Monday, May 10, 2010

Amalan Kecindan/Jenaka Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Artikel ini adalah merupakan sorotan literatur yang saya tulis semasa menjalankan penyelidikan mengenai amalan kecindan atau jenaka terhadap sekumpulan guru pelatih Universiti Putra Malaysia. Penyelidikan tersebut telah selesai dan beberapa dapatan yang menarik telah dilaporkan. Untuk kali ini saya hanya akan menyiarkan mengenai sorotan literatur sahaja.

Beberapa kajian menunjukkan pelajar yang mendengar rakaman yang mengandungi unsur jenaka dan melihat filem jenaka membantu meningkatkan pencapaian dalam skor secara signifikan dalam ujian kreativiti. Kelas yang tidak ada jenaka dianggap membosankan dan juga dikatakan sebagai kurang mesra. Sebaliknya, kelas yang dipenuhi dengan jenaka yang relevan dianggap menarik oleh murid. Guru yang mengamalkan jenaka diklasifikasikan oleh murid dan rakan setugas sebagai lebih positif dan membantu (Garner, 2006) dan 59% pelajar menyatakan guru yang mempunyai ciri-ciri jenaka adalah guru yang berkesan (Malikow, 2007).

Kajian oleh Frymier et al., (2008) menunjukkan jenaka dalam bilik darjah membantu berlakunya interaksi guru-murid dengan lebih lancar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran. Perbuatan ini tidak memerlukan seorang ahli lawak jenaka yang profesional. Jenaka boleh membantu pelajar menambahkan kemahiran komunikasi dan boleh membantu murid yang bersifat pemalu untuk berinteraksi. Ia juga membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah. Paterson (2006) menyarankan supaya jenaka digunakan dengan sebaik mungkin kerana beliau mendapati amalan ini dapat membantu mengatasi beberapa masalah personal yang timbul di sekolah. Dalam pengajaran bahasa Inggeris, penggunaan teks yang mempunyai unsur jenaka dalam penulisan dapat membantu memperbaiki kemahiran menulis dengan efektif, selain dapat menggalakkan pemikiran kritis dan menambahkan ekspresi dalam penulisan (Murakami, 2006).
Kajian yang dijalankan oleh Miura dan Jones (2005) mendapati dua peristiwa atau situasi yang biasanya dapat mencetuskan jenaka ialah semasa guru menjelaskan isi kandungan dan semasa guru mengeluarkan arahan berkaitan pengurusan bilik darjah. Ini adalah disebabkan kedua-dua peristiwa ini mengandungi maklumat dalam bentuk pengetahuan dan arahan, dan guru kelihatan menggunakan jenaka sebagai ‘vehicle’ untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Kajian beliau juga mendapati beberapa situasi jenaka dan kesan jenaka yang tidak kondusif kepada persekitaran pengajaran dan pembelajaran seperti ulasan pelajar, pelajar bercakap, pelajar ketawa dan pelajar meniru (mimicking) guru. Walau bagaimanapun tidak ada data yang dikumpul untuk melihat kesan (impak) negatif terhadap pembelajaran.
Maklum balas murid terhadap kajian yang dijalankan oleh Willard (2006), mengesahkan bahawa guru yang mengamalkan jenaka dapat membantu proses pembelajaran murid. Jenaka dikatakan dapat memperbaiki sikap murid terhadap mata pelajaran, mengurangkan kebimbangan, tekanan, ketegangan dan kebosanan. Amalan ini juga dapat meningkatkan kefahaman, ingatan, minat dan pelaksanaan tugasan; meningkatkan motivasi untuk belajar dan kepuasan belajar serta menggalakkan kreativiti dan pemikiran secara ‘divergent’. Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh James (2001). Beliau menjelaskan bahawa jenaka boleh meningkatkan perhatian dan keseronokan belajar, membantu mengekalkan ingatan. Guru yang mengamalkannya boleh dianggap sebagai mempunyai salah satu daripada ciri guru yang berkesan
