We will Make a Difference...
Kerjaya guru adalah amat memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada penjawatnya. Hasil komitmen yang penuh dan kesungguhan yang kuat maka terhasillah anak didik yang berjaya dalam kehidupan. Saya tidak percaya bahawa seseorang itu perlu dilahirkan sebagai 'guru' untuk menjawat jawatan sebagai guru. Seseorang 'guru' adalah lahir daripada pengalaman, kematangan dan sedikit daripada sifat semulajadi atau genetik. Seseorang guru yang berjaya tidak semestinya ia bercita-cita untuk menjadi guru semasa di sekolah rendah atau menengah dahulu. Mungkin selepas mendapat ijazah, baharu lahir keinginan untuk menjadi guru disebabkan persekitaran, pengalaman dan kematangan berfikir, maka beliau akan menglaksanakan tugas dengan penuh tanggung jawab dan bersungguh-sungguh. Sesetengahnya disebabkan oleh desakan daripada pihak-pihak tertentu seperti ibu bapa, suami (bagi guru perempuan) dan rakan-rakan atau setelah penat dan lelah mencari pekerjaan lain untuk menyara hidup.
Namun, sekali anda telah melangkah kaki ke alam kerjaya ini, janganlah lagi toleh ke belakang. Ayuh mara terus dan komited dengan tugas yang telah dipertanggung jawabkan. Hasilnya, InsyaAllah akan dapat dilihat dan anda akan berpuas hati, walau pun ganjaran tidaklah seberapa dibandingkan dengan kerjaya seperti doktor, arkitek, akauntan dan lain-lain kerjaya profesional (dan PTD). Walau bagaimanapun kerjaya ini adalah setanding dengan pegawai-pegawai kerajaan lain (pegawai tadbir awam khususnya) malahan dikatakan peluang kenaikan pangkat adalah lebih baik. Syabas kepada pihak yang berwajib kerana telah 'memelihara' kerjaya ini dan meningkatkan martabatnya.
Walau apa pun, warga guru tidaklah memandang semua itu dengan gelojoh. Mereka bersyukur kepada Allah swt di atas keprihatinan pihak berkaitan. Cabaran kerjaya bertambah berat dalam abad ke 21 ini dimana pelbagai perkara dan tugas perlu dilakukan supaya bersesuaian dengan tuntutan waktu dan teknologi yang berkembang pesat.
Saya ingin memaparkan sebuah senario tentang kecemerlangan kerjaya guru kepada anda sekalian. Semoga senario ini akan menjadi motivasi kepada semua warga guru. Sila layari laman web berikut:
www.makeadifferencemovie.com
Selamat bertugas... semoga semua guru-guru di Malaysia adalah guru cemerlang.