cita untuk menjadi guru semasa di sekolah rendah atau menengah dahulu. Mungkin selepas mendapat ijazah, baharu lahir keinginan untuk menjadi guru disebabkan persekitaran, pengalaman dan kematangan berfikir, maka beliau akan menglaksanakan tugas dengan penuh tanggung jawab dan bersungguh-sungguh. Sesetengahnya disebabkan oleh desakan daripada pihak-pihak tertentu seperti ibu bapa, suami (bagi guru perempuan) dan rakan-rakan atau setelah penat dan lelah mencari pekerjaan lain untuk menyara hidup.

Namun, sekali anda telah melangkah kaki ke alam kerjaya ini, janganlah lagi toleh ke belakang. Ayuh mara terus dan komited dengan tugas yang telah dipertanggung jawabkan. Hasilnya, InsyaAllah akan dapat dilihat dan anda akan berpuas hati, walau pun ganjaran tidaklah seberapa dibandingkan dengan kerjaya seperti doktor, arkitek, akauntan dan lain-lain kerjaya profesional (dan PTD). Walau bagaimanapun kerjaya ini adalah setanding dengan pegawai-pegawai kerajaan lain (pegawai tadbir awam khususnya) malahan dikatakan peluang kenaikan pangkat adalah lebih baik. Syabas kepada pihak yang berwajib kerana telah 'memelihara' kerjaya ini dan meningkatkan martabatnya.

Walau apa pun, warga guru tidaklah memandang semua itu dengan gelojoh. Mereka bersyukur kepada Allah swt di atas keprihatinan pihak berkaitan. Cabaran kerjaya bertambah berat dalam abad ke 21 ini dimana pelbagai perkara dan tugas perlu dilakukan supaya bersesuaian dengan tuntutan waktu dan teknologi yang berkembang pesat.

Saya ingin memaparkan sebuah senario tentang kecemerlangan kerjaya guru kepada anda sekalian. Semoga senario ini akan menjadi motivasi kepada semua warga guru. Sila layari laman web berikut:

www.makeadifferencemovie.com

Selamat bertugas... semoga semua guru-guru di Malaysia adalah guru cemerlang.

Tuesday, September 11, 2012

Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengadakan satu transformasi pendidikan  supaya sistem pendidikan kita akan dapat memenuhi keperluan dan permintaan abad ini selaras dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang di dunia. Sekiranya ada cadangan dan pandangan, sila kemukakan dalam ruangan ini agar kita dapat berkongsi.