Kebanyakan guru melakukan jenaka secara semula jadi dan tidak perlu dirancang. Ini adalah kerana guru-guru ini mempunyai ciri-ciri jenaka dalam diri mereka secara semula jadi. Namun terdapat ramai dalam kalangan guru yang tidak memiliki ciri ini. Maka, mereka yang menyedari bahawa amalan ini membawa kepada kebaikan murid akan cuba merancang untuk melakukannya di bilik darjah. Guru boleh mengamalkan jenaka dalam bilik darjah dengan menggunakan jenaka yang relevan dengan isi kandungan pelajaran dalam tugasan bacaan. Cari contoh yang berunsur jenaka dalam sejarah, bahasa Inggeris, Sains dan sebagainya. Melalui penulisan tugasan juga dapat dimasukkan ciri jenaka seperti meminta murid mencari sekurang-kurangnya tiga kartun yang berkaitan dengan tajuk atau konsep isi kandungan pelajaran. Guru boleh meminta murid jelaskan setiap kartun tersebut, bagaimana ia berkait dengan isi kandungan pelajaran. Papan Buletin yang mempunyai unsur-unsur jenaka dapat diwujudkan dalam bilik darjah. Maklumat dan mesej yang disampaikan melalui papan buletin ini harus dalam bentuk seperti kartun yang berunsur jenaka tetapi berkait dengan tujuan atau isi kandungan pelajaran. Semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam bilik darjah, guru boleh menggunakan tiga hingga empat kartun yang berunsurkan jenaka dalam menyampaikan isi kandungan pelajaran berbentuk cerita, contoh dan anekdot. Guru juga boleh menyediakan soalan ujian yang mempunyai pernyataan yang berunsur jenaka. Penggunaan bahan media seperti video yang mengandungi unsur jenaka boleh membantu menceriakan persekitaran pembelajaran di bilik darjah. Namun, tugas guru adalah untuk memastikan ianya mempunyai kaitan dengan isi kandungan pelajaran. Pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan melukis kartun sebagai acara sekolah.
Jenaka adalah suatu perbuatan yang tidak memberikan kesan buruk kepada manusia sekiranya digunakan secara terkawal dan beretika. Bryant, Comisky, Crane dan Zillman (1979) mengkategorikan jenis jenaka yang mempunyai maksud (tendentious) kepada tujuh jenis iaitu cerita jenaka, ulasan yang berjenaka, lawak, jenaka profesional, sindiran (pun), kartun dan teka-teki (riddles). Jenis-jenis jenaka ini dianggap memberikan kesan yang positif secara amnya dalam bilik darjah. Mereka juga mendapati empat jenis jenaka yang tidak mempunyai maksud (non-tendentious) seperti ejekan (sarcasm), jenaka lucah, jenaka berkaitan etnik, dan jenaka agresif atau berunsur permusuhan (hostile humor). Jenis jenis ini didapati memberikan kesan negatif kepada pengajaran dan pembelajaran. Sesetengah jenis jenaka dianggap oleh guru dan murid sebagai tidak bersesuaian, manakala selebihnya diinterpretasikan berbeza-beza bergantung kepada punca dan penerima mesej tersebut.
Wanzer, Frymier, Wojtaszczyk, and Smith (2006) menyatakan terdapat amalan jenaka yang sesuai dan tidak sesuai dilakukan oleh guru. Kajian ini menemui empat kategori utama jenaka yang sesuai dilakukan iaitu yang berkaitan dengan isi kandungan, yang tidak berkaitan isi kandungan, berbentuk merendahkan diri sendiri (self-disparaging humor), dan yang tidak dirancang. Sementara itu jenaka yang tidak sesuai juga dapat dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu jenaka yang berbentuk serangan (offensive humor), merendah-rendahkan pelajar, merendah-rendahkan orang lain dan merendah-rendahkan diri sendiri (self-disparaging humor).

2 comments:

Cikgu Zam said...

salam Dr.
Harap Dr. sihat sentiasa. Terima aksih kerana sentiasa ingin berkongi ilmu di laman ini.

Deria said...

W'salam Cikgu Zam. Macammana keadaan di Jepun? semoga sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan dilindungi Allah dalam apa jua keadaan. Dan boleh sesuaikan diri dengan keadaan di sana.