Wednesday, May 12, 2010

Teori Berkaitan Jenaka (Kecindan)

Jenaka yang diamalkan dalam bilik darjah khususnya perlulah mengikuti garispanduan yang tertentu supaya ianya tidak mendatangkan kemudaratan atau masalah dikemudian hari. Umpamanya jenaka yang tidak sesuai dan mempunyai maksud yang tersirat sehingga menyebabkan ketidak selesaan, sakit hati atau dendam di pihak lain. Satu lagi persoalan adalah mengenai definisi jenaka itu sendiri. Guru harus maklum bahawa konsep jenaka yang digunakan dalam bilik darjah adalah berbeza sedikit dengan konsep jenaka yang diamalkan dalam kehidupan seharian kita, umpamanya berjenaka dengan rakan, keluarga dan sebagainya.

Teori incongruity oleh Berlyne (dalam Frymier, Wanzer, dan Wojtaszczyk; 2008) menyatakan terdapat dua fasa proses. Sesuatu mesej atau rangsangan yang dikatakan incongruity ialah mesej yang tidak kena pada tempatnya atau tidak sesuai pada tempatnya. Mesej ini pada permulaannya mesti dikenalpasti dan diterjemahkan oleh penerima sebagai bahan jenaka untuk diertikan sebagai sesuatu yang menggelikan hati. Oleh itu, untuk sesuatu mesej berjenaka diproses dan dinilai sebagai menggelikan hati, maka sesuatu kandungan mesej yang incongruity itu perlu dikenal pasti dan ‘make sense’ kepada penerima. Sekiranya incongruity itu terlalu janggal dan tidak masuk akal atau terlalu kompleks, maka penerima tidak akan merasa mesej tersebut sebagai menggelikan hati.

Teori pembelajaran yang boleh dikaitkan dengan kepentingan jenaka dalam proses pengajaran dan pembelajaran tidaklah begitu rapat. Namun teori pembelajaran yang berasaskan motivasi seperti Teori Pembelajaran Sosial (Social Learning Theory) oleh Bandura dan juga Teori Humanism yang diasaskan oleh Abraham Maslow, Carl Rogers dan Malcolm Knowles didapati mempunyai kaitan dengan amalan jenaka yang dapat mencetuskan situasi pembelajaran yang berkesan. Gurtler (2002) mengaitkan teori oleh Bandura terhadap sindrom ‘burnt-out’ yang wujud dalam kalangan guru. Menurut beliau, peranan jenaka adalah untuk mencegah sindrom burnt-out di samping boleh membantu menambahkan pencapaian seseorang murid. Ini adalah kerana jenaka dapat menghasilkan suasana atau persekitaran pembelajaran yang lebih baik.

Sementara Teori Humanism pula menekankan kepada persekitaran yang menyokong pembelajaran bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam Humanism, pembelajaran adalah berpusatkan pelajar (student centered) dan bersifat individu (personal). Persekitaran yang menyokong pembelajaran adalah diperlukan untuk perkembangan afektif dan kognitif. Dalam hal ini, amalan jenaka adalah membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang membantu menyokong perkembangan afektif dan kognitif pelajar. Daripada sudut kognitif dan psikologi jenaka membolehkan seseorang itu mudah memberikan perhatian, tumpuan perhatian lebih baik yang membantu menguatkan ingatan dan menyeimbangkan antara perkara yang serius dengan yang menyeronokkan (Gurtler, 2002), namun sekiranya berlebihan akan menyebabkan murid tidak dapat mengaitkan isi kandungan dengan jenaka.


Jenaka dalam bilik darjah tidak perlulah menghasilkan suasana ketawa yang berdekah-dekah sehingga menjadi bising dan riuh-rendah. Ianya sekadar dapat melahirkan senyuman di wajah murid kita. Itu sudah mencukupi dan menenangkan anak didik yang memerlukan suasana pembelajaran yang menceriakan serta menenangkan mereka untuk menerima pelajaran dengan maksimum.

No comments: