Guru adalah merupakan profesion yang begitu penting dalam masyarakat. Setiap hari mereka menjalankan tugas menyebarkan pelbagai maklumat dan mengubah sikap dan kelakuan pelajar-pelajar secara langsung melalui kurikulum yang diajar dan secara tidak langsung melalui amalan, sikap, kelakuan, nilai dan hubungan dengan pelajar-pelajar mereka.
Guru yang baik sentiasa optimis dengan apa yang akan dicapai oleh pelajar mereka dalam sebarang situasi dan latar belakang. Dari pengalaman, mereka tahu bagaimana membimbing pelajar kearah kejayaan. Mereka memahami kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam setiap pelajar dan berusaha mengatasinya bagi membantu pelajar-pelajar mereka mengikut keupayaan masing-masing. Namun begitu proses mendidik adalah melebihi dari itu, ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran amali, kebolehan untuk membuat pertimbangan, menyeimbangkan tekanan dan cabaran, amalan dan kreativiti, minat dan kesungguhan, dan memahami bagaimana pelajar belajar dan berkembang. Ini melibatkan pengaruh orang lain dalam perkembangan diri pelajar seperti rakan sebaya dalam kelas, ibu bapa dan keluarga di rumah serta masyarakat setempat.
Ibu bapa dan masyarakat mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap guru-guru agar dapat membantu anak-anak mereka mencapai kejayaan yang tinggi. Oleh itu, guru-guru perlu mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap pelajar agar mereka dapat mencapai kejayaan. Mengajar adalah memerlukan kreativiti, intelektualiti dan ganjaran, oleh itu piawaian untuk profesion perguruan haruslah juga tinggi. Guru yang berkemahiran tinggi menyebabkan proses pengajaran menjadi mudah. Oleh itu guru perlu mempelajarai kemahiran tersebut dan menambahkannya melalui latihan, amalan, penilaian dan belajar dari rakan setugas yang lain.
Profesion perguruan adalah sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan globalisasi dan teknologi terkini. Piawaian mengajar sentiasa berubah dari semasa ke semasa dan menjadi bertambah baik. Ini tentulah mempengaruhi sistem pendidikan negara dan ‘performance’ pelajar.
Guru-guru baru yang mulai menceburkan diri dalam profesion ini menghadapi cabaran-cabaran yang menuntut supaya mereka sentiasa belajar dan mendapatkan maklumat-maklumat yang terkini bagi menyediakan diri bagi menyahut cabaran tersebut. Guru-guru yang sedia ada di dalam sistem persekolahan juga sentiasa perlu meningkatkan diri dalam pelbagai ilmu dan bidang pengetahuan yang sentiasa berubah dan semakin canggih.
Sebuah buku yang menjadi piawaian dan keperluan rujukan perlu diwujudkan bagi memastikan supaya semua guru-guru baru mempunyai pengetahuan dalam bidang (subjek) masing-masing dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang diperlukan, dan bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam profesion perguruan yang diceburi.
Seseorang guru yang telah dianugerahkan status mengajar dari institusi pendidikan guru perlu memahami dan mematuhi Kod Etika Perguruan Malaysia dengan menzahirkan perkara-perkara berikut dalam tugasan harian mereka:
• Mereka mempunyai jangkaan dan harapan yang tinggi kepada semua pelajar; menghormati sosial, budaya, bahasa, agama, latar belakang etnik, dan komited terhadap usaha meninggikan pencapaian pendidikan mereka.
• Mereka melayan semua pelajar dengan adil dan saksama secara berterusan, dengan menghormati dan memahami perkembangan pembelajaran yang pelbagai dalam diri seseorang pelajar.
• Mereka menunjukkan sikap, nilai dan tingkah laku yang positif yang mereka harapkan dari pelajar mereka.
• Mereka dapat berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan ibu bapa dan penjaga, menghormati peranan, tanggung jawab dan minat mereka dalam pembelajaran pelajar.
• Mereka dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran serta bertanggung jawab dalam sebarang tugas yang berkaitan dengan sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
• Mereka sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dengan cara menilai semula amalan pengajaran masing-masing, mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan berkongsi pengalaman dengan rakan setugas yang lain. Mereka sentiasa bermotivasi dan boleh menjalankan tugas tambahan untuk perkembangan profesionalisme masing-masing.
• Mereka sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggung jawab berkaitan tugas harian yang berhubung dengan profesionalisme perguruan.
Laman blog ini memaparkan idea dan amalan dalam bidang perguruan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sepanjang menjadi guru, pendidik guru dan bidang pentadbiran yang berkaitan dengan perguruan di Malaysia. Semoga pengalaman dan idea ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan guru yang lain.
Thursday, January 21, 2010
Wednesday, January 6, 2010
Ciri Guru
Saya berkesempatan berkongsi pengalaman dengan sekumpulan pensyarah daripada Maktab rendah Sains MARA dan beberapa buah institusi pendidikan MARA yang mengikuti kursus PTK di German-Malaysia Institute, Kajang, pada minggu terakhir 2009. Semasa memeriksa tugasan yang mereka siapkan, saya terjumpa dengan satu penulisan mengenai ciri-ciri guru yang perlu ada bagi menghasilkan pengajaran yang berkualiti (Oleh Encik Amerudin bin Abdul Rahim, MRSM Alor Gajah, Melaka). Saya ingin berkongsi penulisan beliau dengan anda semua.
Menurut beliau, seseorang guru yang mempunyai ciri-ciri berikut akan dapat menghasilkan pengajaran yang berkualiti:
- profesional, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik unggul setiap masa.
- menguasai subjek (isi kandungan)
- mahir dalam pedagogi dan kaya ilmu
- memahami perkembangan pelajar dan menyayangi mereka
- memahami psikologi pembelajaran
- memiliki kemahiran kaunseling
- menggunakan teknologi terkini
- berupaya melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh
- sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran (up to date)
- prihatin dengan kehendak pelajar dan ibu bapa
Subscribe to:
Posts (Atom)